24 November 2018

Tidak Ada Diskriminasi Kaum di Malaysia

Ahmad Baei Jaafar

Kenapa timbul isu penghapusan segala bentuk diskriminasi kaum di negara ini? Adakah wujud diskriminasi kaum di Malaysia? Atau siapakah yang selalu membangkitkan soal diskriminasi kaum? Rakyat sesama rakyat atau kerajaan terhadap rakyat ada sikap diskriminasi itu?

Bodohlah kalau ada parti politik yang mengharapkan undi rakyat Malaysia yang pelbagai tetapi mengekalkan diskriminasi kaum. Zalimlah kerajaan kalau melakukan diskriminasi kaum, sedangkan kerajaan perlukan sumbangan kaum lain dalam membina negara. Dan rugilah rakyat Malaysia kalau mereka mengamalkan diskriminasi kaum kerana nanti mereka tidak akan banyak kawan.

Sebenarnya Islam sendiri telah mengharamkan diskriminasi kaum berdasarkan firman Allah yang maksudnya, "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." Hujurat 13


Jelas daripada ayat di atas, sesama manusia kita tidak ada perbezaan. Tiada siapapun yang boleh disisihkan kerana masing-masing ada hak untuk hidup di dunia ini. Malah orang Islam perlu berhadapan dengan semua bangsa dan agama, bahkan orang Asli yang di dalam hutan pun wajib mereka menggaulinya.


Jadi, kenapa pula tiba-tiba perlu diwujudkan Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd). Bukankah kita di Malaysia sudah hidup aman damai, mereka saling menghormati. Makan janganlah negara kita yang aman sebegini ditiupkan api diskriminasi kaum.


Walau bagaimanapun kita harus bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kerajaan Malaysia buat masa ini masih tidak memberi laluan mudah kepada Icerd. Negara Islam Malaysia akan kekal dihormati dunia kerana tidak ada diskriminasi kaum. Wallahu aklam.

Tiada ulasan: