Ahmad Baei Jaafar
Hijrah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW suatu yang unik
semata-mata untuk menyelamatkan Iman dan Islam pada diri orang Islam. Pada
hijrah pertama ke Habshah mereka berhijrah kerana tidak tahan dengan gangguan
akidah oleh orang Quraisy. Maka dengan hijrah itu mereka dapat mempertahankan
iman mereka daripada digugat oleh fahaman lama.
Hijrah pada kali kedua ke Madinah masih atas sebab yang sama
tetapi di sana sudah ada tapak yang selamat bagi mengembangkan Islam. Maknanya
mereka yang berhijrah ke Madinah terdiri daripada orang yang sudah teguh
imannya dan bersedia mempertahankan Islam sekali gus menyebarluaskan ajaran
Islam kepada umum.
Ternyata, selepas hijrah itu Islam semakin dikenali dan
diminati oleh orang ramai baik orang tempatan mahupun orang luar Madinah. Kejayaan
besar dalam hal ini ialah apabila semua orang Quraisy Makkah memasuki Islam
secara berduyun-duyun. Maka sebab itulah selepas pembukaan kota Makkah tidak
lagi dianjurkan berhijrah. Lihatlah hadis Rasulullah SAW:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِي
اللَّه عَنْهمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّم:َ
لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ وَإِذَا
اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا
Maksudnya : Daripada Ibn ‘Abbas r.ahuma, katanya: sabda RasululLah
s.a.w: “Tiada hijrah selepas pembukaan kota Makkah, sebaliknya jihad dan niat.
Apabila kamu diminta keluar berjihad maka keluarlah”. (Riwayat al-Bukhari
1986M: 3/1025)
Jelas daripada hadis ini, tiada lagi anjuran hijrah kerana
iman para sahabat sudah tidak mudah digugat oleh sesiapapun. Pada masa yang
sama Islam sudah boleh diterima oleh dunia kerana sudah ada model yang boleh
dicontohi.
Kenapa Masih Hendak Hijrah?
Islam bertambah baik pada setiap zaman
kekhalifahan bermula dari Zaman Khalifah Abu Bakar as-Siddiq. Bertambah meluas
tamadunnya pada zaman Umaiyah dan Abbasiah. Hal ini kerana umat Islam pada
setiap zaman itu berjihad mengikut bidang masing-masing terutama ilmu.
Kemuncak Islam adalah pada zaman pemerintahan
kerajaan Uthmaniah yang umat Islam sudah berada di seluruh dunia. Semua umat
Islam ketika itu menjadi pendakwah secara tidak langsung. Malah mereka tidak
lagi digugat oleh sesiapa meski pun berada dalam kelompok pengamal agama lain.
Melihat perkembangan itu maka amat
munasabahkan mengapa Rasulullah melarang umat Islam berhijrah selepas pembukaan
kota Makkah itu. Memang tidak ada alasan lagi bagi umat Islam untuk lari
daripada perjuangan masuk ke dalam hutan. Apatah lagi kita kini sudah berada pada
kurun 21, semuanya sudah berubah ke arah yang lebih baik.
Oleh sebab itu kerja dakwah kepada
orang bukan Islam tidak boleh ditinggalkan. Maka setiap orang ada peranan dalam
dakwah mengikut bidang masing-masing. Jadi, sesuai dengan semangat hadis di
atas, istilah hijrah sepatutnya tidak dipopular lagi pada hari ini. Sebaliknya,
kita perlu popularkan jihad dan niat untuk merubah dunia kepada Islam.
Kalau begitu, apakah niat yang harus dibuat
oleh umat Islam? Ya, niat kita bukan lagi untuk menyelamatkan iman tetapi lebih
daripada itu untuk menyelamatkan akidah manusia lain. Oleh sebab itu hijrah dalam
konteks ini tidak boleh disamakan dengan berpindah lagi.
Jadi, umat Islam perlu berazam untuk
merubah fizikal atau iklim dunia ke arah Islam. Maka, ubah di sini bukan
sekadar ubah peribadi daripada jahat kepada baik, daripada akhlak buruk kepada
akhlak comel. Malah bukan ubah tempat tinggal ke suatu penempatan yang lebih
selesa. Semua itu tidak ada kena mengena dengan hijrah selepas pembukaan kota
Makkah.
Ubah Hijrah Kepada Jihad
Jihad senonim dengan perang tetapi pada
hari ini kita perlu perluaskan pengertiannya kepada selain perang bersenjata. Perang
bersenjata cukuplah kita serah kepada tentera dan polis, kerana mereka pakar
dalam soal kawal keselamatan negara dan Islam. Tetapi perang melawan musuh
tanpa senjata lebih luas malah melibatkan semua orang termasuk tentera.
Kalau begitu siapa musuh umat Islam? Islam
mengkategori musuh Islam kepada tiga iaitu nafsu, orang kafir dan syaitan.
Untuk jihad melawan nafsu ialah dengan mujahadah; mengekang kehendak nafsu
dengan menggantikan kehendak itu kepada kehendak yang lain. Jika nafsu
mendorong kita supaya tidak berderma, maka mujahadah yang patut dibuat ialah
segera mengeluarkan wang dan mendermakan wang itu kepada pihak yang memerlukan.
Manakala berjihad melawan orang kafir
ialah dengan mendekati mereka dengan dakwah sama ada dengan berdialog atau mempromosikan
akhlak yang baik agar mereka dapat tertarik kepada Islam. Dengan cara itu,
kalaupun mereka tidak memeluk Islam, mereka tidak lagi memusuhi orang Islam.
Adapun berjihad melawan syaitan, cukuplah
dengan membiarkan gelagat syaitan tanpa melayani bisikannya. Ketahuilah jika
kita melayan bisikan syaitan, lambat laun kita akan terpengaruh dengannya dan
akhirnya kita akan melakukan dosa dan maksiat. Sebenarnya, antara sifat syaitan
apabila kita melayan bisikannya, dia akan gemuk. Tetapi kalau kita tidak melayannya,
syaitan akan kurus kering.
Kalau Semua Umat Islam Berjihad
Percayalah apabila semua umat Islam
bangun berjihad, umat Islam dan negara Islam akan maju dan membangun. Umat
Islam akan menjadi ketua yang dihormati oleh musuhnya. Pada masa yang sama umat
Islam akan bergerak pantas dalam memajukan diri dan negara. Hal ini kerana
syaitan sudah malas menggoda manusia.
Negara kita sudah 56 tahun merdeka, dan
negara sedang menuju kemuncak jaya. Di kesempatan ini kalau umat Islam
benar-benar bangun berjihad dalam tiga perkara di atas sudah tentu pembangunan
yang kita kecapi kini menepati kehendak Islam. Ketika itu bukan sahaja orang
Islam dapat menguasai ekonomi tetapi orang bukan Islam pun akan turut mendapat
manfaatnya.
Tetapi realiti yang dapat kita lihat
hari ini, kebanyakan umat Islam tidak benar-benar berjihad melawan kehendak
nafsunya. Kesannya, sesama umat Islam saling bercakaran walaupun dalam soal
yang remeh temeh. Manakala sesama umat Islam yang berniaga misalnya sering
berdengkian. Oleh sebab itu ekonomi umat Islam masih di tahap yang lemah.
Selain itu umat Islam juga tidak
berjihad dengan betul dalam melawan orang kafir, malah orang Islam sendiri
menjadi seperti orang kafir mengabaikan ajaran Islam. Kesannya, kita tidak
mendapat apa-apa kebaikan daripada orang kafir sedangkan kita sentiada bersama
dengan mereka. Meskinpun kita boleh bergaul dengan mereka, namun mereka masih
curiga terhadap Islam dan kita juga curiga terhadap mereka.
Saya percaya kalau umat Islam boleh
berperanan seperti yang dijelaskan di atas, umat Islam boleh menguasai dunia
ini dengan bantuan dan kerjasama orang kafir yang telah kita jinakkan. Inilah
yang pernah dilakukan pada zaman Rasulullah dan khalifah selepasnya.
Menyedari keadaan ini umat perlu
berazam untuk berjihad mengikut bidang dan kepakaran masing-masing. Tetapi jika
umat Islam tidak mahu menyahut seruan jihad ini nescaya gelaplah masa depan
umat Islam dan umatnya. Firman Allah SAW yang bermaksud:
“Jika kamu tidak berangkat untuk berjihad
nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksaan yang pedih dan digantinya (kamu)
dengan kaum yang lain, sedangkan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan
kepada-Nya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah at-Taubah
: 39)
Maka sebelum kita dipanggil Allah
buatlah sesuatu demi menyelamatkan Islam dan umatnya di dunia ini. Ingatlah
sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang mati dan tidak
berjihad dan tidak berniat di dalam hatinya untuk berjihad maka dia akan mati
dalam keadaan mati jahiliyyah."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan