Korban dalam bahasa Melayu boleh difahami dalam banyak
maksud. Orang yang terinaya oleh sesuatu keadaan dikatakan korban. Mangsa yang
terlibat dalam kemalangan juga dikatakan korban. Memberi sesuatu demi agama
juga dikatakan korban. Tetapi kalau perkataan korban dirujuk kepada bahasa Arab
bermaksud dekat – dekat dengan Allah.
Sungguhpun begitu kalau korban itu dirujuk kepada ibadah
menyembelih binatang ternakan pada hari-hari 10-13 Zulhijah diistilahkan sebagai
“udhiyah”. Namun dalam bahasa Melayu masih menggunakan istilah korban. Ibadah
ini akan bermula selepas solat hari raya Aiduladha sehingga hari ke 13 Zulhijah
sebelum terbenam matahari.
Ibadah ini disebut korban kerana untuk melakukan penyembelihan
binatang ternakan perlukan pergorbanan. Maknanya sebelum boleh menyembelih
seseorang itu perlu korbankan wang untuk membeli binatang tersebut. Atau perlu
korbankan perasaan sayang kepada binatang yang dipeliharanya sekian lama.
Yalah, kalau dia jual dapat hasil keuntungannya.
Walau apapun makna korban, ada pihak terseksa atau terkorban
kecuali mereka beriman kepada Allah dan Rasul. Bayangkan kalau orang yang terinaya
kerana sesuatu keadaan lalu dia berserah kepada Allah kerana akur dengan takdir
Allah pasti jiwanya tentang. Begitu juga dengan yang terkorban dalam sesuatu
kemalangan, jika redha dengan takdir ini tentu besar pahala. Apatah lagi kalau
dia korbankan kambing kesayangannya tentu besar nilaian Allah.
Korban Zaman Rasulullah
Jika kita lihat kepada amalan ibadah korban pada zaman
Rasulullah, hanya melibatkan kibas dan unta. Hal ini kerana pada zaman itu
kibas dan unta sahaja yang dipelihara untuk tujuan perdagangan selain untuk
makanan mereka sendiri. Selain itu setiap individu dipercayai memelihara kibas dalam
kadar yang kecil untuk kegunaan sendiri.
Walau bagaimanapun unta ini tidak dipelihara kecuali untuk
tujuan komersial sama ada dijual atau untuk sewaan kenderaan. Oleh sebab unta tidak
mampu dimiliki oleh semua orang, maka unta dianggap bahan mewah. Berdasarkan kedudukan
itu orang Islam dicabar supaya berkorban dengan menyembelih unta atau kibas dalam
sabdanya yang bermaksud:
“Barang siapa mempunyai kesanggupan dan kemampuan (untuk berkorban)
tapi tidak mahu berkorban maka janganlah dia mendekati Musholla kami.”
Tentu
dengan cabaran ini semua sahabat boleh berkorban dengan menyembelih kibas. Hal
ini kerana mereka masing-masing memelihara kibas. Tetapi kalau semua menyembelih seekor kibas,
kepada siapa pula daging itu boleh diagihkan. Ya, kalau mereka memikirkan hak
dan kepentingan sendiri tentu mereka akan sembelih dan makan sendiri. Tetapi
dalam ajaran Islam setiap korban, pemilik hanya boleh makan sendiri sebanyak
1/3 sahaja.
Berdasarkan
hukum itu, mereka akur dan mengagihkan daging korban itu sesama mereka dengan
tukar menukar daging korban. Jadi, mereka dapat merasai daging korban orang
lain. Di sini tidak timbul isu pembaziran kerana lazimnya seekor kibas boleh
dimakan oleh satu keluarga orang Arab.
Tetapi
bagaimana dengan korban unta? Tidak semua sahabat mampu memilik unta. Maka di
sini orang yang layak berkorban untuk ialah orang yang memelihara unta terebut.
Tetapi kalau orang lain mampu membeli unta tentu mereka boleh lakukan. Tapi
bolehkah mereka lakukan perintah korban kalau mereka tidak ada wang?
Falsafah korban lebih besar
Sebenarnya amalan korban yang direalisasikan pada zaman
Rasulullah SAW berdasarkan falsafah yang ditetapkan. Berdasarkan korban zaman
Rasulullah dapat kita fahami falsafah korban iaitu suatu tuntutan perjuangan
untuk mengenepikan rasa cinta kepada wang, perasaan, dan nyawa. Mungkin dalam
hal ini pengorbanan seseorang tidak sama antara satu sama lain.
Mungkin pada orang kaya mereka perlu korbankan perasaan. Mereka
banyak harta, banyak unta dan kibas tetapi untuk menyahut seruan korban, mereka
perlu korbankan perasaan sayang kepada harta tersebut. Namun mungkin pada orang
miskin lain pula cabarannya. Mereka perlu korbankan wang yang sentiasa tidak
cukup. Maka mereka perlu mencari wang tambahan untuk membolehkan mereka
mendapat kibas dan sembelih.
Falsafah korban yang berjaya dilakukan oleh golongan kaya mahupun
miskin adalah tanda mereka redha dengan cabaran Allah. Sungguhpun begitu bentuk
pengorbanan ini adalah cabaran awal yang merupakan latihan ke arah pengorbanan yang
lebih besar. kalau umat Islam boleh melakukan korban wang dan perasaan tentulah
suatu hari nanti mereka mampu melakukan korban yang melibatkan nyawa dan darah.
Lihatlah sahabat Rasulullah seperti yang telah disebut di
atas, apabila mereka mampu korbankan wang dan perasaan dengan menyembelih kibas
dan unta, maka tiada halangan untuk mereka turun ke medan perang melawan musuh
bagi mempertahankan Islam dan negara. Tawaran sukar ini disambut dengan baik. Mereka tidak sayangkan nyawa dan darah
mereka, malah terus mengejar syahid.
Keadaan itu kalau kita bawa ke zaman ini tentu jauh bezanya.
Lihatlah berapa ramai umat Islam yang kaya boleh korbankan perasaannya?
Biasanya orang kaya sekarang sanggup berkorban adalah kerana wang sudah banyak,
lalu dengan itu dia tidak ada rasa sayang dengan berkurangan wang mereka.
Manakala orang miskin pula, mereka bukan sahaja tidak sanggup berkorban wang
ringgit malah menjadi alasan kuat untuk mereka tidak melakukan korban.
Kalau begitulah kedudukan kita pada hari ini mampukah kita
sahut cabaran untuk korbankan nyawa dan darah di medan perang? Inilah realiti
umat Islam pada hari ini. Mereka tidak sanggup untuk korbankan nyawa dan darah
untuk mempertahankan Islam dan negara. Percayalah mereka yang sanggup masuk angkatan
tentera, asalnya bukan kerana mahu berkorban tetapi kerana jaminan gaji tetap
dan pencen sepanjang hidup.
Sudahkah kita berkorban?
Tahun ini kita akan menempuh hari-hari korban lagi. Kalau
orang di Kelantan dan Terengganu amalan membuat korban adalah secara keluarga. Tetapi
kalau orang negeri-negeri lain mereka buat korban melalui anjuran masjid.
Walaupun sesebuah masjid membuat korban lebih 10 ekor lembu, namun kalau hendak
dibandingkan dengan peratus penduduk sekitar kariah tersebut adalah masih kecil
mereka yang sanggup berkorban.
Oleh sebab tidak ramai yang berkorban, maka agihan kepada
anak kariah tidak boleh merata dan tidak boleh dalam kadar yang banyak.
Persoalannya, adakah mereka yang tidak berkorban itu kerana tiada wang atau sayangkan
wang? Kalau jelas mereka tiada wang kenapa tidak usahakan untuk mendapatkan
wang tambahan untuk membolehkan mereka membeli lembu atau kambing korban?
Kalau kita sedar pentingnya seruan supaya berkorban tentu
mereka akan usahakan untuk mengumpul wang secara bulanan untuk membolehkan
mereka berkorban. Kalau cara ini boleh dilakukan sudah layaklah mereka dianggap
telah melakukan korban. Ingatlah orang kaya yang sanggup berkorban kerana wang
banyak belum tentu boleh dinilai sebagai telah berkorban.
Sebenarnya orang kaya yang hendak berkorban seharusnya bertindak
atas dasar hendak korbankan perasaan sayangkan terhadap harta atau wang. Kalau
dia sanggup korbankan perasaan sayang kepada wang ringgitnya lalu wang itu
dibelinya binatang korban, barulah nilai korbannya tercapai. Saya percaya kita semua
mampu berkorban pada tahun ini berdasarkan falsafah korban di atas.
Dalam hal ini Rasulullah memberi jaminan dengan sabdanya
yang bermaksud:
“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah
pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang
dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan
kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang
itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan redha akan ibadat
korban yang kamu lakukan.” (Riwayat al-Tirmizi)
Yakinlah kalau Allah redha dengan pengorbanan yang kita laku
apa lagi yang kita harapkan dengan korban ini. Oleh sebab itu sewaktu kita
melakukan korban dengan sembelihan binatang ternakan redhalah dengan wang yang
dikeluarkan, lepaskan rasa sayang kepada harta yang dimiliki dengan ketentuan
Allah. Saya yakin dengan cara ini kita akan mampu tingkatkan korban kita ke
arah korban nyawa dan darah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan