Tahniah kepada tiga wakil rakyat yang baru dipilih oleh rakyat di kawasan masing-masing pada hari ini, 7 April 2009. Kemenangan wakil BN, Malcolm Mussen Lamoh, 49 bagi DUN Batang Ai, Sarawak dengan majoriti yang agak besar, 1,854 undi berbanding sebelumnya harus disyukuri oleh BN Sarawak dan BN pusat. Bersyukur kerana masih dipilih rakyat.
Kemenangan calon PAS, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi Parlimen Bukit Gantang dengan majoriti 2,789 undi pula harus diinsafi oleh semua penyokong PAS dan Pakatan Rakyat. Insaflah kerana Allah masih mahu memberi peluang kepada orangnya untuk membela rakyat. Peluang ini harus diguna dengan sebaiknya.
Manakala kemenangan muka baru dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) S.Manikumar mempertahankan kerusi PKR bagi DUN Bukit Selambau wajar menjadi ingatan buat penyokong PKR dan Pakatan Rakyat Kedah. Ingatlah kepercayaan rakyat dalam hal ini tidak boleh dipandang ringan. Jadi, rakyat perlu dibela dengan adil tanpa mengira kaum, agama dan parti.
Kemenangan S.Manikumar dengan majoriti 2,403 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) S.Ganesan yang memperoleh 10,229 undi berbanding Manikumar, 35, yang memperoleh 12,632 undi harus dipulangkan kepada rakyat kerana tanpa mereka tidaklah anda menjadi wakil rakyat.
Begitu juga dengan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin memperoleh sebanyak 21,860 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian yang mendapat 19,071 undi kemenangan itu harus digunakan sebaiknya untuk berkhidmat kepada rakyat. Kemenangan dua wakil PR ini hakikatnya memberi isyarat bahawa PR harus bersedia untuk merima tanggungjawab yang lebih berat selepas ini. Jadi, belajarlah untuk berlaku adil kepada rakyat tanpa melihat kepada parti yang mereka anggotai. Jika semua pihak dapat layanan sama rata, nanti selurah negara akan yakin kemampuan PR.
Kepada Malcolm Mussen Lamoh, 49, bekas jurutera di Jabatan Pertanian Sarawak memenangi pilihan raya kecil itu dengan memperoleh 3,907 undi mengalahkan ahli politik veteran Jawah Gerang, 55, yang mendapat 2,053 undi belajarlah dari kekalahan rakan-rakan BN. Rakyat tidak mahu orang yang menjadi wakil mereka dalam kalangan orang yang cakap tak serupa bikin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan