23 Oktober 2013

Benarkah masjid tidak mesra kanak-kanak?

Ahmad Baei Jaafar

Persoalan yang bermain di dalam fikiran saya ialah mengapa semakin ramai lelaki yang suka membawa anak kecil mereka untuk solat Jumaat atau jemaah di masjid di sebelahnya sebaris dengan jemaah dewasa yang lain. Adakah kerana mereka hendak isytiharkan bahawa anaknya sudah berkhatan, atau adakah hendak beritahu bahawa dia berpegang kepada hukum tidak salah bawa anak bersolat kerana Rasulullah sendiri solat dalam keadaan mendokong cucunya.
Apabila persoalan ini diketengahkan kepada rakan facebook, ramai juga ahli feqah yang memberi komen. Sebahagiannya, mengatakan tidak salah bawa anak di sebelahnya bahkan sebaris dengan saf dewasa. Tidak kurang juga yang tidak bersetuju dengan sikap lelaki yang membawa anak itu. Dalam pada itu saya menunggu juga kalau-kalau ada ulama besar yang sudi memberi komen dan memberikan hujah yang ilmiah, tetapi tidak ada.
Secara peribadi saya tidak berani hendak menyanggah pendapat yang dikemukakan mereka apatah lagi kalau pendapat berasaskan pandangan ulama baik moden mahupun lama. Hal ini kerana mereka ada hujah yang semuanya diambil daripada hadis Rasulullah. Tetapi sebagai penulis yang kepakaran saya adalah dalam soal feqah rasa tercabar juga tatkala membaca pendapat yang tidak cermat hingga boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat.

Tarbiah anak solat
Saya bersetuju dengan pandangan yang mendakwa masjid tidak mesra kanak-kanak kerana sering menengking dan menghalau kanak-kanak yang membuat bisang. Tetapi saya tidak bersetuju dengan dakwaan yang sama terhadap masjid yang menyediakan ruang khas untuk kanak-kanak. Malah penyediaan tempat khas di belakang saf dewasa adalah tindakan mesra kanak-kanak.
Sebenarnya tidak siapapun yang boleh menghalang Jemaah lelaki mahupun perempuan untuk membawa anak ke masjid. Islam tidak larang perbuatan itu malah menggalakkannya demi tarbiah. Tetapi yang Islam larang ialah perbuatan membiarkan anak membuat bising hingga mengganggu Jemaah lain menunaikan solat.
Sungguhpun begitu untuk mencapai tujuan tarbiah, ibu bapa perlu terlebih dahulu melatih anaknya di rumah. Maknanya di rumah lagi anak itu diajar cara pergerakan solat, cukup yang asas dahulu. Sebelum keluar rumah pesan kepadanya berkali-kali “jangan bising dan berlari-lari di dalam masjid” dan sebagainya. Saya percaya kalau setiap kali membawanya ke masjid dilakukan latihan di rumah tentu lambat laun mereka akan faham dan terdidik.
Tetapi realiti yang berlaku pada hari ini, mereka bawa anak sama ada kerana anak itu hendak ikut bapa atau hendak senang jaga anak. Mereka yang membawa anak atas sebab pertama, sebaik sahaja sampai di masjid akan dilepas bebas anaknya di atas masjid membuat bising. Bagi mereka yang membawa atas alasan kedua akan meletakkan anak di sebelahnya waktu solat supaya senang dikawal. Padahal mereka dalam golongan itu tidak perdulipun anaknya sama ada solatnya betul atau tidak, pusing kanan dan kiri malah berjalan di hadapan saf pun dia tidak marah. Kalau keadaan ini yang terjadi, di mana tarbiahnya. Hakikatnya falsafah tarbiah sudah hilang.
Keadaan bapa yang membawa anak ini jangan disamakan dengan Rasulullah dengan cucu-cucunya. Ya, Rasulullah bawa cucu ke masjid, apakah cucu-cucu baginda buat bisang? Ya, cucu Rasulullah naik atas belakang baginda waktu sujud, adakah cucunya mengganggu saf Jemaah lain? Kedudukannya tidak sama, malah ibarat langit dengan bumi.
Perhatikan hadis yang sering digunakan sebagai hujah iaitu daripada Abu Qatadah al-Ansori r.h. beliau berkata:
رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى الله عليه وَسَلَّم يَؤُمُّ النَّاسَ وأُمَامَةُ بِنْت أبِي العَاص وَهِيَ ابنَةُ زَيْنَبَ بِنْت النبي صَلَّى الله عليه وَسَلَّم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِن السُّجُوْدِ أَعَادَهَا.
Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah s.a.w. Apabila baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun daripada sujud baginda mengangkatnya semula.” (RiwayatImam Muslim)
Apa yang anda nampak pada hadis ini?
  1.  Rasulullah menjadi imam.
  2. Cucunya Umamah binti Abi al-As.
  3.  Rasulullah mengendung atau mendokong cucunya.

Berdasarkan pemerhatian ini, ternyata hadis ini tidak menjawab masalah yang ditimbulkan. Kenapa? Suka dinyatakan di sini kedudukan imam di hadapan makmum tidak boleh disamakan dengan kedudukan makmum yang ramai. Boleh jadi kalau Rasulullah menjadi makmum, dia tidak membawa cucunya itu. Selain itu cucu baginda yang diam tidak mengganggu makmum sangat berbeza dengan anak yang berada dalam saf makmum boleh mengganggu keselesaan makmum lain.
Cucu perempuan yang dibawa itu memang sah tidak mengandung najis kerana kedudukan anak lelaki dengan anak perempuan tidak sama. Selain anak perempuan tidak mengandung najis, ibu sangat menjaga kebersihan kanak-kanak. Berbeza pada zaman ini, kanak-kanak yang dibawa masih memakai pampers yang pastinya bernajis (kecuali kalau baru pakai).
Kita andaikan pula jika cucunya lelaki sama ada Hasan atau Husain melakukan amalan yang sama seperti Umamah, masih kita tidak boleh samakan dengan keadaan kita hari ini kerana lazimnya kanak-kanak pada zaman Rasulullah sudah berkhatan sebaik sahaja mereka dilahirkan. Ertinya pada bahagian zakar kanak-kanak itu sudah tidak mengandungi najis.
Saya tahu ada pihak yang mempertikaikan soal najis ini, kononnya tidak ada nas menyatakan kanak-kanak yang belum berkhatan bernajis. Memang tidak ada nas, tetapi jelas tujuan berkhatan untuk lelaki adalah untuk memudahkan najis kecing dibersihkan. Saya percaya semua orang lelaki tahu, kalau sebelum berkhatan, air kencingnya masih tersangkut pada bahagian kulupnya.
Bayangkan kalau seseorang yang sudah baligh tetapi belum berkhatan, maka sebelum solat dia perlu beristinjak dengan membersihkan bahagian dalam kulup itu. Tetapi bagaimana dengan kanak-kanak, tahukah mereka hal ini? Maka sebab itu kalau mereka belum berkhatan, mereka dianggap sentiasa dalam membawa najis kecing itu. Jadi, sekali lagi ditegaskan, kanak-kanak itu tidak najis tetapi dia menyimpan najis.
Berbalik kepada hadis di atas, baginda mengendung cucu waktu berdiri. Perbuatan Rasulullah itu juga langsung tidak mengganggu Jemaah. Tetapi keadaan yang berlaku dalam masyarakat kita, anak itu dibiarkan berlari-lari di hadapan saf dewasa. Dan kadang-kadang anak itu mengambil ruang yang luas kerana sering menoleh kiri, kanan dan belakang. Keadaan ini menjadikan Jemaah tidak selesa dengan kehadiran anak itu.

Saf kanak-kanak
Melihat kepada keadaan di atas memang wajarlah ulama membuat garis panduan tentang saf iaitu, selepas imam jemaah lelaki dewasa, kanak-kanak, kanak-kanak perempuan dan perempuan dewasa berada di akhir sekali. Kedudukan ini adalah releven dan sesuai dengan hadis daripada Anas r.h. beliau berkata:
أنَّهُ عَلَيْهِ الصَّلاَةُ وَالسَّلاَم صَلَّى في بيتٍ أُمِّ سُلَيْمٍ فَقُمْتُ أَناَ وَيَتِيْمٌ خَلْفَهُ وَأُمِّ سُلَيْم خَلْفَنَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. bersolat dirumah Ummu Sulaim, aku (Anas) dan seorang anak yatim mengikutnya bersolat dibelakang baginda dan Ummu Sulaim dibelakang kami.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Susunan saf berdasarkan hadis ini adalah untuk jemaah seramai tiga orang. Anas dan anak yatim (umurnya belum baligh) mestilah sebaris. Tentu tidak logik dalam keadaan itu anak yatin itu diletakkan di belakang. Lagipun anak yatim ini tidak berlari seperti anak orang Melayu. Manakala saf perempuan di belakang sekali.
Perlu dijelaskan lagi, kanak-kanak pada zaman Rasulullah seusia 7 tahun sudah mula solat dengan betul walaupun tidak selengkap orang dewasa. Kanak-kanak yang masih kecil seperti Umamah dan Hasan dan Husain mungkin belum diajar solat, tetapi yang pasti mereka ini sudah mumaiz maka sebab itu boleh dibawa ke masjid. Mereka ini tahu menghormati masjid dan orang yang solat.
Sebenarnya susunan saf di masjid kita pada hari ini masih mengikut apa yang disebut dalam hadis di atas. Maka susunannya hendak mengikut keutamaan yang kalau jemaah dewasa ramai biarkan kanak-kanak diletakkan di belakang tetapi di hadapan perempuan. Cuma biasanya di negara kita, saf perempuan tidak diletakkan di belakang tetapi di sebelah kiri belakang saf dewasa. Walaupun susunan itu tidak menepati sunnah namun masih releven buat masa ini.
Sesungguhnya pengasingan saf kanak-kanak di belakang bukan bermakna tidak mesra kanak-kanak tetapi supaya mereka berada dalam saf sesama kumpulan mereka. Susunan ini menjadi lebih cantik kalau kanak-kanak ini sudah dibiasakan dengan solat yang betul. Cuma suka saya betulkan kenyataan di sini, kedudukan saf kanak-kanak ini bukan kerana mereka belum berkhatan tetapi kerana mereka kanak-kanak. Maknanya kalau pun mereka sudah berkhatan tetapi belum baligh eloklah duduk di barisan kanak-kanak.
Suka ditegaskan juga, kanak-kanak yang tidak digalakkan berada di saf dewasa ini bukan kerana mereka belum baligh tetapi kerana mereka adalah kanak-kanak. Susunan ini adalah untuk menunjukkan adab atau disiplin yang ada dalam Islam. Sungguhpun begitu kanak-kanak yang belum baligh tidaklah diharamkan duduk di saf dewasa malah dia boleh menjadi imam kalau dia sudah boleh membaca al-Quran dengan baik.

Saranan kepada lelaki
Wahai kaum lelaki, kalau anda masih hendak bawa anak ke masjid pastikan perkara berikut:
  1. Sudah mumaiz
  2. Sudah diajar disiplin solat
  3. Sudah diajar adab di dalam masjid
  4. Awasi anak kalau dia mengganggu jemaah
  5. Jika hendak solat bersama anak duduklah di saf belakang yang tidak menggangu jemaah lain.
  6. Jika anak membuat najis di dalam masjid (terkencing atau terberak), tolong bersihkan kawasan itu.


Kalau syarat ini dapat dipenuh, anda boleh bawa anak anda seramai manapun ke masjid. Ingatlah masjid untuk melakukan ibadah dan belajar agama. Biarlah anak yang dibawa itu boleh mendapat manfaat seperti yang anda dapat. Wallahu aklam.

Tiada ulasan: