Ahmad Baei Jaafar
Baru-baru ini
berlangsung Seminar Fiqh Mentaati Pemimpin di Kuala Lumpur bagi
membincangkan isu ketaatan kepada pemimpin sesebuah negara. Isu ini penting
bagi menjelaskan konsep ketaatan kepada pemimpin agar umat tidak terbabas dalam
memberi ketaatan kepada pemimpin.
Sebenarnya ketaatan kepada pemimpin sering
diperbincangkan dalam kuliah pengajian di masjid dan surau tetapi kefahaman
tentang konsep ketaatan itu selalunya tidak mencapai maksud sebenar. Apatah
lagi kalau perbincangan itu menyentuh isu politik.
Taat kepada pemimpin adalah wajib berdasarkan firman
Allah s.w.t.:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ
تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ
تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
Maksudnya:
Wahai orang yang beriman taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan
pemimpin dalam kalangan kamu. Jika kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka
rujuklah kepada Allah dan Rasul (al-Quran dan Hadis) jika kamu benar-benar
beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, demikian lebih baik dan sebaik-baik
tindakan. (Surah al-Nisa’: 59)
Ketaatan
kepada Allah dan Rasul adalah mutlak, maka tidak siapa yang boleh berpaling
daripada mentaati kedua-duanya. Malah mereka yang ingkar daripada perintah itu dalam
bahasa kasarnya boleh disebut sebagai kafir. Firman Allah s.w.t.
قُلْ أَطِيعُوا
اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ
اللَّهَ لا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: Katakanlah
Muhammad kepada umat Islam, taatlah kepada Allah dan Rasul, maka jika kamu
berpaling sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang Kafir. (Surah Ali Imran
: 32)
Jadi, ketaatan kepada
Allah dan Rasul ini semua sudah maklum, dan semua umat Islam sudah akur dengan
perintah itu. Cuma dalam hal ini, tahap ketaatan kita masih rendah. Kalau kita
sembah Allah dalam solat sekadar perbuatan dan amalan, tidak pada hati dan
jiwa. Kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih mengumpat orang, kita kata
taat kepada Allah tetapi kita masih mendedahkan aurat, kita kata taat kepada
Allah tetapi kita masih cuai dalam melaksanakan ibadah lain.
Bayangkan kalau ketaatan
kepada Allah pun masih tidak boleh diberi 100 peratus, bagaimana ketaatan
kepada pemimpin. Di sinilah barangkali kita lihat ramai umat Islam gagal untuk
mentaati pemimpin mereka. Malah kadang-kadang kita taat kepada pemimpin kerana ada
udang di sebalik batu, kita taat tetapi ada maksud yang kita harapkan daripada
pemimpin itu.
Siapa Pemimpin Kita
Apabila menyebut pemimpin,
tidak seharusnya kita rujuk hanya kepada pemimpin negara atau negeri sahaja.
Sabda Rasulullah s.a.w:
عَنِ ابْنِ عُمَرَ، عَنِ النَّبِيِّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ: كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالأَمِيرُ الَّذِي عَلَى
النَّاسِ رَاعٍ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ
بَيْتِهِ، وَمَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَامْرَأَةُ الرَّجُلِ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ
زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ، وَمَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَعَبْدُ الرَّجُلِ رَاعٍ عَلَى
مَالِ الرَّجُلِ، وَمَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ
مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، مِنْ هُنَا لَمْ يُخَرِّجَاهُ.
Maksudnya: Daripada Ibnu
Umar daripada Nabi s.a.w. katanya, setiap kamu adalah pemimpin, dan dia
bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin, maka ketua negara yang memerintah
adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diperintah, dan
lelaki itu pemimpin terhadap keluarganya, dan dia bertanggungjawab terhadap
mereka. Dan isteri seseorang lelaki (suami) itu pemimpin terhadap rumah
suaminya dan anaknya, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan
kepadanya. Dan hamba seorang tuan adalah pemimpin terhadap harta tuannya, dan
dia bertanggungjawab terhadapnya. Ketahuilah semua kamu adalah pemimpin, dan
setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan. Di sinilah kedua pihak itu tidak mungkin dipisahkan.
Jelas di sini,
pemimpin terdapat banyak jenis dan kategori. Maka bapa pemimpin kepada
keluarga, isteri pemimpin kepada rumah dan anak suami, malah hamba juga menjadi
pemimpin untuk menjaga harta tuannya. Maka setiap seorang daripada mereka itu
dipertanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya.
Dalam sesebuah kariah
ada pemimpin, dalam masjid ada pemimpin dan dalam organisasi ada pemimpin. Pemimpin
tersebut boleh dinamakan dengan pelbagai panggilan mengikut kedudukannya: PM,
menteri, YDP, ketua, pengerusi, presiden, nazir dan pegawai dll.
Ketaatan Kepada Pemimpin
Tidak Mutlak
Ketaatan kepada pemimpin
seperti yang dijelaskan di atas tidak mutlak berbanding ketaatan kepada Allah
dan Rasul-Nya. Namun walaupun tidak mutlak ketaatan itu tetap penting dalam
proses pentadbiran dan pengurusan manusia. Tanpa ketaatan, pengurusan akan jadi
tidak terurus malah boleh jadi pemimpin itu akan melakukan semua kerja seorang
diri. Apalah ertinya sesuatu pentadbiran kalau arahan pemimpin tidak dipatuhi
oleh orang bawahannya.
Walau bagaimanapun ketaatan
kepada pemimpin boleh gugur apabila pemimpin itu mengarahkan sesuatu perintah ke
arah perkara yang maksiat atau melanggar syariat. Hal ini berdasarkan sabda
Rasulullah s.a.w:
لا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ
الْخَالِقِ
Maksudnya:
Tiada ketaatan terhadap makhluk pada hal-hal maksiat kepada pencipta. (Riwayat
Ahmad, Tabarani)
Oleh
sebab itu, setiap arahan dan perintah perlu dilihat kepada tujuannya. Jika
jelas bercanggah dengan Islam, boleh abaikan dengan cara yang baik. Sebaliknya jika
ada kebaikan daripada perintah itu maka perintah itu perlu ditaati. Hal ini
berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:
لا طاعة لأحد فى معصية الله إنما الطاعة فى
المعروف
Maksudnya: Tiada ketaatan kepada seseorang pada perkara
dosa kepada Allah, sesungguhnya ketaatan hanya pada yang baik sahaja. (Riwayat
al-Bukhari Muslim dan Abu Daud, Nasai dan Ibn Hibban)
Berdasarkan dua hadis di atas, bolehlah dirumuskan bahawa
ketaatan kepada pemimpin di semua peringkat adalah kerana kebaikan perintah dan
arahannya. Ciri-ciri kebaikan sesuatu arahan pemimpin ialah:
- Arahannya tidak bercanggah dengan dasar Islam
- Dasar dan arahannya memberi manfaat kepada umum/rakyat
- Arahannya ada maslahah untuk menyelamatkan Islam dan umat
- Tindakannya tidak merugikan Islam dan umatnya.
Oleh sebab itu sebagai rakyat sesebuah negara atau
negeri, kita perlu halusi ciri-ciri kebaikan yang ada pada perintah dan arahan
pemimpin tersebut. Jika menepati ciri-cirinya wajiblah kita taat kepada pemimpin
negara dan negeri, tetapi jika sebaliknya wajiblah kita menolaknya.
Berdasarkan itu, tidaklah semua arahan yang datang daripada
pemimpin kesukaan kita perlu ditaati dan tidak juga semua arahan yang datang
daripada pemimpin yang dibenci boleh ditolak. Semuanya mestilah dirujuk bersandarkan
kepada ciri-ciri di atas.
Katalah suatu arahan pemimpin berbunyi begini: “Semua
umat perlu bertolak ansur dalam soal amalan agama lain ketika menyambut
perayaan demi perpaduan masyarakat.” Arahan ini jelas bertentangan dengan Islam
dan merugikan Islam dan umatnya. Maka menyedari keadaan itu, kita tidak wajib
taat arahan tersebut. Malah atas dasar itu tidak berdosa kalau kita abaikan
arahan itu.
Walau bagaimanapun arahan lain yang baik daripada
pemimpin yang sama masih wajib ditaati. Malah tidak wajarlah dengan penolakan
satu arahan, maka semua arahan yang baik kita tolak juga.
Arahan Mengikut Peraturan dan Undang-undang
Sebenarnya kebanyakan dasar dan arahan yang dikeluarkan
oleh pemimpin baik negeri mahupun pusat, belum pernah dibuat oleh Rasulullah
dan kerajaan Islam terdahulu. Namun arahan tersebut sangat berkait rapat dengan
kehidupan rakyat. Kalau semua yang diarah oleh kerajaan melibatkan rakyat di
sudut pembangunan rohani dan jasmani wajiblah ditaati.
Cuma dalam arahan itu kadang-kadang ada peraturan yang
ditetapkan sama ada kerajaan pusat atau negeri dilihat seperti menyusahkan. Banyak
prosedur yang perlu dilalui, namun percayalah kalau dilihat di sebaliknya akan
kita temui kebaikan kepada rakyat secara umum. Oleh sebab itu peraturan tersebut
wajib dipatuhi.
Sebagai contoh; untuk berkahwin sesuatu pasangan itu
perlu mengikuti kursus pra perkahwinan, mengambil ujian saringan HIV, dan
mendapatkan pengesahan daripada Penolong Pendaftar Nikah tempatan. Peraturan
itu memang seperti menyusahkan, tetapi kesannya adalah untuk kebaikan umat
Islam walaupun peraturan itu tidak ada dalam Islam.
Jika arahan ini tidak dipatuhi, mereka yang hendak
berkahwin tidak mahu berkursus, tidak mahu ambil ujian saringan hiv, kemudian
berkahwin sendiri di rumah pengantin perempuan dengan berwalikan bapa sendiri
dan dua saksi. Walaupun perkahwinan itu sah mengikut Islam, tetapi proses
perkahwinan yang dijalankan itu adalah satu kesalahan. Pasangan itu telah tidak
taat kepada pemimpin, dan boleh didakwa. Hakikatnya mereka berdosa kerana
melanggar peraturan kerajaan. Dan setiap yang berdosa ertinya mereka menempa
jalan ke neraka.
Begitu juga dengan peraturan lalu lintas, semua aturan
itu jelas untuk kepentingan pengguna jalan raya. Jika kita membantah lalu tidak
mahu ikut peraturan, selain berdosa, dia mendedahkan dirinya kepada bahaya
kemalangan. Bayangkan kalau dia meninggal dunia dalam keadaan melanggar
peraturan jalan raya, sudah tentu dia mati dalam keadaan berdosa.
Berbalik kepada seminar yang telah pun berakhir itu, kita
tidak ada alasan untuk tidak mentaati pemimpin. Oleh sebab itu rakyat Selangor
sebagai contoh, mereka wajib mentaati pemimpin negeri yang terdiri daripada
Sultan, Menteri Besar dan EXCOnya. Dan pada masa yang sama mereka juga wajib
mentaati pemimpin di peringkat pusat yang terdiri daripada Yang diPertuan
Agung, Perdana Menteri dan Menteri selagi arahannya tidak bercanggah dengan
Islam.
Jika semua ini dapat difahami dan dihayati oleh Rakyat
Malaysia, kita akan berada dalam negara ini dengan selamat, maju dan jaya.
2 ulasan:
postingannya sungguh sangaat bermanfaat..
terima kasih atas pencerahan dan ilmunya sahabatku.. :)
Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi menegaskan adalah haram bagi umat Islam menyokong kumpulan yang berniat atau bertindak mahu menjatuhkan sesebuah kerajaan negara Islam walaupun dalam kepimpinan itu didapati berlaku kesalahan melibatkan hukum syarak.
Kata beliau, ia kerana tindakan menjatuhkan kerajaan negara Islam itu adalah tidak dibenarkan agama, apatah lagi jika umat Islam tersebut mahu menggantikan dengan pemerintahan yang boleh mendatangkan bahaya lebih besar.
Tambah Profesor Jurusan Akidah, Mazhab dan Firaq, Universiti Ummul Qura, Mekah itu, hukum berkenaan jelas berpandukan sebuah hadis sahih yang menyatakan perkara tersebut.
"Hadis itu ialah "sekiranya datang kepada kamu orang yang mahu memecah-belah kesatuan kamu sedangkan ketika itu kamu bersatu, maka hendaklah kamu pancung tengkuknya'' dan daripada hadis itu hukumnya jelas adalah haram menyokong kumpulan yang mahu memecahkan kesatuan yang sedia ada iaitu kerajaan Islam,"
Catat Ulasan