14 Februari 2016

Ketaatan Anak Hanya Kepada Ibu Bapa

Rupanya masih ramai umat Islam yang terkeliru antara ketaatan, penghormatan dan keutamaan terhadap ibu bapa. Hukum asalnya, anak-anak wajib mentaati ibu bapa berdasarkan al-Quran dan Hadis. Tetapi setelah masing-masing mentaati ibu bapa, bertemu pula dengan sebuah hadis yang menyebut tiada ketaatan dalam perkara yang membawa maksiat atau dosa. 
Di sini mereka mula keliru sama ada hendak taat kepada mereka atau tidak apabila mereka mendapati ibu bapa mereka melakukan dosa dan maksiat. Maka sebahagian mereka sanggup memaki hamun ibu bapa yang membuat dosa dan maksiat. Mereka langsung tidak hormat ibu bapa mereka hanya kerena melihat ibu bapanya melakukan dosa.
Perlu dijelaskan di sini, mentaati ibu bapa adalah hanya pada perintah mereka. Maknanya kalau ibu bapa memerintah anak itu melakukan sesuatu yang baik maka wajiblah ditaati sama ada dengan redha atau tidak. Maka kalau ibu bapa suruh anaknya bercakap baik sebagai contoh, wajiblah dia mentaatinya. Kalau ibu bapa suruh anak itu beri sedekah kepada orang miskin, maka wajiblah dia memberi, dan kalau ibu bapa suruh anaknya belajar bersungguh-sungguh, wajiblah dia mentaatinya. Tapi kalau dia suruh anaknya main judi, tak wajib taat, dan kalau ibu bapa suruh anaknya beli rokok untuknya tidak wajib taat.
Persoalan sekarang, jika berlaku keadaan itu, bolehkah mereka menengking atau membenci ibu bapanya? Ya, anak-anak tidak wajib taat perintah ibu bapa dalam perintah tersebut, tetapi anak-anak sama sekali tidak boleh bertindak sedemikian terhadap ibu bapa. Sebaliknya anak-anak tetap wajib menghormati ibu bapanya dalam keadaan apa sekali pun. Maknanya anak wajib menghormati ibu bapanya sebagai ibu bapa, bukan melawan apatah lagi bermusuh dengannya. Bercakap dengan sopan dan tidak meninggikan suara di hadapannya.
Jelas di sini, menghormati ibu bapa bukan sahaja pada keadaan dia memerintah tetapi dalam semua keadaan. Sebagai contoh, isteri wajib taat kepada suaminya, dan tidak wajib taat kepada ibu bapanya, namun dia tetap wajib menghormati kedua-duanya. Kalau begitu tentu tidak wajar anak menengking ibu bapanya apabila ibu bapa tidak mahu mengikut kehendaknya. Ingatlah sikap anak ini adalah termasuk dalam kategori anak derhaka.
Menyedari keadaan itu, si anak tidak boleh bersangka buruk kepada ibu bapanya. Maka kalau ada desas desus orang lain menceritakan keburukan ibu bapanya dia wajib mempertahankan ibu bapanya dan pada masa yang sama perlu mendapatkan pejelasan ibu bapanya dengan cara terhormat. Kalau memang mereka bersalah nasihatkan dengan baik agar bertaubat, bukan memulaukan mereka.
Selain itu timbul soalan lain berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata: Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ayah kamu.” (Bukhari dan Muslim)
Apa yang disebut dalam hadis ini bukan isu mentaati atau menghormati tetapi di sudut keutamaan antara kedua ibu bapa itu siapa yang lebih berhak diberi perhatian. Rasulullah menetapkan bahawa ibu yang patut diberi keutamaan berbanding bapa. Maknanya soal taat sama, soal menghormati sama, tetapi dalam soal keutamaan berbeza. Jadi, jangan ada dalam kalanang umat Islam yang mengatakan anak wajib lebih mentaati ibu daripada bapanya. Kesilapfahaman ini perlu diperbetulkan semula.
Sebenarnya konsep ini boleh dipakai dalam soal mentaati pemimpin dan suami. Maka rakyat wajib mentaati pemimpin dalam soal perintah dan wajib menghormati pemimpin atas sifatnya sebagai seorang pemimpin. Semoga dengan penjelasan ini umat Islam akan lebih harmoni dalam rumah tangga dan bernegara. Wallahu aklam.

Islam Tidak Larang Kanak-kanak Masuk Masjid

Siapa yang pandai-pandai melarang anak-anak kecil masuk masjid? Adakah wujud jawatankuasa masjid yang melarang kanak-kanak masuk masjid? Saya belum pernah nampak larangan seperti itu. Tetapi saya pernah dengan larangan supaya jangan bising.
Memang tidak ada nas yang melarang anak-anak kecil masuk ke dalam masjid. Malah Rasulullah sendiri pernah membawa cucunya ke dalam masjid dan berada di sininya sewaktu bersembahyang. Maknanya tiada hujah bagi orang yang melarang umat islam membawa anak-anak kecil ke dalam masjid. Maka dengan kenyataan ini marilah kita membawa anak-anak kecil ke dalam dewan solat dengan niat untuk melatih mereka menghormati masjid dan orang ramai yang melakukan ibadah.
Walau bagaimanapun, mereka yang membawa anak itu perlu menyedari bahawa ketika berada dalam masjid, semua pihak perlu menjaga adab-adab masjid. Antara adab masjid ialah:
1. Tidak mambuat bising di dalam masjid.
2. Tidak berlari-lari dalam masjid
3. Tidak bersembang perkara yang sia-sia
4. Masuk masjid dengan solat tahiyatul masjid
5. Menghormati jemaah yang sedang solat
6. Berada dalam saf solat yang betul iaitu Imam di hadapan, di belakang imam orang lelaki dewasa selepas itu kanak-kanak lelaki dan selepas itu kanak-kanak wanita dan akhir sekali wanita dewasa.
Kalau semua pihak dapat menjaga adab tersebut dengan baik maka tiada halangan untuk mereka masuk masjid. Ya, kanak-kanak yang kecil mana tahu adab masjid, maka tugas ibu atau bapa yang membawanya mengajarnya adab tersebut di rumah lagi. Kalau anak-anak tersebut tidak dapat menjaga adab, orang ramai dan jawatankuasa masjid tidak boleh melarang kerana biasanya teguran mereka tidak diindahkan. Maka yang wajar menegur ialah ibu bapanya. Inilah yang malangnya, ibu bapa biarkan sahaja anak itu membuat sesuka hati.
Pernah suatu ketika sewaktu solat tarawih, anak-anak tersebut berlari di hadapan sof lalu terpijak cermin mata jemaah dan pecah. Adakah perbuatan itu tidak mengganggu jemaah? Di sudul lain adakah ibu bapanya mahu bertanggungjawab untuk menggantikan cermin mata tersebut. Inilah realiti yang masih berlaku pada hari ini.
Ada satu lagi, seorang bapa bawa anaknya solat di tepinya dalam jemaah dewasa. Waktu solat anak itu bermain-main sambil berbaring di atas sejadah. Tidakkah tindakan itu mengganggu ketenteraman jemaah lain. Kita tidak bercakap soal bernajis atau tidak anak itu. Kita hanya bincang soal adab sahaja kita sudah gagal, betapa kalau kita bincang soal najis yang dibawa oleh anak-anak itu.
Memang orang yang bawa anak bersama dengannya waktu solat itu ada hujah, katanya Rasulullah juga membawa cucunya dalam solat. Dia memang canggih dalam mencari hujah yang pada saya bukan hujah tetap helah. Tahukah wahai umat Muhammad, kedudukan Rasulullah sebagai imam tidak akan mengganggu sesiapa waktu solat jika ada cucunya di sisinya. Tetapi kita yang menjadi makmum, keadaan anak itu boleh mengganggu jemaah lain. Inilah hujah yang boleh kita renungkan bersama. Tetapi sedarkah kalian bahawa Rasulullah sewaktu menjadi imam tidak pernah digangu oleh cucunya. Adapun cerita yang cucunya berada di atas tengkuknya sewaktu sujud adalah sewaktu baginda melakukan solat sunat. Sudah tentu isunya berbeza. Wallahu aklam.

Isteri Ada Hak Halang Anda Berpoligami

Ada lelaki atau suami bertanya kepada saya mengapa isteri orang Melayu sangat suka menentang poligami atau menghalang suaminya daripada berkahwin lain. Soalan macam ini sukar dijawab oleh lelaki kerana boleh jadi jawapannya tidak adil atau berat sebelah. Namun untuk jawapan yang tepat kita kena bertanya kepada isteri kita sendiri secara jujur. 
Persoalannya, siapakah dalam kalangan suami pada hari ini yang berani bertanya isterinya, mengapa dia menentang suaminya berkahwin dengan wanita lain. Saya percaya, ramai yang tak mahu bertanya isteri masing-masing, lalu mereka mengandaikan pelbagai jawapan.
Sebenarnya, semua wanita di dunia ini sama sahaja fitrahnya, tak mahu berkongsi kasih. Hal ini kerana dalam diri wanita ini ada satu perasaan yang membuatkan mereka ingat dan perasan. Mereka tidak mahu apa yang dia peroleh bersama suami, diperoleh sama oleh orang lain. Dan sudah tentu dia tidak rela keadaan itu berlaku dalam dirinya.
Dalam hal suka saya tegaskan, isteri kita memang berhak malah relevan untuk menentang suaminya berkahwin lain selagi dirinya seperti Khadijah, isteri nabi dan Fatimah anak nabi. Hal ini kerana Rasulullah SAW sudah cukup dengan Khadijah kerana Khadijah terus-menerus membantu perjuangannya, memberinya anak yang ramai dan setiasa berada di belakang nabi memberi semangat sewaktu susah.
Pada masa yang sama baginda juga pernah melarang Ali daripada berkahwin lain kerana Fatimah sentiasa berada di belakang Ali dalam apa jua keadaan. Selain itu Fatimah adalah wanita yang sentiasa suci daripada haid. Maknanya dia setiasa menyelesaikan urusan dan keperluan suami semahunya.
Oleh sebab itu, mana-mana isteri yang tidak mahu suami berpoligami dan tidak mahu hidup bermadu, maka bertindaklah sebagai Khadijah dan Fatimah. Saya percaya kalau anda seperti itu tentu suami anda tidak sanggup untuk berkahwin lagi walaupun dia teringin untuk berkahwin lain. Untuk itu hendaklah kalian menjadi isteri sepanjang masa, keperluan suami sentiasa diberi perhatian walaupun di usia tua. Hati suami yang gersang perlu disuburkan tanpa rasa jemu.
Tetapi kalau kalian sebagai isteri tidak boleh melakukan seperti itu, angkat tangan mengaku kalah dengan Allah dan suami anda. Pada masa yang sama, berilah peluang kepada suami untuk mendapatkan pembantu anda bagai meringankan mana-mana yang anda tidan mampu lakukan. Percayalah kalau semua itu dapat dilakukan dengan penuh rela, anda sebagai isteri akan mendapat banyak kelebihan berbanding dengan orang baru yang mendatang.
Percayalah, Allah longgarkan hukum poligami ini bukanlah sia-sia. Tentu di sini ada kebaikan kepada semua manusia dan alam seluruhnya.

Mengapa Besarkan Isu Hudud?

Selagi HUDUD dipandang orang ramai sebagai isu politik, selama itu perbahasan mengenai undang-undang jenayah Islam tidak akan selesai. Selagi HUDUD dilihat oleh orang politik sebagai isu politik selagi itulah polimiknya terus bincangkan tanpa noktah. Hal ini terjadi mungkin kerana Hudud telah dan terlalu lama dipolitikkan oleh pihak tertentu. Lalu apabila hudud benar-benar hendak diwartakan, pemikiran politik terus melekat dalam jiwa umat manusia walaupun niat asalnya semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah.
Saya hairan mengapa hudud menjadi besar dan dibesar oleh orang politik padahal hudud terlalu kecil dalam Islam. Hudud satu daripada undang-undang Islam. Salah satu undang-undang Islam ialah undang-undang Jenayah, dan hudud sebahagian daripada undang-undang jenayah. Sebenarnya saya sendiri sudah melihat dan membaca Rang Undang-undang Jenayah Syariah Negeri Kelantan, dan melihat kepada tajuknya jelas tidak langsung menyebut perkataan hudud. Jadi, kenapa disebut pada umum sebagai hudud?
Islam datang dengan membawa undang-undang untuk menyelamatkan umat manusia dan membawa mereka keamanan, ketenteraman dan kebahagian. Jadi, kenapa orang islam suka membesarkan sesuatu yang boleh menakutkan orang Islam dan orang lain. Walhal apa yang dibesarkan itu tidaklah sebesar itu. Apa perlu kita membesarkan hukuman potongan tangan dan rejam atau rotan sedangkan kita tidak pernah sebutkan kesan positif apabila hukuman itu diwartakan? Penyampaian kita yang salah hingga menyebabkan orang jauh daripada Islam. Salah siapakah kalau orang ramai membenci Islam.
Saya sudah teliti Rang undang-undang yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini. Saya dapati semua yang digubalkan itu tidak lari daripada undang-undang syariah yang terdapat dalam kitab-kitab muktabar. Cuma cara perlaksanaannya mungkin berubah mengikut iklim negera kita di sini. Saya percaya kalau undang-undang ini dikuatkuasakan di negeri Kelantan, hukuman terhadap jenayah syariah akan berkurangan atau mungkin tiada. Hal ini bukan kerana tiada orang yang melakukan jenayah tetapi kerana penjenayahnya sukar dikesan.
Sebenarnya untuk mensabitkan sesuatu kes jenayah zina sebagai contoh bukan mudah. Jika tidak dibawa aduan oleh empat orang saksi yang benar, nescaya jenayah itu tidak boleh dihududkan. Sebaliknya pembawa aduan yang tidak cukup saksi itu boleh dihukum menuduh (Qazab). Jadi, dia yang kena hukum hudud. Sungguhpun begitu kalau kes jenayah itu boleh dibuktikan dengan karenah yang lain, dia boleh dihukumkan secara takzir sahaja. Berdasarkan itu siapa dalam kalangan umat islam yang hendak hukuman hudud ini? Penzina ke atau pengadukah? Maka jalan selamat jangan berzina dan jangan mengadu kerana kedua-dua mereka akan tetap dihukum.
Ini baru dicontohkan kepada kes zina, kes jenayah mencuri, merompak dan murtad bagaimana? semuanya sudah diperincikan untuk menjamin umat islam tetap dalam melaksanakan hukum Allah dengan sempurna.
Dalam hai orang bukan islam tidak perlu risau langsung dengan hukuman Islam ini kerana mereka tetap dijamin oleh undang-undang Islam. Mereka selamat kerana tidak berpeluang melakukan zina dengan orang Islam di negara ini. Hal ini kerana orang Islam takut dan malu dihukum ditempat awam. Akhirnya, percayalah undang-undang jenayah syariah ini bukan untuk anda tetapi untuk penjenayah. Jadi orang yang baik seperti anda jangan takut dan bimbang.

20 November 2014

Cerai MudahTapi Nak Bercerai Susah

Ahmad Baei Jaafar
Bercerai memang mudah semudah menyebut satu dua dan tiga. Benar, suami boleh lafazkan “aku ceraikan engkau” sewaktu di hadapan isterinya. Dengan lafaz itu sudah jatuh satu talak. Atau suami menyebut “aku ceraikan isteriku” yang sememangnya itulah isterinya, maka jatuh talaknya walaupun dia menyebut lafaz itu bukan di hadapan isteri atau tanpa pengetahuan isteri.
Memang nampak mudah tetapi tidak semudah itu boleh berlaku perceraian. Walaupun hukum bercerai dibenarkan tetapi disukarkan oleh Allah agar tidak berlaku perceraian. Bagaimana? Dalam kesempatan ini saya datangkan bukti betapa Allah tidak suka umatnya bercerai lalu disukarkan amalannya.
Kuasa talak diberi kepada suami
Allah berikan kuasa talak kepada lelaki bukan kepada isteri. Lazimnya lelaki tidak akan menggunakan kuasa talak semudah hukumnya. Hal ini kerana suami sebelum berkahwin telah menghabiskan wang yang banyak untuk mengahwini isterinya, tentu tak mungkin kerana sedikit salah faham maka dengan mudah dia nak menceraikan isterinya.
Selain itu, suami berfikiran luas dan sabar dalam menghadapi ujian hidup. Dengan karenah isteri yang sedikit itu tidaklah boleh menggugat kasih sayangnya kepada isterinya. Biarpun isterinya meminta cerai dia boleh memekakkan telinga. Paling tidak, kalau dia tidak mahu mendengarnya dia akan keluar rumah mencari ketenangan di luar.
Walaupun isterinya memeningkan kepalanya, suami tidak perlu fikir untuk ceraikan isteri kerana dia boleh berkahwin lagi walaupun isteri itu masih bersamanya. Walaupun isterinya meminta cerai kerana mahu berkahwin dengan lelaki lain, dia boleh menghalangnya. Kalau isterinya bersikap dingin terhadapnya dia ada alasan untuk kahwin lagi. Dengan cara itu perceraian tidak akan berlaku. Inilah yang saya maksudkan disukarkan oleh Allah.
Kalau begitu, mengapa berlaku juga perceraian?
Jawapannya mudah, apabila tiga sebab di atas tidak dikuasai oleh suami berlakulah perceraian. Pertama, suami kahwin koboi atau kawin percuma atau kawin kerana terpaksa. Kalau ada cabaran yang mendatang lalu tidak dapat dikawal olehnya pasti dia dengan mudah melafazkan cerai. Fenomena ini dapat dilihat pada hari ini di mana-mana sahaja.
Sebab kedua, suami tidak boleh sabar malah panas baran. Dia tidak mampu mendengar leteran isterinya apatah lagi kalau isterinya menguasai ekonomi rumah tangga. Atas ketidaksabaran itu dia akan melafazkan cerai demi mengelak pergaduhan yang berpanjangan.
Sebab yang ketiga, keegoan isterinya mencabar kelakiannya sebagai suami. Tentu kalau dia tidak menceraikan isterinya akan menjadi bebanan kepada dirinya pula. Pada masa yang sama niat hendak mengahwin isteri lagi mendapat tentangan isterinya. Maka jalan selamat diceraikan isterinya lalu bolehlah dia berkahwin baru.
Jadi, kalau anda suami di mana kedudukan anda? Dan kalau anda isteri di mana kedudukan anda. Oleh sebab itu, pilihlah untuk tidak bercerai. Maka suami bertindaklah sebagai suami dan isteri bertindaklah sebagai isteri. Ego isteri tidak membawa kebaikan kepada rumah tangga, dan sikap terlalu berlembut suami tidak akan membawa isteri rasa bangga dan suka dengan anda.
Isteri tiada kuasa mutlak
Bolehkah anda bayangkan bagaimana kalau kuasa talak atau cerai ini diberikan juga kepada isteri. Apakah yang akan terjadi pada sesebuah rumah tangga? Perceraian akan berlaku dalam satu hari berkali-kali. Maka jelaslah kepada kita, dengan memberikan kuasa cerai kepada lelaki adalah untuk mengelak daripada berlaku perceraian yang berkali-kali itu.
Allah tahu kelemahan wanita maka demi menyukarkan perceraian diberikan kuasa kepada suami sahaja. Namun Islam tidak mahu dilihat terlaku mengungkong isteri, diberikan juga kuasa talak kepada isteri, tetapi tidak secara mutlak. Mereka boleh menuntut cerai khuluq, fasakh dan faraq di mahkamah dan hakimlah yang boleh mengarahkan perceraian itu. Jelas di sini, perceraian masih disukarkan oleh Allah.
Diharamkan bercerai pada waktu isteri hamil Hukum haram ini hanya dikenakan kepada suami supaya mereka tidak dengan senang-senang hati hendak menceraikan isterinya. Mentang-mentanglah isterinya mengandung, tidak dapat layanan seksnya seperti biasa, lalu hendak diceraikannya. Maka dengan larangan ini suami takut untuk menceraikan isteri sekali gus bertambah sayang kepada isterinya.
Dengan hukum ini hendaknya tidak ramailah isteri menjadi janda. Maka isteri bolehlah dalam keadaan itu bersenang hati bersama suaminya tanpa ragu-ragu akan diceraikannya. Namun begitu hukum ini tidak dikenakan kepada isteri. Mungkin isteri dalam keadaan mengandung itu rasa diabaikan, dari awal mengandung sehingga lima bulan tidak diperdulikan, maka boleh isteri memohon perceraian di mahkamah. Jika hakim membenarkan perceraian dalam keadaan itu tidaklah isteri itu berdosa.
Sungguhpun begitu amalan ini tidak pernah berlaku, dan kalau adapun tuntutan cerai semasa mengandung, hakim nasihatkan mereka bersabar sehingga bersalin. Ini juga boleh dianggap sebagai usaha menyukarkan perceraian.
Cuma agak malang masyarakat kita di Malaysia, sesetengah pasangan atas kejahilan mereka, tidak menghiraukan larangan Islam itu. Walaupun Islam mengharamkan perceraian semasa isteri hamil, dilafazkan juga cerai. Barangkali lelaki ini termasuk dalam salah satu daripada tiga golongan di atas. Tanpa perdulikan hukum haram, tanpa perdulikan dosa yang bakal diterima, cerai terus dilafazkan. Kesian isterinya sudah bergelar janda.
Ya, cerai tetap jatuh apabila menepati syarat dan rukunnya. Apabila suami yang melafazkannya, jatuhlah talak. Dan lafaz yang dikeluarkan oleh suami itu pula jelas boleh difahami sebagai cerai, maka sahlah perceraian itu. Jadi, cerai dalam tempoh isteri mengandung, sah tetapi perbuatan suami berdosa kerana melakukan perkara yang haram. Pada masa yang sama menzalimi isterinya kerana telah memanjangkan tempoh eddahnya.
Begitu juga haram perceraian kalau dilafazkan oleh suami selepas mereka melakukan persetubuhan. Maknanya kalau malam tadi mereka baru bersetubuh, maka haram suami menceraikan isterinya pagi esok. Kalau begitulah kedudukannya, bilakan akan berlaku perceraian kalau setiap malam mereka melakukan persetubuhan. Nampaknya, ini satu lagi yang menyukarkan perceraian.
Sedarlah semua yang saya bentangkan di sini adalah untuk menunjukkan bahawa perceraian memang disukarkan walaupun perceraian itu mudah. Kesukaran ini adalah menepati kehendak sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “ Talak atau bercerai adalah perkara halal yang paling dibenci Allah.”

Jadi, berfikirlah banyak kali sebelum bercerai wahai suami dan sayangilah suami dan rumah tangga walaupun isteri rasa tertekan. Perkahwinan adalah untuk bahagia dan menyelesaikan keperluan suami isteri secara halal. Jadi hargailah semua ini demi Islam dan maruah umat Islam.

21 Oktober 2014

Sentuh anjing tanpa keperluan adalah haram

Ahmad Baei Jaafar

Saya terpanggil untuk bercakap soal isu anjing yang dihebohkan dalam media pada hari ini. Kalau tak bercakap rasa macam bersalah pula. Yalah setiap hari orang mengadu kepada saya dan setiap hari juga saya dengar orang bercakap tentangnya. Dan semalam ramai tokoh ulama sudah mula bercakap bagi merungkai kekeliruan dalam masyarakat kita.

Saya tidak mahu bercakap panjang-panjang kerana takut lebih mengelirukan, tetapi cukuplah saya nyatakan bahawa anjing adalah makhluk Allah yang diciptakan dengan beberapa keistimewaan. Namun ada jenis anjing yang boleh membawa petaka kepada umat Islam. Hal inilah yang ramai umat Islam tidak sedar malah melanggarnya.

Suka saya sebutkan di sini, sebelum datangnya syariat Nabi Muhammad SAW, anjing adalah rakan ashabul kahfi. Syariat pada zaman itu tidak menghalang sentuhan anjing kerana anjing setaraf dengan kucing. Anjing ashabul kahfi direkodkan di dalam al-Quran sebagai pembantu sepanjang perjalanan malah sewaktu pelarian ashabul kahfi.

Sebenarnya anjing ini makhluk yang bijak dan cerdik dalam mengesan musuh. Jadi, perjalanan mereka selamat kerana pergerakan musuh dapat dikesan oleh anjing itu. Oleh sebab itu anjing menjadi binatang kesayangan pada waktu itu.

Selain kisah itu, seorang pelacur daripada suku Bani Israil ternampak seekor anjing mengelilingi sebuah perigi dan hampir mati kerana dahaga. Lalu dia pun menanggalkan kasutnya dan turun menceduk air perigi tersebut dan memberi anjing tersebut minum dengannya. Maka dikabarkan Allah mengampunkan dia kerana perbuatannya itu.

Syariat Islam

Zaman berlalu, apabila datang kerasulan nabi Muhammad SAW, syariat berubah namun akidah tetap sama. Hukum tentang anjing juga berubah sesuai dengan zaman. Dalam al-Quran, Allah menyebut tentang anjing yang sifatnya suka menjelerkan lidahnya. Namun keadaan yang sangat huduh itu hanya mahu diibaratkan kepada umat Islam yang sangat mementingkan dunia. Perhatikan firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 175 yang maksudnya:

“Dan bacakanlah (Muhammad) kepada mereka, berita orang yang telah Kami berikan ayat-ayat Kami kepadanya, kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk golongan orang-orang sesat. Dan sekiranya Kami menghendaki nescaya Kami tinggikan (darjat)nya dengan (ayat-ayat) itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan mengikuti keinginannya (yang rendah), maka perumpamaannya seperti anjing, jika kamu menghalaunya dia akan menjelirkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia tetap menjelirkan lidahnya. Demikianlah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir. Sangat buruk perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka itu telah berbuat zalim kepada dirinya sendiri.” (Surah al-A’raaf: 175-177)

Maka mana-mana umat Islam yang tidak berasa cukup dengan apa yang ada, terus memburu dunia untuk kepentingan diri, harus sedar bahawa mereka adalah seperti anjing. Sungguh buruk sifat orang Islam itu seperti terjelir dahagakan dunia.

Najis Berat

Selain ini, anjing dalam syariat Nabi Muhammad adalah dikategorikan sebagai najis berat. Hal ini kerana cara menyucikan najis ini berat sedikit caranya. Iaitu dengan menggunakan tanah dan enam kali air mutlak. Berbeza dengan najis biasa cukup dengan air mutlak sahaja. Berdasarkan hukum itu, apakah perlu kita dengan sengaja mahu menyentuh anjing? Kalau najis biasa pun tak patut kita sentuh inikan pula najis berat.

Hukum ini ditetapkan begitu supaya kita sentiasa peka dengan najis. Namun kalau kita tersentuh najis biasa, basuhlah, dan kalau tersentuh najis berat samaklah. Jadi, hukum ini bukan menggalakkan sentuh anjing tetapi memberi alternatif mengelak najis jika tersentuh.

Berdasarkan itu, sesiapa yang sengaja mahu menyentuhnya tanpa sebarang keperluan adalah mencabar hukum Allah atau menghina agama Islam. Sebenarnya umat Islam dalam beberapa keadaan perlukan anjing iaitu untuk memburu dan keselamatan. Maka untuk dua keadaan itu anjing tersebut perlu dilatih oleh pakar untuk mencapai matlamat tugasnya.

Jadi, untuk mengajar anjing itu, perlukan sentuhan. Begitu juga untuk membawa anjing itu ke lokasi perlukan sentuhan. Sentuhan ini harus, namun dia wajib membersihkan tangannya dengan samak selepas itu. Berdasarkan hukum ini maka tidak salah polis Islam membawa anjing untuk mengesan dadah dan sebagainya.

Memelihara Anjing

Selain hukum di atas ada satu lagi hukum iaitu mengenai memelihara dan menjual anjing. Sehubungan dengan itu Rasulullah bersabda, rumah yang ada anjing di dalamnya tidak akan dimasuki malaikat (malaikat rahmat). Suatu ketika Rasulullah SAW diundang ke rumah satu kaum lalu baginda memenuhi undangan tersebut, kemudian baginda diundang ke rumah satu kaum yang lain namun tidak baginda memenuhinya. Lalu ditanya kepada baginda kenapa? Baginda menjawab: “Sesungguhnya pada rumah si fulan itu ada anjing.” Lalu dikatakan kepada baginda: “Dalam rumah si fulan (undangan pertama) ada kucing. Baginda menjawab: “Sesungguhnya kucing bukan najis.”

Oleh sebab anjing itu najis maka malaikat rahmat tidak mahu masuk dan baginda rasul juga tidak mahu masuk. Jadi, anjing tidak boleh dipelihara di dalam rumah. Larangan itu sudah tentu ada dua sebab, pertamanya kerana najis berat yang kalau hendak dibersihkan agak sukar. Dan yang keduanya kerana tidak ada keberkatan dalam rumah itu.

Berdasarkan perbahasan di atas dan setelah disesuaikan dengan isu anjing yang ditimbulkan sekarang saya mahu simpulkan di sini bahawa Islam menetapkan hukum yang membela anjing terdapat dua kategori iatu:

1. Anjing untuk keperluan boleh dipelihara di luar rumah sesuai dengan tugasnya menjaga keselamatan rumah atau memburu.

2. Anjing mainan tidak boleh dipelihara apatah lagi di dalam rumah.

Menjual Anjing

Saya lihat dalam isu sekarang, ada kemungkinan pihak penganjur mahu mempromosikan anjing dan kelak apabila umat islam suka kepada anjing, mereka akan membeli anjing tersebut untuk peliharaan di dalam rumah. Di sini akan berlaku jual beli anjing secara tak langsung.

Tahukah anda apakah hukum menjual dan membeli anjing? Dalam Islam haram berjual dan beli barangan najis dan barang haram. Berdasarkan itu umat Islam yang terlibat dalam jual beli anjing adalah haram dan berdosa. Samalah dengan haramnya menjual dan memberi arak, rokok dan dadah. Jadi, umat Islam yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak adalah lebih baik selamatkan diri daripada kerja haram tersebut. Wallahu aklam

20 Jun 2014

Ini adalah petikan khutbah Jumaat yang disampaikan di Surau As-Sakinah pada 15 Syaaban 1435

Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Hari ini 15 Syaaban dan malam semalam sebahagian besar umat Islam membaca surah Yaasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib sempena Malam Nisfu Syaaban. Walaupun ada suara-suara yang cuba membidaahkan amalan itu, rakyat Malaysia masih teguh mengamalkannya. Syabas rakyat Malaysia khususnya anak kariah Surau as-Sakinah.
Memang benar, tiada satu arahan pun yang datang daripada Rasulullah supaya umat Islam membaca surah Yaasin pada malam nisfu Syaaban, tetapi amalan baik itu datang daripada kreativiti ulama terdahulu dalam merealisasikan sabda Rasulullah SAW berdasarkan hadis daripada Abi Umamah iaitu:

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " خَمْسُ لَيَالٍ لا تُرَدُّ فِيهِنَّ الدَّعْوَةُ: أَوَلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَجَبٍ، وَلَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ، وَلَيْلَةُ الْجُمُعَةِ، وَلَيْلَةُ الْفِطْرِ، وَلَيْلَةُ النَّحْرِ " . (ابن عساكر الدمشقي)
Katanya Sabda Rasulullah SAW: Lima malam yang Allah tidak tolak doa mereka iaitu awal malam Rajab, malam nisfu Syaaban, malam Jumaat, malam Idul fitri dan malam idul adha. (Hadis Riwayat Asakir al-Dimasyqi)
Ya dengan membaca Yaasin tiga kali, kita hakikatnya berdoa malah selepas itu dengan serius pula kita berdoa supaya panjang umur dalam memantapkan Iman, juga supaya terhindar bala sekali gus dimurahkan rezeki dan disudahkan akhir hidup dengan husnul khatimah. Tetapi tidak cukup dengan itu sahaja, kita boleh dilakukan ibadah lain seperti membaca al-Quran dan solat sunat pada tengah malam. Waktu itu juga elok kita berdoa. Soalnya siapakah yang melakukan semua itu pada malam tadi?
Berdasarkan hadis di atas, umat Islam seharusnya membanyakkan doa dan melakukan amal kebaikan pada malam-malam yang disebut di atas. Tetapi realitinya, siapa yang membaca doa atau berdoa pada malam pertama Rejab? Lazimnya kita lepaskan begitu sahaja malam itu. Malang sungguh, peluang yang diberi Allah, kita abaikan begitu sahaja.
Seterusnya siapa pula yang berdoa pada malam Jumaat? Orang Melayu hanya nampak malam Jumaat, baca Yaasin dan bagi yang berkahwin, malam sunat bersama isteri. Nasib baik selepas baca Yaasin ada doa dan semasa hendak bersama isteri, ada doa. Tetapi selebihnya tiada doa lagi. Dan yang pastinya, orang bujang tidak fikir langsung soal doa ini. Alangkah ruginya kita.
Begitu juga dengan malam hari raya idul fitri dan adha, tidak ada yang berdoa selain membaca takbir raya. Itu pun ramai yang tidak pandai membaca takbir hari raya. Bayangkan kalau waktu yang mustajab doa ini pun umat Islam tidak diambil perhatian, bagaimana dengan hari-hari lain?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Dua minggu lagi kita akan menyambut bulan Ramadan, bulan mulia bulan barakat berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda:
قَدْ جَاءَكُمْ رَمَضَانُ, شَهْرٌ مُبَارَكٌ, كَتَبَ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ, فِيْهِ تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةُ وَتُغْلَقُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتُغَلُّ فِيْهِ الشَّيَاطِيْنُ. فِيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ. مَنْ ُحُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ.
"Telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan yang diberkahi. Allah  mewajibkan kepadamu puasa di dalamnya; pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat; juga terdapat dalam bulan ini malam yang lebih baik dari seribu bulan, barang siapa yang tidak memperoleh kebaikannya, maka ia tidak memperoleh apa-apa." (Riwayat Ahmad dan an-Nasa`i)
Berdasarkan hadis ini kita ditawarkan banyak lagi peluang untuk membaiki diri dalam bulan Ramadan. Amalan puasa satu hal yang sememangnya wajib berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah: 183)
Tetapi selain itu banyak lagi yang Allah buka peluang kepada kita demi membantu kita masuk ke dalam syurganya iaitu:
1.      Pintu-pintu syurga dibuka
2.       Pintu-pintu neraka ditutup
3.       Para syaitan diikat atau dirantai
4.       Terdapat dalam bulan ini malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Bayangkan kalau sebegitu hebat peluang yang diberi tetapi umat Islam masih tidak memperoleh kebaikannya, maka sudah tentu tidak memperoleh apa-apa. Tentu rugikan?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Dalam tempoh berbaki dua minggu lagi ini, marilah kita membuat persediaan yang kuat untuk menempuh ujian dan peluang Ramadan. Namun untuk membuat latihan puasa sudah tidak boleh lagi kerana mereka yang tidak puasa sebelum ini tidak boleh puasa sunat lagi bermula pada 16 syaaban. Beruntunglah mereka yang berpuasa Rejab dan Syaaban baik penuh atau pun secara berkala. Sebenarnya Rasulullah pernah menyuruh umat Islam berpuasa secara konsesten pada bulan Rejab dan Syaaban berdasarkan hadis berikut.
عَنْ أبي هريرة رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ , أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , قَالَ : " لا آمُرُ بِصَوْمِ شَهْرٍ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ إِلا بِرَجَبٍ وَشَعْبَانَ "
Dariapda Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah bersabada aku tidak pernah menyuruh puasa selepas Ramadan kecuali Rejab dan Syaaban. (Riwayat Ibnu Asyakir)
Sebenarnya selain latihan puasa, banyak lagi latihan berbuat baik boleh dilakukan iaitu, tidak biasakan mengumpat dan membuat fitnah atau menyebar fitnah. Banyakkan berderma menyumbang kepada masjid dan surau khusus untuk persiapan Ramadan. Begitu juga dengan ibadah sunat seperti solat sunat dan sebagainya, perlu dibanyakkan.
Paling kurang, lakukan ibadah solat sunat rawatib dan solat sunat bersebab seperti selepas berwuduk, masuk masjid dan banyak lagi. Kita perlukan semua ini supaya kita jadi terbiasa sebelum melaksanakan solat tarawih. Kita tidak mahu lagi ulangi sikap yang hanya berminat untuk banyakkan solat pada bulan Ramadan tetapi tidak selepas itu. Jadi istiqamahlah sebelum Ramadan supaya boleh diteruskan selepas itu.
Akhirnya sebelum Ramadan, marilah kita berdoa supaya kita diberi peluang untuk masuk ke bulan Ramadan. Kita tidak tahu nasib kita, kerana ramai juga kawan-kawan kita yang sudah pergi sebelum datang Ramadan. Doalah seperti yang diajar Rasulullah dalam sebuah hadis:
عَنْ أنس بن مالك، قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ، قَالَ: " اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ، وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ " (سليمان بن أحمد الطبراني)
Apabila masuk Rejab, doalah ya Allah berkatilah untuk kami dalam Rejab dan Syaaban dan sampaikan umur kami ke Ramadan ( At-Tabrani)
Ambillah peluang ini selagi usia kita diberikan Allah untuk melakukan kebaikan.