08 Oktober 2012

Mandi hadas cukup dengan satu baldi


Ahmad Baei Jaafar

Hairan saya kerana sehingga ke hari ini masih ada lagi umat Islam yang bertanyakan tentang cara mandi hadas besar yang sempurna. Puas saya memikirkan hal ini, mengapa boleh jadi begini sedangkan pelajaran mengenai hadas ini telah disentuh sejak sekolah rendah lagi. Semasa sekolah menengah diulangi lagi. Apakah semua itu belum cukup?
Dalam hal ini ada beberapa kemungkinan; boleh jadi guru tidak pandai mengajar, atau anak murid tidak ambil perhatian kerana tak faham, atau ilmu itu belum sesuai diajar pada usia kanak-kanak. Tidak mengapa, pada kali ini saya akan ulang balik ilmu itu sebagai ulangkaji.
Baiknya kali ini kita lakukan amalinya sekali agar ilmu yang diajar terus melakat pada otak masing-masing. Baiklah, secara umumnya semua orang sudah tahu hukum mandi dan mengapa perlu mandi hadas. Dan untuk mandi pula masing-masing sudah tahu rukunnya iaitu niat dan meratakan air ke seluruh tubuh.
Jadi pada kali ini kita dalami secara amalinya semoga dengan itu tidak menjadi masalah lagi untuk kita mandi cara yang betul. Sebelum mandi kita perlu pastikan ada air kerana itulah syarat utama sah mandi. Kalau tiada air, cukuplah dengan bertayammum.
Kemudian pastikan air yang hendak digunakan itu mutlak atau cukup dua kolah. Inilah perkara utama yang perlu ada sebelum mandi. Kalau air yang ada dirumah cukup dua kolah bolehlah kita mandi seperti biasa, cuma beza dengan mandi biasa ialah niatnya. Mandi biasa tidak perlu niat tetapi mandi wajib perlu niat.
Akan tetapi bagaimana kalau air tidak cukup dua kolah, masih boleh mandi asalkan air itu tidak mustakmal. Jadi, air mutlak adalah syarat utama yang perlu dijaga oleh umat Islam sebelum mandi. Kalau begitu kita boleh mandi dengan air satu baldi sahaja. Bagaimana caranya?
Sebenarnya, cara mandi sama ada dengan air yang cukup dua kolah atau satu baldi sama sahaja cara. Kita wajib berjimat menggunakan air walaupun air banyak. Untuk itu lakukan mengikut senarai berikut:
1. Bersihkan tangan kadar melepasi pergelangan tangan. Bacakan bismillah sebelum membasuhnya,
2. Basuhkan bahagian anggota sulit (yang sukar sampai) dari tubuh anda.
3. Ambil wuduk seperti biasa dengan niat sunat untuk mandi.
4. Dengan menggunakan tangan yang sudah bersih itu, ambilkan air dari baldi sebagai gayung dan basuhkan dari kepala sampai ke muka. Sebelum basuhan kedua dan seterusnya pastikan tangan sudah tiada air yang boleh menitik.
5. Dengan menggunakan tangan itu juga ambil air dan sapukan ke anggota sebelah kanan dari bahu ke bawah.
6. Dengan cara yang sama basuhkan anggota sebelah kiri dari bahu ke bawah.
7. Dengan cara yang sama sapukan air ke anggota bawah dari bahagian pinggang.
8. Air yang berbaki itu boleh digunakan untuk disiramkan ke bahagian yang balum terkena air.
Kaedah inilah yang digunakan oleh Rasulullah dan sahabat sama ada air banyak atau sedikit. Dengan ini tidak akan berlaku pembaziran air. Percayalah kalau kita mahir dengan cara ini, air yang penuh dua kolah tidak akan berkurang kecuali suku sahaja. Selamat mancuba semoga anda berjaya.

3 ulasan:

along berkata...

1 baldi? biar betul...

fikrah islamiah berkata...

Kita kena belajar untuk tidak membazirkan air. Membazir adalah saudara syaitan. Ikut langkah yang diberi pasti boleh. Cubalah.

Tanpa Nama berkata...

benar. kita di Malaysia selalu menggunakan air berlebihan. saya pernah musafir di negara kurang air, memang terasa perlunya belajar mandi wajib dengan 1 baldi (dan wuduk dengan 1 gayung).

tapi bila dah balik ke Malaysia, sukar. masih cuba berjimat walaupun mandi shower.