17 Jun 2009

Terpaksa amal kerana takut orang kata

Ahmad Baei Jaafar

Kalau seseorang itu tidak mahu melakukan sesuatu kerja kebajikan atau kebaikan kerana takut orang kata dia hendak menunjuk-nunjuk atau riak, maka hakikatnya dia sudah dikira riak. Demikian yang pernah kita jelaskan sebelum ini.

Tetapi ada juga sesetengah kita tidak bersetuju kerana dalam pengetahuannya, seseorang yang melakukan sesuatu kebajikan kerana hendak tunjuk kepada seseorang itulah yang wajar dikira riak. Memangnya logiknya begitu, tetapi di sini Allah, apa sahaja yang kita lakukan atau bertindak kerana orang lain maka ia adalah termasuk dalam riak.

Jadi, orang yang terpaksa melakukan kebaikan supaya orang kata dia orang yang baik atau bertindak tidak mahu berbuat kerana takut orang kata, nak tunjuk-tunjuk maka hakikatnya riak. Mereka ini walaupun buat baik bukan kerana Allah, maka sebab itu wajarlah ditolak amalan mereka.

Selalu berlaku dalam masyarakat kita, seorang pelajar sekolah berlagak baik dan pandai di hadapan orang ramai. Apabila dia bercakap dengan guru, dia bertutur dengan sopan. Apabila masuk waktu solat, dia akan segera ke musolla atau surau. Apabila guru bertanya soalan, dia akan segera menjawab dengan penuh yakin. Padahal di rumah dia amat malas dan tidak bersopan dengan ibu bapa.

Pelajar tersebut bertindak sebegitu supaya semua rakan-rakannya menyatakan dia baik dan hebat. Dia mahu gurunya memujinya berbanding orang lain. Inilah bentuk riak yang sering terjadi dalam kalangan umat Islam. Jika pelajar itu tidak bertaubat dan menjadikan pengalaman itu sebagai rutin harian, nescaya tiadalah pahala yang akan diperolehnya.

Keadaan yang sama turut berlaku dalam sesuatu kariah. Seorang anak muda rajin datang ke masjid terutama pada waktu Maghrib, Isyak, dan Subuh. Dia merajinkan diri sendiri kerana hendak menunjukkan kepada AJK masjid bahawa dia orang masjid. Pada masa yang dia mengharapkan perhatian bakal bapa mentuanya.

Ada juga AJK masjid yang sebelum ini tidak pernah datang masjid, tetapi setelah dia dilantik sebagai AJK masjid dia datang setiap hari untuk menunaikan solat berjemaah. Dalam fikirannya kalau dia tidak datang apa orang kata, nanti orang kata, “nak jadi AJK, tetapi tak datang masjid” malulah aku. Jenis manusia seperti ini memang ada.

Selain itu ada pula bekas AJK masjid yang sebelum ini selalu datang ke masjid, tetapi setelah tidak terpilih sebagai AJK lagi dia terus datang ke masjid. Dalam hatinya terdetik kata-kata, “kalau aku tidak datang ke masjid nanti orang kata aku merajuk pula.” Jadi, dia datang kerana takut orang kata. Bentuk riak seperti ini sungguh bahaya kepada orang jahil.

Berdasarkan contoh yang diberi, mungkin ada orang yang akan kata, kalau begitu tak payah buatlah, kalau buat pun riak. Tapi kita kena ingat, kalau tidak mahu membuat perkara baik kerana takut orang kata juga dianggap riak.

Jelas, contoh ini menunjukkan semua golongan masyarakat tidak terlepas daripada penyakit riak. Mungkin orang awam golongan yang banyak terlibat atas kejahilan mereka. Tetapi ada juga golongan cerdik pandai, yang mereka ini terpaksa melakukannya dalam keadaan sedar kerana hendak menyembunyikan sesuatu.

Suka dijelaskan di sini, ibadah yang dilakukan oleh ahli riak ini sah di sisi Allah, tetapi tidak dapat pahala langsung berdasarkan sebuah hadis Qudsi yang antara lain bermaksud, “Barang siapa yang lakukan semua itu bukan kerana Aku, pergilah minta pahala kepada mereka yang kerananya kamu melakukan ibadah itu.”

Selain itu, walaupun ibadah itu sah, belum tentu diterima oleh Allah kalau ibadah itu dilakukan dengan lalai dan hatinya tidak khusyuk kepada Allah. Bayangkan kalau ibadah seperti itu Allah tidak terima malah akan dimasukkan ke neraka wil. Firman Allah seperti yang disebut dalam Surah al-Maun; “Neraka Wil bagi yang melakukan solat, tetapi mereka lalai melakukan solat dan mereka menunjuk-nunjuk,” (Surah al-Maun: 4-6).

Kalau yang melakukan ibadah boleh dimasukkan ke dalam neraka, apakah pula kedudukan mereka yang tidak mahu melakukan solat atau tidak mengikut peraturan, syarat dan rukunnya, mereka hakikat melakukan dosa derhaka kepada Allah. Jadi, sebagai umat Islam mereka tidak boleh lepas daripada melakukan ibadah, menyembah Allah.

Oleh sebab pengamal riak ini terdiri daripada golongan orang awam yang jahil, ingin saya mengajak anda sekalian kepada suatu kaedah yang boleh menyelamatkan kedudukan itu. Setidak-tidaknya, mereka masih ada peluang untuk mendapat pahala. Kalau tidak dapat semua, harap-harapnya tidaklah balik kosong.

Caranya mudah, apabila anda sedar ketika melakukan ibadah itu terdetik niat untuk seseorang atau sedang anda melakukan kerja-kerja kebajikan, datang rasa ingin menunjuk-nunjuk kepada seorang gadis, atau hendak tunjukkan kebaikan diri kepada orang lain, maka segerakan bertaubat. Istighfarlah berulang kali dan betulkan niat itu kepada Allah. Ini sahaja yang boleh memberi semula roh ibadah tersebut. Semoga dengan itu dikembalikan pahala kepada anda.

Sesungguhnya Allah menilai niat seseorang pada setiap detik ibadahnya dan yang paling penting pada akhirnya. Maknanya kalau seseorang itu melakukan solat dengan ikhlas kepada Allah pada awalnya, maka Allah menilainya dengan satu kebajikan. Mungkin pada pertengahan solat, pahalanya meningkat menjadi 10 kebajikan. Tetapi pada akhirnya dia lalai atau berubah niat menunjuk kepada seseorang, maka semua pahala yang sebelumnya akan terbatal.

Sebaliknya kalau seseorang itu pada niat awalnya untuk menunjukkan kepada bapa mentuanya, begitu juga pada pertengahan. Tetapi pada akhir solatnya dia tersedar lalu dia betulkan niat, ikhlas hanya kepada Allah, maka dia dapat juga satu kebajikan daripada 27 keseluruhannya. Kedudukannya ketika itu tentu lebih baik daripada orang sebelumnya yang langsung tidak mendapat pahala.

Sahabat, teman dan rakan sekalian insaflah bahawa segala yang kita lakukan di muka bumi ini dinilai oleh Allah. Kalau kita lakukan kerana kehendak Allah, kita akan dikurniakan ketenangan dan kesenangan di dunia dan akhirat. Tetapi kalau kita lakukan untuk orang lain, orang lain itu tidak akan mampu memberi ketenangan dan kesenangan itu kerana mereka pun belum tentu nasibnya.

2 ulasan:

Paan Lee berkata...

Salam ustaz, :)

kebanyakan kwn sy jenis yg tak semayang dan bukan dr kalangan budak yg religious dan budak masjid, jadi kalau sy semayang kene sorok2 kadang2 sebab bimbang mereke akan mengata. so, bila ustaz terangkan hal ni, jelasla sy juga berkelakuan riak. sy akan cuba ubah yg ini, ibadah ikhlas untuk Allah...bukan utk orang lain.

-by the way ustaz, tadi terjumpe Solusi semasa sy beli kain ihram pagi tadi, nak beli tapi duit cukup2 dan takde lebih, mungkin esok lusa sy akan beli. isinya nampak menarik.

terima kasih ustaz.. :D

Tanpa Nama berkata...

Alhamdulillah, semoga Allah beri hidaya kepada anda dan temanku yang pembaca artikel ini. Terima kasih kerana memberi perhatian kepada Solusi.