02 November 2012

Cukup cukuplah kita ditipu

Ahmad Baei Jaafar

Baru-baru ini saya berkesempatan bertemu dengan ustaz/cikgu Hashim Jaafar antara pemimpin al-Arqam tegar. Walaupun kini pemimpin utamanya ustaz Hj Ashaari Mohammad telah kembali ke rahmatullah, namun dia masih mempertahankan perjuangan dan ajarannya. Walaupun pada hari ini Ummu Jah yang mengambil alih kepimpinan Ashaari menolak kepimpinan Hashim, kesetiaannya kepada Ashaari masih utuh. Saya kagum dengan pendiriannya.

Pada kesempatan itu sempat juga saya bertanya tentang perkembangan terkini jemaahnya. Secara selorohnya dia berkata kini dia menjadi pengurus dua team bola sepak. Yalah anaknya ada 24 orang, boleh buat dua pasukan bola sepak. Tetapi secara seriusnya dia berkata, sejak Abuya meninggal dunia Ummu Jah memerintah Jemaah dengan mengikut fikirannya, bukan lagi al-Quran dan hadis dan bukan juga dengan minda abuya. “Kini ajarannya sudah jadi agama baru, sebab tu ana tidak boleh terima dan ana masih yakin dengan Abuya,” katanya.

Wao! Begitulah tegarnya pengikut ustaz Ashaari. Saya tidak tahu bagaimana dengan ustaz Shuaib Sulaiman dan mereka yang seangkatan dengannya, adakah mereka setegar itu atau lebih daripada itu lagi. Saya tidak mahu menyanggah fikiran mereka waktu ini kerana bukan cara ini yang boleh mengembalikan hala tujunya daripada mimpi indah itu.

Namun atas rasa simpati kepada kawan-kawan seperjuangan ini, saya sentiasa berdoa agar mereka terus diberi hidayah oleh Allah. Dan demi menyelamatkan akidah mereka, ingin saya coretkan sedikit info di sini semoga mereka mahu membacanya dengan hati yang ikhlas.

Saya sesungguhnya amat bersimpati dengan pengikut tegar ustaz Ashaari dan Ummu Jah ini kerana mereka tidak pernah sedar bahawa sebenarnya Ummu Jah telah lama menggunakan fikiran sendiri apatah lagi semenjak ustaz Ashaari didakwa jatuh dan tidak boleh bercakap. Ustaz Ashaari seperti dicucuk hidung mengikut kehendaknya.

Walaupun ustaz Ashaari boleh dibawa ke sana sini dan boleh bertemu dengan pemimpin lain, yang menjadi juru cakapnya hanyalah Ummu Jah. Kononnya dia seorang sahaja yang tahu mesej suaminya. Dia yang tahu gerak lidah dan hati suaminya, Ashaari. Padahal dia pada waktu itu mengambil kesempatan mempengaruhi pengikutnya dengan tipu dayanya.

Saya percaya ramai yang tidak sedar penipuan Ummu Jah dalam usaha mengekalkan keyakinan pengikut kepada ustaz Ashaari. Apabila mereka yakin dan setia dengan ustaz Ashaari maka dengan senang hari mereka terus menyumbang sumbangan bulanan demi ketaatan itu. Tetapi niat dia sebenarnya adalah untuk mendapatkan wang yang secukupnya untuk membiayai kehidupan keluarganya dan pemimpin kesayangan mereka itu.

Ummu Jah bertindak sebegini kerana dia sedar bahawa suaminya bukanlah hebat sangat kerohaniannya. Dia sedar suaminya bukanlah serba tahu apa yang ada dalam fikirannya, hakikatnya suaminya adalah setaraf dengan manusia lain sepertinya, tidak tahu sangat persoalan ghaib seperti yang digembar-gemburkan ahli Jemaah selama ini.

Besarkan Kehebatan Pemimpin
Saya masih ingat pada awal penyertaan jemaah dahulu, ada usrah yang dipimpin oleh seorang naqib. Pada waktu itu rujukannya ialah buku Arahan dan Peraturan karangan Hasan al-Banna. Antara panduan yang disebut oleh naqib ketika itu, “kita dalam jemaah kena selalu menyebut kebaikan dan kehebatan pemimpin. Di situ nanti kita akan ada rasa hormat dan patuh kepada pemimpin.” Sebegaimana berlaku kepada pemimpin bawahan begitulah juga akan berlaku kepada pemimpin atasan.

Atas dasar itulah ustaz Ashaari disebut selalu oleh naqib (pemimpin) sebagai wali, hebat, boleh nampak kelemahan kita malah dia tahu niat jahat orang terhadapnya. Ahli biasa apabila mendengar kenyataan itu mereka akan rasa kagum dan boleh taat kepadanya. Sedangkan kewalian ustaz Ashaari sebenarnya tidak pernah dibuktikan kesahihannya. Hakikat ini telah disedari sendiri oleh isterinya, Ummu Jah sekian lama.

Jelas di sini semua ahli arqam yang mempercayai Ashaari sebagai wali Allah adalah semata-mata propaganda pemimpin bawahan. Hal ini kerana kehebatannya perlu dibesar-besarkan oleh pemimpin atasan demi menjaga kedudukan mereka di hati ustaz Ashaari. Tetapi malangnya sehingga ke hari ini semua ahli Arqam masih mempertahankan kewalian itu walaupun sudah banyak bukti kepalsuannya didedahkan.
Sebenarnya saya sejak menyertai al-Arqam lagi sudah dapat menyedari hakikat itu tetapi masih menghormatinya sebagai pemimpin yang hebat dalam berpidato dan kagum dengan berkemampuannya menghafal gaya dan isi ceramahnya seolah-olah membaca skrip. Atas kehebatan itu saya cuba ketepikan kekurangan lain yang ada pada dirinya.

Melihat kepada keterampilan ustaz Ashaari, tentu wajar dia dibesarkan oleh pengikutnya sebagai pemimpin tarikat. Malah dia disebut-sebut sebagai guru mursyid. Pengikutnya akan dibimbing agar faham ilmu tasaufnya. Oleh sebab itu dia dilihat mampu bersifat terpuji, penyabar, pemurah dan banyak lagi. Dalam mengajar ilmu tasauf dia merujuk kepada kitab Ihya Ulumuddin dan Sirru Salikin. Selain itu dia sendiri pernah menulis buku Mengenal Diri Melalui Rasa Hati.

Walaupun dia dikatakan hebat tetapi dia masih gagal menyingkirkan nafsu ammarah dan syaitan daripada dirinya. Ramai yang tahu Ashaari sejak muda sehingga nyawanya diambil Allah masih mengekalkan penyakit waswas. Saya pada mulanya tidak percaya apa yang dilihat tentang ustaz Ashaari. Sebenarnya sewaktu kursus kefahaman Islam yang pertama kali saya hadir di Sungai Pencala, solatnya diimamkan imam khas. Kebetulan pada waktu itu saya berada dua saf di belakang ustaz Ashaari. Saya lihat secara jelas, dia lambat memulakan solat.

Dalam hati saya terfikir mungkin sebab itu dia tidak mahu menjadi imam solat. Tatkala semua jemaah memulakan solat, dan imam telah membaca surah barulah dia dapat memulakan solat. Entah berapa kali dia mengangkat takbir baru berjaya memulakan solat. Tanpa bertanyakan orang lain saya terus perhatikan solatnya pada waktu-waktu lain. Ternyata itulah kebiasaan baginya.

Selain itu dalam kisah yang lain iaitu di Melaka di rumah kerajaan Bukit Peringgit yang dihuni oleh En Ahmad Salim, kalau tidak salah saya dia ketika itu pegawai daerah (maaf kalau salah). Kami berada di situ untuk meraikan pegawai tersebut (dia mula berjinak-jinak dengan Arqam) untuk berangkat ke tanah suci bagi mengerjakan haji. Sebelum solat Maghrib, Ashaari mendekati saya dan bertanyakan suatu hukum (saya lupa persoalan itu), “ustaz kalau berlaku begini sah tak?” setelah saya menyatakan kepadanya – sah, dia berkata, “saya waswas tadi.” Tetapi pada waktu itu saya rasakan seperti sedang diuji oleh guru mursyid.

Apabila sudah lama berada dalam jemaah, timbul juga persoalan, wajarkah seorang pemimpin tasauf diganggu nafsu dan syaitan. Benar, Rasulullah juga diganggu syaitan dan iblis, tetapi kalau diganggu dalam soal di atas adalah satu keaiban. Tentu lebih memalukan dan mengaifkan kalau pemimpin kerohanian waswas dalam ibadah. Kenapa Allah tidak bantu menyelamatkan orang-Nya

Sebagai pengikut saya bersimpati dengan keadaannya. Namun kerana itu saya pernah berdoa kepada Allah begini, “ya Allah kalau ustaz Ashaari pemimpin yang benar, Engkau buangkan penyakit waswasnya dan pindahkan kepadaku kerana aku tahu cara merawatnya.”

Lebih 10 tahun saya bersama perjuangan Arqam demi memberi ilmu kepada penuntut dan pengikut Arqam. Namun pada saat akhir saya meninggalkan Arqam, saya masih menunggu kalau-kalau penyakit waswas Ashaari itu berpindah kepada saya. Tetapi ternyata dia masih menebal dengan waswasnya. Ini memberi jawapan awal bahawa ustaz Ashaari bukanlah pemimpin yang benar.

Dengan sebab itu saya merasai tidak rugi kalau saya meninggalkan Arqam pada tahun 1997 itu. Sebenarnya tindakan ini turut disokong oleh banyak fakta dan sebab yang kebanyakannya melibat keyakinan terhadap al-Mahdi dan kerohanian. Satu perkara yang kuat mendorong saya ialah kenyataan yang mencabar minta kita.

Kalau anda perasan dalam buku Perang Teluk Islam Akan Kembali Gemilang dia dengan tegas menulis: “Kalau masih mahu marah kepada saya, tunggu dulu 7 tahun untuk dapat jawapannya. Selepas berakhir 7 tahun, dan sekiranya apa yang saya katakan ini tidak terjadi, terpulanglah kepada saudara-saudari untuk menghukum saya. Walau bagaimanapun saya minta jangan marah dahulu. Bersabarlah menunggu hingga sampai 7 tahun dari sekarang (1991). Tapi bagi saya, kemungkinan lebih awal dari itu. Mungkin tidak sampai saudara-saudari menunggu 7 tahun.  Mungkin dia muncul lebih awal dari itu. Inilah firasat saya.” (muka surat 121)

Mengikut perkiraan saya, Muharam tahun yang dimaksudkan itu sudah berlalu. Memang setiap tahun saya menunggu Muharam yang dijanjikan. Maka Muharam kali tidak boleh ditunggu lagi, apatah lagi dia sudah mencabar pembaca dan pengikut supaya menghukumnya. Idea ini telah saya sampaikan kepada kawan-kawan seperjuangan tetapi sebahagian mereka boleh terima namun mereka tidak sanggup untuk meninggalkan Arqam.

Kursus Pemulihan Aqidah
Sebelum itu saya telah dipilih untuk menghadiri Kursus Pemulihan Akidah anjuran Pusat Islam Bahagian Akidah sebaik sahaja operasi ISA kedua yang melibatkan beberapa pemimpin besar pada awal 1997. Saya dan beberapa orang staf terpaksa pergi atas pemilihan majikan kami ketika itu Karya-One Sdn Bhd. Dalam kursus itu saya dikejutkan dengan maklumat daripada pegawai polis cawangan khas bahawa salah seorang yang menjadi perantara dalam yaqazah ustaz Ashaari dengan Rasulullah ialah Azura, isteri Nasiruddin pemandu merangkap setiausaha Ashaari.

Sebenarnya saya pernah mendengar nama wanita itu disebut semasa berada di Phuket Thailand tetapi tidak bagitu memahami peranannya sehinggalah diberitahu pada malam kursus tersebut. Walaupun semasa XPDC dalam bas bersama ustaz Ashaari itu, pernah dibacakan dialog dia dengan Rasulullah, tetapi kami tidak tahu bagaimana dialog itu terhasil.

Timbul dalam fikiran saya, mengapa ustaz Ashaari boleh memilih wanita dalam soal ini sedangkan selama ini dia melarang kita mempercayai wanita dalam soal kerohanian. Memang ada sebelum itu beberapa wanita mengakui dapat alamat kerohanian tetapi semuanya ditolak. Adakah demikian itu kerana terselit kepentingan diri lalu dia memilih wanita tersebut untuk urusan yaqazah?

Sehubungan itu, saya difahamkan bahawa Azura itu telah dilatih oleh Haji Halim Abbas dalam soal kerohanian. Ada beberapa amalan ayat dan doa dibekalkan kepada mereka untuk membolehkan mereka ghaib atau menerokai alam ghaib. Apabila amalannya dilihat mampu memperoleh apa yang dihajatkan, maka namanya ditawarkan kepada Ashaari. Di sinilah bermulanya peranan Azura dalam isu yaqazah.

Dalam kursus itu kami diberitahu bahawa Ashaari banyak berhubung dengan Azura untuk mengetahui maklumat ghaib dan kerohanian termasuk berhubung dengan politik negara. Apabila diperlukan maka Azura akan dipanggil terutama pada waktu orang lain tidur. Saya ketika dimakulumkan begitu, tidak boleh membayangkan bagaimana Ashaari boleh berhadapan dengan Azura kerana setahu kami waktu majlis itu berjalan tidak ada orang yang boleh bersamanya.

Segala maklumat yang diceritakan itu saya boleh terima sebagai benar kerana maklumat tersebut dimaklumkan sendiri oleh Azura dalam sesi siasatan polis. Pada saya, apa guna Azura hendak menipu polis sedangkan perkara itu boleh memalukan dirinya sendiri, apatah lagi semua maklumat itu akan menjadi bahan bukti kalau dibawa ke mahkamah.

Mulai saat itu saya mulai curiga dengan ustaz Ashaari kerana pada saya kalaupun maklumat itu salah, semata-mata direka oleh polis, namun isu Azura sebagai perantara itu cukup untuk saya menolak ustaz Ashaari. Pada saya Azura adalah umpan syaitan yang berjaya menjahanamkan Ashaari. Bagaimana seorang pejuang Islam yang setiap hari bercakap pasal Iman dan takwa boleh dibodohkan oleh syaitan yang bertopengkan manusia.

Sebenarnya selama ini ketika saya diceritakan soal yaqazah oleh Ashaari akan saya bayangkan dan kaitkan dengan peristiwa isra’ dan mikraj. Saya dapat bayangkan bagaimana Rasulullah boleh bergerak pantas dari Makkah ke Masjidil-Aqsa dan seterusnya ke Sidratul Muntaha dengan jasadnya yang wujud, bukan sekadar mimpi. Bagitu jugalah yang saya boleh bayangkan kalau Ashaari beryaqazah dengan Rasulullah. Rasulullah datang dan duduk di hadapan Ashaari, bersalam dan berbual mesra. Kemudian Rasulullah menghilang apabila selesai isu yang dibincangkan.

Selalu juga ahli jemaah bertanya saya bagaimana bentuk yaqazah itu. Bagi memudahkan mereka faham saya katakan kepada mereka, “kita biasa tonton TV siaran langsung, kita boleh berbual dengan pengacara TV secara live malah boleh nampak wajahnya. Walaupun jaraknya jauh tetapi kita boleh melihat dan berbual dengannya. Itulah hakikat yaqazah.

Tetapi apabila yaqazah Ashaari dengan Azura itu didedahkan oleh polis, ternyata di situlah kesesatan sebenar ustaz Ashaari. Dia sanggup menipu pengikutnya atas nama Rasulullah demi mengharapkan ketaatan pengikut kepadanya. Apabila segala yang saya bayangkan tentang yaqazah langsung tidak berkaitan maka saya dengan rela hati pada hari itu menolak Ashaari dan perjuangannya.
Pada malam pededahan itu saya tidak boleh tidur dan pada masa yang saya teringat segala yang pernah dilalui dalam Jemaah bersama Ashaari. Yang paling sukar dilupai semasa saya bersama ahli jemaah yang lain bertemu Ashaari di Phuket Thailand, masing-masing pemimpin membawa laporan membanggakan kononnya Rakyat Malaysia menunggu daulat.

Saya tiada laporan tetapi sangat berhajat untuk bertemu secara empat mata dengan Ashaari, namun tidak berkesempatan. Ada protokol yang perlu dipatuhi jika mahu bertemunya. Sebenarnya saya ingin memberitahunya perkembangan terkini di perkampungan Sungai Pencala. Pada waktu itu berlaku krisis dalaman yang menghantui pengikut Arqam. Saya sedar, ustaz Ashaari tidak tahun keadaan sebenar kerana maklumat itu tidak disampaikan kecuali yang baik-baik sahaja.

Peristiwa ini apabila dikaitkan dengan kursus yang dihadiri itu, membuatkan saya berfikir, kalau Ashaari wali Allah, tentu dia tahu segala yang tersembunyi, tetapi mengapa pembohongan pemimpin bawahannya tidak dapat dikesan olehnya? Kalau begitu jelaslah Ashaari bukan wali Allah dan dia tidak tahu segala yang terlindung daripadanya.

Daripada maklumat kursus itu saya cuba kumpulkan segala ajarannya dan cuba menilai secara sedar mana yang selari dengan syariat dan mana yang melanggar syariat. Berikut saya temui beberapa amalan yang melanggar syariat:

Akidah

  1.  Mengaku berdialog dengan Rasulullah padahal skrip dialog itu sudah disediakan dalam majlis yang didakwa beryaqazah. Walaupun dialog itu disediakan oleh orang lain dia sebagai pemimpin patut sedar bahawa Rasulullah tidak mungkin akan mengulas soal politik negara. Dia juga harus sedar bahawa komen Rasulullah (kalau benar berlaku) tidak wajar diceritakan kepada umum kerana maklumat itu menjadi rahsia yang tidak boleh sewenang-wenangnya didedahkan.
  2.  Berbohong atas nama Rasulullah padahal apa yang didakwa itu bukan daripada Rasulullah. Umum mengetahui dia bercakap terus dengan Rasulullah tetapi sebenarnya dengan menggunakan perantaraan orang lain. Inilah penipuan yang nyata. 
  3.  Mengaku sebagai pemuda bani tamim padahal dia bukan keturunan Arab. Mengaku sebagai keturunan Arab dan pemuda bani tamim semata-mata untuk menyokong pandangannya mengenai al-Mahdi adalah keterlaluan.
  4.  Mendakwa Allah akan menangguhkan bala kerana doanya. Padahal Allah tidak akan menangguhkan qada dan qadar terhadap makhluknya. Allah tidak bertindak sesuatu kerana terpengaruh dengan seseorang manusia.


Fiqah

  1. Sentiasa boleh melakukan solat jamak kerana dia dan pengikutnya hakikatnya dalam musafir, lalu kerana itu dia tidak pernah melakukan solat Jumaat. Dia bergerak setiap hari sebagai helah untuk membolehkan solatnya dijamak dan qasar.
  2. Solat subuh pada hari Jumaat tidak disunatkan membaca surah al-Sajadah kerana nanti di dalamnya akan berlaku penambahan sujud/rukun, boleh membatalkan solat. Ashaari menegaskan hukum itu di Phuket Thailand dalam kuliahnya. Sheikh Hussen satu hari menelefon saya daripada Thailand bertanyakan saya mengenai hukum baca surah sejadah pada hari Jumaat Subuh. Apabila saya berkata sunat, dia segera berkata, tidak. Apabila saya mendesak agar memberitahu siapa yang membuat kenyataan itu dia akhirnya memberitahu, Abuya sendiri. Padahal sunnah ini dinyatakan secara jelas oleh Rasulullah.
  3. Cara sujud yang seperti menerap ke lantai kerana mendakwa itulah sujud panjang yang diajar Rasulullah. Arahan sujud seperti itu datangnya daripada ustaz Ashaari semasa di Phuket. Saya teringat semasa berada di sana beberapa hari, diceritakan kepada saya bahawa cara sujud ini diperoleh dalam yaqazah Ashaari dengan Rasulullah. Apabila ditanya bagaimana berlaku yaqazah itu, dia menjawab waktu yaqazah itu Abuya bertanya Rasulullah cara sujud panjang. Tetapi waktu itu tidak seorang pun boleh berada bersama Abuya. Katanya lagi, dia boleh mendengar dari sebelah tabir Abuya seperti bercakap seorang diri. Cerita itu kemudiannya saya padankan dengan apa yang diperoleh daripada kursus pemulihan akidah. Jadi saya simpulkan begini; Ashaari bertanya, bagaimana yang dimaksudkan dengan sujud panjang? Azura sebagai perantara yang bercakap bagi pihak Rasulullah berkata, sujud panjang itu seperti ini (dia menggayakan sujud seperti merangkak). Anda tentu boleh bayangkan apa yang Ashaari lihat pada waktu itu. Bukankah Azura memakai jubah hitam? Bolehkah dia nampak bentuk sujud itu?


Tasauf

  1.  Menipu pengikut dalam amalan tarikat yang hakikatnya telah rosak salsilahnya. Ashaari mendakwa mendapat Ijazah Aurad Muhammadiah daripada Pakciknya Lebai Ibrahmi, tetapi sebenarnya mendapat ijazah daripad Kiyia Ahmad tetapi kemudiannya dibatalkan oleh Kiyai Ahmad. Untuk meneruskannya dia ke Singapura dan mendapat ijazah daripada Taha Suhaimi dengan bersyarat. Namun dia melanggar syarat itu, lalu terbatal secara automati. Tetapi dia tetap meneruskan usaha mengijazahkan kepada pengikutnya, malah kemudiannya diwakilkan kepada pemimpin terpilih untuk memberi ijazah. Oleh sebab itu salsilah tarikat itu hakikatnya sudah terputus.
  2.  Menipu pengikut dalam soal yaqazah seperti yang dijelaskan di atas.
  3. Menggunakan nama nabi untuk kepentingan diri. Dia tahu dia tidak ada kekuatan untuk mempengaruhi pengikut, maka kalau dikaitkan arahan itu datang daripada nabi, maka pengikut tidak ada alasan untuk menolaknya.
  4. Ghurur dengan syaitan sedangkan dia mengajar kita agar tidak ghurur. Ilmu yang diajar kepada pengikut tidak menjadi pakaiannya sebaliknya apa yang dilarang turut dimiliknya.
  5. Gagal mencegah kemungkaran dalam keluarga dan jemaah.

Dalam Islam kalau ada satu sahaja kesalahan dalam akidah, sebaik manapun syariah dan tasauf mereka, Allah tidak terima. Apatah lagi kalau dalam syariah dan tasauf juga terdapat kesalahannya. Oleh sebab itu mana-mana pengikut tegar wajar membuat perubahan bagi menyelamatkan iman masing-masing. Cukup-cukuplah kita ditipu.

12 ulasan:

Gurindam Jiwa berkata...

Subhanallah...

Gurindam Jiwa berkata...

Assalaamu'alaikum Ustaz,

Saya pernah ke Karya One pada 1995/96 menemani rakan sejawat yang ada temujanji di sana. Malangnya sesampai di sana, orang yang dijanjitemu itu tiada di situ pada waktu itu, namun layanan yang diberi kepada kami sebagai tetamu sangatlah baik.

Sehingga kini, saya sentiasa mencontohi layanan tersebut, setiap kali saya menjemput para Ustaz ke Surau kita. Sambil tanda berbudi bahasa, saya sebenarnya juga berharap tingkahlaku saya itu menjadi contoh kepada para jemaah Surau lain apabila giliran mereka pula mejadi tuan rumah di Surau. Bahkan saya harap mereka dapat memperbaiki apa yang saya buat.

Saya pernah ziarah Karya One sekali lagi dengan pertolongan seorang sahabat bekas jemaah al-Arqam lingkungan 1997. Saya di bawa melawat ke seluruh bahagian produksinya. Impian saya tercapai.

Tak sangka kita bertemu di Seri Tanjung.

fikrah islamiah berkata...

Untuk pengetahuan Mazlan waktu itu adalah tahun-tahun akhir kami mempertahankan Ashaari. Apabila sebahagian stafnya diberi kursus terutama selepas group zabidi kena ISA, kami tiada pilihan lain. Kami terpaksa bebaskan diri. Maka selepas itu Karya One menjadi Geleri Ilmu. Dan seluruh staf Karya One tidak lagi bersama arqam.

Din Taliban berkata...

Salam.

Moga Allah merahmati Ustaz. Rasanya, sebelum memori ust terpadam, lebih baik ust catitkan kisah2 bersama Arqam dulu utk tatapan generasi berikutnya. Pengalaman Ust sgt berharga, kerana ianya mengajar kepada pembaca bagaimana sikap kritis kita, bila mana disandarkan kepada ilmu yang benar, akan dapat menyelamatkan diri dari penipuan. Tak kira apa Jamaah pun, sehebat mana pemimpinnya pun, kayu ukurnya tetap sama.

Tulislah lagi, Ust.

Azura sekarang di mana ya...?

fikrah islamiah berkata...

Terima kasih Din Taliban, niat tu ada tetapi masa belum mengizinkan. Doakan saya semoga diberi peluang yang baik untuk menulis.
Mengenai Azura saya tidak tahu perkembangannya. Mungkin masih bersama suaminya dalam jemaah GISB.

adeq berkata...

ustaz ba'ie. saya ahli kariah putra perdana juga. hehe. ustaz, syukran atas penjelasan. sangat2 diperlukan utk org2 semacam saya memahami apa yang berlaku. kerana saya bukan sebahagian dari ahli arqam, jadi saya takut ad berlaku percanggahan maklumat / fitnah sama ad dari dalam / luar. sampai sekarang saya masih cuba bertabayyun pada semua org tentang arqam.

dan saya x nafikan, dan saya yakin arqam ini pernah menjadi sebuah gerakan dakwah islam yang hebat di malaysia. bagus kalau gerakan sekarang mengambil mana yang baik sebagai ikutan.

fikrah islamiah berkata...

Terima kasih Adeq kerana membaca. Benar al-Arqam hebat dan sepatutnya semua gerakan dakwah mencontohinya. teknik dakwahnya mudah menarik orang yang jauh daripada Islam.
Tetapi kehebatan itu berakhir pada ketika us Ashaari mula menghilangkan diri ke luar negera daripada polis. Pendekatan dakwah keluar sudah terhenti.
Kini setelah beliau meninggal dunia, isterinya mengambil alih dengan mendakwa ashaari hanya ghaib. Di sinilah penyelewengan yang paling besar. Sebelumnya hanya sekadar selewang tarikat dan akidah sahaja.

Editor berkata...

Maaf, saya tidak tergugat sedikit pun dengan kenyataan pak ustad. Saya masih berkeyakinan kepada Abuya Ashaari At-Tamimi dan juga kepada Bonda Ummu Jah. SAya bersyukur kerana masih dipimpin oleh Abuya sebagai guru mursyid saya.

fikrah islamiah berkata...

Tahniah Editor, sama ada anda membaca sepenuhnya atau tidak, anda telah mahu membaca. Semoga ilmu anda bertambah. Allahlah yang akan memberi hidayah itu kepada anda.
Saya bukan hendak mengugat keyakinan anda, kerana saya juga sama seperti anda suatu ketika dahulu. sesuatu yang kita yakin, tidak mungkin dapat digugat oleh orang lain.
Tetapi kita boleh berubah apabila Allah kehendaki hanya dengan alasan yang kita tidak jangkakan. Ketika itu, baru kita tersadar tentang kesilapan yang lain. Saya doakan anda agar dikuatkan iman kepada yang satu iaitu Allah.

Tanpa Nama berkata...

Ternyata artikel ini menunjukan pak ustad seorang yang kurang ajar & biadap. Memanggil orang yang lebih tua dengan hanya memanggil "nama",PERSIS seperti kaum-kaum yahudi laknatullah. Sedangkan Allayarham Ustaz Ashaari yang sememangnya tawadhuk memanggil pak ustad sebagai "Ustaz". Juga membuktikan was-was pak ustad telah diperkenankan Allah SWT.ALLAH MAHA BESAR,MAHA RAHSIA ... betapa bodohnya artikel ini,semoga ALLAH memberi hidayah kepada pak ustad.

Tanpa Nama berkata...

Gobloknya kamu menyokong asaari yang sudah mati itu.Al Mahdi bukan syeikh Suhaimi. Asaari bukan pemuda bani tamim. Kamu ditipu oleh dajal ke 25 dari alam Melayu itu. Kamu ngak tahu ya goblok.

Tanpa Nama berkata...

Ahli GISB di mekah sudah kena tangkap oleh pihak imigresen Saudi. Kabarnya 95 orang ditahan. Ramai yang telah mati tempoh visanya. Puncanya GISB melakukan kesilapan dengan ajen pelancongan yang membawa mereka masuk ke Mekah. Nampaknya orang GISB ramai yang tidak jujur dan suka ambil kesempatan. Dahulu zaman Rufaqa mereka sewa kedai tapi ramai yang tak dapat bayar. Bisnes hujung-hujungnya lingkup. Tidak perlulah GISB pejuangkan abuya yang sudah mati tu. Bagus lagi pejuangkan agama seperti orang Tabligh buat. Hati orang GISB sudah cinta dengan dunia. Mulut saja cakap cinta Allah dan Nabi.Hakikatnya penipu.