09 Mei 2018

Taubat hanya melibatkan isu Syariat bukan Akidah

Ahmad Baei Jaafar

Apakah maksud taubat? Taubat dalam bahasa Arab dari kata dasar taba bermaksud kembali kepada punca. Orang yang tersesat dalam perjalanan, dia tidak boleh terus ke hadapan kerana boleh jadi bertambah sesat. Maka jalan selamat dia wajib patah balik ikut jalan yang dilalui itu hingga bertemu puncanya. Inilah yang dikatakan "taba".

Berbeza dengan perkataan 'ada bermaksud kembali juga tetapi kembali ke tempat dia keluar. Sebagai contoh dia keluar rumah untuk ziarah sahabat di Johor. Setelah selesai dia kembali ke rumahnya. Keadaan inilah yang dikatakan 'ada.

Satu lagi rajaa' atau rujuk bererti kembali juga atau biasa disebut balik. Perkataan ini digunakan untuk balik ke kampung sebagai contoh. Bagi orang Melayu pada musim raya, balik ke kampung maka digunakan "raja'". selepas dua hari di kampung dia kembali ke tempat mustautinnya. Kembali ini adalah "'ada".

Jelas di sini taubat berbeza dengan dua perkataan di atas. Jadi taubat ini khusus untuk orang yang sesat sahaja. Sesat bermaksud tersalah jalan lalu terbabas. Keadaan ini menyebabkan dia tidak jumpa jalan ke destinasi seterusnya. Jadi perlu susur balik jalan yang dilalui hingga bertemu beberapa alamat yang difahaminya. Mungkin pada hari ini agak mudah bagi orang yang pandai menggunakan waze.

Begitu juga halnya dengan agama. Kita boleh tersesat dalam memahami agama, tersalah dalam mengamalkan ajaran agama, atau kita telah melakukan dosa tanpa sedar. Apabila keadaan ini berlaku maka wajiblah dia bertaubat. Kembali kepada punca dia tersilap. Jadi urusan taubat adalah perkara yang berkait dengan agama khususnya ibadah atau syariat.

Mereka yang hendak bertaubat perlu melalui tiga proses:
1. Menyesal kesilapan yang lalu;
2. Berazam untuk tidak mengulanginya lagi;
3. Memang tidak melakukan kejahatan itu lagi.
Tetapi jika salah itu melibatkan kesalahan dengan manusia ada syarat tambahan iaitu meminta maaf dengan orang yang terbabit dan kalau membabitkan harta wajib dipulangkan ganti ruginya. Maknanya kalau perkara ini tidak selesai, taubatnya tidak diterima oleh Allah.

Jelas di sini taubat tidak ada dalam persoalan akidah. Maka seseorang yang tersalah dalam soal akidah, sama ada kufur atau syirik maka dia tidak boleh bertaubat, malah taubatnya tidak diterima. Allah sendiri ada menyebut hal ini dalam firmannya yang antara lain, Allah menerima semua taubat dosa hambanya kecuali orang yang berdosa kerana syirik.

Bagaimanapun bagi orang yang syirik atau kufur jika sudah insaf daripada kesilapan dan mahu kembali kepada ajaran Islam, dia wajib mengucap dua kalimah syahadah semua. Itulah sahaja peluang yang diberikan kepadanya.

Dengan penjelasan ini, dapat kita faham bahawa isu syariat berbeza dengan akidah. Namun sebagai umat Islam kita tidak boleh terlepas daripada dua bahagian ini. Apapun yang kita buat dan dimanapun kita berada, kita dikawal oleh Allah sama ada dengan syariat mahupun akidah. Wallahu aklam.

Tiada ulasan: