08 Mei 2019

Faham Islam melalui perumpamaan

Oleh Ahmad Baei Jaafar

Dalam al-Quran, Allah banyak kali menggunakan perumpamaan atau tamsilan untuk memudahkan kita faham sesuatu perkara. Begitu juga dalam hadis, Rasulullah juga menggunakan tamsilan bagi menjelaskan kepada sahabatnya. Tetapi sebagai umat Islam pada hari ini adakah anda faham perbandingan atau tamsilan tersebut?
Dalam ruang yang sempit ini saya bentangkan tiga bentuk perumpamaan yang disebut oleh Allah dan Rasul seperti berikut:
1. Kalimat tayyibah ibarat sebatang pokok yang akarnya menjunam ke dasar bumi.
2. Orang mukmin ibarat satu jasad yang jika tangan kanan sakit anggota lain turut merasai sakitnya.
3. Islam dibina atas lima asas; kalimat syahadah, solat lima waktu, puasa ramadhan, mengeluarkan zakat dan menunaikan ibadah haji.

Kalimah Tayyibah
Ketiga-tiga perumpamaan di atas dapat dilihat secara jelas di dalam al-Quran dan Hadis. Firman Allah yang bermaksud: "Tidakkah kamu perhatikan bagaimana ALLAH telah membuat perumpamaan kalimat toyyibah (kalimah Syahadah) seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. ALLAH membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat." (Surah Ibrahim 24-25).
Kalimah Tayyibah difahami sebagai kalimah syahadah atau kalimah tauhid. Kalimah tersebut apabila diucapkan oleh seseorang, maka terbinalah pada dirinya Islam dan Iman. Kalimat itu ibarat benih sebatang pokok. Benih yang baik apabila dicampakkan ke atas bumi tentu ia akan bercambah. Begitulah benih iman yang dimiliki oleh seseorang.
Ya, apabila benih dimasukkan ke dalam bumi, ia akan berakar dan akarnya terus ke bawah bumi dan kemudiannya pucuknya akan keluar ke atas bumi. Begitulah ibarat iman kita akan menjadi kukuh dan kental di dalam jiwa seseorang. Sama seperti akar tunjung menjunam ke dasar bumi dan akar-akar lain mencengkam bumi, pasti sukar tercabut. Pokok itu tidak mudah tumbang tatkala dipukul ribut.
Iman seseorang yang subur akan menumbuhkan pucuk dan kemudian batang yang tegak berdiri. Kemudian tegak bersamanya dahan dan ranting yang kuat. Daun yang menghijau dan akhirnya berbunga dan berbuah. Begitulah suburnya iman seseorang dia akan mendirikan solat, puasa, zakat dan haji. Semua itu kelihatan cantik seperti cantiknya pokok itu.

Orang Mukmin seperti satu tubuh
Perumpamaan ini didapati daripada maksud sebuah hadis: “Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama tubuh yang satu, jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.” (HR. Muslim]).
Orang mukmin bermaksud orang yang beriman. Maka orang yang beriman dalam konteks yang disebut dalam ayat di atas, sangat sensitif dan peka dengan keadaan orang orang lain. Mereka sangat berkasih sayang, malah apabila berlaku bencana kepada satu pihak mereka akan segera membantu. Jadi sebagai orang mukmin maka tidak wajarlah mereka bermusuhan dengan orang Islam apatah lagi orang mukmin. Jika berlaku sebaliknya mereka bukanlah orang mukmin.
Orang mukmin seperti dalam perumpamaan di atas, apabila sakit satu anggota, anggota lain turut bersimpati rasa sakitnya, malah boleh jadi seluruh anggota berjaga tidak boleh tidur. Bayangkan kalau semua orang mukmin di negara ini seperti yang digambarkan dalam hadis ini, bahagialah seluruhnya.

Islam Seperti Binaan
Islam seperti binaan berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Umar R.A, berkata: aku telah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: "Islam itu didirikan atas lima (perkara) – Menyaksikan bahawa tiada ilah melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan puasa di bulan Ramadhan." (Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim).
Rasulullah sebut Islam dibina seolah-olah Islam sebuah bangunan. Tentunya bagunan itu ada tiang, dinding, ada bumbung, ada pintu dan tingkap. Semua itu saling melengkapi antara satu sama lain. Ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah: “Orang mukmin dengan orang mukmin yang lain seperti sebuah bangunan, sebagian menguatkan sebagian yang lain.” (Sahih Muslim No.4684).
Jadi sebagaimana seseorang mukmin begitulah Islam seseorang dibina. Maka bolehkah kita berpuasa sahaja tanpa solat, bolehkah kita keluarkan zakat sahaja tanpa solat? Dan bolehkah seseorang yang solat tetapi tidak berpuasa dan berzakat? Jawapannya tentulah tidak lengkap. Maka tidak sempurnalah Islamnya.
Berdasarkan kefahaman di atas, semua umat Islam perlu berubah dalam memahami Islam yang sebenar. Wallahu aklam.

Tiada ulasan: