27 September 2016

BERSIHKAN DIRI DARIPADA DOSA SEBELUM KITA BERAKHIR

Agak berapa lama lagi anda hendak hidup di dunia ini? 10 tahun? 5 tahun? dua tahun? Lima bulan? Tiada seorang pun yang tahu berapa lama lagi yang Allah hendak izinkan kita hidup di dunia ini. Memang semua orang hendak hidup lama sebab itu dia berusaha mencari kesihatan. Tetapi tidak seorang pun tahu bila umurnya akan berakhir di dunia ini.
Kalau semua orang sedar keadaan ini, mengapakah dalam kalangan mereka masih ada sifat berdendam, bermasam muka, membenci orang lain dan bermusuhan yang berpanjangan. Hentikan sengketa, hulurkan tangan bermaaf-maafan, senyumlah kerana senyum itu sedekah. Lakukan semua itu sebelum anda atau kawan anda atau lawan anda diambil Allah.
Tidak guna di hari kematiannya kita menangis menyesal dan sedih kerana tidak sempat memohon maaf dengannya. Kerana waktu itu kamu hanya bercakap dengan mayat dan mayat itu sudah tidak boleh berkata-kata bagi memaafkan anda.
Jadi, siapapun anda, kena ingat bahawa kita dihidupkan Allah di dunia ini sebagai khalifah untuk kesejeteraan manusia dan alam. Ketahuilah dunia tidak akan damai dan tenteram dengan sikap buruk yang disebutkan di atas. Kalau manusia dan alam tidak tenteram, adakah anda rasa Allah reda dengan anda?

Tiada ulasan: