18 Mac 2011

Rumah tangga bukan restoran

Ahmad Baei Jaafar
Mengupas tajuk ini, mari kita bayangkan sejenak bagaimana operasi sebuah restoran. Dan bayangkan kita sekarang baru masuk ke dalamnya. Tentu selepas dipersilakan masuk dan duduk pelayan restoran itu bertanya, “nak minum apa?” Nak makan apa?”
Tetapi ada juga restoran yang kurang peka kerana tidak cukup pekerja, lalu pelanggan yang terpaksa bertanya dan membuat tempahan sendiri, “Minta teh tarik satu, roti canai dua biji.”
Antara dua keadaan ini tentu kita lebih suka kepada restoran pertama dan kurang berminat dengan layanan restoran kedua. Kenapa? Yalah sebagai pelanggan seseorang itu suka dilayan mesra. Sebab itu bagi sesetengah orang sebelum memilih restoran dia akan mengenal pasti cara layanan pelayan restoran tersebut terhadap pelanggannya.
Begitulah dua keadaan di restoran yang terdapat di negera ini. Maka wajarkah rumah anda seperti dua restoran di atas? Kalau jawapan anda tidak wajar, maka bagaimana anda harus jadikan rumah anda? Tetapi kalau anda kata apa salahnya jadi restoran, maka itulah yang kita nak bincang pada hari ini?
Apabila saya katakan rumah anda bukan seperti restoran bermakna segala ciri-ciri restoran seperti yang dinyatakan di atas tidak wajar ada dalam rumah tangga. Kalau begitu dalam rumah tangga tidak wajar berlaku dua perkara berikut:

  1. Isteri jangan bertanya suami  “nak makan apa, nak minum air apa”
  2. Jangan pula biarkan suami memesan makanan


Ingatlah wahai isteri, anda bukan pelayan dan suami bukan pelanggan anda. Jadi, letakkan tempat suami pada kedudukan suami dan isteri di tempat isteri. Selagi perkara ini berada dalam fikiran dan tindakan anda, pasti suami anda cukup berpuas hati dengan anda.
Bagi merealisasikan semua ini saya senaraikan apa yang patut anda lakukan terhadap suami anda:
  1. Sambutlah suami di hadapan pintu ketika pulang rumah walaupun dia ada kunci pendua. Untuk itu, pakaian anda perlulah cantik lagi menyegarkan.
  2. Persilakan dia duduk di tempat yang tersedia dalam rumah itu.
  3. Hulurkan air mineral atau air suam bagi menyegarkan tekak dan hatinya.
  4. Kalau nampak dia leteh, picit badannya.
  5. Sediakan taula dan berikan kepadanya untuk dia mandi sebelum solat Maghrib
  6. Sediakan makan malam. Isteri perlu tahu apa yang suami suka makan melalui kajian dan penyelidikan.
  7. Sediakan tempat tidur yang selesa sebelum suami berhajat hendak tidur.


Inilah rutin yang harus dilakukan oleh isteri sepanjang hayatnya bersama suami. Tapi ingat, anda isteri bukan sebagai pelayan restoran. Jadi, jangan swastakan semua itu kepada orang gaji kerana hakikat suami sukakan bermanjaan dengan wanita. Maka kalau tiada isteri ketika itu pasti dia mahu bermanja dengan orang gaji pula.
Dalam hal ini suka saya ingatkan para isteri, suami anda akan cukup kecewa kalau kepulangannya dari tempat kerja, ditanya, “bang nak makan?” “abang nak mandi?” “abang nak tidur? Lebih kecewa lagi kalau anda menyuruhnya, “bang pergilah mandi”, “bang makanlah dulu.”
Kenapa dia kecewa? Yalah sudah lama hidup masih tidak tahu kehendak suami. Ketahuilah wahai isteri, jika suami sudah mula meminta sesuatu untuk anda lakukan, “yang buatkan air,” “yang mana makananni,” “yang bila nak tidur,” sedarlah itu tandanya suami anda sudah hilang rasa cinta kepada anda. Namun dia masih boleh bersabar.
Jadi, rumah bukan restoran mengajak para isteri bertindak membetulkan keadaan dengan memberi perhatian kepada suami tanpa dia meminta. Percayalah kalau anda boleh lakukan semua panduan ini, suami anda tidak ada masa dan berkeinginan untuk mencari wanita lain dalam hidupnya.

11 Mac 2011

Ramai yang jahil hakikat bertunang

Ahmad Baei Jaafar
Bertunang hakikatnya satu perjanjian persetujuan untuk berkahwin. Apabila kedua-dua belah pihak bersetuju maka satu tanda ikatan dimaterai bersama. Sebagai tanda ikatan pihak lelaki dan perempuan akan saling menyarungkan cincin pertunangan dan ada juga yang memberikan hadiah lain.
Pada pandangan anda, apakah dengan persetujuan ini, sudah ada ikatan rasmi? Atau apakah hubungan mereka sudah semakin bebas?
Bagi memudahkan kita memahami stuasi ini, suka saya membandingkan pertunangan dengan “booking kereta” sewaktu kita bersetuju untuk membelinya di showroom kereta tersebut. Biasanya syarikat kereta itu akan meminta RM500 - RM1000 sebagai wang pendahuluan tanda jadi.
Kalau kereta yang dimaksudkan itu sudah ada di dalam showroom, mungkin proses pembeliannya hanya akan selesai dalam tempoh seminggu. Tetapi kalau belum ada, mungkin sebulan atau lebih bergantung kepada tempahan.
Walau bagaimanapun untuk membolehkah kereta itu dikeluarkan, pembeli perlu membayar 10 peratus daripada harga kereta tersebut dan bakinya akan diselesaikan oleh bank. Kemudian apabila kereta itu sudah didaftarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), barulah pembeli itu boleh membawa balik keretanya ke rumahnya.
Ya, berdasarkan proses di atas, bolehkah si pembeli yang baru memberi RM500 atau RM1000 itu, masuk dalam kereta tersebut dan membawa keluar dari showroom? Setahu saya, tidak dibenarkan. Dia hanya boleh masuk untuk duduk dan memegang stering dan mendengar injen sahaja, selebihnya tidak boleh. Tetapi kalau kereta terpakai (usecar), jurujual boleh membenarkannya untuk memandu dengan syarat jurujual itu duduk di sebelahnya.
Bayangkan kalau baru booking kereta, sudah begitu kedudukannya, apa pula hukumnya seseorang yang baru bertunang yang hanya sekadar menyarung cincin pertunangan. Jadi, pertunangan dalam Islam sepatutnya mencontohi proses di atas. Sebab itu dalam Islam tempoh pertunangan tidak digalakkan terlalu lama.
Sebenarnya dalam tempoh pertunangan itu terdapat beberapa perkara yang diharuskan. Antaranya ialah:
1.    Perhubungan pasangan itu hanya boleh dilakukan di rumah perempuan dengan ditemani oleh mahramnya. Ini bermakna, kalau lelaki membawa kakaknya sebagai teman tidak memadai.
2.    Jika lelaki mahu membawa keluar tunangnya, perlulah dibawa bersama ibu atau bapa perempuan itu atau sekurang-kurangnya abang atau kakak perempuan tersebut.
3.    Dalam tempoh pertunangan mereka boleh saling mengenali antara satu sama lain untuk mencari keserasian.
4.    Dalam keadaan apa sekalipun sentuhan baju tunang adalah dilarang apatah lagi menyentuh kulit termasuk tangan.
5.    Tidak digalakkan pasangan tunang itu bermalam dan tidur di rumah pasangan masing-masing walaupun dalam bilik berasingan.

Syariat Dipertahankan
Islam menyediakan peraturan syariat adalah untuk menjaga maruah diri dan keluarga tunang sebelum mereka berdua disatukan. Hakikatnya peraturan ini bukan bertujuan menyusahkan umat Islam. Malah sekatan dalam pertunangan itu boleh menjadikan mereka teruja untuk menunggu tarikh perkahwinan sebenar.
Bayangkan kalau pasangan itu sudah hidup seperti suami isteri dalam tempoh pertunangan, apakah mereka akan teruja dengan tarikh tersebut. Pada mereka, tarikh itu tidak penting lagi kerana kehidupan suami isteri sudah pun bermula. Malah jangan terkejut, ada kes seperti ini, yang lelaki bertindak memutuskan pertunangan atas alasan bakal isterinya tidak dara lagi.
Jelas di sini batasan yang dibuat ini adalah untuk keselamatan masa depan pasangan itu. Apa tidaknya, sebelum akad nikah pasangan itu masih suci, tidak ada dosa sentuhan, tidak ada dosa besar sama ada khalwat atau zina, tidak mencemarkan nama baik keluarga dan Islam. Jadi, pada waktu akad nikah mereka berdua adalah orang yang bersih di sisi Allah dan manusia.
Tetapi tahukah anda, jika sesuatu pasangan yang bertunang itu tidak mampu untuk mempertahankan syariat di atas, kehidupan mereka setelah berkahwin tidak begitu harmoni kecuali mereka benar-banar bertaubat sebelum diakadnikahkan. Allah yang maha pengampun bersedia mengampunkan dosa mereka jika mereka serius memohon keampunan kepada Allah.

07 Mac 2011

Kenapa pengundi tolak PAS?

Ahmad Baei Jaafar
Calon PAS Hassanuddin Salim tumpas di tangan Syed Ibrahim Syed Ahmad dengan majoriti 2,724 undi. Hassanuddin mendapat 2,336 undi manakala Syed Ibrahim mendapat 5,060 undi.
Dalam pilihan raya kecil kali ini, seramai 8,999 pemilih layak mengundi – pertambahan 542 orang daripada 8,451 pada tahun 2008. Manakala peratusan keluar mengundi pula meningkat kira-kira 3 peratus - daripada 80.33 kepada 83.2 peratus. Manakala BN Melaka mengekalkan kerusi Merlimau melalui Roslan Ahmad yang mengalahkan Yuhaizad Abdullah dari Pas dengan majoriti 3,643 undi. Roslan meraih 5,962 undi sementara Yuhaizad 2,319 undi. 
Apabila keputusan sudah dibuat oleh rakyat, kita kena terima seadanya. Orang BN sudah boleh senang hati kerana keputusan itu menunjukkan mendung BN semakin berlalu. Tetapi bagi PAS dan PR peluang untuk mereka bermuhasabah kenapa rakyat menolak PAS dan PR.
Kekalahan PAS telah diulas oleh pemimpin BN yang jelasnya negatif. Tetapi pandangan negatif itu tidak seharusnya dipandang sebelah mata. Hal ini kerana menurut ilmu tasauf, kalau kita nak buat perubahan dengarlah komen musuh. Kemen mereka walaupun tidak ikhlas adalah satu pandangan yang akan memberi manfaat kepada perjuangan.
Sebelum kita mengenal pasti sebab rakyat menolak PAS, suka saya menjelaskan di sini, kemenangan PAS dan PR dalam pilihan raya umum lalu bukan semata-mata rakyat percaya kepada perjuangan PR. Kemenangan PR kerana dua sebab:
1. Kelemahan BN hingga menghilangkan keyakinan rakyat.
2. Rakyat tiada pilihan lain dalam memberi undi, maka mereka memilih pembangkang selain mencuba parti baru.
Hakikatnya PAS belum begitu kuat, dan penambangan ahli baru dalam kalangan orang muda masih belum membanggakan. Ahli lama mungkin boleh mengekalkan kedudukan mereka tetapi untuk menarik lebih ramai golongan lain amat lambat.
Berdasarkan itu, berikut adalah sebab mengapa rakyat tidak memilih PAS dan PR
1. Pendekatan PAS dalam kempen masih belum boleh merangsang keyakinan orang di atas pagar.
2. Kempen PAS masih sama macam macam dahulu, lalu mereka mengangap PAS tidak lebih baik.
3. Orang Melayu percaya PAS hanya memperjuangkan Islam bukan Melayu dan pembangunan.
4. Orang bukan Islam masih tidak begitu yakin PAS boleh membela mereka.
Oleh sebab itu beberapa perubahan perlu dibuat oleh PAS kalau mahu memang dalam pilihan raya akan datang.
1. Pendekatan berkempen perlu diubah dengan banyak membentangkan apa yang PAS boleh laku setelah mereka menang. Tanpa memburukkan parti lawan tunjukkan kemampuan PAS.
2. Kempen mempertahankan Islam sekadar retorik perlu diubah kepada mendidik ahli dan orang ramai. Maka ceramah agama bukan hanya pada musim pilihan raya, dan didikan iman harus diberi keutamaan.
3. Orang Melayu perlu didedahkan perjuangan Islam sebenar dalam bengkel dan kursus. Perjuangan sekadar menuntut hukum hudud perlu diperluaskan kepada bengkel pelaksanaan sebenar.
4. Orang bukan Islam perlu didekati apatah lagi ahli PR sama ada dalam DAP juga PKR, mereka perlu diberi fahaman sebenar perjuangan Islam. Mereka perlu difahamkan bahawa Islama menjaga kepentingan mereka.
Kalau PAS boleh buat semua itu dalam masa terdekat ini, pilihan raya akan datang boleh menampakkan perubahan yang membanggakan. Ingatlah orang ramai mahukan perubahan yang lain daripada yang lain. Kalau mereka mendapati sikap orang PR sama sahaja dengan orang BN maka lebih baik mereka pilih BN.

06 Mac 2011

Orang Melayu perlu celik propaganda

Ahmad Baei Jaafar
Pertandingan antara calon BN Roslan Ahmad dengan calon PAS Yuhaizad Abdullah dalam pilihan raya kecil DUN Merlimau mungkin berpihak kepada BN. Begitu juga dengan pilihan raya kecil DUN Kerdau yang calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad dicabar calon PAS Hassanuddin Salim.
Sudah ramai yang membuat ramalan begitu, maka saya terpaksa mengikut rentak mereka. Ini kerana pengalaman yang lepas, semua pertandingan yang melibatkan BN dengan pembangkang, keputusannya berpihak kepada BN. Selain itu, jentera BN sudah menguasai kempennya sejak sebelum penamaan calon lagi.
Walau bagaimanapun kedudukan itu boleh berubah jika orang Melayu celik propaganda. Semua parti politik akan berkempen dan menyebarkan propaganda masing-masing. Tetapi realiti yang dapat disaksikan hari ini, orang Melayu tidak dapat membezakan antara propaganda dengan fitnah dan penipuan.
Propaganda penting dalam perjuangan terutama dalam menentang musuh perjuangan. Tetapi propaganda bukan menipu seperti yang difahami orang kebanyakan. Sebagai contoh, membentangkan kejayaan kerajaan dalam membangunkan negara. Rakyat mendapat manfaat daripada pembangunan itu.
Berbeza pula dengan orang politik membuat kenyataan, ada pihak yang merancang menggulingkan kerajaan dan ada pihak yang tidak senang dengan kemajuan yang dicapai oleh kerajaan. Untuk itu dibuatkan filem dukomentari dengan memaparkan bagaimana usaha itu dirancang.
Jika orang Melayu tidak dapat membezakan mana propaganda dengan fitnah, tentulah kedua-dua cerita di atas dikatakan sama saja. Tapi kalau mereka celik propaganda tentu mereka faham bahawa kisah kedua hakikatnya adalah fitrah dan boleh diabaikan.
Orang Melayu di kedua-dua kawasan DUN itu boleh memilih calon yang boleh buat kerja untuk rakyat. Rakyat boleh menilai kemampuan mereka berdasarkan propaganda yang dibawanya. Tetapi kalau calon itu membawa cerita fitnah, mereka tahu untuk menolak mereka.
Oleh sebab itu, parti pembangkang atau pemerintah perlu membuat propaganda bagi meyakinkan pengundi. Jika anda membuat fitnah lalu rakyat percaya sehingga rakyat pilih yang salah, yang ruginya adalah rakyat. Jadi, selamatkan rakyat daripada memelihara kantung-kantung mereka agar sentiasa penuh.
Kepada rakyat atau pengundi di kedua-dua kewasan itu, selamat mengundi dengan hati yang ikhlas. Semoga pilihan ada yang betul boleh menyelamatkan rakyat seluruhnya.

03 Mac 2011

Bagaimana membina syurga di rumah

Ahmad Baei Jaafar

Syurga sebagaimana yang digambarkan al-Quran, suasananya yang menarik dan sedap mata memandang. Terdapat di dalamnya tumbuh-tumbuhan yang menghijau, sungai yang mengalir bersih, dan ada pula jambatan yang merentanginya. Selain itu haiwan atau hidupan boleh hidup bebas dalam taman itu tanpa diganggu gugat oleh penghuninya.
Itulah gambaran syurga yang seharusnya dibina dalam rumah tangga umat Islam. Suasana tenang, damai dan menghiburkan dapat dirasai oleh penghuni syurga yang terdiri daripada suami, isteri dan anak-anak yang baik. Mereka ini mampu menjaga alam sekitar dengan baik dan tidak merosakkan apatah lagi memusnahkan haiwan dan tumbuh-tumbuhan di dalamnya.
Jelaslah penghuni syurga ini terdiri daripada orang yang beriman; suami beriman, isteri beriman dan anak-anak juga beriman. Suami yang beriman sudah tentu berperanan sebagai ketua keluarga, isteri berperanan sebagai pendidik, manakala anak merupakan ahli keluarga yang terdidik. Mereka sama-sama hidup di bawah naungan ilahi, dengan mengamalkan ajaran Islam yang sempurna.  
Keluarga yang harmoni ini tidak syak lagi akan sentiasa taat kepada agama dan pastinya tidak akan terlintas dalam hati mereka untuk melakukan dosa, derhaka kepada Allah. Pada masa yang sama mereka tidak menyakitkan hati jiran dan manusia yang lain.

Halangan Membina Syurga Rumah Tangga
Persoalan sekarang masih wujudkah keluarga yang harmoni dan dijamin syurga seperti yang digambarkan di atas? Wujudkah suami atau isteri yang beriman seperti itu? Wujudkah anak-anak yang beriman sehingga mereka tidak menderhakai ibu bapa mereka? Jawapannya sudah tentu ada, tetapi peratusnya amat sedikit. Kenapa?
Sememangnya pasangan yang berkahwin itu mengidamkan syurga dalam rumah tangga mereka, tetapi sejauhmana mereka bersedia ke arah itu. lazimnya, suami sebelum berkahwin tidak pun membuat persiapan untuk menjadi suami yang beriman dan untuk menjadi suami yang baik. Dan isteri juga sebelum berkahwin tidak cuba membuat persiapan untuk tingkatkan iman di dada.
Meskipun mereka menghadiri kursus pra perkahwinan, tetapi kebanyakan peserta hadir hnya untuk mendapatkan sijil bukan ilmu. Dalam keadaan itu bolehlah mereka membentuk keluarga sakinah yang menjadi asas kepada syurga rumah tangga? Tentu mustahil bagi mereka mengecapinya.
Walau bagaimanapun peluang itu masih ada kalau terdapat salah seorang daripada pasangan itu beriman dan beramal soleh. Yalah kalau salah seorang daripada mereka beriman dan berjaya mengekalkannya, secara tidak langsung dia dapat mendidik pasangannya ke arah yang sama.
Andaikan isterinya beriman dan mampu berperanan sebagai isteri yang solehah, lambat laun suaminya boleh menjadi baik sepertinya. Apa tidaknya, apabila suami pulang ke rumah, disambut di hadapan pintu dengan senyuman walaupun dia penat mengurus rumah. Kemudian suami yang kehausan dihidangkan pula dengan air suam dan tempat rehat yang selesa sudah disiapkan.
Sabda rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sebaik-baik wanita ialah mereka yang apabila kamu melihatnya menyenangkan hatimu, apabila kamu menyuruhnya dia taat, apabila kamu tiada, dia menjaga maruahnya dan menjaga hartamu.” (Riwayat al-Tabrani - 12106)
Isteri yang sebaik itu pasti menambat hati suami setiap kali pulang ke rumah. Sikapnya yang konsisten itu bukan sahaja dapat mengembirakan suami, malah menyenangkan hati anak-anak. Semasa ketiadaan suami, dia mendidik anak dengan sempurna hingga jadi manusia yang berguna.
Anak yang dididik ke arah iman dan taqwa pula akan memelihara ibadah kepada Allah. Bukan sahaja solat lima waktu, dan ibadah yang wajib tetapi solat sunat mampu dilakukan berterusan. Selain ibadah, hubungan dengan manusia hendaklah dilakukan dengan penuh beradap, dan sistem muamalat terus dihayati secara sopan.
Artikel penuh boleh anda baca dalam Solusi isu no 29

26 Februari 2011

Salahkah Pas ubah nada perjuangannya?


Ahmad Baei Jaafar
Sewaktu isu PAS mahu utamakan orang Melayu dimainkan media arus perdana, ramai yang bertanya kepada saya tentang pendirian Pas itu. Saya tidak berminat untuk mengulas isu itu kerana tidak tahu isu sebenar. Pada fikiran saya, sesuatu isu yang dimainkan oleh media perdana mengenai parti pembangkang, belum boleh dibuat pegangan. Mungkin ada udang di sebalik batu.
Hal ini berdasarkan pengalaman lampau. Yalah, kalau perkara itu betul dan menguntungkan parti pembangkang, buat apa disiarkan secara meluas. Mereka tentu sudah tahu, isu yang akan dimainkan itu boleh membawa kepada kemerosotan keyakinan orang Melayu kepada Pas. Tetapi mereka mungkin lupa, orang Melayu zaman sekarang bukan seperti orang Melayu zaman penjajah dahulu.
Walaupun saya tidak mahu mengulas secara rasmi, tetapi di dalam hati terdetik juga beberapa persoalan; salahkah pas menukar nada?; benarkah pas menukar nada?; betulkah tukar nada kerana kemerosotan pengundi Melayu?
Dalam mencari jawapan itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Ahmad Fadhli, seperti yang disiarkan dalam Melaysiakini, menyebut petikan teks asal ucapan Nik Aziz yang antara lain menyebut: “Bagi PAS, Melayu perlu diutamakan dalam agenda dakwah pada hari ini kerana mereka merupakan bangsa yang terdahulu menerima Islam di Tanah Melayu ini". 
Katanya lagi, akhbar Mingguan Malaysia sengaja membuat isu dengan membuang dan menambah perkataan dalam ayat di atas. Akhbar itu menyebut: "Bagi Pas, orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu." Dibuangkan agenda dakwah dan digantikan dengan perjuangan.
Ucapan Nik Aziz Nik Mat tersebut adalah ketika merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan Pas di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) baru-baru ini
Dengan petikan ini, tidak salah lagi media perdana itu tersilap strategi dalam membuat laporan. Malah laporannya tidak menggugat keyakinan orang Pas terhadap partinya. Sebaliknya, orang Melayu yang di atas pagar pula hilang keyakinan kepada media perdana itu.
Walau bagaimanapun dalam mencari jawapan di atas, saya baru temuinya dan jawapan pada soalan tersebut adalah:
Secara ringkasnya saya berani tegaskan, memang tidak salah sesuatu parti itu menukar nada. Malah memang wajar kena tugar nada sesuai dengan perubahan zaman. Tidak mungkin sewaktu kanak-kanak nadanya sama dengan waktu dewasa dan tua. Dalam perjuangan mesti ada strategi yang perlu diubah.
Tetapi kalau nada itu dimaksudkan sebagai dasar, saya dapati tidak ada yang berubah lagi. Adapun “Mengutamakan Melayu” bukan dasar baru. Mungkin dalam perlembagaan tidak disebut Melayu, tetapi meletakkan perjuangan Islam tentulah merujuk kepada Melayu kerana waktu itu orang Islam adalah orang Melayu. Orang Cina dan India Islam masih belum ramai.
Akhirnya, pertukaran nada itu langsung tiada kaitan dengan kemerosotan undian orang Melayu kerana sokongan orang Melayu masih sama. Orang yang mahu perjuangan Melayu tetap berpihak kepada Umno, dan orang Melayu yang mahu perjaungan Islam tetap berada di pihak PAS. Yang berubah hanya orang yang di atas pagar.
Jadi, orang Melayu di atas pagar ini perlu diberi perhatian oleh pejuang-pejuang parti. Berikan perhatian serius kepada mereka dengan menjelaskan kepada mereka, mana lebih baik Melayu atau Islam. Alangkah baiknya kalau mereka menjadi orang Melayu Islam yang benar-benar takut kepada Allah.

15 Februari 2011

Anak tak sah taraf, ibu perlu bertanggungjawab

Ahmad Baei Jaafar
Dalam enakmen undang-undang keluarga Islam negeri-negeri memperuntukkan seseorang bayi yang dilahirkan enam bulan satu lahzah selepas ibu bapa bayi tersebut berkahwin, adalah dikira anak sah taraf. Namun kerajaan Selangor mengenakan syarat yang hendaklah kedua ibu bapa tersebut tidak menyedari akan kehamilannya. Persoalannya, apakah akan terjadi kepada anak perempuan kalau kedua-dua ibu bapanya menyembunyikan fakta?
Dalam masyarakat Melayu dahulu, apabila pasangan lelaki perempuan ditangkap khalwat, terus dikahwinkan. Istilah yang digunakan ialah tangkap basah. Istilah ini relevan pada masa itu kerana lazimnya mereka yang ditangkap itu sedang tenggelam dalam lautan zina.
Mereka yang berjaya dikahwinkan pada masa itu, mungkin berasa malu seketika kerana berkahwin secara instant. Kahwin tanpa belanja sesen pun. Namun ada juga lelaki yang tidak mahu bertanggungjawab lalu dia menghilangkan diri setelah pasangannya disahkan mengandung. Maka untuk menyelamatkan keadaan ibu bapa wanita itu terpaksa mencari lelaki lain untuk dijadikan pak sanggup bagi anak yang kandung anaknya. Teruskan