12 Julai 2012

Fahami Konsep ketaatan kepada pemimpin


Ahmad Baei Jaafar
Baru-baru ini berlangsung Seminar Fiqh Mentaati Pemimpin di Kuala Lumpur bagi membincangkan isu ketaatan kepada pemimpin sesebuah negara. Isu ini penting bagi menjelaskan konsep ketaatan kepada pemimpin agar umat tidak terbabas dalam memberi ketaatan kepada pemimpin.
Sebenarnya ketaatan kepada pemimpin sering diperbincangkan dalam kuliah pengajian di masjid dan surau tetapi kefahaman tentang konsep ketaatan itu selalunya tidak mencapai maksud sebenar. Apatah lagi kalau perbincangan itu menyentuh isu politik.
Taat kepada pemimpin adalah wajib berdasarkan firman Allah s.w.t.:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
Maksudnya: Wahai orang yang beriman taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan pemimpin dalam kalangan kamu. Jika kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka rujuklah kepada Allah dan Rasul (al-Quran dan Hadis) jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, demikian lebih baik dan sebaik-baik tindakan. (Surah al-Nisa’: 59)

Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah mutlak, maka tidak siapa yang boleh berpaling daripada mentaati kedua-duanya. Malah mereka yang ingkar daripada perintah itu dalam bahasa kasarnya boleh disebut sebagai kafir. Firman Allah s.w.t.
قُلْ أَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: Katakanlah Muhammad kepada umat Islam, taatlah kepada Allah dan Rasul, maka jika kamu berpaling sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang Kafir. (Surah Ali Imran : 32)
Jadi, ketaatan kepada Allah dan Rasul ini semua sudah maklum, dan semua umat Islam sudah akur dengan perintah itu. Cuma dalam hal ini, tahap ketaatan kita masih rendah. Kalau kita sembah Allah dalam solat sekadar perbuatan dan amalan, tidak pada hati dan jiwa. Kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih mengumpat orang, kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih mendedahkan aurat, kita kata taat kepada Allah tetapi kita masih cuai dalam melaksanakan ibadah lain.
Bayangkan kalau ketaatan kepada Allah pun masih tidak boleh diberi 100 peratus, bagaimana ketaatan kepada pemimpin. Di sinilah barangkali kita lihat ramai umat Islam gagal untuk mentaati pemimpin mereka. Malah kadang-kadang kita taat kepada pemimpin kerana ada udang di sebalik batu, kita taat tetapi ada maksud yang kita harapkan daripada pemimpin itu.
Siapa Pemimpin Kita
Apabila menyebut pemimpin, tidak seharusnya kita rujuk hanya kepada pemimpin negara atau negeri sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w:
عَنِ ابْنِ عُمَرَ، عَنِ النَّبِيِّ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ: كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَمَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَامْرَأَةُ الرَّجُلِ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ، وَمَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَعَبْدُ الرَّجُلِ رَاعٍ عَلَى مَالِ الرَّجُلِ، وَمَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، مِنْ هُنَا لَمْ يُخَرِّجَاهُ.
Maksudnya: Daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w. katanya, setiap kamu adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin, maka ketua negara yang memerintah adalah pemimpin, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diperintah, dan lelaki itu pemimpin terhadap keluarganya, dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Dan isteri seseorang lelaki (suami) itu pemimpin terhadap rumah suaminya dan anaknya, dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya. Dan hamba seorang tuan adalah pemimpin terhadap harta tuannya, dan dia bertanggungjawab terhadapnya. Ketahuilah semua kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang diperintahkan.  Di sinilah kedua pihak itu tidak mungkin dipisahkan.
Jelas di sini, pemimpin terdapat banyak jenis dan kategori. Maka bapa pemimpin kepada keluarga, isteri pemimpin kepada rumah dan anak suami, malah hamba juga menjadi pemimpin untuk menjaga harta tuannya. Maka setiap seorang daripada mereka itu dipertanggungjawab terhadap apa yang diamanahkan kepadanya.
Dalam sesebuah kariah ada pemimpin, dalam masjid ada pemimpin dan dalam organisasi ada pemimpin. Pemimpin tersebut boleh dinamakan dengan pelbagai panggilan mengikut kedudukannya: PM, menteri, YDP, ketua, pengerusi, presiden, nazir dan pegawai dll.
Ketaatan Kepada Pemimpin Tidak Mutlak
Ketaatan kepada pemimpin seperti yang dijelaskan di atas tidak mutlak berbanding ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Namun walaupun tidak mutlak ketaatan itu tetap penting dalam proses pentadbiran dan pengurusan manusia. Tanpa ketaatan, pengurusan akan jadi tidak terurus malah boleh jadi pemimpin itu akan melakukan semua kerja seorang diri. Apalah ertinya sesuatu pentadbiran kalau arahan pemimpin tidak dipatuhi oleh orang bawahannya.

Walau bagaimanapun ketaatan kepada pemimpin boleh gugur apabila pemimpin itu mengarahkan sesuatu perintah ke arah perkara yang maksiat atau melanggar syariat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:
لا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ الْخَالِقِ
Maksudnya: Tiada ketaatan terhadap makhluk pada hal-hal maksiat kepada pencipta. (Riwayat Ahmad, Tabarani)

Oleh sebab itu, setiap arahan dan perintah perlu dilihat kepada tujuannya. Jika jelas bercanggah dengan Islam, boleh abaikan dengan cara yang baik. Sebaliknya jika ada kebaikan daripada perintah itu maka perintah itu perlu ditaati. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:
لا طاعة لأحد فى معصية الله إنما الطاعة فى المعروف
Maksudnya: Tiada ketaatan kepada seseorang pada perkara dosa kepada Allah, sesungguhnya ketaatan hanya pada yang baik sahaja. (Riwayat al-Bukhari Muslim dan Abu Daud, Nasai dan Ibn Hibban)
Berdasarkan dua hadis di atas, bolehlah dirumuskan bahawa ketaatan kepada pemimpin di semua peringkat adalah kerana kebaikan perintah dan arahannya. Ciri-ciri kebaikan sesuatu arahan pemimpin ialah:
  1. Arahannya tidak bercanggah dengan dasar Islam
  2. Dasar dan arahannya memberi manfaat kepada umum/rakyat
  3. Arahannya ada maslahah untuk menyelamatkan Islam dan umat
  4. Tindakannya tidak merugikan Islam dan umatnya.
Oleh sebab itu sebagai rakyat sesebuah negara atau negeri, kita perlu halusi ciri-ciri kebaikan yang ada pada perintah dan arahan pemimpin tersebut. Jika menepati ciri-cirinya wajiblah kita taat kepada pemimpin negara dan negeri, tetapi jika sebaliknya wajiblah kita menolaknya.
Berdasarkan itu, tidaklah semua arahan yang datang daripada pemimpin kesukaan kita perlu ditaati dan tidak juga semua arahan yang datang daripada pemimpin yang dibenci boleh ditolak. Semuanya mestilah dirujuk bersandarkan kepada ciri-ciri di atas.
Katalah suatu arahan pemimpin berbunyi begini: “Semua umat perlu bertolak ansur dalam soal amalan agama lain ketika menyambut perayaan demi perpaduan masyarakat.” Arahan ini jelas bertentangan dengan Islam dan merugikan Islam dan umatnya. Maka menyedari keadaan itu, kita tidak wajib taat arahan tersebut. Malah atas dasar itu tidak berdosa kalau kita abaikan arahan itu.
Walau bagaimanapun arahan lain yang baik daripada pemimpin yang sama masih wajib ditaati. Malah tidak wajarlah dengan penolakan satu arahan, maka semua arahan yang baik kita tolak juga.
Arahan Mengikut Peraturan dan Undang-undang
Sebenarnya kebanyakan dasar dan arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin baik negeri mahupun pusat, belum pernah dibuat oleh Rasulullah dan kerajaan Islam terdahulu. Namun arahan tersebut sangat berkait rapat dengan kehidupan rakyat. Kalau semua yang diarah oleh kerajaan melibatkan rakyat di sudut pembangunan rohani dan jasmani wajiblah ditaati.
Cuma dalam arahan itu kadang-kadang ada peraturan yang ditetapkan sama ada kerajaan pusat atau negeri dilihat seperti menyusahkan. Banyak prosedur yang perlu dilalui, namun percayalah kalau dilihat di sebaliknya akan kita temui kebaikan kepada rakyat secara umum. Oleh sebab itu peraturan tersebut wajib dipatuhi.
Sebagai contoh; untuk berkahwin sesuatu pasangan itu perlu mengikuti kursus pra perkahwinan, mengambil ujian saringan HIV, dan mendapatkan pengesahan daripada Penolong Pendaftar Nikah tempatan. Peraturan itu memang seperti menyusahkan, tetapi kesannya adalah untuk kebaikan umat Islam walaupun peraturan itu tidak ada dalam Islam.
Jika arahan ini tidak dipatuhi, mereka yang hendak berkahwin tidak mahu berkursus, tidak mahu ambil ujian saringan hiv, kemudian berkahwin sendiri di rumah pengantin perempuan dengan berwalikan bapa sendiri dan dua saksi. Walaupun perkahwinan itu sah mengikut Islam, tetapi proses perkahwinan yang dijalankan itu adalah satu kesalahan. Pasangan itu telah tidak taat kepada pemimpin, dan boleh didakwa. Hakikatnya mereka berdosa kerana melanggar peraturan kerajaan. Dan setiap yang berdosa ertinya mereka menempa jalan ke neraka.
Begitu juga dengan peraturan lalu lintas, semua aturan itu jelas untuk kepentingan pengguna jalan raya. Jika kita membantah lalu tidak mahu ikut peraturan, selain berdosa, dia mendedahkan dirinya kepada bahaya kemalangan. Bayangkan kalau dia meninggal dunia dalam keadaan melanggar peraturan jalan raya, sudah tentu dia mati dalam keadaan berdosa.
Berbalik kepada seminar yang telah pun berakhir itu, kita tidak ada alasan untuk tidak mentaati pemimpin. Oleh sebab itu rakyat Selangor sebagai contoh, mereka wajib mentaati pemimpin negeri yang terdiri daripada Sultan, Menteri Besar dan EXCOnya. Dan pada masa yang sama mereka juga wajib mentaati pemimpin di peringkat pusat yang terdiri daripada Yang diPertuan Agung, Perdana Menteri dan Menteri selagi arahannya tidak bercanggah dengan Islam.
Jika semua ini dapat difahami dan dihayati oleh Rakyat Malaysia, kita akan berada dalam negara ini dengan selamat, maju dan jaya.

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...