Berdasarkan berita tv semalam, iaitu hasil daripada Kerajaan Kelantan menolak cadangan kerajaan pusat untuk melantik wakil kerajaan dalam jawatankuasa perundingan wang ihsan, rakyat Kelantan menggesa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertimbangkan semula penolakan itu.
Saya mendengar dengan penuh teliti kata-kata beberapa orang yang ditemubual bagi menyokong berita tersebut. Kata mereka, Menteri Besar patut pertimbangkan semula penolokan itu demi rakyat. "Rakyat miskin perlukan wang ihsan itu, dia dah ada gaji tak mengapalah," kata seorang wanita 60-an.
"Ketepikan soal politik, sebab wang ihsan ini akan diberi sama rata kepada rakyat tanpa mengira parti Pas atau Umno," kata seorang lelaki 60-an.
Ada juga yang berkata, wang ihsan untuk rakyat Kelantan kenapa pula hendak disekat. Kata-kata ini sudah tentu merujuk kepada tindakan kerajaan Kelantan itu sebagai menyekat kemasukan wang ihsan.
Saya tidak pasti sama ada ucapan itu sudah diset oleh wartawan atau idea mereka sendiri. Kalau ucapan itu datang daripada mereka sendiri, adalah mereka mewakili seluruh rakyat Kelantan. Hal ini kerana mengikut laporan berita tv itu pandangan tersebut sebagai mewakili hampir keseluruhan rakyat Kelantan.
Kalau jawapan itu sudah diset begitu, berita ini secara tidak langsung mendedahkan ketidakcerdikan orang Kelantan kerana jawapan itu menunjukkan mereka sendiri tidak tahu hakikat wang ihsan. Lebih malang lagi kalau jawapan itu diajar oleh orang politik, maka rakyat menjadi mangsa politik mereka. Sepatutnya mereka dijelaskan terlebih dahulu konsep wang ihsan dan bagaimana akan diagihkan.
Saya percaya ramai lagi yang ditemubual, tetapi jawapan mereka mungkin tidak mahu dipimpin maka sebab itu suara mereka tidak disiarkan. Orang Kelantan yang saya kenal, mereka bijak berfikir maka tidak mungkin akan memberi jawapan seperti di atas. Sebaliknya mereka akan melihat isu yang diperbincangkan.
Dijelaskan di sini, wang ihsan seperti yang dijanjikan Kerajaan Pusat tetap akan sampai ke negeri Kelantan sama ada dipersetujui Kerajaan Kelantan atau tidak. Kemudian penubuhan jawatankuasa perundingan wang ihsan sama ada disertai oleh Kerajaan Kelantan atau tidak, wang ihsan akan tetap sampai ke Kelantan.
Pada saya Kerajaan Kelantan menolak tawaran itu mungkin kerana dua sebab ; pertama walaupun kerajaan menyertainya wang ihsan akan disalurkan seperti yang dirancang oleh kerajaan pusat; kedua dengan menyertai jawatan kuasa itu bererti kerajaan negeri menerima konsep wang ihsan tajaan kerajaan pusat. Ini bermakna, rancangan saman kerajaan negeri terhadap kerajaan pusat terpaksa dihentikan.
Sebenarnya, wang ihsan akan diberikan kepada Ketua Bahagian Umno seluruh Kelantan. Merekalah yang akan mengagihkan wang itu mengikut perancangan yang ada. Namun wang itu tidaklah diberi kepada individu sebaliknya melalui projek Kerajaan Pusat.
Berdasarkan itu, rakyat Kelantan sama ada yang bercakap dalam tv atau yang mendengarnya tetap tidak akan mendapat wang ihsan. Maknanya sama ada kerajaan Kelantan bersetuju atau tidak, rakyat Kelantan tidak akan merasai wang itu kecuali dalam bentuk projek seperti jalan, bangunan dewan dan sebagainya.
Dalam hal ini rakyat Kelantan yang bercakap dalam tv itu harus diberitahu hakikat wang ihsan ini dan perbezaannya dengan wang royalti yang diminta oleh Kerajaan Kelantan. Jika kerajaan memperolehi royalti, wang itu akan dimasukkan dalam tabung negeri. Maka kerajaan negeri akan menggunakan wang itu untuk projek kerajaan negeri secara lebih tersusun.
Saya melihat isu ini berlanjutan hanya kerana mainan politik yang tidak bijak. Kerajaan pusat boleh terus menggunakan istilah wang ihsan tetapi konsepnya perlu diubah iaitu wang itu hendak dimasukkan dalam tabung kerajaan negeri. Dengan cara ini kerajaan pusat akan lebih dilihat mementingkan rakyat daripada politik sesuai dengan falsafahnya, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.
Saya yakin kalau Kerajaan Pusat sanggup berbuat begitu, seluruh rakyat Malaysia akan hormat dan bangga terhadap Perdana Menteri dan pada masa yang sama Kerajaan Kelantan akan hentikan usaha menyaman Kerajaan Pusat. Hal ini kerana wang ihsan dan royalti adalah sama.
1 ulasan:
saya bersetuju dengan pendapat ba'ei, dan saya percaya rakyat kelantan tidak sebodoh yang media fikirkan..roadshow serta perhimpunan 28hb ini akan menjelaskan segala..
Catat Ulasan