20 Oktober 2009

Nasihat buat suami dan isteri poligami

Ahmad Baei Jaafar

Sejak saya mengupas mengenai hukum hakam poligami, ramai para isteri yang bermadu menghubungi saya menyatakan mereka tidak tahu menahu tetang hukum itu. Masing-masing menyatakan terjerat dik nafsu sendiri. Tidak kurang juga yang mengakui sering terlibat dalam tipuan kerana kepentingan tertentu.

Ramai juga mengakui tiga bulan pertama atau setahun pertama mereka hidup bahagia. Hal ini kerana Isteri pertama suaminya tidak tahu dia ada isteri lain. Setelah semua rahsia terbongkar, suaminya terpaksa lebih banyak di rumah isteri pertama. Ada yang menyedihkan, isteri baru hanya boleh bertemu suaminya di pejabat dalam kadar sejam sahaja.

Suami tatkala berada di rumah isteri pertama, tidak bahagia kerana terpaksa bermain perasaan. Mungkin isteri asyik marah-marah. Walaupun ada dua isteri tetapi hidupnya seperti tiada isteri. Masa untuk berseronoh suka sebagai suami isteri sudah tidak ada. Pada masa yang sama suami sudah tidak boleh keluar ke rumah isteri lain kerana dikawal pergerakannya.

Ada isteri yang mengadu kepada saya, sudah lama dia tidak bersama suaminya, nafkah tidak diberi kerana alasan dia ada pendapatan sendiri. Isteri ini reda dalam keadaan terpaksa. Apalah indahnya poligami sebegini? Saya bersimpati kepada mereka walaupun kalau mereka reda diberi pahala oleh Allah. Saya juga bersimpati kepada suami walaupun mereka terpaksa menempah neraka di dunia dan neraka akhirat.

Saya tidak mampu menasihati para isteri ini kecuali meminta mereka bersabar dengan keadaan itu. Tapi perkara yang paling penting seharusnya saya lakukan ialah menasihati suami terbabit namun kerana suami tidak pernah meminta nasihat apa yang boleh saya lakukan untuk menyelamatkan mereka.

Sebenarnya kalau mengikut ilmu perkahwinan, seharusnya isteri berani memohon taklik atau fasah daripada suaminya. Tetapi apa yang saya dapat maklum balas daripada mereka, mereka masih mahu bersabar. Mungkin mereka tidak sanggup menjadi janda. Saya hormati kehendak mereka, tetapi kalau keadaan itu berterusan, nasihat saya, segeralah mohon taklik atau fasah.

Sebenarnya tidak hina seseorang itu menjadi janda atas sikap suami yang begitu. Cuma yang saya bimbangkan kalau status perkahwinan mereka tidak sah kerana tidak didaftarkan di Malaysia. Kalau ini yang terjadi, dia tidak boleh dilindungi oleh undang-undang Islam di sini. Inilah yang tidak seharusnya berlaku.

Belajar daripada pengalaman ini, saya menyeru kepada semua wanita Islam di negara ini berhati-hati dengan tawaran poligami. Bukan saya menghalang anda berpoligami tetapi kerana pilihan suami yang benar-benar beriman dan bertakwa amat sukar pada zaman ini. Ketahuilah mereka yang beriman dan bertakwa sahaja yang boleh menyelamatkan isterinya walaupun seramai empat orang.

Pada masa yang sama, saya menyeru kepada para suami yang ada niat untuk berkahwin lagi, belajarlah dahulu ilmu fiqah terutama dalam soal poligami. Setelah itu tanyalah kepada diri, untuk apa berpoligami, adakah untuk mendapat nikmat berkeluarga atau apa? Kalau untuk dapat nikmatnya, jangan belajar menipu isteri pertama untuk membolehkah berkahwin. Juga jangan tipu isteri kedua kerana takut isteri pertama. Tapi takutlah kepada Allah, kerana dosa yang anda lakukan akan dihukum di dunia lagi sebelum di humbankan ke dalam neraka.
Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...