Ahmad Baei Jaafar
Tahun baru hijrah telah kita lalui dengan tenang malah kita telah sama-sama membaca doa akhir tahun 1429 tanpa rasa sedih. Kita juga turut membaca doa awal tahun 1430 baru-baru ini dengan penuh harapan agar beroleh kejayaan yang lebih gemilang. Walaupun pada sesetengah orang sambutan awal tahun atau awal Muharram atau dalam istilah moden sekarang Maal Hijrah tidak semeriah tahun Masihi, namun bagi umat Islam tahun hijrah amat penting untuk dihayati.
Sebenarnya sejarah perkiraan tahun hijrah mengambil sempena peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah bagi menyelamatkan iman umat Islam ketika itu. Bahkan hijrah juga adalah untuk memelihara maruah Islam yang semakin tercalar angkara musuh yang sentiasa membenci Nabi Muhammad dan Islam. Menyingkap peristiwa hijrah umat Islam baik ke Habsyah mahupun ke Madinah, banyak pengajaran yang boleh diambil. Tetapi yang paling penting hijrah itu adalah lambang kebijaksanaan Rasulullah dan ketabahan umat Islam menempuh ujian. Oleh sebab itu umat Islam seharusnya mewarisi semangat hijrah yang dilalui oleh baginda rasul dan para sahabat. Maka setiap kali kita menyambut awal Muharam seharusnya kita membaharui keazaman untuk meningkatkan kebijaksanaan dan ketabahan hati agar mampu menempuh sebarang ujian mendatang. Menyentuh dua perkara penting itu, suka dipaparkan di sini contoh yang boleh diteladani oleh umat Islam. Malah dua perkara itu harus kita perkasakan mulai hari ini.
Kebijaksaan mengatur strategi
1. Sebelum berhijrah baginda telah mendapatkan seorang pakar untuk mengenal pasti jalan yang selamat untuk ke Madinah. Baginda menyerahkan sesuatu urusan kepada orang yang mahir dalam urusan berkenaan.
2. Sebelum bermula episod hijrah, baginda meminta Ali Abi Talib tidur di tempat tidurnya. Kebijaksaan itu telah menyelamatkan nyawa baginda. Sama ada baginda memberitahunya dan berpakat dengan Ali atau tidak, tidak pula dicatatkan dalam sejarah. Tapi yang pasti tentu Ali sudah tahu bahawa baginda rasul akan berhujrah ke Madinah.
3. Setelah keluar dari rumah baginda terus menuju ke rumah Abu Bakar dan mengajaknya berhijrah bersama. Memilih teman yang memahami segala perjauangan adalah satu daripada kebijaksanaan yang seharusnya dimiliki. Kerana tanpa teman yang memahami kehendak kita, akan merosakkan segala strategi yang baik. Barangkali kalau anda pernah menonton filem “Ali Baba Bujang Lapok” pasti anda dapat lihat kebijaksanaan ketua penyamun mengatur strategi, namun dia gagal membawa bersamanya teman yang memahami kehendak bosnya. Maka apabila dia menyanyikan lagu, teman-temannya turut menyanyi, lalu rosaklah program dan strategi yang diatur.
4. Akhirnya baginda bijak memilih tempat berehat dan berlindung supaya tentera quraisy tidak dapat mengesan mereka.
Ketabahan hati
Menyentuh ketabahan hati menempuh sebarang ujian, tidak sahaja dirujuk kepada baginda rasul tetapi juga kepada sahabat yang turut terlibat. Hal ini kerana ketabahan baginda lazimnya sudah difahami iaitu bermula daripada memulakan gerakan dakwah sehinggalah ke akhir hayatnya. Tetapi apa yang lebih peting di sini ialah beberapa orang sahabat yang terlibat secara langsung dalam hijrah itu.
1. Ali Abi Talib, sanggup menggantikan Nabi untuk berada di tempat tidurnya. Kalau dia tidak tabah pasti dia tidak akan banyak soal dan akan memberi pelbagai alasan untuk tidak berada di tempat tidur baginda. Sewaktu tentera Quraisy memasuki bilik Rasulullah, Ali tidak gelabah malah mampu menjawab segala persoalan mengenai Rasul tanpa rasa was-was. Ali yang masih remaja ketika itu sudah mampu berkumonikasi dengan orang tua dan pemimpin Quraisy dengan berakhlak.
2. Abu Bakar As-Siddiq, sanggup menemani Rasulullah hingga ke Madinah dengan menempoh pelbagai rintangan. Dalam gua syur dia menjaga keselamatan rasul daripada dipagut ular bisa. Dalam perjalanan dia sentiasa ke hadapan dan ke belakang rasul semata-mata untuk menjamin tiada musuh yang boleh menggagalkan perjalanan mereka. Selain itu Abu Bakar tidak pernah bersungut penat dan lelah apatah lagi meminta rehat untuk seketika. Dia sanggup berjaga malam ketika baginda rasul tidur. Manakala di Quba’ dia turut membantu rasul membina masjid. Ketabahannya tiada tandingannya.
3. Asma’ Abu Bakar, dia sanggup menyediakan susu untuk Rasulullah semasa di gua syur selain menjadi pengintip rahsia pergerakan tentera Quraisy. Dia sanggup berjalan berulang alik dari rumah ke gua syur di atas bukit yang tinggi.
4. Selain itu ketabahan sahabat yang lain baik Muhajirin ataupun Ansur, masing-masing menunggu baginda dengan penuh sabar di kota Madinah. Tetapi sebelum itu mereka tabah dengan kerja-kerja dakwah di sekitar Madinah.
Setiap kali kita menyambut awal Muharram, adakah kita cuba menghayati dua perkara di atas? Masing-masing sudah ada jawapannya. Jadi, untuk lebih bermakna sambutan kita kali ini, marilah kita berazam untuk menjadi umat yang bijaksana dan tabah dalam menjalani hidup ini sesuai dengan kehendak Islam. Insaflah kalau hidup kita sekarang masih sama dengan esok, tiada perubahan sedikutpun, maka hakikatnya kita belum berhijrah. Lebih malang lagi kalau hari esoknya lebih teruk dari hari ini. Perubahan daripada yang kurang kepada yang lebih, daripada sedikit kepada banyak itulah hakikat hijrah yang patut kita hayati pada hari ini demi maruah Islam.
Setiap kali kita menyambut awal Muharram, adakah kita cuba menghayati dua perkara di atas? Masing-masing sudah ada jawapannya. Jadi, untuk lebih bermakna sambutan kita kali ini, marilah kita berazam untuk menjadi umat yang bijaksana dan tabah dalam menjalani hidup ini sesuai dengan kehendak Islam. Insaflah kalau hidup kita sekarang masih sama dengan esok, tiada perubahan sedikutpun, maka hakikatnya kita belum berhijrah. Lebih malang lagi kalau hari esoknya lebih teruk dari hari ini. Perubahan daripada yang kurang kepada yang lebih, daripada sedikit kepada banyak itulah hakikat hijrah yang patut kita hayati pada hari ini demi maruah Islam.
1 ulasan:
Selamat Datang ke blogosphere...
Catat Ulasan