28 Mac 2011

Hukum siapa yang bersalah

Ahmad Baei Jaafar
Sekali lagi kita dikejutkan dengan isu seks membabitkan pemimpin pembangkang negera ini. Dalam teka meneka siapa pemimpin yang dimaksudkan dalam video yang dimaksudkan, tiba-tiba secara berani Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Datuk Shazryl Eskay memberi kenyataan kepada polis Bukit Aman dan juga menyerahkan rakaman video seks dan jam tangan yang didakwa milik lelaki yang beraksi dengan seorang pelacur dalam video berkenaan.
Pada mulanya isu ini dianggap perkara biasa kerana itulah lazim yang akan terjadi menjelang pilihan raya. Apatah lagi pilihan raya negeri Sarawak ini agak menggugat BN. Jadi, imej pembangkang perlu dirosakkan demi mencapai kemenangan BN. Tetapi apabila pendedahan ini melibatkan orang yang ada kepentingan tertentu dengan pemimpin pembangkang itu, isu ini boleh menjadi sebaliknya dan merosakkan nama BN pula.
Dalam artikel ini bukan saya hendak membela satu pihak dan mengutuk satu pihak yang lain, tetapi ingin menjelaskan beberapa pendekatan Islam. Semoga selepas ini umat Islam tidak terikut-ikut dengan budaya syaitan dan kafir.
Drama dalam video yang dimaksudkan itu kalaupun betul watak yang digambarkan adalah pelakon yang dimaksudkan, kita perlu merujuk kepada pendekatan Islam iaitu; Siapa yang mengambil rakaman itu? Bila diambil rakaman itu? Adakah pelakon itu tahu drama itu sedang dirakam atau tidak? Kenapa disebarkan video itu?
Kita andaikan jawapannya begini:
Si  A yang mengambil rakaman itu.
Diambil rakaman itu pada tahun 2000
Pelakon itu tahu dirakam
Disebarkan untuk tujuan bisnes
Kalau itulah jawapannya, maka Si A, pelakon, penyebar telah melakukan kerja dosa dan hasil pendapatan adalah haram.
Tetapi kalau jawapannya untuk soalan akhir adalah untuk mendedahkan keburukan pelakon itu, maka Si A dan penyebar melakukan dua dosa. Pertama dosa mengambil dan kedua dosa berniat jahat. Manakala pelakon hanya berdosa kerana membiarkan perbuatannya dirakam.
Walau bagaimanapun kalau penyebaran itu dilakukan 10 tahun kemudian atau tujuan memburukkan pelakon itu, sedangkan pelakon itu sudah bertaubat atas dosanya, maka pelakon itu tidak lagi berdosa. Manakala yang lain tetap kekal dalam keadaan dosa itu.
Jika soalan adakah pelakon itu menyedari mereka dirakam, maka jawapannya, tidak sedar adegan mereka dirakam, mereka tetap juga berdosa tetapi berdosa dengan Allah, sedangkan Si A melakukan dosa kepada Allah dan pelakon itu.
Hukum ini adalah jelas dan semua pihak perlu faham bahawa seseorang yang berdosa kepada Allah boleh diampunkan apabila mereka bertaubat. Tetapi mereka yang bersalah dengan Allah dan manusia, keampunan tidak akan terjadi selagi dosa itu tidak diampunkan oleh manusia.
Berbalik kepada isu video di atas, kita tidak tahu status video itu yang sebenar kerana tidak diberi peluang untuk menontonnya. Kalaulah jawapan soalan di atas diajukan kepada mereka dan dijawab seperti yang tertera maka itulah hukum yang harus mereka faham.
Tetapi kalau video itu terdapat suntingan yang memasukkan gambar orang lain bagi tujuan jahat, dosa mereka sudah tentu lebih besar lagi. Oleh sebab itu, tokoh di atas perlu dihukum dengan yang selayaknya. Kalau undang-undang Jenayah tidak boleh sabitkan mereka, eloklah semua umat Islam memulaukan mereka.

Tiada ulasan: