04 Februari 2012

Tidak kufu punca perkahwinan tidak bertahan lama?


Ahmad Baei Jaafar
Punca sesebuah rumah tangga tidak harmoni dan berakhir pula dengan perceraian adalah kerana perkahwinan itu tidak kufu. Itulah antara pandangan yang sering kita dengar daripada beberapa orang tokoh agama. Alasan yang diberi, apabila tiada kufu akan terjadilah tindakan tidak kesefahaman.
Persoalannya, sesetengah mereka sudah lama berkenalan, tetapi mengapa pula setelah berkahwin tidak boleh wujudkan kesefahaman? Bagaimana masih tidak kufu sedangkan mereka sudah lama bercinta, malah sudah saling mengenali antara satu sama lain? Apakah ukuran kufu pada mereka? Adakah kalau suami buruh kasar dan isteri bos maka dianggap tidak sekufu?
Adakah suami miskin atau tidak berpendidikan tinggi bersama isteri kaya dan berpendidikan tinggi tidak kufu? Bukankah sebelum berkahwin mereka sudah bersetuju untuk bertolak ansur dalam rumah tangga? Tetapi tahukah anda, Rasulullah berkahwin dengan Khadijah yang secara zahirnya tidak setaraf atau tidak sekufu tetapi mereka bahagia.
Berdasarkan itu, taraf kekayaan, kedudukan tidak boleh dimasukkan dalam senarai tidak kufu seperti yang disabdakan Rasulullah. Jadi, tidak harmoni dan berlaku perceraian bukan kerana kedudukan yang tidak setaraf antara suami dan isteri. Kalau begitu apakah puncanya?

Kehendak Rasul
Sememang sekufu itu penting dan demikian itu adalah hak calon isteri dan walinya. Namun begitu kufu yang dimaksudkan ini bukan merujuk kepada urusan duniawi tetapi yang menjadi ukurannya adalah agama. Hadis daripada Aisyah menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Pilihlah olehmu untuk keturunan kamu dan bernikahlah dengan orang yang sekufu.” (Riwayat al-Baihaqi)

Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berhak mengahwinkan seorang anak perempuan kecuali dengan wali, dan tidak berhak mengahwinkan wanita kecuali dengan lelaki yang sekufu dengannya.” (Riwayat Imam Muslim)
Berdasarkan hadis di atas, fuqaha berbeda pendapat tentang maksud kafa’ah (kufu) dalam pernikahan. Ibnul Qayyim dalam kitabnya, Zaadul Ma‘ad (4/22) menyebut, yang digolongkan dalam kafa’ah ialah urusan yang berkait dengan agama.
Pandangan ibnul Qayyim itu berasaskan beberapa ayat al-Quran, antaranya firman Allah yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian daripada laki-laki dan perempuan dan Kami jadikan kalian bersuku-suku dan berkabilah-kabilah agar kalian saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kalian di sisi Allah ialah yang paling bertakwa.” (Surah al-Hujurat: 13)
Rasulullah SAW juga ada bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada keutamaan orang Arab dibandingkan dengan orang ajam (non Arab) dan tidak ada keutamaan orang ajam dibanding orang Arab. Tidak pula orang berkulit putih dibanding orang yang berkulit hitam dan sebaliknya orang kulit hitam dibanding orang kulit putih, kecuali dengan takwa. Manusia itu daripada keturunan Adam dan Adam itu diciptakan daripada tanah.”
Berdasarkan dalil di atas, maka penilaian kufu itu sangat berkait dengan agama. Maknanya kalau seseorang wanita itu seseorang yang kuat pegangan agamanya, tidak layaklah bakal suaminya orang yang tidak kenal tikar sembahyang. Tetapi kalau seseorang wanita itu orang biasa sahaja, agamanya tidaklah kuat sangat, jika dipinang oleh lelaki yang kuat agamanya, boleh diterima sekufu. Hal ini kerana lelaki tersebut boleh mendidik isterinya nanti.
Walau bagaimanapun syarat kufu yang berkaitan keduniaan boleh juga dinilai asalkan agama mengatasi nilaian lain. Malah nilaian itu boleh digugurkan apabila kedua-dua, wali dan wanita terbabit mahu mengenepikannya.

Menilai kufu
Orang yang boleh menentukan kekufuan ialah wali, bapa wanita yang hendak dikahwini. Dalam hal ini wali perlu adil dalam membuat pernilaian terhadap bakal menantunya. Oleh sebab itu tidak salah bagi wali atau pihak wanita membuat risikan terhadap lelaki dan keluarganya. Kalau sebelumnya, pihak lelaki datang merisik, apa salahnya pihak wali pula menghantar merisik balas dengan tujuan melihat taraf kekufuan lelaki tersebut.
Memang dalam tradisi Melayu belum ada pihak wanita menghantar rombongan merisik, malah amalan itu boleh dianggap melanggar adat. Tetapi kalau dilihat dalam peruntukan Islam, wali wajar menentukan kekufuan tentu tidak salah wali membuat risikan balas. Cuma untuk itu tidak perlulah disediakan rombongan, tetapi cukup risikan itu dilakukan secara tidak langsung dalam perbualan atau bertanyakan kawan-kawannya.
Sebenarnya kufu yang perlu dilihat ialah adakah lelaki itu setaraf atau lebih baik daripada wanita di sudut agamanya. Nilaian agama yang dimaksudkan ialah merangkumi taraf pendidikan agama, amalan, kefahaman dan akhlaknya. Nilaian ini penting kerana taraf agama suami yang menentukan dia mampu mendidik isterinya ke jalan yang diredhai Allah.
Adapun nilaian taraf kekayaan, kedudukan dan keturunan tidak menjadi keutamaan kerana semua itu belum menjamin kemampuannya mendidik isteri ke jalan yang diredhai Allah. Sebaliknya boleh jadi dengan kekayaan, dia menzalimi isteri. Boleh jadi juga dengan kedudukannya yang tinggi dia menghambakan isterinya. Dan boleh jadi dengan keturunannya yang mulia dia memandang rendah kepada isterinya.
Walau bagaimanapun jika pihak wanita sendiri tidak mempunyai pendidikan, kurang agamanya, kurang akhlaknya, wali juga perlu berhati-hati dalam memilih bakal menantu. Kalau boleh biarlah menantunya itu lelaki yang mampu menyelamatkan anaknya daripada neraka. Namun lelaki yang baik lazimnya jarang mahu meminang wanita yang kurang baik.

Merisik dan meminang tidak Islami
Hari ini budaya merisik masih lagi diamalkan dalam masyarakat Melayu, tetapi amalannya sudah tidak menepati syariat? Pernah kita temui pada hari ini, lelaki sudah berkenalan dan bermesra dengan seseorang wanita, malah berjanji hendak berkahwin. Apakah dengan ini mereka masih perlukan acara merisik?
Perlu dijelaskan di sini, budaya merisik adalah untuk mengenal pasti pasangan itu kufu atau tidak. Dan mereka yang layak mengenal pasti itu sudah pasti mereka yang berpengalaman dalam hal ini. Kalau pihak lelaki yang merisik adalah untuk mengenal pasti wanita tersebut sudah ada yang punya atau belum. Tetapi pihak wanita yang merisik adalah untuk menilai kekufuan lelaki tersebut.
Tetapi hari ini pasangan itu sudah lama berkenalan, maka perlu lagi mengadakan acara risikan. Sepatutnya semasa bertemu dan bercinta itulah mereka boleh mengenal pasti kekufuan mereka. Tetapi itulah yang tidak pernah berlaku, apa yang  berbincang hanyalah soal cinta malah ada perbincangan yang tidak menguntungkan mereka.
Kesilapan inilah yang kadang-kadang menjadikan perkahwinan mereka tidak boleh bertahan lama. Apa tidaknya setelah berkahwin dan mula hidup sebagai suami isteri, segala rahsia mula terbungkar. Segala keburukan pasangan baru dikenal pasti. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk bercerai.
Sepatutnya mereka tidak bercinta dalam tempoh yang lama. Malah adalah lebih baik selepas mengenal pasti pasangan masing-masing berkelayakan terus masuk meminang. Dan waktu bertunang itu pula boleh diambil peluang untuk mengenal pasti keserasian dan kekufuan mereka. Jika dalam tempoh bertunang itu didapati salah satu pihak tidak serasi dan tidak sekufu, maka bolehlah pihak terbabit menarik balik pertunang itu.
Selain itu, tempoh pertunangan tidak seharusnya terlalu panjang. Sebaik-baik tempoh pertunangan ialah singkat yang cukup untuk mereka menilai kebaikan masing-masing. Boleh jadi cukup enam bulan ke setahun. Walau bagaimanapun bagi pihak yang membatalkan pertunangan, jika boleh menjejaskan maruah dan kewangan pihak satu lagi, maka ganti rugi perlu dibayar.
Jelas di sini, kedudukan kufu amat penting diberi perhatian oleh pihak yang hendak berkahwin. Soal wang dan kekayaan penting juga tetapi bukan keutamaan. Jadi, mana-mana lelaki yang hendak berkahwin dan sedang mencari pasangannya perlulah menilai diri sendiri tentang kemampuan diri agar dengan itu boleh dinilai sebagai sekufu dengan wanita pilihannya.
Untuk itu dia perlu persiapkan diri dengan ilmu agama, amalan agama, akhlak yang diajar agama. Apabila persiapan itu sudah ada, keperluan lain seperti kewangan dan pekerjaan akan mengiringinya. Bukankah seseorang yang beragama sentiasa memikirkan kewibawaan dirinya. Manakala pihak wanita pula kalau dia berfikir hendak berkahwin, dia juga perlu membuat persiapan untuk menjadi seorang isteri yang baik. Jika dia sudah bersedia sudah pasti dia boleh menerima bakal suami yang sepadan dengannya.
Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: “Wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik…” (Surah al-Nur : 26)
Percayalah dengan cara itu ibu bapa atau wali tidak akan menghalang perkahwinan yang pada pasangan tersebut sudah sekufu atau serasi. Walaupun wali ada kuasa veto dalam soal perkahwinan anak perempuannya, tetapi dia akan menghormati pilihan anaknya. Cuma kalau bakal menantu itu didapati tidak sekufu setelah membuat risikan tertentu dia boleh menghalangnya.
Sehubungan itu perlu dijelaskan juga, bukan sahaja anak dara perlu kepada sekufu tetapi bagi janda atau balu juga perlukan suami yang sekufu dengannya. Ini berdasarkan pesanan Rasulullah SAW kepada Ali bin Abi Talib yang bermaksud: “Tiga perkara jangan kamu tangguhkan. Pertama, menunaikan sembahyang apabila masuk waktunya. Kedua, menguruskan jenazah, dan ketiga, janda sekiranya didapati ada lelaki yang sekufu dengannya, maka langsungkanlah pernikahannya.” (Riwayat Tirmizi)
Dengan ini diharapkan perkahwinan yang sekufu ini dapat menjadi contoh kepada sebuah rumah tangga bahagia baik di dunia apatah lagi di akhirat. Selamat mengenal pasti kufu anda.

Tiada ulasan: