25 September 2016

Sistem GPS ciptaan Allah

Ahmad Baei Jaafar

Saya kagum dengan sistem GPS dan Apl yang menunjuk arah ke distinasi kita di dunia. Tetapi saya lebih kagum kepada pencipta sistem itu kerana pada saya apa yang dibangunkan itu amat berfaedah kepada kehidupan kita pada masa kini.

Kalau anda sering mengguna GPS tentu anda dapat menilai betapa besar faedahnya buat anda walaupun sesekali ada juga yang gagal dikesan. Bagi yang tidak tahu atau tidak pernah menggunanya tentu sukar untuk dibayangkan kepada mereka tentang faedahnya. Tetapi percayalah manfaatnya tetap ada pada manusia.

Perkara yang menjadi kekaguman saya ialah pada teknologi yang digunakan dalam mambantu pengguna untuk sampai ke distinasi. Cuba anda lihat dan dengar suara yang menunjukkan jalan itu baik lelaki mahupun perempuan, dia tidak pernah tidur walaupun kita menggunanya pada jam 2 pagi. Selain itu dia akan terus melayan semua pengguna walaupun dalam sesatu masa sedang digunakan oleh ribuan pengguna.

Padanya, tidak ada alasan sebuk malah tidak pernah rasa hendak marah kepada pengguna yang tidak mahu ikut arahannya. Paling tidak dia akan memberitahu pengguna,”tiada isyarat GPS atau isyarat GPS hilang.” Namun dia tidak pernah berputus asa untuk memberitahu pengguna apabila isyarat bersambung semula.

Di sini saya teringat satu soalan sahabat saya, “bagaimana malaikat maut boleh mencabut nyawa ribuan serentak?” Ya kalau suara petunjuk itu boleh memberi arahan kepada 1000 orang yang pastinya tidak sama distinasinya, mengapa Allah tidak boleh beri kelebihan seperti itu kepada Malaikat maut? Pastinya kecanggihan sistem manusia belum boleh disamakan dengan sistem Allah.

Berbalik kepada suara petunjuk GPS, cuba kita letakkan diri kita di tempat suara itu, “Jalan terus ke hadapan, kemudian beluk ke kanan,” tetapi pengguna terus berjalan, tidak mengikut arahannya sebaliknya terus ke arah yang lain. Apakah anda akan marah? Tetapi suara itu tidak marah namun tetap terus beri arahan, “terus ke hadapan kemudian buat pusingan U ke sebelah kanan.” Saya percaya kalau anda di tempat sistem itu, anda akan marah kepada pengguna itu, “degil orang suruh belok ke kanan dia terus, dah tahu sangat kenapa minta bantuan saya.

Begitulah hebatnya teknologi ciptaan manusia yang akhirnya disukai oleh semua orang. Tetapi tahukah anda bahawa Allah yang menciptakan pencipta sistem GPS itu tentu lebih hebat lagi. Allah mencipta Alam dan mencipta sistem peredarannya. Allah mencipta sistem penyampaian dan sebagainya untuk kepentingan manusia.

Untuk itu, Allah menghantar Rasul untuk memberi petunjuk kepada manusia untuk sampai ke distinasi iaitu syurga. Nabi Muhammad, Rasulullah telah diprogramkan oleh Allah untuk membantu manusia kepada jalan yang betul supaya dengan itu mereka akan sampai ke syurga Allah dengan selamat. Lihatlah sifat Rasulullah, Nabi Muhammad SAW dia bukan sahaja tidak pernah marah malah terus membimbing para sahabat dan orang bukan Islam kepada jalan yang betul.

Ya, tadi saya kagum dengan suara yang bertugas bagi pihak pengendali sistem GPS itu, tetapi kini kita patut lebih kagum kepada sistem Allah yang mengutuskan Nabi Muhammad. Dengan kesabaran baginda, akhirnya ajaran Islam diterima oleh kawan dan musuhnya pada masa itu. Jadi, wajarkah anda meninakkankan kehebatan itu? Kalau begitu ikutlah akhlak baginda yang cantik. Kalau sistem GPS buatan manusia kita boleh terima dengan baik mengapa kita tidak mahu terima petunjuk Allah melalui utusannya nabi Muhammad SAW?

Tiada ulasan: