28 Januari 2009

Pemimpin UMNO tidak mahu belajar dari kekalahan

AHMAD BAEI JAAFAR

Sehingga ke hari ini, masih ada lagi yang bercakap-cakap tentang keputusan pilihan raya kecil P36, Kuala Terengganu. Pelbagai ulasan yang kita dengar baik daripada pihak yang kalah mahupun yang menang. Tetapi yang pasti, pihak yang kalah belum mahu mengakui kekuatan pihak lawan.
Melihat keadaan itu, penulis sempat membuat kajian dan mendapat beberapa sebab yang menyebabkan orang ramai menolak BN khususnya UMNO. Sebenarnya pada penulis keputusan itu tidak begitu mengejutkan malah telah dijangka calon Barisan Nasional (BN) itu akan kalah teruk. Hanya pemimpin UMNO yang menaruh keyakinan untuk menang sahaja yang agak hairan mengapa mereka boleh kalah.
Sebenarnya kalau mengikut perkiraan matematik, calon BN sudah kalah sebelum bertanding lagi, apa tidaknya, tiga DUN sudah berpihak kepada pembangkang, hanya satu DUN sahaja yang dimiliki BN. Secara logiknya, parlimen mesti dimenangi oleh pembangkang. Tetapi rakyat Kuala Terengganu pada pilihan raya ke 12 baik hati dan sengaja ingin memberi peluang kepada BN untuk menguasai P36.
Bagaimanapun apabila parlimen itu ditadbir oleh BN, wakil rakyatnya pula menjadi orang penting dalam kerajaan pusat, jadi timbalan menteri. Sebagai menteri sudah tentu tugas sebagai wakil rakyat akan terabai. Dalam keadaan itu, peluang rakyat untuk melihat wakil mereka bercakap di Parlimen membawa masalah mereka sudah berkecai.
Tidak dinafikan beliau banyak menyumbang kepada rakyat Terengganu, tetapi lebih tertumpu pada pendidikan dalam kawasannya. Tetapi bagaimana di sudut lain, tiada kemajuan baru yang boleh rakyat banggakan.
Apakah sumbangan dan usaha wakil rakyat untuk menyelamatkan orang miskin di Kuala Terengganu yang masih ramai? Mereka yang menyokong BN dahulu terus dilupakan. Buktinya semasa kempen pilihan raya baru-baru ini, massih banyak sumbangan untuk orang miskin di bandar itu dikeluarkan. Timbalan Perdana Menteri melihat sendiri keadaan itu masih wujud di Kuala Terengganu.
Perhatian pemimpin dalam hal itu pada pandangan pengundi Kuala Terengganu, bukan pemimpin BN prihatin terhadap orang miskin, tetapi sebaliknya pemimpin BN hanya kenal orang miskin pada musim pilihan raya sahaja. Waktu mereka menang dilupakan. Itulah persepsi pengundi yang seharusnya difahami oleh pemimpin UMNO dan BN.
Pengundi Kuala Terangganu mahu wakil mereka orang yang boleh membuat kerja untuk merekaa dan membela mereka di Parlimen. Tetapi malangnya dalam pilihan raya kecil kali ini sekali lagi UMNO dan BN memilih seorang yang berjawatan timbalan menteri. Walaupun dia telah meletakkan jawatan untuk membolehkan dia bertanding di P36, namun dia telah dijanjikan untuk dilantik semula menjadi timbalan menteri jika menang.
Barangkali mengikut perkiraan pemimpin UMNO dan BN, janji itu sesuatu yang disenangi oleh rakyat Kuala Terengganu. Tawaran itu dianggap hadiah buat mereka yang mengundi calon BN. Tetapi mereka silap, rakyat tidak mahu menteri untuk kawasan mereka kerana pengalaman yang lalu cukup mengajar mereka. Mereka mahu wakil rakyat yang boleh bercakap bagi pihak mereka di parlimen.
Berdasarkan itu, mungkin benar pendapat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kekalahan BN di Terengganu itu bukan salah Najib. Tetapi salah kepada pemilihan calon. Bagaimanapun penulis tidak bersetuju dengan Tun jika hal itu disalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana seolah-olah tersalah pilih.
Sebenarnya pilihan tidak salah tetapi janji yang bukan-bukan oleh Pemimpin BN termasuk janji TPM yang menjadi puncanya. Rakyat sudah jelak dengan janji pilihan raya. Kerana lazimnya semua janji itu akan tertunai hanya apabila tiba pilihan raya yang akan datang.
Selain itu, rakyat Malaysia pada hari ini sudah bijak menilai kepimpinan Negara berdasarkan percakapan dan tindakan mereka setiap hari. Secara umumnya mereka sudah tidak mahu dengan sikap angkuh dan sombong pemimpin BN yang hanya mendakwa mereka sahaja yang mampu memberi pembangunan dan kesenangan kepada rakyat.
Sebenarnya ucapan pemimpin BN itu menggambarkan seolah-olah mereka lupa bahawa lima negeri telah jatuh ke tangan parti pembangkang. Mereka seolah-olah tidak nampak apa yang telah berlaku di lima negeri tersebut. Pada masa yang sama mereka terlupa untuk melihat apa yang telah dilakukan oleh negeri yang di bawah BN selepas pilihan raya untuk membuat sedikit perbandingan.
Hakikatnya, rakyat yang bijak dapat melihat sendiri apa yang berlaku di keliling mereka, mereka dapat membaca dan menilai apa yang dipaparkan dalam media apakah betul atau salah. Kadang-kadang mereka dapat menilai setiap ucapan pemimpin mereka itu sebagai ucapan yang bodoh atau sengaja hendak membodohkan rakyat jelata.
Penulis boleh mendatangkan beberapa contoh dari ucapan pemimpin yang menunjukkan kebodohan mereka. Kata pemimpin BN, “sekarang mereka dah memerintah negeri, buatlah apa yang dijanjikan kepada rakyat kita nak lihat.”
Rakyat umumnya menyedari kerajaan negeri tertakluk kepada kuasa negeri dan kuasa persekutuan. Mana-mana yang di bawah kuasa kerajaan negeri sudah dilaksanakan seperti yang dijanjikan. Tetapi jika perkara itu masih dalam kuasa persekutuan, kerajaan negeri tidak boleh buat apa-apa.
Selain itu, kerajaan negeri masih terikat dengan kerajaan persekutuan di sudut peruntukan kewangan. Jika kerajaan persekutuan menyekat peruntukan itu ke negeri berkenaan, bagaimana kerajaan negeri boleh bertindak pantas. Kerajaan negeri mungkin boleh lakukan dengan peruntukan kerajaan negeri yang agak terbatas.
Jadi, ucapan pemimpin di atas sebenarnya mempamerkan kebodohan dirinya sendiri atau mahu memperbodohkan rakyat terutama yang berada di luar negeri yang terlibat. Sikap pemimpin sebeginilah yang menyebabkan rakyat rasa tawar hati kepada kepimpinan BN.
Contoh lain, pemimpin UMNO ada berkata, “kita cabar kerajaan Pas supaya laksanakan hudud di Kelantan, kenapa tidak mahu melaksanakan hudud, asyik cakap sahaja setiap kali pilihan raya.” Mereka bercakap seolah-olah menganggap orang ramai tidak pandai undang-undang. Mereka sangka rakyat boleh menerima apa yang dikeluarkan oleh pemimpin. Dahulu mungkin boleh tetapi tidak sekarang.
Sebenarnya rakyat pada hari ini sudah tahu bahawa hudud tidak boleh dilaksanakan di mana-mana negeri di negara ini kerana peruntukan hukum hudud itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan negeri hanya boleh buat undang-undang hudud, tetapi tidak boleh dilaksanakan pada mana-mana perkara yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Jadi, cabaran yang buat oleh pemimpin itu sebenarnya membuka pekung di dada sendiri. Mereka sebenarnya mendedahkan keangkuhan mereka untuk tidak mahu melaksanakan hudud. Mereka bukan sahaja angkuh tetapi turut memberi maklumat yang salah kepada orang bukan Islam hingga mereka menyangka bahawa undang-undang Islam itu zalim dan tidak praktikal.
Menyentuh soal penolakan pemimpin BN terhadap perlaksanaan hudud itu sebenarnya mereka bukan sekadar mempermain-mainkan fikiran rakyat, tetapi turut menghina hukum Allah. Mereka bukan sahaja hendak mengelirukan masyarakat Islam tetapi turut memeningkan fikiran orang bukan Islam yang mula mahu berjinak-jinak dengan ajaran Islam.
Dalam hal ini sepatutnya pemimpin BN tidak menolak hudud kerana faedahnya akan kembali kepada umat Islam dan menguntungkan orang bukan Islam. Sebaiknya untuk jalan selamat, mereka harus berjanji kepada rakyat untuk membuat pindaan pada perlembagaan untuk membolehkan hudud dilaksanakan di negara ini. Percayalah jika sikap itu diambil oleh pemimpin, pasti rakyat boleh menilai semula untuk memberi kepercayaan kepada mereka.
Selain itu, sikap pemimpin BN terutama UMNO yang melanggar undang-undang dan peraturan setiap kali tiba musim pilihan raya terus dinilai oleh rakyat. Antara pelanggaran tersebut ialah:
1. Kempen dilakukan sebelum dibenarkan oleh SPR; sebelum penamaan calon tidak siapa pun boleh menjalankan kempen, itulah peraturannya. Tetapi orang BN sudah mula kempen secara terbuka termasuk dalam media cetak dan elektronik.
2. Kempen dengan mengguna peralatan dan kemudahan kerajaan, sedangkan kerajaan adalah milik semua rakyat termasuk orang bukan BN. Sepatutnya mereka menggunakan wang parti sendiri.
3. Mengupah orang tertentu supaya membuat kecoh dan kemudiannya mengaitkan semua itu dengan perbuatan pihak lawan.
Sikap pemimpin UMNO itu diperhatikan oleh rakyat, apatah lagi mereka itu adalah penyokong kuat UMNO sendiri. Mungkin mereka yang taasub kepada parti, mereka akan sokong calon BN seadanya, tetapi kalau mereka sendiri jijik dengan sikap itu, pasti mereka akan berkecuali dalam hal memberi undi.
Pemimpin UMNO harus sedar perkembangan mutakhir ini dan berusaha menyesuaikan dengan keadaan itu. Kalau dahulu semua ahli perlu dengar dan percaya apa kata pemimpin mereka, tetapi kini, mereka perlu menilai semula mana yang baik pada diri, rakyat dan agama.
Walau bagaimanapun penulis percaya, TPM sudah sedar malah telah dizahirkan semua itu dalam tegurannya baru-baru ini dekat Negeri Sembilan. Oleh itu jika UMNO masih mahu merasai parti itu relevan, mereka perlu menilai semua apa yang dibentangkan di sini.
Dalam hal ini penulis mahu mengajak semua ahli UMNO termasuk pemimpin atasan supaya kembali kepada perjuangan untuk menyelamatkan Melayu dan Islam di negara ini. Bagi menjayakan seruan ini, UMNO perlu menyokong idea mendaulatkan Islam walaupun datang daripada Pas. Sebaliknya Pas perlu menyokong idea untuk memartabatkan Melayu walaupun datangnya daripada UMNO.
Kalaupun semua itu tidak boleh dinyatakan secara nyata oleh ahli parti, maka lakukanlah secara di belakang tabir. Inilah politik bijak yang seharusnya kita perjuangkan dari dahulu dan selama-lamanya.

Tiada ulasan: