21 Mac 2013

Politik dan berpolitik tidak sama


Ahmad Baei Jaafar

Orang Melayu sehingga ke hari ini masih terkeliru dengan politik meskipun kita sudah merdeka sekian lama. Hal ini kerana kita sering diberi penjelasan yang salah tentang politik, apatah lagi kita selalu dibui mimpi oleh orang politik yang umumnya amat tidak bermoral.
Menjelang pilihan raya ke 13 ini saya ingin mengambil sedikit masa untuk membuat penjelasan tentang perbezaan antara politik, orang politik, parti politik dan main politik. Semoga dengan ini kita akan menjadi orang yang berpolitik secara profesional.
Politik dari sudut bahasa ialah mengurus, mentadbir dan melaksanakan sesuatu urusan dengan sempura. Orang yang menguruskan itu sudah tentu melaksanakannya secara bijaksana dan pandangan yang tajam. Jadi, politik akan ada dalam urusan kerajaan, masjid, persatuan dan seumpamanya.
Jelas di sini, segala urusan untuk memajukan kerajaan, mengatur ekonomi negara dan mensejahterakan rakyat termasuk dalam urusan politik. Begitu juga dengan urusan masjid, persatuan dan seumpamanya. Jika urusan pentadbiran masjid gagal dan kemajuannya tidak seberapa, ini bermakna politiknya lemah.
Orang politik ialah orang terlibat dalam urusan memajukan negara dan mengurus rakyat agar menjadi orang yang berjaya. Orang politik bekerja keras dengan merancang dan mengeluarkan idea yang baik untuk membangunkan negara dan keselamatan rakyat.
Parti politik ialah persatuan atau pertubuhan yang terlibat secara langsung dalam urusan kerajaan iaitu mengurus, mentadbir dan membangunkan negara. Parti politik dianggotai oleh orang politik. Jadi, parti politik digerakkan oleh orang politik. Maknanya berjaya atau tidaknya parti politik itu banyak bergantung kepada kualiti orang politik yang menganggotainya.
Orang politik dalam menjalankan tugasnya kadang-kadang akan “main politik” atau “berpolitik”. Mereka akan main politik apabila berniat jahat untuk menjatuhkan orang lain (musuh politik). Mereka akan memburukkan lawan dengan membuat fitnah atau meniti atas kelemahan musuhnya. Sebenarnya main politik ini juga berlaku dalam persatuan dan masjid bahkan dalam pejabat.
Sebahagian mereka “berpolitik” dengan baik dan secara profesional dalam memajukan negara dan rakyat. Mereka tidak menjatuhkan musuh secara jahat  tetapi dengan menunjukkan hujah yang baik sekali gus mematahkan hujah musuh atas kelemahan hujahnya.
Berdasarkan penjelasan di atas, kita lihat pada hari ini, orang politik banyak main politik daripada berpolitik. Apabila keadaan ini berleluasa, parti politik dilihat dalam banyak hal gagal melaksanakan pengurusan kerajaan dengan cekap terutama dalam membangunkan negara dan rakyat.
Saya percaya kalau orang politik boleh berpoltik secara profesional, bukan sahaja mereka tidak bermusuhan dengan parti politik lawan, malah negara akan bertambah maju dan rakyat berada dalam aman. Malah rakyat boleh bebas bercakap dan bergerak dalam negara.
Sehubungan dengan itu suka saya menyentuh sedikit soal larangan bercakap politik dalam masjid. Larangan ini merujuk kepada aktiviti parti politik. Maknanya orang politik dilarang menggunakan pentas masjid untuk kempen parti politiknya. Masjid sepatutnya bebas daripada pengaruh parti politik. semua orang tanpa mengira apa parti politik yang mereka sertai, boleh masuk dalam masjid dengan aman.
Walau bagaimanapun penceramah dan jemaah masjid boleh bercakap soal pengurusan dan pembangunan negara dan rakyat. Mereka boleh memberi pandangan kepada pemerintah jika terdapat sesuatu yang tidak kena pada pengurusan kerajaan. Bercakap dalam hal ini dibenar walaupun hakikatnya termasuk dalam makna politik yang dijelaskan di atas. Wallahu aklam.

Tiada ulasan: