04 Mac 2013

Ya Allah tenangkan Lahad Datu

Ahmad Baei Jaafar
Berapa ramai rakyat Sabah yang mengetahui sejarah Sultan Sulu? Berapa ramai penduduk Lahad Datu yang tahu sejarah bumi mereka? Berapa ramai rakyat Malaysia yang tahu sejarah hubungan kesultanan Sulu dengan Sabah? Ya, ramai yang tidak tahu, namun saya pasti orang politik terutama UMNO tahu kisah di sebalik Lahad Datu.
Sebenarnya Sabah sebelum menjadi milik Malaysia adalah hak milik kesultanan Sulu. Tetapi, kerajaan Sulu ketika itu memandang remeh kepada Sabah kerana negeri tersebut tidak membawa hasil kepada kerajaan Sulu. Oleh sebab itu, sultan menyerahkan bumi bertuah itu kepada British pada tahun 1878. Atas pemberian itu British berjanji untuk membayar sewa tahunan kepada pewaris tahta Kesultanan Sulu.
Semasa Sabah dimasukkan ke dalam Malaysia dan kemudiannya menjadi merdeka pada tahun 1963, sewa Sabah itu dialihkan daripada pemerintah Inggeris ke Malaysia. Maka sejak itu disepakati, Kuala Lumpur perlu membayar sewa tahunan sebesar 5,300 ringgit atau setara 69.700 peso kepada pewaris tahta Kesultanan Sulu.
Pada 16 April 2003 terdapat satu pembayaran senilai 73,040.77 peso yang diserahkan kepada Kiram sebagai pembayaran sewa pada pewaris Kesultanan Sulu untuk tahun 2002. Sebenarnya Kesultanan Sulu sejak itu telah beberapa kali mohon ditambah jumlah sewaan itu. Pemintaan itu ditolak tetapi bagi menutup isu ini kerajaan bersetuju menempatkan mereka di Lahad Datu. Felda di Lahad Datu itu hakikatnya adalah hak milik mereka.
Kini tahun 2013, jumlah sewaannya masih sama. Oleh sebab keadaan itu masih belum stabil, Kesultanan Sulu sekali lagi menuntut bayaran sewa itu ditambah sesuai dengan perkembangan zaman ini. Namun kerajaan Malaysia tetap tidak menerima tuntutan itu kerana pada pandangan Malaysia pembayaran itu bukan sewaan tetapi disebut ‘cession money‘.
Logiknya oleh sebab waris Sultan Sulu telah menerima ‘cession money‘ sebanyak USD5,000 setiap tahun sehingga ke hari ini,  ini bermakna waris Sultan Sulu mengakui bahawa Sabah telah diserah (ceded), dan bukannya dipajak (leased), kepada British North Borneo Company.
Atas keengganan itu Kesultanan Sulu menuntut Sabah dikembalikan kepada mereka. Di sinilah punca ketegangan lalu tercetusnya perperangan antara tentera kesultanan Sulu dengan polis dan tentera Malaysia. Di manakah kebijaksaan Malaysia dalam berunding sehingga tercetusnya keadaan yang tidak diingini? Bukankah Malaysia terkenal dalam soal rundingan perdamaian.
Sebagai rakyat Malaysia kita bersimpati kepada anggota polis yang terkorban dan takziah kita ucapkan kepada keluarga mereka, namun kita juga rasa simpati kepada Kesultanan Sulu kerana mendapat sumbangan yang tidak berbaloi dengan zaman ini. Apakah kita miskin harta sehingga tidak mampu mempertimbangkan kenaikannya, atau adakah kita miskin jiwa sehingga tidak bersimpati kepada anggota kita dan tentera Sulu yang terkorban?
Demi keamanan negara apa salahnya kita mendengar sedikit permohonan mereka. Mengusir mereka keluar tanpa apa-apa keputusan yang menguntungkan dan melapangkan dada mereka adalah satu kezaliman. Allah berfirman, “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka.” (Surah al-Maaidah: 49).
Rasulullah bersabda, “Tidaklah seorang pemimpin mempunyai jaminan kecuali ia akan datang dengannya pada hari kiamat dengan kedudukan yang terikat, entah ia akan diselamatkan oleh keadilan, atau akan dijerumuskan oleh kezalimannya.” (Riwayat Baihaqi dari Abu Hurairah dalam kitab Al-Kabir).
Saya percaya dengan paparan ini ramai yang baru menyedari bahawa Sabah masih ada misteri di sebalik kemerdekaannya. Walaupun kita tidak menganggap bumi Sabah ini sebagai sewaan, tetapi kita harus hargai pemberian Sultan Sulu. Kerajaan tidak seharusnya menyembunyikan fakta sebenar kepada rakyat kerana rakyat perlu tahu isu yang ditimbulkan.
Rasulullah bersabda, “Jika seorang pemimpin menyebarkan keraguan dalam masyarakat, ia akan merusak mereka.” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud, dan Al-hakim).
Hari ini kita sudah tahu kedudukan Sabah, sudah tentu kita sayangkan Sabah. Kita juga tidak sanggup menyerahkan negeri itu kepada kerajaan Sulu yang masih di bawah Filipina. Oleh sebab itu kita perlu pertahankan Sabah di bawah kepimpinan yang boleh memberi kemajuan dan kebaikan Sabah. Anda tahu peranan anda pada pilihan raya ke 13 nanti. Selamat mengundi.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hati-hati, jangan memaparkan apa yang anda sendiri tidak pasti kebenarannya sebagai fakta. Kandungan artikel anda tidak tepat dan boleh dianggap sebagai mengkhianati kepentingan negara. Untuk langkah keselamatan, kami akan melaporkan artikel anda ke pihak berkuasa untuk pemantauan selanjutnya. Terima kasih.

Tanpa Nama berkata...

Wau.. ramainya yg xtahu.
Anda tahu atau tidak siapa sebenarnya waris yg layak?
Adakah sultan yg dikatakan mengarahkan serangan ini sultan yg benar2 mewarisi takhta atau sedang mengejar takhta?
Adakah pewaris yg dimaksudkan adalah pewaris darah atau pewaris takhta?
Tahukan anda siapa sultan sulu terakhir yg diiktiraf kerajaan filipina?
Semasa negara malaysia dibentuk, apa bantahan yg diajukan oleh kerabat kesultanan sulu?

Tanpa Nama berkata...

bukan ke, sebelum sabah ditadbir oleh kesultanan sulu, sabah dikuasai oleh kesultanan brunei. Akibat dilanda masalah sehingga membawakan perebutan kuasa, Sultan brunei menyerahkan kawasan timur laut brunei iaitu sabah kepada sultan sulu setelah sultan sulu membantunya menewaskan musuh.

fikrah islamiah berkata...

Terima kasih kepada yang menbaca walaupun tulisan ini bukan untuk public. Maklumat dalam artikel ini adalah tuntutan pemerontak. Semua itu dakwaan mereka.
Kita sudah tahu tuntutan mereka tidak munasabah, apalagi mereka bukan sultan yang sah. Sekarang semuanya sudah terlambat. Rundingan sudah tertutup maka wajarlah mereka diserang balas.
Mengenai Sabah asalnya adalah milik Sultan Brunei, bukan Sultan Sulu.