24 Oktober 2012

Haji Mabrur Bukan Marlboro

Ahmad Baei Jaafar


Saya masih terngiang-ngiang kata-kata pembimbing haji ketika di Makkah tahun lalu, kalau tidak buat haji betul-betul yang dapatnya haji marlbaro bukan haji mabrur. Dengarnya kelakar tetapi setelah berada di tanah air sekarang, baru terasa benar kata-katanya.
Rupa-rupanya untuk dapatkan haji mabrur tidak semudah tuturan lidah. Banyak halangan dan rintangan yang perlu ditempuh. Ada latihan yang perlu dilalui dan ada ujian yang mesti diterima. Kalau semua itu dapat dikecapi dengan sempurna, peluang mendapat haji mabrur itu agak cerah.
Sebenarnya cabaran yang getir bagi jemaah haji ialah semasa berada di Mina untuk acara melontar tiga jamrah. Jemaah berasak-asak pada hari ke 10 Zulhijjah ke jamrah aqabah untuk membolehkan mereka melepasi tahallul awal. Waktu melontar disertakan doa:  
عَنْ زَيْدٌ أَبُو أُسَامَةَ   قَالَ : " رَأَيْتُ سَالِمَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يَعْنِي ابْنَ عُمَرَ ، اسْتَبْطَنَ الْوَادِيَ , ثُمَّ رَمَى الْجَمْرَةَ بِسَبْعِ حَصَيَاتٍ ، يُكَبِّرُ مَعَ كُلِّ حَصَاةٍ : اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ حَجًّا مَبْرُورًا وَذَنْبًا مَغْفُورًا وَعَمَلا مَشْكُورًا ، فَسَأَلْتُهُ عَمَّا صَنَعَ , فَقَالَ : حَدَّثَنِي أَبِي ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَرْمِي الْجَمْرَةَ فِي هَذَا الْمَكَانِ ، وَيَقُولُ كُلَّمَا رَمَى بِحَصَاةٍ مِثْلَ مَا قُلْتُ " .
Zaid Abu Usamah berkata aku melihat Salim bin Abdullah bin Umar memasuki Mina, kemudian dia melontar jamarat sebanyak tujuh biji batu kerikel, dia bertakbir setiap kali melontar; Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahumaj-‘alhuhajjan mabrura, wazamban maghfura wa amalan masykuran. Maka aku bertanya tentang apa yang dilakukannya. Dia berkata bapaku menceritakan bahawa Nabi SAW melontar jamarat di tempat ini, dan dia membaca setiap kali melontar seperti yang aku baca.” (Riwayat al-Baihaqi)
Hari ke 11 hingga ke 13 mereka masih berkampung di Mini untuk melengkapkan wajib haji. Ketiga-tiga jamarat; ula, wusta dan aqabah perlu dilontar setiap hari. Amalan yang sama akan dilakukan setiap kali melontar jamrah. Doa yang sama perlu dibaca. Namun siapa dalam kalangan jemaah haji yang dapat menghayati doa itu.
“Allah maha besar 2x, ya Allah jadikan lontaran itu haji yang diterima sebagai baik dan jadikan juga lontaran itu dosa yang diampunkan, dan jadikan juga lontaran itu sebagai amalan yang disyukuri.” Demikian maksud doa yang jemaah patut membacanya. Cuma persoalannya sewaktu membacanya apakah mereka faham.
Biasanya jemaah haji diajar supaya berniat merejam syaitan waktu melontar jamrah itu. Tetapi berapa banyak syaitan yang telah berjaya dilontar? Tidak salah kita niat begitu tetapi kalau kita niat mencampak dosa kita tentu lebih baik dan relevan. Kalau dosa kita berjaya dicampak ke dalam jamarat sudah tentu kebaikan dan pahala akan bertambah. Inilah yang dijamin Rasulullah dalam hadis berikut:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ , أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةُ مَا بَيْنَهُمَا , وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلا الْجَنَّةَ "
Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: “Umrah ke satu Umarah menghapuskan dosa antara keduanya, dan Haji yang mabrur (baik) tiada baginya balasan kecuali syurga.” (Riwayat al-Hakim)
Saya percaya kalau semua jemaah haji dapat merealisasikan amalan di Mina sudah cukup untuk mendidik mereka menjadi orang yang baik di Tanah Haram dan di tanah air. Ini belum dicampur dengan amalan dan ujian semasa di Arafah dan Muzdalifah dan Kaabah. Ujian dan cabaran di tiga tempat masyair tersebut boleh menambah nilai haji mereka di sisi Allah.

1 ulasan:

Mohamad berkata...

Tidak susah dan tak banyak halangan. Yg penting hati ikhlas mau mendapatkannya. Cara paling mudah ada dlm buku ini http://www.telagabiru.net.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=527:ke-arah-haji-mabrur&catid=45:buku&Itemid=339