11 November 2018

Tiga Peringkat Taqwa Perlu Dicapai

Setiap manusia yang dilahirkan di dunia ini terikat dengan Allah dan peraturan-Nya. Dalam hal ini Allah ingatkan kita dengan firman-Nya:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً  وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ  إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا  ﴿النساء:١
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan-Nya kamu saling meminta-minta, dan takutlah (peliharalah) golongan arham. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”
Kalau anda merujuk kepada ayat satu surah an-Nisa di atas, anda akan temui dua kali Allah sebut dengan perintah "ittaqu" yang diterjemahkan sebagai takwa atau takut iaitu:
1. Takutlah kepada tuhan kamu. Perintah ini ditujukan kepada manusia secara umum
2. Takutlah kepada Allah. Perintah ini ditujukan kepada orang Islam.
Tetapi kita halus ayat tersebut kita akan dapati satu lagi perintah dalam ayat tersebut iaitu secara ataf kepada Allah iaitu arham. Maka ayat itu seolah-olah berbunyi, "Takutlah kepada arham". Oleh sebab ayat itu berada diakhir, kita tidak rasa sebagai satu perintah Allah lalu sering diabaikan oleh anak-anak.

Peringkat Taqwa
Jadi, jelas dalam ayat ini ada tiga golongan yang menjadi sasaran perintah Allah.
1. Perintah Allah kepada manusia umum supaya mereka takut kepada Tuhan mereka dalam konteks sejagat iaitu supaya mereka tidak melanggar peraturan alam yang sudah Allah sediakan. Antaranya, fitrah berkahwin dan berketurunan yang hakikatnya kita semua daripada yang satu iaitu Adam.
2. Manakala perintah Allah yang kedua ditujukan kepada orang Islam supaya mereka takutkan Allah dalam konteks agama iaitu tidak melanggar hukum Allah sekali gus melaksanakan hukum Allah seluruhnya.
3. Adapun perintah Allah yang ketiga adalah kepada anak-anak supaya mereka takut kemurkaan ibu bapa dan orang-orang yang ada hubungan rahim dengannya. Hal ini penting kerana kemurkaan ibu bapa menjadi sebab kemurkaan Allah. Sabda Rasulullah, Redha Allah adalah kerana redha ibu dan bapa, dan kemurkaan Allah adalah kerana kemurkaan ibu bapa.
Oleh sebab bahagian ini jarang diperkatakan maka saya akan panjangkan sedikit ulasannya di ruang ini semoga ada manfaatnya kepada kita semua.

Siapa Golongan Arham
Kenapa Allah perintah supaya takut kepada arham dan siapa arham tersebut?
Arham biasa diterjemahkan sebagai kaum keluarga atau kaum kerabat. Tetapi dalam bahasa yang lebih tepat ialah mereka yang ada hubungan rahim iaitu yang bermula daripada datuk, turun kepada bapa, bapa saudara, anak-anak (termasuk anak daripada ibu lain) dan cucu.
Kenapa Allah perintahkan supaya umat Islam yang bertaraf anak supaya takut kepada golongan arham di atas? Ya kerana hubungan kekeluargaan amat mudah terputus atau diputuskan. Maka Allah ingatkan awal-awal agar mereka takut kepada kejadian terputus hubungan itu. Hal ini kerana sikap permusuhan yang kadang-kadang puncanya amat kecil.
Terputus hubungan boleh terjadi kerana harta pusaka yang dibahagikan secara tidak adil. Kadang-kadang terputus kerana perceraian ibu bapa dan anak terbiar dan sesetengahnya hubungan anak dipisahkan sama ada dengan ibu atau bapa oleh penjaganya. Dan ada juga anak-anak menjauh ibu bapanya kerana merajuk atau kecil hati atas sikap ibu bapanya.
Satu perkara yang perlu disedari oleh anak-anak atau cucu, bahawa hubungan kekeluargaan mereka tidak boleh diputuskan walaupun kerana bapa atau datuk mereka garang atau begis mahupun jahat. Mereka berdua adalah sumber asal kewujudan anak-anak di muka bumi ini. Tanpa mereka tidak akan lahir anak seumpama mereka.

Ibu bapa tidak benci anak
Ingatlah, ibu bapa tidak pernah membenci anak-anak mereka maka sebab itu mereka sering nasihat dan memberi tunjuk ajar. Kalaupun ada tunjuk ajar mereka berdua yang tidak kena dengan selera anak-anak, itu adalah kelemahan mereka. Niat mereka tentu baik maka tidak wajar dimusuhi oleh anak-anak.
Selain itu perintah Allah supaya takut kepada golongan arham ini adalah untuk mengelak tidak berkat hidup mereka di dunia, dan di akhirat pula dimasukkan ke dalam neraka. Dan yang paling penting dengan sikap di atas, apabila mereka berkahwin tidak mendapat restu atau sukar mendapat wali bagi anak perempuan.
Inilah mesej yang penting dihayati oleh umat Islam dalam konteks ayat al-Quran di atas. Wallahu aklam.

Tiada ulasan: