30 Jun 2019

Caci Maki Bukan Pendekatan Dakwah

Ahmad Baei Jaafar

Dalam al-Quran terdapat beberapa ayat yang menggambarkan Allah menggunakan perkataan yang bermaksud MAKI. Persoalannya, mengapa Allah maki, bolehkah kita sebagai umat Islam mencontohi perbuatan Allah itu?

Sebenarnya dalam dasar Islam, caci maki adalah diharamkan oleh Islam kerana perbuatan itu boleh membuatkan orang tersiksa jiwa dan mentelnya. Walau bagaimanapun Islam telah menggariskan tiga keadaan yang seseorang itu boleh dimaki:

1. Orang yang menentang Allah dan Islam dengan penentangan yang melampau. Mereka sudah tentu tidak akan menerima selama-lamanya. Mereka ini seperti Abu Lahab.

2. Orang yang menyeru kepada kerosakan dan maksiat, usahanya sangat menentang arus kebaikan seolah-olah mencabar Islam.

3. Orang yang sudah menjadikan tabiat hidupnya dengan perbuatan keji. Kutukan itu bertujuan menyedarkan mereka.

Walaupun tiga yang disenaraikan itu jelas dibenarkan tetapi terdapat perbezaan mengikut tahap seseorang. Suka dijelaskan bahawa golongan pertama adalah golongan tahap tinggi penentangan terhadap Islam dan hukumnya. Maka atas kedudukan itu, hanya Allah dan Rasul atau ulama bertaraf pemimpin.

Contoh yang terdapat di dalam al-Quran adalah pada kedudukan ini. Allah mengutuk Abu Lahab dan isterinya. Allah mengutuk pengikutnya yang menyembah bahala. Jadi, ulama yang bertaraf pemimpin boleh mengutuk pemimpin lain yang amat menentang Allah dan Rasul.

Adapun golongan kedua adalah orang awam yang dilatih untuk merosakkan akhlak muda mudi, mereka suka menganjurkan program maksiat. Mereka ini tidak segan silu malah berani mencabar undang-undang dan peraturan Islam. Mereka layak dikutuk oleh ulama bertaraf pendakwah dan pendidik.

Golongan ini ramai yang terdiri daripada NGO berpengaruh, maka mereka menggunakan plafon hiburan untuk merosakkan remaja Islam. Program TV juga tidak terlepas daripada pengaruh mereka. Jadi tidak salah mereka dikutuk oleh pihak tertentu. Namun orang ramai yang terlibat tidak boleh dikutuk.

Manakala golongan ketiga adalah orang awam yang secara tabiatnya suka membuat onar. Mereka leka dengan maksiat dan sering keluar berduan dengan pasangan secara bebas. Malah ada sudah berani melakukan perzinaan dan seumpamanya. Mereka ini boleh dikutuk oleh orang awam yang sudah ada kesedaran untuk berubah menjadi baik.

Kutukan mereka kepada golongan ini ada bertujuan untuk memberi kesedaran kepada mereka supaya segera berubah. Mereka ini sesetengahnya sudah tidak boleh bertindak secara pujuk lagi. Jadi gunalah pendekatan hikmat sesuai dengan kedudukan mereka. Allah mahu mereka ini diselamatkan.

Dengan nota ringkas ini, saya berharap tidak ada orang yang menggunakan kalimah maki sewenang-wenangnya. Masing-masing boleh menilai kedudukan mereka agar sasaran dakwah kita mencapai matlamat. Wallahu aklam.

Tiada ulasan: