Ahmad Baei Jaafar
Solat jamak dan qasar merupakan kelonggaran yang diberikan oleh Allah khusus untuk umat-Nya yang bermusafir. Solat empat rakaat boleh dipendekkan menjadi dua rakaat dan dua waktu solat boleh dilakukan dalam satu waktu. Kelonggaran ini bagi memudahkan orang yang musafir bergerak lancar ke destinasi tanpa berhenti sebanyak lima kali untuk solat.
Tetapi terdapat dalam kalangan umat Islam yang menyalahgunakan kelonggaran itu semata-mata untuk membolehkan mereka solat jamak dan qasar. Padahal syarat untuk membolehkan dia berbuat begitu belum cukup. Musafir yang dirancang tidak menepati kehendak syariat.
Apakah syarat musafir?
1. Ada destinasi yang ditetapkan.
2. Destinasi itu jauh melebihi dua marhalah iaitu lebih kurang 89 kilometer
3. Musafir itu untuk tujuan yang diharuskan.
Berdasarkan syarat tersebut bolehlah diandaikan seperti berikut, saya tinggal di Bandar Baru Bangi ingin ke Kuala Pilah untuk menziarahi keluarga. Okey, destinasi yang ditetapkan ialah Kuala Pilah. Jauh destinasi itu dari Bandar Baru Bangi ialah 91 kilometer. Dan tujuan ke Kuala Pilah adalah untuk ziarah keluarga.
Jelas di sini, ketiga-tiga syarat di atas telah dipenuhi. Oleh sebab itu, saya boleh melakukan solat qasar dan jamak dalam tempoh perjalanan itu pergi dan balik. Walau bagaimanapun kalau tujuan musafir itu untuk merompak atau untuk menyaksi pertandingan bola sepak yang di dalamnya ada perkara yang diharamkan maka tidaklah harus solat jamak dan qasar.
Dalam andaian lain, saya ingin ke Kuala Lumpur tetapi saya tidak melalui jalan biasa sebaliknya saya bergerak dari Bandar Baru Bangi menuju ke Banting, seterusnya ke Kelang, Sungai Buloh dan dari situ baru sampai ke Kuala Lumpur. Tujuan ke Kuala Lumpur adalah untuk bertemu kawan seperjuangan namun tujuan saya memilih jalan yang jauh itu adalah untuk membolehkan solat jamak dan qasar.
Melihat kepada destinasi itu, tentulah tidak melayakkan saya melakukan qasar dan jamak kerana jarak perjalanan hanya 40 kilometer. Tetapi dengan perjalanan seperti di atas, jarak ke Kuala Lumpur sudah menjadi jauh, melabihi 89 kilometer. Persoalannya bolehkah dilakukan solat jamak dan qasar dalam keadaan itu?
Tujuan perjalanan jauh itu adalah fasid, perjalanan ke tempat di atas bukan dengan tujuan yang diharuskan. Perjalanan jauh itu hanya untuk membolehkah sah solat jamak dan qasar adalah tidak syar’i. Mereka yang bertindak seperti ini hakikat mahu menipu Allah. Mereka beranggapan Allah tidak tahu niat jahat mereka.
Umat Islam yang beriman dan bertakwa tidak seharusnya menipu Allah seperti itu. Sebaliknya mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam soal ibadah. Ingatlah ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah, maka perbanyakkan ibadah, dan jauhi dosa.
Oleh sebab itu mereka harus menghentikan musafir seperti itu dan kembalikan kepada Allah dengan melakukan solat lima waktu dengan sempurna. Tunaikan solat Jumaat seperti orang lain kerana khutbahnya boleh memberi ilmu kepada kita.
7 ulasan:
Amalan ini masih berleluasa dalam kalangan orang global ikhwan (dulu rufaqa). Mereka memang tidak melakukan solat Jumaat atas alasan dalam musafir.
Kita tidak tahu apakah hujah dan dalil yang mereka gunakan itu muktabar atau tidak. Pihak berkuasa agama harus mengambil tindakan demi menyelamatkan iman dan Islam mereka.
Ustaz, kami baru2 ni ke Jordan, & pada satu hari hujan pada waktu petang hingga kemalam, bila Maghrib selepas selesai solat imam dimesjid (yg kebetulan teman2 sempat berjemaah) terus bangun mengajak makmum solat jamak Isya' & semua turut berjemaah jamak Isya' tamam. Agaknya kalau situasi mcm ni berlaku di sini adakah boleh atau amalan ini hanya untuk mazhab tertentu sahaja. Ana Asri Ubaidullah yang bertanya.
Kalau hujan lebat dan berpanjang yang tidak tahu bila berakhirnya, ada keharusan untuk jamak tetapi tidak boleh qasar. Ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah.
Hikmahnya, kalau mereka balik rumah belum tentu mereka boleh datang untuk solat isyak pula. jadi, dibolehkan jamak. Walau bagaimanapun di negara kita, tak hujan pun tak datang ke masjid, apatah lagi hujan, maka keharusan jamak sudah tidak boleh diterima.
dalam carian saya tentang artikel berkenaan solat jamak dan qasar saya hanya bertemu dengan artikel yang berasingan, samada membincangkan solat jamak sahaja atau membincangkan solat qasar sahaja. belum pernah saya temui artikel yang membincangkan solat jamak qasar iaitu menggabungkan 2solat dan seterus nya merengkas kan nya. Ada pendapat kata, tidak ada solat jamak qasar. yang ada hanya solat jamak atau solat qasar sahaja. solak jamak qasar adalah dari qias ulama. wallahu a'lam
Betul, bab jamak satu bab dan bab qasar satu bab lain pula. Jamak bererti menghimpunkan dua solat; zohor dengan asar, maghrib dengan isyak. Jamak ini boleh dilakukan 4x4 dan 3x4.
Tetapi qasar pula bererti memendekkan solat yang empat rekaat menjadi dua rakaat. Untuk ini disyaratkan musafir sahaja. Boleh dilakukan zohor dua rakaat, apabila masuk asar dilakukan dua rekaat lagi. Begitu juga apabila masuk isyak. Namun kalau hendak lakukan jamak boleh juga, malah lebih baik dijamakkan.
Terima kasih pak Bei,samnat membantu saya dalam memahami jamak dan qasar sholat.
Sama-sama, teruskan membaca tulisan yang lain. Boleh kongsikan dengan orang lain.
Catat Ulasan