20 Oktober 2009

Nasihat buat suami dan isteri poligami

Ahmad Baei Jaafar

Sejak saya mengupas mengenai hukum hakam poligami, ramai para isteri yang bermadu menghubungi saya menyatakan mereka tidak tahu menahu tetang hukum itu. Masing-masing menyatakan terjerat dik nafsu sendiri. Tidak kurang juga yang mengakui sering terlibat dalam tipuan kerana kepentingan tertentu.

Ramai juga mengakui tiga bulan pertama atau setahun pertama mereka hidup bahagia. Hal ini kerana Isteri pertama suaminya tidak tahu dia ada isteri lain. Setelah semua rahsia terbongkar, suaminya terpaksa lebih banyak di rumah isteri pertama. Ada yang menyedihkan, isteri baru hanya boleh bertemu suaminya di pejabat dalam kadar sejam sahaja.

Suami tatkala berada di rumah isteri pertama, tidak bahagia kerana terpaksa bermain perasaan. Mungkin isteri asyik marah-marah. Walaupun ada dua isteri tetapi hidupnya seperti tiada isteri. Masa untuk berseronoh suka sebagai suami isteri sudah tidak ada. Pada masa yang sama suami sudah tidak boleh keluar ke rumah isteri lain kerana dikawal pergerakannya.

Ada isteri yang mengadu kepada saya, sudah lama dia tidak bersama suaminya, nafkah tidak diberi kerana alasan dia ada pendapatan sendiri. Isteri ini reda dalam keadaan terpaksa. Apalah indahnya poligami sebegini? Saya bersimpati kepada mereka walaupun kalau mereka reda diberi pahala oleh Allah. Saya juga bersimpati kepada suami walaupun mereka terpaksa menempah neraka di dunia dan neraka akhirat.

Saya tidak mampu menasihati para isteri ini kecuali meminta mereka bersabar dengan keadaan itu. Tapi perkara yang paling penting seharusnya saya lakukan ialah menasihati suami terbabit namun kerana suami tidak pernah meminta nasihat apa yang boleh saya lakukan untuk menyelamatkan mereka.

Sebenarnya kalau mengikut ilmu perkahwinan, seharusnya isteri berani memohon taklik atau fasah daripada suaminya. Tetapi apa yang saya dapat maklum balas daripada mereka, mereka masih mahu bersabar. Mungkin mereka tidak sanggup menjadi janda. Saya hormati kehendak mereka, tetapi kalau keadaan itu berterusan, nasihat saya, segeralah mohon taklik atau fasah.

Sebenarnya tidak hina seseorang itu menjadi janda atas sikap suami yang begitu. Cuma yang saya bimbangkan kalau status perkahwinan mereka tidak sah kerana tidak didaftarkan di Malaysia. Kalau ini yang terjadi, dia tidak boleh dilindungi oleh undang-undang Islam di sini. Inilah yang tidak seharusnya berlaku.

Belajar daripada pengalaman ini, saya menyeru kepada semua wanita Islam di negara ini berhati-hati dengan tawaran poligami. Bukan saya menghalang anda berpoligami tetapi kerana pilihan suami yang benar-benar beriman dan bertakwa amat sukar pada zaman ini. Ketahuilah mereka yang beriman dan bertakwa sahaja yang boleh menyelamatkan isterinya walaupun seramai empat orang.

Pada masa yang sama, saya menyeru kepada para suami yang ada niat untuk berkahwin lagi, belajarlah dahulu ilmu fiqah terutama dalam soal poligami. Setelah itu tanyalah kepada diri, untuk apa berpoligami, adakah untuk mendapat nikmat berkeluarga atau apa? Kalau untuk dapat nikmatnya, jangan belajar menipu isteri pertama untuk membolehkah berkahwin. Juga jangan tipu isteri kedua kerana takut isteri pertama. Tapi takutlah kepada Allah, kerana dosa yang anda lakukan akan dihukum di dunia lagi sebelum di humbankan ke dalam neraka.

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Orang lelaki yang ada cita-cita besar untuk tambah empayar kena buat perancangan yang serius agar isteri reda, keluarga berbangga dan Allah memberkatinya. Jadi, jangan buat kerja yang menyebabkan mereka dihumbankan ke neraka.

zainur berkata...

Perempuan/ wanita yang bercita-cita untuk berpoligami sebagai yang ke-2, ke-3 atau ke-4 mohon sangat-sangat untuk selidik latar belakang lelaki yang hendak dikahwini kelak bukannya serkap jarang aje. Apabila suami tidak boleh berlaku adil mulalah hendak mengungkit kerana mendakwa keadilan tidak berlaku dalam perkahwinan tersebut. Gunakanlah akal dan nasihat orang dewasa dan beragama sebelum membuat sesuatu keputusan. Fikirkanlah implikasi dan impak kemudian hari samada ianya lebih cenderung kepada kebaikan atau sebaliknya.

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum.
minta izin untuk copy artikel bab poligami ni.Saya juga termasuk dikalangan insan yang terjebak dalam poligami.pada masa akan datang minta ustaz beri ulasan isteri yang wajib/harus membenarkan suami berkahwin lagi.

fikrah islamiah berkata...

Insya-allah akan sampai masanya, tetapi tajuk terbaru mengenai lelaki yang layak berpoligami harus dijadikan panduan kepada bakal isteri dan isteri yang mahu bermadu.

Tanpa Nama berkata...

tp klu suami dh x mampu..ustaz masih suruh reda jgk..camner tu..

fikrah islamiah berkata...

Kalau suami tak mampu bererti dia tidak layak berpoligami. Mereka ini kalau ke mahkamah tentu tidak lulus. tapi masalahnya mereka pergi keluar negara.
Kalau suami sudah berkahwin lagi, isteri tidak boleh membantah lagi. sebelum berkahwin boleh membantah. tapi kalau suami tidak adil, boleh adu ke mahkamah syariah.

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum ustaz.
Betul kata ustaz, kalo nak gak berpoligami wanita kena pilih lelaki yg beriman (yg ada ilmu ttg hukum hakam poligami) kalo lelaki biasa2 solat pon tak jaga, mmg akn timbul masalah terutama dr segi keadilan. Sy dh mengalaminya. Hak giliran sy berterusan diketepikan suami dan madu. Sblm hamil, masa hamil, bersalin dan skrg ank dh 8 bln sy sendirian.. suami dtg bila dia senang atau dpt green light dr madu. Plg sedih masa nk bersalin tergamak suami tak dtg walhal dekat jer rumah sy dgn madu. sy berjuang kesakitan nk bersalin dia lepak kt rumah dgn madu. Allah Maha Adil sy dikurniakan ank perempuan, n ank tiri semua lelaki. Suami ada bgtaw dia takkn benarkn orgtua dia taw kewujudan sy walaupon isteri pertama dh taw ttg sy..Sy bersabar jer ustaz n tak jemu bg nasihat kt suami tp hatinya masih lom terbuka nk berikn hak giliran sy...

fikrah islamiah berkata...

Saya bersimpati dengan puan. Saya iringi dengan doa agar puan tabah dan diberi hidayah kepada suami agar kembali kepada ajaran Islam.