22 Mac 2009

Bila maksiat diremehkan umat Islam

AHMAD BAEI JAAFAR

Bila menyebut maksiat terlintas dalam kotak pemikiran kita, kes khalwat dan zina. Lalu orang akan kutuk pasangan yang berkhalwat atau berzina dengan pelbagai label. Satu kampung rasa terhina jika berlaku maksiat itu dalam kawasan kampung atau perumahan mereka.
Benarkah golongan itu sahaja yang melakukan maksiat atau ada lagi maksiat lain yang lebih besar dari khalwat dan zina itu? Untuk mencari jawapan itu cuba kita hayati maksud hadis berikut:
“Tiada ketaatan kepada manusia pada perkara yang menderhaka Allah,“
Hadis ini merujuk kepada perintah mentaati pemimpin yang jika pemimpin itu memerintahkan orang bawahannya supaya melakukan sesuatu yang menderhaka akan Allah, maka perintah itu boleh diabaikan. Persoalan sekarang apakah bentuk perintah yang tidak perlu ditaati?
Dalam teks hadis itu Rasulullah menyebut perkataan “fi maksiatillah” yang bererti pada perkara maksiat kepada Allah. Dalam bahasa mudah kita terjemahkan sebagai "menderhaka akan Allah S.W.T." Jadi, maksiat dalam konteks ayat ini bererti derhaka. Jelasnya maksiat tidaklah harus disempitkan kepada khalwat dan zina sahaja.
Maksiat Dalam Islam
Sebenarnya maksiat atau derhaka dalam Islam terlalu luas mencakup soal syirik kepada Allah dam juga tidak mentaati perintah Allah apatah lagi membuat larangan Allah S.W.T. Berdasarkan itu, perbuatan tidak melaksanakan perintah Allah atau melanggar larangan Allah S.W.T. dikira sebagai melakukan maksiat atau derhaka.
Apakah perbuatan melanggar perintah Allah? Allah perintahkan solat, jika kita tidak melakukan solat bererti kita telah melanggar perintahnya. Itulah maksiat. Begitu juga Allah perintahkan puasa, jika kita tidak mahu berpuasa, kita telah melakukan maksiat. Allah juga menyuruh kita mengeluarkan zakat, jika kita tidak mahu mengeluarkannya bererti kita telah melakukan maksiat. Soalnya mengapa maksiat ini tidak diberi perhatian serius,
Ada pihak yang menyalahkan pemerintah kerana telah mengkategorikan maksiat kepada juzuk yang kecil. Katanya dalam enakmen undang-undang keluarga Islam hanya memperuntukkan bentuk maksiat tertentu sahaja maka itulah yang boleh diambil tindakan.
Alasan yang diberikan itu cukup lemah kerana dalam Perlembagaan Persekutuan telah memberi ruang yang cukup kepada kerajaan negeri membuat peruntukan yang luas mengenai maksiat itu. Malah pada Perkara 11 Perlembagaan memberi kebebasan umat Islam beramal dengan ajaran Islam dan pada masa yang sama memberi hak mengawal ajaran salah dan perkara yang bercanggah dengan syariat.
Dalam undang-undang keluarga Islam sudah ada peruntukan tentang kesalahan melakukan syirik, menyebar ajaran sesat, dan banyak lagi. Terdapat juga peruntukan yang membolehkan menghukum orang yang meninggalkan sembahyang dan puasa. Begitu juga dengan perbuatan yang tidak bersopan, boleh diambil tindakan melalui enakmen itu. Tetapi mengapa semua itu seperti tidak diambil tindakan bagi memerangi maksiat.
Maksiat Dipandang Sebelah Mata
Walaupun peruntukan sudah ada tetapi untuk bertindak belum lagi terlaksana. Barangkali alasannya tenaga penguat kuasa tidak ramai maka cukuplah ditumpukan kepada persoalan khalwat dan zina. Tetapi benarkah penguat kuasa tidak cukup?
Memanglah, penguat kuasa untuk menangkap orang buat maksiat terlalu sedikit. Tetapi persoalan yang perlu difikirkan secara serius bukan tangkapannya tetapi mendidik manusia supaya tidak terjebak dengan maksiat. Untuk urusan itu tidak perlu penguat kuasa sebaliknya jabatan dakwah dan orang ramai boleh dimanfaatkan.
Dalam pemerintahan Rasulullah s.a.w. dan para Khulafa’ ar-Rasyidin, pendekatan mendidik mampu membasmi gejala maksiat. Rasulullah mendidik iman para Sahabat dan kemudian Sabahat itu pula mendidik anak-anak dan mereka yang tidak bersama Rasulullah.
Sebenarnya maksiat yang paling serius pada hari ini ialah syirik dan murtad. Tetapi semua pihak pandang sebelah mata meskipun isunya menjadi riuh rendah. Mengapa hal ini terjadi? Jawapan yang sering didengari ialah peruntukan tidak ada ataupun tidak begitu kuat untuk didakwa.
Sekali lagi ditegaskan di sini bahawa kerja kita bukan untuk menangkap dan menghukum mereka. Mereka perlu diselamatkan dengan usaha dakwah dan didikan pemulihan. Kerja ini tidak perlu undang-undang dan semua pihak perlu dilibatkan dalam usaha menyelamatkan mereka.
Begitu juga dalam soal kesalahan tidak melakukan sembahyang lima waktu dan Jumaat. Inilah maksiat yang berat malah boleh menjadi murtad jika meninggal sembahyang dengan sengaja. Tetapi siapa yang mahu menyelamatkan golongan yang melakukan maksiat itu?
Orang yang meninggalkan sembahyang termasuk Jumaat terlalu ramai pada masa ini, tetapi mereka terus bebas tanpa sebarang tindakan meskipun sudah ada peruntukan mengenainya. Siapa yang boleh menyedarkan mereka dari kemaksiatan itu?
Golongan pendakwah baik yang bertauliah mahupun yang tidak bertauliah tidak pernah mendekati golongan yang meninggalkan sembahyang. Lazimnya pendakwah akan masuk masjid dan program rasmi agama sedangkan golongan yang terjebak dalam maksiat di atas tidak menghadirinya. Mengapa pihak berkuasa agama tidak memikirkan pendekatan harmoni untuk mendekati mereka?
Satu lagi maksiat yang sering terlepas pandang ialah amalan mendedahkan aurat, bergaul bebas, dan berpelesiran di taman-taman bunga. Dalam hal ini syabas diucapkan kepada majlis perbandaran yang sesekali membuat tindakan pembersihan.
Tetapi sebagai umat Islam apakah peranan kita untuk menyelamatkan mereka dari terus melakukan maksiat. Alasan hak asasi manusia tidak boleh diguna bagi orang Islam kerana perbuatan mereka termasuk dalam kategori melakukan maksiat. Jadi, pendekatan serius daripada Jabatan Agama Islam dengan kerjasama AJK masjid, surau, persatuan penduduk perlu disegerakan.

Tiada ulasan: