01 April 2013

Fitnah yang berterusan punca perpecahan


Ahmad Baei Jaafar

Walaupun parlimen belum dibubarkan, kempen pilihan raya sudah mula rancak di sana sini. Menariknya pendekatan yang diambil kini ialah dengan menggunakan stand agama. Di tempat saya baru-baru ini dianjurkan Dialog 1Malaysia menolak fitnah. Tahniah UMNO/BN atas pendekatan baru ini, cuma sedih juga saya apabila melihat sambutannya tidak begitu membanggakan.

Saya tidak pasti mengapa majlis ini tidak mendapat sambutan. Adakah kerana mereka tidak berminat dengan program agama, atau kerana mereka tercium bau politik. Yalah tokoh agamawan mudah UMNO itu sudah tersuhur namanya. Sah mereka tidak berminat dengan politik.

Saya sempat bersama program itu dan merakamkan gambar majlis tersebut. Namun perbincangannya agak hambar. Kupasannya tidak menarik, malah penceramah juga tidak ada gaya penarik. Sebenarnya rakyat Malaysia terutama rakyat Selangor keliru, dengan tajuk itu, siapa yang patut menolak fitnah dan siapa pula yang membuat fitnah. Oleh sebab mereka tidak tahu kedudukan itu maka lebih baik tidak terlibat langsung. Kalau tidak mereka turut terpalit dengan dosa fitnah pula.

Supaya lebih jelas mari kita kupas maksud fitnah terlebih dahulu. Pada bahasa, fitnah bermaksud huru hara. Maka orang yang buat fitnah ialah orang yang mencetuskan huru hara dalam masyarakat. Orang yang menyebarkan fitnah ialah orang yang memanjangkan keadaan hubu hara itu kepada pengetahuan umum. Terjadinya huru hara ini apabila seseorang manusia dengan secara sedar berniat jahat untuk membangkitkan ketegangan dalam masyarakat, lalu mereka cerita kisah yang berkaitan.
Berdasarkan maksud ini, siapa dalam kalangan rakyat Malaysia yang benar-benar tahu isu yang dibangkitkan itu. Saya percaya jurucakap mengenai isu ini pun tidak tahu punca isu sebenar. Bayangkan kalau mereka tidak tahu, tidakkah mereka termasuk dalam membuat fitnah atau menyebarkan fitnah.

Tetapi katalah dalam kalangan mereka ada yang tahu isu sebenar. Dan dia bercakap kepada umum isu yang sebenar sebagaimana dia tahu, tentulah sebaran yang disampaikan itu dikira mengumpat. Sedangkan fitnah dan mengumpat di dalam Islam adalah dosa besar.

Jelas di sini, ustaz yang bercakap dalam majlis itu adalah pembawa fitnah atau mengumpat. Hadirin di dalam majlis itu jika terpengaruh dengan penjelasan itu, mereka turut mendapat sahamnya. Di sini beruntunglah mereka yang tidak datang.

Selain itu, perbincangan awal lebih tertumpu kepada kalimah Allah. Sedangkan isu itu sudah lama diselesaikan. Orang Kristian sudah bersetuju menamatkan tuntutan mereka. Manakala orang Islam sudah sedar bahawa Kalimah Allah itu milik orang Islam. Bahkan orang bukan Islam juga sudah akur dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu saya sedih dengan keterampilan tokoh agama dalam UMNO yang mereka didatangkan kepada masyarakat untuk sekadarkan menjelaskan perkara yang sudah basi. Sepatutnya mereka datang untuk membangunkan jiwa orang Melayu bagaimana berpolitik secara profesional, bagaimana orang Melayu harus menguasai ilmu, bagaimana orang Melayu harus menguasai ekonomi. Dan yang paling penting tokoh ini patut diberi peluang merancang bagaimana memartabatkan Islam di negara ini.

Dalam majlis lain saya agak kagum iaitu forum rakyat yang bertajuk; Malapetaka Perpecahan Ummah, Apa Sudahnya? Dalam poster yang disebarkan tidak disebut tokoh yang terlibat. Barangkali kerana tajuk yang memang menarik, kehadiran amat menggalakkan.

Alhamdulillah perbincangan agak ilmiah. Cuma sebelum forum bermula, dalam ucapan alaun daripada tokoh politik tempatan yang antara lain menyebut tentang pepercahan orang Melayu yang bermula daripada PAS keluar daripada UMNO sebelum pilihanraya pertama. Kemudian orang Melayu berpecah lagi dengan tertubuhnya Parti Semangat 46, dan yang terakhir wujud pula Parti Keadilan Rakyat.

Menurutnya beliau sedih dengan perpecahan yang amat serius itu. “Haruskan kita biarkan perpecahan ini terus berlaku dalam masyarakat Melayu,” soalnya.

Persoalan ini kalau diajukan kepada orang UMNO tentu mereka kata, tak patut dan mereka yang keluar itu mesti kembali kepada UMNO atau sekurang-kurangnya semua orang Melayu tidak patut memberi sokongan kepada mereka yang berpecah itu. Tetapi kalau soalan itu diajukan kepada lawannya tentu mereka akan mentertawakan sahaja. Kenapa?

Tahukah kita bagaimana tertubuhnya PAS? Sebenarnya seawal penubuhan UMNO dianggotai oleh ulama tetapi mereka keluar daripada UMNO dan menubuhkan PAS. Tentulah tidak wajar mereka keluar UMNO kalau pertubuhan Melayu itu sempurna dan baik dasarnya.

Jelas di sini mereka keluar UMNO kerana dasar yang dibawa oleh UMNO tidak serasi dengan ulama tersebut. Ulama masuk UMNO adalah untuk sama-sama memperjuangkan Islam, meninggikan kalimah Allah di bumi ini. Tetapi apabila tidak berlaku maka lebih baik mereka keluar dan menubuhkan PAS.

Jadi, wajarkan UMNO salahkan PAS kerana berpecah daripada induk? UMNO kalau sayangkan rakannya, betulkan dasarnya sebagaimana yang diharapkan iaitu dengan memasukkan perjuangan Islam. Dengan itu barulah mereka akan kembali kepada UMNO. Kalau begitu, yang salah dalam hal ini ialah UMNO kerana tidak dapat menjaga hati rakan kongsinya.

Kenapa pula timbul parti Semangat 46? Bolehlah disalahkan S46 sebagai berpecah daripada induknya? Tahukah anda wujudnya S46 kerana UMNO diharamkan oleh ROS. Jadi, S46 ditubuhkan untuk menyelamatkan UMNO yang sudah hilang kuasanya. Sepatutnya semua orang UMNO masuk S46 bukan menubuhkan UMNO (baru). Kalau begitu kedudukannya, yang berpecah ialah UMNO (baru) sebab mereka tidak mahu menyokong orang yang menyelamatkan orang Melayu.

Kemudian tertubuh pula Parti Keadilan Rakyat (PKR). Wajarkah penubuhan parti ini dikatakan berpecah daripada Melayu? Tahukah anda penubuhan parti ini selepas Anwar Ibrahim dilucutkan daripada UMNO dan dipenjarakan beberapa tahun. Penyokongnya yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia akhirnya menubuhkan PKR demi untuk menyelamatkan orang Melayu dan Malaysia daripada terus dizalimi pemerintah. Mereka menuntut keadilan undang-undang dan pemerintahan kerana pada mereka Anwar Ibrahim tidak diadili secara betul.

Oleh sebab yang menyokong penubuhan itu terdiri daripada bukan sahaja orang Melayu yang menyokong UMNO malah bangsa lain wajarkah kita cap mereka sebagai penyebab perpecahan ummah atau orang Melayu? Tentulah tidak wajar. Perkara ini perlu difahami oleh semua orang Melayu terutama yang menganggotai UMNO. Jangan sampai mereka tersalah fahami lalu menjadi pak turut yang membawa kepada neraka Allah.

Bagi menghilangkan keraguan umat Islam Melayu, suka saya jelaskan di sini bahawa isu yang menjadikan orang Melayu berpecah bukan kerana banyak parti politik orang Melayu. Malah wujudnya boleh mencantikkan lagi demokrasi di Malaysia. Tetapi yang menjadikan perpecahan itu ialah wujudnya orang-orang parti politik yang terus bercakap, buat fitnah dan caci maki orang daripada parti politik lain walaupun selepas tamat pilihan raya.

Sebenarnya amalan ini menjadi budaya pemimpin politik sehinggalah kepada ahli biasa, malah yang paling tidak terkawal ialah ahli biasa. Tuduh menuduh terus berlaku dalam setiap ucapan mereka terutama dalam persidangan parlimen. Manakala orang ramai pula terus berdebat di kedai-kedai kopi apabila bertemu muka. Inilah punca perpecahan sebenarnya.

Jelas di sini kalau kerajaan berniat baik untuk menyelamatkan orang Melayu daripada perpecahan perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah isytiharkan perdamaian setelah selesai pilihan raya. Pemerintah hendaklah menghulurkan tangan kepada pembangkang dan parti-parti yang bertanding mohon kemaafan dan bertaubat kepada Allah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Nasr ayat 1-3.
Maksudnya:
1. Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau Wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah),
2. Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai,
3. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Percayalah dengan pengisytiharan perdamaian mereka boleh saling membantu dalam memajukan negara. Pembangkang patut diberi hak untuk membantu kerajaan tertutama dalam hal-hal yang kerajaan terlepas pandang. Dengan cara ini, insya-Allah tidak akan berlaku perpecahan lagi dalam kalangan orang Melayu.
Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...