02 Disember 2018

Tidak Berakhlak dengan Manusia tanda tidak berakhlak dengan Allah

Ahmad Baei Jaafar

"Adalah aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak," demikian sabda Rasulullah SAW. Apa yang anda faham daripada mesej tersebut? Sekurang-kurangnya ada dua perkara yang anda perlu faham iaitu:
1. Setiap orang yang dilahirkan di dunia ini sudah dibekalkan dengan akhlak secara fitrah. Tetapi belum sempurna
2. Kesempurnaan akhlak menjadi sebab kepada kesempurnaan seseorang insan di sisi Allah.
Ya, hakikat yang tidak boleh kita nafikan, semua orang ada naluri yang baik. Kita boleh lihat sendiri orang Cina, India, Jepun bahkan Inggeris, mereka mempunyai sifat yang baik walaupun mereka bukan Islam. Kadang-kadang mereka lebih penyayang daripada orang Islam, lebih pemurah daripada orang Islam. Itulah sifat yang mulia tetapi belum begitu sempurna.
Jadi, Rasulullah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mereka. Rasulullah datang dengan menunjukkan sifat penyantun, penyabar dan berhati-hati. Penyantun baginda dalam berhadapan dengan orang bukan Islam, akhirnya membawa mereka kepada Islam. Penyabar baginda dalam berhadapan dengan karenah orang bukan Islam, akhirnya mereka memeluk Islam. Dan berhati-hati baginda dalam semua keadaan menjadikan umat Islam sentiasa dalam selamat.
Peranan yang ditinggalkan oleh baginda kepada kita pada hari ini harus dipikul bersama bagi menyempurnakan akhlak manusia pada hari ini. Semoga kita dapat mewarisi sifat dan akhlak baginda itu.
Akhlak Mulia
Umat Islam yang dididik akhlaknya oleh Rasulullah itu akhlak yang sempurna. Lihatlah pada Sahabat baginda, semuanya terpuji. Kemudian mereka wariskan kepada generasi kemudian sehinggalah kepada umat Islam hari ini. Tetapi agak malang umat Islam akhir-akhir ini, tidak terasuh dengan akhlak yang sempurna itu.
Sebenarnya akhlak yang sempurna itu melibatkan sifat dan tingkah laku seseorang manusia kepada pihak yang lain sama ada Allah, Manusia atau alam sekitar termasuk haiwan. Mari kita koreksi diri masing-masing seperti berikut:
1. Bagaimana akhlak kita kepada Allah sebagai Tuhan kita? Sudahkah kita taat perintah Allah sama ada suruhan mahupun larangannya? Jika anda abaikan semua itu bermakna anda tidak berakhlak dengan Allah, anda biadab dengan Allah dan anda derhaka kepada Allah.
2. Bagaimana akhlak anda kepada sesama manusia? Ketika bercakap dengan manusia, bolehkah anda bersopan, tidak sombong dan saling menghormati mereka? Bila bercakap dengan pasangan suami atau isteri, adakah anda menjadi penghibur dan pendamai? Jika anda bersopan dengan kawan tetapi bersikap kasar dengan pasangan, bermakna anda tidak berakhlak dengan manusia. Jika anda sering membuat fitnah dan mengumpat manusia lain bermakna anda tidak berakhlak dengan mereka.
3. Bagaimana akhlak anda kepada alam sekitar? Adakah anda memberi hak kepada pokok kayu untuk hidup dengan sempurna? Adakah anda menghormati haiwan tanpa menghina makhluk Allah itu? Adakah anda memelihara punca air yang menjadi sumber kehidupan manusia? Jika semua itu anda abaikan, maka anda dikatakan sebagai tidak berakhlak kepada alam sekitar.
Allah datangkan Rasulullah kepada kita untuk membaiki dan menambah baikkan akhlak manusia ke arah yang saya senaraikan di atas. Bayangkan kalau semua manusia boleh terdidik dengan akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah itu, sempurnakan keislaman seseorang manusia. Inilah umat Islam yang dibanggakan Allah.
Wallahu aklam

Tiada ulasan: