Ahmad Baei Jaafar
Berdasarkan
perkahwinan Rasulullah dengan beberapa orang isteri, kita dapat ambil keputusan bahawa poligami yang
diamalkan oleh Rasulullah sangat berkait dengan sosial dan kebajikan. Bukankah
Rasulullah SAW mengahwini Saudah binti Zam’ah untuk membela kebajikannya kerana
beliau sudah kematian suami. Bukan itu sahaja, kaum kerabat Saudah adalah orang
musyrik. Bayangkan kalau Saudah yang ketika itu berusia 66 tahun terbiar, sudah
tentu Islamnya terancam.
Di sudut sosial
pula, Rasulullah berkahwin dengan Aisyah dan Hafsah sebagai penghargaan kepada
orang tua mereka yang sangat membantu baginda iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan
Umar Al-Khatab. Begitu juga perkahwinan Rasulullah dengan Ummu Salamah (Hindun
binti Abi Umayah bin Almuqirah) yang turut serta dalam penghijrahan ke Habsyah
dan Madinah. Waktu suaminya, Abu Salamah meninggal dunia anaknya Salamah masih kecil
dan memerlukan didikan.
Selain itu, poligami
Rasulullah juga ada kaitan dengan politik dan dakwah. Ini seperti Ummu Salamah selain
memiliki sifat terpuji dalam kalangan orang yang awal menganut Islam beliau adalah
anak orang kenamaan. Rasulullah mengahwininya untuk menguatkan ikatan kasih
sayang antara kerabat dan kabilah isteri-isterinya supaya mereka memeluk Islam.
Supaya lebih
jelas, perhatikan senarai tujuan perkahwinan
Rasulullah seperti berikut;
1.
Memberi penghormatan
serta perlindungan kepada wanita, di mana sebilangan besar dari isterinya
adalah janda-janda yang memerlukan pelindungan.
2.
Memuliakan
serta memberi penghormatan kepada kaum keluarga ataupun para sahabatnya,
sepertimana beliau telah mengahwini Hafsah binti Umar bin Khattab dan Zainab
binti Jahsyi.
3.
Melalui
perkahwinan, Rasulullah dapat meredakan rasa dendam serta permusuhan antara
kabilah-kabilah Arab.
4.
Untuk menarik
tokoh-tokoh berpengaruh Quraisy ke dalam agama Islam yang kemudiannya sama-sama
berjuang untuk menegakkan Islam.
5.
Memberi
perlindungan serta kasih sayang kepada anak-anak yatim yang kehilangan ayah
ketika berjuang menegakkan agama Allah.
6.
Mengahwini
isteri-isteri sahabat untuk meneruskan tanggungjawab melindungi rumahtangga
sebagai tanda penghormatan kepada para sahabat yang menjadi syahid.
7.
Menjelaskan
kedudukan hukum, bahawa Islam memperbolehkan seseorang itu mengahwini bekas
isteri anak angkatnya sebagaimana terjadinya peristiwa Zaid bin Haritsah.
8.
Memerdekakan
para tawanan perang dari sesuatu kabilah melalui perkahwinan dengan salah
seorang wanita yang menjadi tawanan.
9.
Sebagai
penghargaan sikap lemah-lembut orang yang bukan beragama Islam, sebagaimana baginda
menikahi Mariah al-Qibtiyah yang dihadiahkan oleh Raja Muqauqis dari Mesir.
10.
Untuk
menambah penyokong serta penganut Islam yang seterusnya akan memperjuangkan
agama Allah itu dari masa ke masa.
Kebaikan poligami cara Rasulullah
Berdasarkan
tujuan poligami Rasulullah itu dapat kita lihat banyak kebaikannya malah
menjadi penyelesaian kepada masalah masyarakat. Yang pastinya dalam poligami
suami beroleh kebaikan dan isteri juga memperoleh kebajikan.
Bagi suami, tentu
mereka akan berusaha memiliki sikap adil kepada isteri-isterinya. Dalam hal ini
seseorang suami yang sering kali sakit dan mengalami kesukaran keluar untuk mencari
rezeki tidak wajar impikan hidup poligami kerana dia tentu tidak dapat
menanggung isteri-isterinya dengan adil.
Jadi, mana-mana
suami yang berniat hendak berpoligami kenalah persiap diri dengan sifat dan
sikap adil dan sihat tubuh badan. Manakala isteri, mereka tentu akan mendapatkan
hak masing-masing daripada suaminya. Dalam soal ini, suami tidak boleh
mengurangi nafkah seorang isterinya dengan alasan isteri mempunyai sumber
kewangan sendiri.
Apabila suami
dapat berpegangan kepada prinsip adil yang sebenar pasti dia akan mengadili
giliran isterinya tanpa mengira sama ada mereka gadis atau janda, muda atau tua
atau taraf pendidikan. Semuanya mempunyai hak sama rata sebagai isteri. Ketahuilah
sikap adil suami ini menggambarkan betapa suaminya orang yang bertanggungjawab.
Dengan
itu, isteri-isteri akan tenang malah boleh mengelak daripada berlaku
pertengkaran atau saling cemburu antara mereka. Mengenai susunan giliran
sebenarnya banyak memberi kebaikan kepada isteri terutama pada aspek penjagaan
kesihatan kerana waktu ketiadaan suami mereka boleh membuat rawatan dan
kerehatan yang secukupnya. Pada masa yang sama mereka berpeluang untuk
melakukan ibadah terutama pada waktu malam. Tidakkah ini satu kebaikan buat
isteri yang berpoligami?
2 ulasan:
mengikut hadis rasualllah mempunyai kekuatan 30 orng sudah tentu dia mempuyai keupayaan bagi melayani 9 or 11 orang isteri.
Yang kita nak contoh bukan itu, tetapi tujuan berpoligami. Kita boleh memilih satu atau tiga daripada tujuan di atas. Itulah penyelamat rumah tangga.
Catat Ulasan