Akhir-akhir ini kerapuhan rumah tangga umat Islam semakin menjadi-jadi, lepas satu kes, timbul pula kes lain bagaikan tiada penghujungnya. Kita sedih malah marah setiap kali membaca laporan akhbar tentang perceraian artis saban hari. Namun tiada siapa yang tahu apakah punca di sebalik perceraian itu.
Selain artis, orang awam juga tidak terlepas daripada kes ini tetapi oleh sebab perceraian mereka tidak dilaporkan oleh media, kita anggap seperti tidak pernah berlaku. Padahal kalau kita rujuk kepada kes mahkamah syariah, golongan orang awam tidak kurang ramainya berbanding dengan artis.
Mengapa begitu rapuh hubungan suami isteri dalam rumah tangga yang dibina padahal sesetengahnya memakan belanja jutaan ringgit. Setelah bersusah payah berhutang dan bergadai bergolok untuk mendapatkan seorang isteri idaman, tetapi sanggup melepaskannya hanya kerana sedikit salah faham.
Sebenarnya umat Islam telah diajar pantang larang dalam kehidupan rumah tangga oleh Rasulullah, tetapi semua itu tidak diendahkan oleh mereka. Mereka tidak mahu belajar daripada kejayaan orang terdahulu mengharung hidup dengan damai dan harmoni.
Pasangan suami isteri seharusnya menghayati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Hak suami yang mesti dipatuhi isteri ialah tidak meninggalkan tempat tidur suami, menerima seadanya pemberian suami, mentaati perintah suami, meminta izin suami ketika hendak keluar rumah, dan tidak membawa masuk orang lain yang dibenci suami ke dalam rumah.
Berdasarkan hadis ini isteri perlu manjaga hak suami, iaitu lima perkara:
1. Tidak meninggalkan tempat tidur suami, penting diberi perhatian oleh isteri. Islam tidak membenarkan isteri membiarkan suami tidur bersedirian kerana suami memerlukan belaian kasih daripada seorang isteri.
Perlu dijelaskan di sini, tidur bersama tidak seharus difikirkan hanya untuk urusan seks sahaja. Seks mungkin tidak perlu tiap-tiap hari tetapi tidur tetap diperlukan setiap hari. Inilah ubat ketenangan bagi seseorang lelaki.
Kajian terhadap beberapa kes perceraian mendapati kebanyakannya isteri tidak mahu tidur dengan suami atas pelbagai alasan. “Malu dekat anak-anak yang sudah besar, letih tidak mahu diganggu, tidak selesa kerana dah monopos dan dalam keadaan haid.”
Ketahuilah, suami dalam keadaan itu akan mencari ketenangan di luar rumah. Kalau dia beriman mungkin dia boleh bersabar dan mengekang nafsunya. Mungkin kalau dia ada lebihan wang, itulah yang menjadi punca dia berkahwin wanita lain. Tetapi kalau dia tidak beriman, dia akan berfoya-foya dengan teman wanita lain secara haram. Hal ini kerana lazimnya lelaki suka didampingi oleh wanita. Kesannya, apabila isteri cemburu, dia minta cerai daripada suami tanpa mencari punca sebenarnya.
2. Menerima seadanya pemberian suami, juga penting bagi isteri kerana nafkah yang wajib bagi suami ialah sekadar yang termampu olehnya. Jika rezekinya banyak pasti dia memberi yang banyak, tetapi kalau dia dapat sedikit tentulah dia akan memberi kadar yang sedikit. Isteri yang memahami keadaan itu akan bersyukur dan berterima kasih walaupun kehendaknya belum tercapai. Sikap isteri ini memberi ketenangan kepada suami.
3. Mentaati perintah suami, kecuali jika suami meminta dilakukan sesuatu yang dilarang oleh Islam. Dalam konteks ini, seseorang isteri perlu memahami kehendak suami walaupun dia tidak memintanya. Sikap isteri yang cuba memahami kehendak suami sebelum dia meminta tentu akan lebih dikasih. Dia dikatakan pasangan sehati sejiwa.
4. Meminta izin suami ketika hendak keluar rumah. Pada hari ini bagi isteri yang bekerja di sesuatu pejabat, jika diperintah bos untuk urusan di luar pejabat dia perlu juga meminta izin suami. Tidak susah untuk meminta izin kerana kemudahan teknologi kini semuanya tidak ada yang mustahil. Telefon ada, sms boleh, e–mel pun boleh. Tetapi perlu diingat, meminta izin tidak sama dengan memberi tahu. Maka sekadar memberi tahu tidak termasuk dalam kategori meminta izin.
5. Tidak membawa masuk orang lain yang dibenci suami ke dalam rumah. Orang dibenci suami boleh jadi lelaki atau perempuan. Hakikatnya mereka yang dimaksudkan itu ialah golongan yang boleh merosakan hubungan suami isteri.
Percayalah kalau isteri boleh lakukan semua itu sepanjang hidup bersama suami, suami akan berasa tenang dan bahagia. Pergaduhan dapat dikurangkan. Inilah kunci kebahagian yang semua orang hajatkan.
3 ulasan:
Assamualaikum ustaz.
Pertama sekali saya ucapkan tahniah kerana menghasilkan blog yang amat berguna untuk semua generasi Islam. Diharapkan saya mendapat panduan berguna menerusi ilmu-ilmu yang ustaz paparkan di sini. Terima kasih ustaz. Selamat maju jaya.
Salam ustaz...
Tahniah di atas kelahiran blog ini...
sila lawati http://shimasinar.blogspot.com/
TQ.
Terima kasih kerana sudi membaca blog saya.
Catat Ulasan