Sambutan Tahun Baru 2010 turut melibatkan umat Islam terutama remaja. Yang menyedihkan, beberapa remaja ditemui berdua-duaan antara lelaki dengan perempuan. Malah ada yang terlibat dengan minum minuman keras.
Kenapa perkara seumpama ini boleh terjadi? Sewaktu sambutan Maal Hijrah baru-baru ini remaja tidak mengambil perduli, mungkin kerana mereka tidak boleh berhibur. Agaknya hidup pada mereka adalah untuk berhibur.
Anak muda bebas keluar rumah untuk menyambut tahun baru itu. Ibu bapa tidak mampu menghalang kehendak anak muda mereka. Pada mereka anak mereka sudah pandai menjaga diri. Mereka yakin, tidak mungkin mereka akan mencemarkan diri mereka dan keluarga.
Tetapi realitinya, anak muda terus hanyut tanpa disedari oleh ibu bapa. Mengapa boleh berlaku sedemikian?
Ibu bapa gagal mendidik dan mendisiplin anak remaja mereka semasa di bangku sekolah lagi. Waktu ini mereka memberi manja yang secukupnya, apa sahaja kehendak anak semua ditunaikannya. Persis kisah sebuah filem P.Ramlee dalam Anakku Salzali.
Percayalah kalau kita gagal membentuk dari awal, maka apabila waktu remaja kita tidak mampu menegurnya lagi. Kalau ditegur juga, mereka tidak akan mengindahkannya. Inilah kesan negatif yang kebanyakkan ibu bapa tidak memahaminya.
Ibu bapa seharusnya mendidik anak mereka dengan adab sopan Islam, bermasyarakat secara sihat dengan jiran dan yang lain. Mereka harus juga diajak melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan. Semua ini akan menghilangkan perasaan untuk berhibur semata-mata.
Kita boleh menyambut Tahun Baharu bersama orang lain tetapi kita tidak boleh bertindak dan menyambutnya seperti mereka lakukan. Kita ada batas seperti yang dijelaskan dalam agama, dan batas itu mesti dipatuhi oleh umat Islam.
Umat Islam harus sedar bahawa dengan kedatangan tahun baharu ini umur kita semakin bertambah tetapi tempoh hayat kita semakin berkurangan. Cuma kita tidak tahu bila tarikh ajal kita. Oleh sebab itu gunakan umur yang berbaki ini dengan sebaiknya semoga akhir hidup kita dalam keadaan diredhai Allah.
Jadi, cara menyambut boleh dipelbagaikan asalkan tidak melanggar syariah dan diredhai Allah. Selamat Tahun Baharu 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan