21 Mac 2009

Giliran wajib adil, tidak pada hubungan seks

AHMAD BAEI JAAFAR

Setelah dua rencana mengenai poligami muncul dalam blog saya, tiada lelaki yang memberi respons. Adakah kerana mereka bersetuju dengan tulisan itu atau mereka tidak mahu baca kerana tidak berminat dengan poligami?
Mungkinkah ada lelaki yang membaca rencana itu langsung terbantut niat hendak berpoligami? Mungkin rencana itu membuatkan lelaki yang hendak berkahwin lebih daripada seorang berfikir dua kali. Mereka sudah ada rasa "perlu tepuk dada tanya imannya", mampukah dia berlaku adil dalam aspek-aspek yang tertentu. Kalau dirasakan tidak mampu cukuplah seorang dulu.
Tetapi syabas golongan wanita, mereka nampaknya seperti lebih berminat untuk membacanya, malah menemui sesuatu yang dikatakan boleh mengelirukan, malah tidak wajar. Keprihatinan mereka saya hargai. Mereka bukan mempertikaikan hukum Allah dan Rasul tetapi mereka meragui apa yang saya tulis. Semoga Allah berikan kepada mereka ilmu yang lebih luas untuk memahami ajaran Islam yang sebenar.
Sebenarnya pada rencana pertama, tidak ada isu yang ditimbulkan kecuali seorang lelaki yang menyatakan kurang bersetuju dengan tajuk, poligami mengundang ke neraka, alasannya poligami sepatutnya mendorong ke syurga. Tetapi pada kali ini seorang pembaca lelaki dan beberapa orang wanita mempertikaikan kewajaran dihukumkan haram kepada suami yang melakukan persetubuhan dengan isterinya yang bukan pada gilirannya.
Sebenarnya persoalan poligami jarang dibincangkan oleh ulama secara serius, dan kalau bincang pun tidak begitu mendalam. Mungkin kerana tidak ramai yang terlibat dengan poligami kecuali para ulama. Oleh sebab mereka tahu hukumnya dan tidak pernah berlaku perkara yang berbangkit maka tidak perlulah dipanjangkan huraiannya.
Bagaimanapun kalau ada orang awam yang hendak poligami, mereka akan terus rujuk secara empat mata dengan ulama. Jadi, masalah mereka dapat selesai di situ secara empat mata. Tetapi pada hari ini, ramai orang awam yang berpoligami tidak mengikut peraturan, ikut nafsu dan kemahuan. Lalu mereka sudah berani pergi ke Thailand untuk menyegerakan poligami. Padahal mereka tidak belajar hukum dan pantang larang dalam poligami itu.
Menyedari kesilapan dan pelanggaran hukum syariat mereka yang berpoligami itu, maka saya memberanikan diri untuk menulis mengenainya. Ini dirasakan sebagai tanggungjawab saya kerana kebetulan saya adalah Penolong Pendaftar Nikah di Selangor.
Beruntunglah mereka yang hendak berpoligami dilakukan melalui tangan saya. Berpeluanglah saya mengajar sedikit sebanyak pantang larang mengenainya. Untuk pengetahuan semua setakat ini saya baharu menikahkan seorang untuk kes poligami dan telah cuma menasihatkan beberapa orang yang hendak berpoligami dalam kawasan saya sama ada lelaki atau perempuan.
Jadi, bagi menjawab persoalan pembaca rencana ini, suka saya mengajak anda semua merujuk kitab fiqah sama ada kitab kuning atau moden atau lebih baik lagi dalam bahasa asal iaitu Arab. Tapi untuk mudah baca dan mudah faham bolehlah rujuk kitab jawi yang bernama “Idaman Penuntut, penggal kedua” buku ini terbitan dan cetakan Johor, penulisnya telah memudahkan bahasa yang sebahagian besarnya diambil dari kitab kuning, “Matlaal Badrain” tulisan Syeikh Daud Fatani.
Jika anda ada kitab itu sila buka bab “berbilang isteri (poligami)” dan cari ceraian tajuk “giliran dan nusyuz”. Tetapi dalam ruang yang terbatas ini saya ingin memetik beberapa para penting iaitu.
“Jika sudah bermalam dengan seorang isteri wajib bermalam pada isteri-isteri lain sama macam itu sekalipun mereka itu ada uzur seperti sakit, haid, kemaluan tersumbat atau dalam ihram. Kerana tujuannya supaya berjinak-jinak bukan kerana hendak bersetubuh sahaja. Wajib menyamakan giliran itu ialah tentang bermalam jua bukan tentang bersetubuh atau sebagainya iaitu sunat sahaja. (halaman 114 : Idaman Penuntut- penggal kedua).
Penting difahami di sini, wajib bermalam pada isteri-isteri lain sama seperti yang dilakukan pada seorang isteri yang pertama. Maknanya kalau ada empat isteri, kalau yang pertama satu malam, maka isteri yang kedua juga satu malam dan begitulah seterusnya. Tapi kalau pilih dua malam, sama jugalah seterusnya walaupun isteri kedua dan ketika dalam haid. Setiap kali berlaku giliran tidak semestinya berlaku perhubungan seks. Perkara itu tidak wajib tetapi sunat sahaja kalau mereka berhajatkannya.
“Adalah hukum wajib menyamakan giliran itu dikira dari segi tempat kediaman dan dari segi masa. Dari itu wajib disediakan tempat kediaman berasing-asing. Maka haram dikumpulkan dua isteri atau berapa isteri di satu tempat kecuali mereka bersetuju dan izin.” (halaman 115 : Idaman Penuntut – penggal kedua).
Dalam bab tempat tidak perlu ulasan lanjut kerana tulisannya jelas. Memang Islam tidak galakkan menghimpunkan isteri dalam satu rumah, walau sebaik mana pun isteri-isteri itu mereka mesti diasingkan. Tentu ada hikmahnya, hanya yang sudah alami tahu hikmah yang sebenarnya.
“Dan di segi masa maka orang yang bekerja siang hari hak gilirannya ialah malam dan siang ikut sahaja. Kecuali ada hajat seperti menjengah kesakitan atau menghantar barang, atau menyampaikan duit belanja ataupun tak boleh lama, jika lama kena ganti pada tuan punya giliran, bila sudah masuk diluluskan berseronok yang lain daripada bersetubuh." (halaman 115 : Idaman Penuntut – penggal kedua).
Tetapi di segi masa perlu dijelaskan dengan agak terperinci. Orang yang bekerja pada siang hari maka gilirannya ialah malam dan siangnya. Inilah yang saya maksudkan 24jam. Dalam ayat itu diikuti dengan "kecuali" iaitu memberi maksud bahawa di sebelah siang yang menjadi sambungan bagi giliran malam tadi, walaupun masih milik gilirannya, terdapat sedikit pengecualian. Maksudnya, atas sebab-sebab tertentu pada siang hari itu bolehlah dia pergi ke rumah isteri yang lain. Antara sebab yang dicontohkan dalam ayat di atas ialah untuk melihat isteri keduanya itu dalam keadaan sakit, hantar barang, hantar belanja dapur atau sekadar singgah sebentar sekadar hendak bertanya khabar.
Walau bagaimanapun kalau dia dalam keadaan itu singgah terlalu lama, maka waktu itu wajib diganti pada gilirannya nanti, iaitu dikurangkan masanya. Satu lagi fakta yang penting di sini ialah, apabila seseorang suami itu singgah di rumah isterinya yang bukan giliran itu, dia boleh bergurau senda, boleh berseronok dan boleh bersembang seperti biasa. Namun begitu dia tetap dilarang bersetubuh. Itulah yang dimaksudkan dengan “bila sudah masuk diluluskan berseronok yang lain daripada bersetubuh,” dalam teks itu.
Apakah yang anda boleh faham dengan maksud kata-kata berikut; kamu boleh buat itu dan ini kecuali yang ini? Kamu boleh lakukan semua yang ada di sini selain daripada yang ada di atas meja saya. Tidakkah kata-kata ini satu larangan. Dan larangan itu sudah tentulah haram, bukan makruh kerana lazimnya kalau dimaksudkan makruh, akan disebut oleh ulama secara jelas, makruh.
"Sekurang-kurang giliran dan yang afdal ialah satu malam pada seorang isteri dan haram lebih daripada tiga malam dengan tidak persetujuan isteri-isterinya itu.” (halaman 115 : Idaman Penuntut – penggal kedua).
Seterusnya pada perenggan ini ada menyebut cara giliran yang boleh dipilih. Sekurang-kurang gilirannya ialah semalam dan siangnya. Tidak boleh kurang daripada itu. Tetapi seseorang suami tidak boleh mengambil lebih daripada tiga malam dan siangnya. Berdasarkan itu adalah haram bagi suami tinggal di rumah isterinya lebih dari tiga hari kecuali jika suami sakit.
Berdasarkan itu kalau ada orang mendakwa ada hadis yang menyebut bahawa nabi ada menggilirkan semua isterinya dalam satu malam, saya beranggapan suatu yang istimewa buat nabi. Bagaimanapun pada saya kalau betul berlaku begitu mungkin telah mendapat keizinan semua isterinya. Kalau ada izin tidak timbul isu dan masalah.
Sungguhpun begitu saya meragui dakwaan itu kerana kemungkinan orientalis sengaja mahu memutar belitkan sunnah, seolah-olahnya Rasul kuat seks. Jadi, umat Islam perlu berhati-hati.
Ya, kalau hendak dilogikkan dengan akal, adakah kita nak kata Rusul itu kuat sangat seksnya, bayangkan Sembilan isteri hendak digilirkan semuanya dalam satu malam. Saya nak bayangkan diri saya sewaktu baru berumur 45 tahun, selepas bersama isteri, terus tidur, tidak mampu untuk ulang lagi dua atau tiga kali. Janganlah kita gambarkan Rasulullah sebegitu kerana baginda ketika itu pun sudah tua dan isterinya juga sudah tua.
Kalau benarlah ada hadis itu saya lebih percaya dia hanya membuat lawatan ke semua isterinya sebelum tidur dengan isteri yang dalam gilirannya. Inilah yang lebih tepat dan sesuai dengan yang terkandung dalam kitab di atas.
Tetapi ada juga tersebut dalam sebuah hadis Qudsi, yang Allah menegur Nabi Sulaiman yang berkata, aku telah menggauli semua isteriku pada malam ini supaya nanti semuanya mengandung dan melahirkan anak serentak. Allah menjawab, sepatutnya kamu berkata insya-Allah baru akan aku kabulkan. Oleh sebab dia tidak menyebut insya-Allah, hanya seorang isterinya sahaja yang mengandung dan beranak.
Hadis ini popular dalam bab jimak untuk menunjukkan sunat berdoa ketika berjimak. Sungguhpun begitu perbuatan yang dilakukan oleh Nabi Sulaiman tidak menggambarkan bahawa kita boleh menggilirkan isteri-isteri dalam satu malam. Dalam hal ini kita kena ingat bahawa syariat Nabi Sulaiman dengan Syariat Nabi Muhammad tidak sama.
Mengenai Rasulullah bersama Mariah Qitbiyah di rumah Habsah, ia tidak termasuk dalam giliran isteri kerana dia bukan isteri, tetapi hamba yang bebas daripada semua hukum di atas. Wallahu a'lam.

9 ulasan:

Gurindam Jiwa berkata...

Bukan tak nak ulas bab poligami ni. Cuma bila baca je dah naik bulu roma... hish...

;-)

fikrah islamiah berkata...

Orang lelaki perlu baca dan perlu fahami kalau berniat di hati untuk poligami. Tapi kalau tidak ada niat, tak bacapun tak apa. Cuma kalau baca dapat ilmu untuk masa depan.

Bawang Goreng berkata...

Salam ustaz,

Maafkan saya yang lambat 'pick-up' ni... Dah 3 kali saya baca artikel ini, tapi saya masih kurang jelas. Pd fahaman saya, kenyataan ust "Jika berlaku persetubuhan sedangkan bukan gilirannya, maka perhubungan itu adalah haram." adalah BENAR. Aduihai... berapa ramai yang tahu tentang ini?

fikrah islamiah berkata...

Teks dalam warna hijau itu adalah kitab asal yang telah dikupas oleh ulama terdahulu. sehingga setakat ini belum ada pindaan. inilah yang hendak diberi faham kepada mereka yang terlibat.

Khususi berkata...

Salam Ustaz...
Ada beberapa persoalan yang kurang jelas ...boleh tak ustaz huraikan secara terperinci berserta hadis sahih mengenai artikel di atas bab bergilir "Jika berlaku persetubuhan sedangkan bukan gilirannya, maka persetubuhan itu adalah haram dan anak yang dilahirkan pun haram." walaupun pada dasarnya si suami berkahwin taraf sah.

shasha berkata...

ustaz, saya ada sedikit kemuyskilan mengenai giliran suami bermalan di rumah isteri-isterinya. untuk pengetahuan ustaz, saya merupakan isteri kedua. suami akan bermalam dirumah isteri pertama selama 5 hari. manakala dirumah saya 2 hari iaitu pada hari isnin dan khamis. walaupun saya membantah tetapi suami memberi alasan kerana saya bekerja dengannya. jadi 2 malam di rumah saya sudah memadai baginya. manakala isteri pertama tidak bekerja. adakah tindakan suami wajar dan adil? kerana hujung minggu suami hanya berada di rumah isteri pertama. giliran malam yg bagaimana yg patut bagi saya?

fikrah islamiah berkata...

Salam kepada yang menerima hukum Islam. Terima kasih kepada Azhar dan Shasha yang menimbulkan soalan yang baik. Untuk menjawab soalan azhar suka saya sebut di sini, tidak cukup di sini. Perkara ini dah dikupas oleh ulama, baca semula teks warna hijau yang ketiga di atas. Baca banyak kali. Ulama mengupas hukum itu berdasarkan al-Quran dan Hadis. Suka disebut di sini, perbuatan haram itu jika dilakukan maka berdosa. Perbuatan dosa itu bukan zina. Haramnya sama macam haram bersetubuh waktu isteri haid, sama seperti liwat isteri. Manakala anak yang lahir bukan anak haram, tetap anak yang sah, tetapi perbuatan bapanya yang salah kerana melakukan perkara haram. Mengenai giliran 5 hari adalah haram, tidak boleh lebih dari 3 hari kecuali jika isteri redha. Minta suami baca tiga artikel di atas banyak kali.

shasha berkata...

terima kasih atas ulasan ustaz.. saya sudah menyuruh suami membaca artikel yg ustaz tuliskan sebelum ini.. nampaknya keaadaan bertambah rumit. suami seolah2 marahkan saya.. saya ingin berbincang dengan ustaz dengan lebih lanjut, tetapi bukan di sini. bagaimana saya boleh menulis kepada ustaz tanpa perlu menulis di sini.. kerana perkara ini agak peribadi bagi saya. harap ustaz dapat membantu..

fikrah islamiah berkata...

Maaf tak perasan ada soalan untuk saya. Shasha boleh emel kepada saya, ustaz_baei@hotmail.com