Ahmad Baei Jaafar
Pada awal Jumaat ini kita dikejutkan dengan berita sebuah gereja dibaling dengan bom petrol hingga mengakibatkan tingkat bawahnya terbakar. Manakala dua lagi gereja di Lembah Kelang dipercayai turut jadi sasaran dalam tempoh 12 jam lalu.
Angkara siapa, masih disiasat oleh polis Malaysia yang terkenal antara yang tercekap di dunia. Kita percaya pengkhianat itu akan dapat dikesan dalam masa yang terdekat. Kalau baru-baru ini pembunuh empat sekeluarga yang paling ngeri dapat dikesan dengan pantas, apalah susahnya untuk dikesan penceroboh geraja ini.
Tetapi tidak tahulah kalau semua ini dikerjakan oleh pihak tertentu yang “membaling batu sembunyi tangan”. Lebih malang lagi kalau dilakukan oleh orang politik. Kalau begitulah kedudukannya, pencerobohnya sukar dicari. Itulah realitinya kalau melibatkan orang politik.
Manakala di sebelah petang pula beberapa ratus umat Islam menyertai demonstrasi di Masjid Negara selepas solat Jumaat. Tujuan perhimpunan itu adalah kerana membantah penggunaan perkataan Allah dalam majalah mingguan Herald di Sabah.
Perhimpunan yang sama di adakan di Masjid Jamik Kampung Baru dan Masjid Negeri Shah Alam. Penyertaan di tiga tempat tersebut melibatkan ahli beberapa pertubuhan Melayu tanpa mengira fahaman politik.
Cuma yang menimbulkan persoalan dalam fikiran saya, adakah perhimpunan itu kerana agama atau politik. Adakah peserta yang terlibat itu tahu bahawa perjumpaan itu ada kepentingan agama? Mereka tahukah adab-adab agama dalam berhadapan dengan agama lain?
Mungkin mereka sedar bahawa demonstrasi tersebut adalah untuk membantah penggunaan perkataan Allah di penerbitan Katholik. Tetapi sebagai orang Islam adakah kita sudah menggunakan perkataan Allah sepenuhnya? Sejauh mana kita telah mengagungkan perkataan Allah dalam penerbitan kita? Malah ada dalam kalangan orang Melayu yang tidak mahu menggunakan perkataan Allah atas alasan hendak menarik orang bukan Islam kepadanya.
Kalau kita tidak mahu menggunakan perkataan Allah, mengapa pula kita hendak halang orang bukan Islam menggunakannya. Sepatutnya kita mengajak orang bukan terutama orang Kristian agar menggunakan perkataan Allah dengan betul. Mereka perlu dijelaskan bahawa Allah dalam Islam perlu diiktiraf dan diyakini sama oleh Kristian, iaitu Allah tuhan yang esa.
Sebenarnya Allah ialah Tuhan sekelian Alam, Tuhan semua makhluk termasuk binatang dan tumbuh-tumbuhan. Allah Tuhan semua manusia malah Dia yang menjadikan semua makhluk ini. Hakikatnya, orang bukan Islam mengakui bahawa alam dan makhluk ini diciptakan oleh Allah, tetapi mereka tidak mengiktiraf Allah sebagai Tuhan.
Berdemonstrasi membakar perasaan, menjerit di sana sini, tidak memberi kesan kepada orang yang kita tentang itu. Kenapa tidak ada pendekatan berbincang, bermuzakarah, berdialog dengan mereka? Inilah peluang yang tidak pernah diambil oleh orang Islam.
Tetapi tidak tahulah kalau niat demonstrasi ini ada kepentingan politik. Kalau itulah yang berlaku, saya bimbang banyak pihak yang terperangkap dengan agenda sempit itu. Ramai yang menyokong atau membantah perkara tersebut bukan untuk mempertahankan Islam tetapi untuk kepentingan politik tertentu. Sudah tentu tiada nilai pahala untuk mereka.
Sebenarnya cara penentangan dalam demonstrasi itu secara tidak langsung akan merenggakan hubungan rapat orang Islam dengan orang bukan Islam. Keyakinan orang bukan Islam kepada mereka nanti akan berkurangan. Malah paling membimbangkan, mereka akan memerangi orang Islam pula.
Jadi, berhati-hati dalam menyertai demonstrasi dalam sesuatu isu yang diangkat. Islam mempunyai cara yang lebih baik dalam mengatasi isu yang ditimbulkan. Ingatlah orang bukan Islam bukan musuh Islam kecuali mereka yang benar-benar menentang Islam. Oleh sebab itu berkawanlah dengan orang bukan Islam dan dekati mereka demi kebaikan ummah.
2 ulasan:
Ahmad,
Pelajaran utama orang christain - There is no GOD but ALLAH. Regards.
Terima kasih Gregory. Saya tahu dan saya tidak menafikan. Namun islam dan kristian tidak sama kepercayaannya. Islam agama terbaru yang Allah kirimkan kepada manusia selepas Nabi Isa. Persoalannya mengapa Allah utuskan banyak rasul kalau semuanya sama. Sudah tentu yang terbaru itu adalah yang lengkap untuk semua manusia. kalau yang dibawa oleh Isa itu sudah betul, Muhammad datang untuk melengkapkan lagi. Jadi, Islam adalah agama yang telah disempurnakan.
Walau apaun terima kasih kerana sudi membaca blog saya. Bacalah selalu pada tajuk yang lain.
Catat Ulasan