Pada saat jemaah haji berjuang untuk mencapai haji mabrur
umat Islam di Malaysia dan lain-lain negara membuat persiapan untuk menyambut
hari raya Eduladha dan ibadah qurban. Tetapi pada saat jemaah haji membanyakkan
ibadah sunat di tanah haram umat Islam di tanah halal leka dengan kerja harian
yang kadang-kadang sia-sia.
Pada waktu ini sebahagian Jemaah berada di Madinah dan
sebahagian lagi sudah sampai ke Masjidilharam. Beruntunglah mereka yang berniat
haji tamattu’ kerena berpeluang untuk membuat umrah sebanyak mungkin sebelum
tiba 9 zulhijrah. Peluang ini juga digunakan sebaiknya untuk beriktikaf,
membaca al-Quran dan solat sunat kerana peluang ke tanah haram ini amat terhad
apatah lagi bagi orang miskin.
Walau bagaimanapun mereka yang berniat haji ifrad dan qiran
walaupun tidak dapat melakukan umrah mereka masih berpeluang untuk melakukan iktikaf,
solat sunat, bacaan al-Quran dan sebagainya. Maknanya peluang mereka adalah sama
di Tanah Haram ini. Cuma dalam keghairahan itu kita bimbang tentang keceluparan
mulut mereka sewaktu bercakap sesama mereka.
Alangkah ruginya kalau peluang ini mulut tidak dijaga dengan
baik sehingga tercetus aktiviti mengumpat dan mengeji orang lain. Adakah patut
wang yang dikumpul sejak bernilai RM10
hingga mencapai RM11 000 tetapi semuanya habis hanya dalam tempoh 44 hari di Tanah
Haram tanpa pahala yang diperoleh. Bukankah banyak tenaga diperlukan dan berapa
banyak masa dikorbankan untuk mendapatkan wang itu? Tetapi mengapa pahala yang
ditawarkan kepada mereka diabaikan.
Atas pengalaman itu, adalah diharapkan bakal jemaah haji
terutama yang sedang berada di Tanah Haram sekarang supaya memberi tumpuan
kepada urusan ibadah haji dan segala ibadah dan amalan yang berkaitan demi mendapat
haji mabrur. Ingatlah Allah tidak mudah menghadiahkan haji mabrur ini hanya
kerana melaksanakan rukun dan wajib haji, tetapi akan nilai ibadah lain yang
sanggup direbut sewaktu di Tahan Haram.
Selain itu kalau ada lebihan wang, peruntukkan sedikit untuk
sedekah kepada fakir miskin dan juga ibadah korban. Ketahuilah sebarang ibadah
yang dilakukan di Tanah Haram besar ganjarannya. Jadi peluang ini tidak harus
dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Bagi umat islam terutama sanak saudara yang berada di tanah
air harus ambil kesempatan itu untuk sama-sama berdoa kepada Allah agar semua
Jemaah haji beroleh haji mabrur. Semoga doa itu juga dinilai sebagai ibadah dan
kebajikan. Selain doa, kita boleh juga berikan jemaah haji kegembiraan dengan
memberi hadiah yang berupa wang tunai sebagai ucapan tahniah kepadanya.
Sebenarnya budaya memberi sedekah kepada jemaah haji yang
hendak berangkat ke Tanah Suci ini tidak wajar diteruskan. Hal ini kerana jemaah
haji sudah cukup keperluannya dan kerana itu mereka sudah tidak layak menerima
sedekah. Oleh sebab itu budaya ini perlu diubah kepada pemberian hadiah berserta
ucapan tahniah dan doa. Inilah amalan yang paling tepat buat mereka. Selamat
beribadah dan berkorban.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan