09 Februari 2012

Apa di sebalik kempen Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam?


Ahmad Baei Jaafar
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak (JAIPk) baru-baru ini menyerbu forum anjuran Kelab Isteri Taat (KTS) yang dikatakan mahu mempromosikan "seks suci". Seperti yang dilaporkan Berita Harian, jabatan itu menyerbu sebuah banglo mewah di Ipoh, tempat kelab itu menganjurkan forum kempen "Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam".
Sebelum itu menurut laporan itu lagi, KTS menjemput wartawan untuk menghadiri persidangan media mengenai program yang pada mulanya dijadualkan pada waktu pagi tetapi ditunda waktu petang. Namun, sesi berkenaan bertukar kepada sesi soal jawab bersama Ahli Lembaga Pengarah Global Ikhwan Sdn Bhd, Ahmad Bakhtiar Ahmad dan Hamdan serta empat ahli KTS Perak.
Ahmad Bakhtiar berkata, kempen itu bermula semalam sempena 1 Rabiulawal dengan acara kemuncaknya ketika sambutan Maulidur Rasul pada 5 Februari yang bertujuan menampilkan Rasulullah sebagai tokoh hebat yang perlu dicontohi dalam semua aspek, termasuk kemampuannya memuaskan hati semua 11 isterinya.
Beliau mendakwa seks dalam Islam lebih hebat daripada seks yang dicanangkan oleh masyarakat Barat dan Yahudi. Seks suci Islam harus dibezakan dengan seks haram yang dipelopori Barat dan Yahudi. Nabi (Muhammad) adalah insan yang sangat takut kepada Tuhan, jadi Allah bagi keistimewaan dengan diberi tenaga manusia yang kuat dalam seks dan memberi layanan terbaik kepada isteri sebagai balasan kuat ibadat kepada Allah.
JAIM menurunkan backdrop majlis sambutan 
Jelas mereka kini semakin berani mahu mencemarkan nama baik Nabi Muhammad SAW. Kalau sebelum ini didakwa Rasulullah membuat ramalan itu dan ini, tetapi ternyata kemudiannya tidak berlaku. Maka secara tidak langsung, Rasulullah boleh dianggap menipu dalam membuat ramalan. Sedangkan baginda sodiqul masduq, cakapnya benar.
Sementara itu Utusan Malaysia di Kota Bharu mendapatkan ulasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom katanya, penubuhan kelab tersebut baik di sisi Islam tetapi promosi seks yang dilakukannya menyimpang daripada ajaran agama suci itu.
"Cantik kelab taat suami ini, cuma yang tidak cantik ialah yang dipromosi tentang seksnya, kemudian diletakkan Rasulullah sebagai ikon yang membicarakan dengan panjang lebar tentang seks.
"Sedangkan tanggungjawab dalam Islam banyak, lebih-lebih lagi mengenai pendidikan anak-anak, pembangunan ekonomi sosial dan masyarakat termasuk rumah tangga.
"Kempen ini menggambarkan kita merendah-rendahkan martabat Rasulullah SAW sebagai nabi yang membawa utusan untuk kebaikan dunia dan akhirat,” katanya
Ekoran itu bahagian Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bertindak menyerbu sambutan Maulidur Rasul yang dipercayai dianjurkan KTS. Sambutan yang diadakan di sebuah khemah berdekatan rumah kedai di Krubong Perdana, Krubong di sini menggunakan tema Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani berasa kesal dengan sikap mereka yang berani menganjurkan majlis sendiri dengan menggunakan perkataan seks yang dikaitkan dengan Rasulullah. Tindakan mereka adalah jauh menyimpang daripada ajaran Islam.
Syabas diucapkan kepada Jabatan Agama Islam Perak dan Melaka kerana berada bertindak. Negeri lain belum ada laporan mengenainya. Adakah di negeri-negeri tersebut mereka bebas atau mereka telah membatalkan segala perancangan yang telah dibuat sebelum ini. Walau apapun diharapkan ulasan Menteri mengenai kegiatan mereka itu diambil perhatian oleh semua negeri di Malaysia.
Cuma di sini saya ingin mengajak semua pembaca berfikir sejenak apakah di sebalik penganjuran KTS ini. Mungkin mereka yang tidak kenal dengan kumpulan ini berasa pelik dan karut. Kenapa pula Rasulullah dilabelkan sebegitu. Tetapi bagi ahli kumpulan itu, label itu dianggap biasa.
Tapi tahukah anda, penubuhan KTS dan penulisan buku Sek Suci Islam dan juga penganjuran forum di atas adalah dirancang oleh Ummu Jah atau Khadijah Aam yang kini berada di Makkah. Inilah fower seorang wanita yang tiada siapa yang berani menyangahinya.
Sebenarnya ramai yang tidak tahu terutama ahli global ikhwan baik yang masih aktif mahupun tidak, juga bekas pengikut al-Arqam bahawa ummu Jah ini bukan sahaja baharu sekarang merancang program seperti ini tetapi dia jugalah yang merancang semasa ustaz Ashaari masih hidup. Dialah master mind yang melumpuhkan perjuangan ustaz Ashaari sedikit demi sedikit.
Saya tidak mahu menyebut sesuatu yang telah berlalu, tetapi cukup saya sebutkan apa yang berlaku hari ini untuk kita fikirkan bersama. Kalau anda perasan atau pernah mendengar komen orang tertentu termasuk pemimpin dan pendakwah bahawa ustaz Ashaari kahwin poligami kerana seks. Kerana hendak kahwin perempuan muda, isteri tua diceraikan. Semua itu adalah kerana seks.
Tuduhan itu kita tidak boleh terima waktu itu, semua orang Arqam tentang dan menafikannya dengan pelbagai alasan demi maruah pemimpin mereka. Tetapi setelah kematian ustaz Ashaari, buku Seks Suci Islam dikeluarkan. Di dalamnya ditulis betul-betul mengambarkan bahawa Ashaari gila seks. Antara lain menurut buku itu, Ashaari membenarkan kami (suami dan isteri-isteri) bertelanjang sambil tangan meramas payu dara kami.
Apa perlunya kenyataan itu dikeluarkan dan didedahkan kepada umum. Bukankah itu semua menjadi rahsia rumah tangga? Inilah perancangan bijak Ummu Jah. Keluarnya buku ini untuk mengiakan bahawa ustaz Ashaari memang berkahwin kerana seks bukan kerana ikut sunnah atau syariat. Bukan sahaja nama ustaz Ashaari dicemarkan, malah dikaitkan pula dengan Rasulullah sebagai tokoh seks.
Jadi, penulisan buku dan penganjuran kelab serta forum di atas sebenarnya untuk menamatkan nostalgia kehebatan Ashaari dalam bidang dakwah. Dia benar-benar telah menghina Ashaari secara tidak langsung, menghina Rasulullah secara terhormat.
Dengan maklumat ini, anda boleh buka lembaran sejarah al-Arqam bermula ustaz Ashaari berada di Thailand sehingga ditangkap. Semoga anda bertemu di manakah niat jahat Ummu Jah terhadap perjuangan al-Arqam.
Di sini saya menyeru kepada semua ahli GISB insafikan kesilapan yang dilakukan oleh golongan atasan. Sampai bila kita sanggup ditipu oleh mereka. Selamatkan iman masing-masing sebelum al-Mahdi benar-benar tiba.
Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...