15 Oktober 2009

Ambil Iktibar daripada kekalahan PAS



Kekalahan teruk calon PAS dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan satu tamparan hebat yang seharusnya diambil iktibar oleh PAS dan PR keseluruhannya dalam menghadapi piliharaya umum akan datang.

Walaupun kemenangan Tan Sri Mohd Isa Samad sudah dijangka kerana DUN itu merupakan kubu kuat BN, namun mejoriti 5000 lebih itu begitu besar, malah memeranjatkan BN. Hasilnya, kini UMNO menjadikan semangat Bagan Pinang sebagai penggerak untuk mengembalikan kekuatan UMNO demi merampas semula negeri yang ditakluki PR.

Saya percaya, UMNO sendiri tidak menaruh kejayaan besar dalam pilihanraya itu, namun mereka mahu menang demi menjaga maruah BN. Oleh sebab itu mereka bekerja keras ke arah itu dengan pelbagai cara. Tidak cukup dengan kempen di pentas tertentu, kempen rumah ke rumah dilakukan secara serius.

Pada masa yang sama, jentera PAS dan PR berkempen dalam keadaan agak selesa. Mereka yakin kemenangan akan berpihak kepada mereka kerana banyak faktor. Antaranya ialah tokoh calon yang dikatakan sudah tercemar. Mereka yakin pengundi akan menolak calon itu, dan sebahagian ahli UMNO akan boikot kerana tidak bersetuju dengan pemilihan calon.

Mereka lupa, pengundi kampung tidak sama dengan pengundi bandar, mereka lupa calon itu orang tempatan yang amat dikenali pengundi sebagai orang banyak jasa. Mereka juga lupa pengundi kampung tidak mudah terpengaruh dengan media moden, malah mereka tidak tahu wujudkan kempen melalu media moden itu.

Atas dasarkan itu mereka kurang memberi perhatian kepada penduduk pendalaman, malah tidak kenal dengan penduduk di dalam kampung terpencil. Yang lebih malangnya, mereka tidak tahu sentimen agama penduduk kampung.

Kempen mereka agak tertumpu di pekan dan bandar yang kehidupan penduduknya agak moden. Modal mereka adalah Islam selain memburukkan calon yang pernah terlibat dengan politik wang tiga tahun lalu. Mereka terlupa untuk membentangkan perancangan untuk membangunkan Bagan Pinang ke arah memajukan Islam.

Selain itu mereka asyik menyalahkan kerajaan dalam undi pos kerana tidak memberi peluang untuk berkempen dalam kem. Padahal di luar kem lebih ramai malah mereka itu ada potensi untuk menyokong mereka kalau betul caranya. Penduduk Cina dan India yang bermasalah dengan kerajaan sepatutnya boleh terpengaruh kepada PKR atau DAP, tetapi itupun gagal diraih.

PAS dan rakan PR seharusnya membina budaya dan sikap tersendiri dan tidak terpengaruh dengan budaya dan sikap BN dan UMNO. PAS yang membawa mesej Islam seharusnya membentuk pasukan Islami yang mengikut pantang larang dan adab sopan Islam. Tidak salah orang Cina dan India dalam kalangan DAP dan PKR berkempen, tetapi mereka juga harus diajar supaya tahu perkara yang dilarang dalam Islam.

Dalam berkempen mereka tidak boleh membuat fitnah, menyebar fitnah, tidak boleh mengumpat dan mendengan mengumpat. Islam melarang umatnya mendedahkan aib orang lain sebaliknya diminta supaya menutup keaiban itu daripada pengetahuan umum.

Yang penting dalam berkempen, kebaikan dan perancangan mereka perlu dipromotkan setiap masa. Usaha ini lebih berkesan daripada menyerang musuh dengan mendedahkan keaiban mereka. Mereka seharusnya belajar daripada bentuk iklan syarikat mempromosi produknya. Dalam iklannya, tidak pernah disalahkan produk syarikat lain. Sebaliknya kebaikan produknya didedahkan sepenuhnya berkali-kali.
Saya percaya kalau mulai hari ini, jentera PR turun padang, masuk dan keluar kampung menghebahkan kebaikannya, lambat laun mereka akan termakan pujukan itu. Tetapi tidak cukup dengan sekali. Pada masa yang sama, mereka harus memberi khidmat bakti kepada penduduk di situ walaupun tidak ada peruntukan daripada parti.

Percayalah usaha ini jika berterusan selama dua atau tiga tahun, semuanya boleh berubah. Namun perlu diingat, jika semua itu tidak dilakukan, bukan sahaja mereka tidak menambah kerusi, malah kerusi yang ada sekarang akan kembali kepada BN semula.

Jadi, hentikanlah perbalahan dalam parti, permainan politik dengan parti lawan, cabar mencabar dan sebagainya kerana sikap itu bukan sahaja dibenci Allah tetapi rakyat yang melihatnya. Islam itu cantik, maka cantikkanlah diri, rumah, kampung, negeri dan negara dengan apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Janganlah dicemari dengan fahaman dan amalan yang songsang yang menyebabkan orang benci kepada Islam.
Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...