29 Oktober 2012

Sahkah qurban anda?

Ahmad Baei Jaafar

Hari ini 13 Zulhijjah 1433 adalah hari terakhir untuk kita melakukan qurban. Apabila tenggelam sahaja matahari atau dalam kata lain masuk sahaja waktu Maghrib, maka qurban tidak boleh dilakukan lagi. Jika dilakukan juga maka jadilah sembelihan itu sebagai sembelihan biasa.
Dengan berakhirnya waktu qurban berakhir jugalah takbir hari raya. Tidak berpeluanglah kita untuk bertakbir setiap kali lepas solat fardu atau sunat. Oleh sebab itu peluang pada hari terakhir ini perlulah diambil dengan sebaiknya sama ada berqurban atau bertakbir.
Bagi mereka yang ingin berqorban pada hari ini suka saya ingatkan kepada mereka beberapa perkara berhubung dengan niat. Sebenarnya ada dua niat yang perlu dilakukan dalam ibadah qurban ini iaitu:

  1.    Niat membeli bahagian qurban
  2.     Niat menyembelih qurban.
Kebanyakan kita di negara ini tidak berpeluang membeli sendiri. Jika kita tidak boleh membeli sendiri maka bolehlah diwakilkan kepada seseorang untuk membelinya. Maka akad wakil membelinya perlu dibuat kepadanya. Begitu juga kalau kita tidak boleh atau tidak mampu menyembelih, bolehlah diwakilkan sebelihan kepada tukang sembelih. Untuk itu lafazkan akad wakil penyembelihan itu kepadanya.
Walau bagaimanapun timbul isu di sini bagaimana kalau ada hartawan yang bermurah hati menghadiahkan seekor lembu dan dia mahu tujuh nama individu untuk qurban itu. Dalam hal ini hartawan itu perlu niat membeli lembu tersebut untuk qurban. Boleh juga kalau dia wakilkan kepada seseorang untuk membeli bagi pihaknya.
Apabila lembu itu diserahkan untuk urusan sembelihan qurban, dia perlu dapatkan nama yang hendak qurban tersebut. Individu yang terlibat perlulah melafazkan aqad wakil kepada penyembelih. Dengan penyerahan itu maka sahlah qurban itu haknya. Dan dia berhak mengambil 1/3 daripada bahagiannya.
Sebenarnya, urusan sebegini jarang diberi peringatan kepada pihak yang berqurban mahupun pihak yang menjadi wakil pembeli dan penyembelih. Semoga urusan ini dapat difahami oleh umat Islam pada masa-masa akan datang. Selamat berqurban.

Tiada ulasan: