04 Jun 2009

Sampai syurga tapi tidak boleh masuk

Ahmad Baei Jaafar

Peminat drama Melayu mungkin tidak melepaskan peluang menonton drama cerekarama TV3 setiap minggu. Minggu ini saya sempat menonton drama tersebut yang bertajuk "Sampai Syurga" kerana ingin melihat sendiri bagaimana tajuk itu didramakan. Mana tahu kalau dengan drama itu boleh menyedarkan penonton.

Sepanjang menonton itu saya terus mencari di mana sewajarnya "sampai syurga" diberi nama pada drama itu. Namun dari satu babak ke satu babak, tidak saya temui kewajarannya. Cuma pada akhir drama itu, baru tersingkap jawapannya apabila seorang artis (watak utama) mengakhiri sebuah lagu dengan menyebut ayat "sampai syurga".

Siapa yang sampai ke syurga dalam drama itu? Dapatkah anda menjawab persoalan itu dengan tepat? Mungkin ramai yang berkata, si ayah akan sampai ke syurga. Yalah, kerana ayah yang banyak berkorban tetapi tidak dikenang sedikit pun oleh anak sendiri.

Memang sedih apabila melihat sikap si anak orang kampung yang sejak sekolah tidak berminat untuk belajar, tetapi bapa tunggal yang membesarkannya dengan penuh kasih sayang terus dibebani dengan masalah anaknya itu. Si ayah yang susah terpaksa mencari wang dengan pelbagai cara untuk mengikut kehendak anaknya.

Si ayah terpaksa menjaul jam tangan yang dihadiahkan syarikat kepada kawannya hanya kerana untuk membeli alat pemain karaoke bagi mengelak anak keluar malam. Akhirnya anaknya ponteng sekolah atas alasan tidak boleh menerima pelajaran lagi. Si ayah yang marah dengan sikap anaknya itu akhirnya akur dan menurut kehendak anaknya.

Dipendekkan cerita, dia yang bercita-cita untuk menjadi artis tercapai juga. Tetapi apabila anak itu sudah terkenal, sudah disebut namanya di mana-mana media, dia malu untuk menerima kehadiran ayahnya. Namun ayah tetap akur dan balik semula ke kampung walaupun telah melalui jalan yang sukar untuk menemui anaknya di Bandar. Paling menyedihkan pada saya ayahnya nazak dia masih tidak mahu pulang menemui ayahnya.

Agaknya, wajarkah si ayah ini sampai ke syurga? Penderitaannya melalui ujian dan dugaan daripada anaknya itu, wajarkah dia dibawa sampai ke syurga? Kekejaman anaknya yang boleh dikatakan derhaka itu, selayaknyakah si ayah itu sampai ke syurga?

Saya bersimpati dengan ayah ini, tetapi penderitaan yang dialaminya itu adalah atas kesilapan dan dosanya sendiri. Wajarkah ayah yang terus menurut kehendak anaknya melakukan dosa dan maksiat, menyanyi dan bergaul bebas dibawa ke syurga? Layakkah si ayah sampai syurga kalau dia tidak pernah mendidik iman anaknya sehingga akhirnya dia menjadi anak derhaka?

Sebenarnya berdasarkan kisah itu, si ayah ini tidak layak untuk sampai ke syurga. Kalaupun ada orang yang hendak mempertahankan kebaikan ayah itu, kononnya dia patuh kepada ajaran Islam, solat, puasa dan sebagainya setiap hari, maka layaklah dia sampai ke syurga. Ya, saya boleh terima pandangan itu tetapi si ayah ini termasuk dalam kategori muflis seperti yang disabdakan oleh Rasulullah.

Maknanya walaupun dia orang baik-baik, tetapi pahalanya habis diberikan kepada orang lain. Anaknya minta dan isterinya minta dan kawan-kawannya minta. Akhirnya stok pahalanya tinggal kosong. Persoalannya, adakah si ayah ini seperti orang baik-baik tersebut?

Ya, kalau si ayah itu seperti orang baik-baik di atas, dia kemungkinan sampai ke syurga tetapi tidak dibenarkan masuk ke dalamnya oleh malaikat kerana dituntut oleh anaknya. Kalau si ayah banyak pahalanya bolehlah diberikan kepada anaknya. Tetapi yang jelas dalam drama itu, si ayah tidak melakukan solat dan ibadah lain. Dalam keadaan itu, sudah tentu dosa anaknya turut diambil oleh si ayah. Begitulah nasib si ayah yang terlalu mengikut kehendak anaknya. Dalam keadaan itu, tentu neraka tempat yang sesuai un?uknya.

Bagi si anak yang secara jelasnya adalah tergolong dalam anak derhaka, yang pastinya dia berdosa apatah lagi dia sering terlibat dengan pergaulan bebas dengan lelaki. Pergaulan dengan lelaki seperti kehidupan suami Isteri. Walaupun berdosa sebesar itu, namun dosanya itu adalah kerana kegagalan si ayah mendidiknya sejak kecil hingga dewasa. Jadi walaupun dia menyanyikan lagu "sampai syurga" tidak akan sampai ke syurga kerana yang pasti tiada pahala ayahnya yang boleh dipindahkan kepadanya ketika itu.

Berdasarkan drama ini, ibu bapa yang mempunyai anak, harus kembali kepada ajaran Islam dan didik mereka sejak kecil dengan didikan yang betul. Didiklah mereka dengan solat, akhlak harus dibiasakan dengan tatasusila yang indah. Manakala anak-anak pula, patuhilah perintah Allah dan ibu bapa dalam segala yang diperintahkan selagi tidak bertentangan dengan kehendak Islam. Ingatlah ibu bapa tidak akan mahu anaknya menderita di dunia ini apatah lagi di akhirat.

Oleh sebab itu sebagai umat Islam, yakinlah bahawa syurga hanya akan menjemput anda semua jika semua ajaran Islam dapat dipatuhi dengan sepenuhnya. Yang haram dijauhi, yang makruh ditinggalkan, yang wajib ditunaikan, yang sunat dikejari, dan yang harus mahu dijadikan ibadah. Lima hukum ini jika dianggap remeh, kononya yang haram "tak apa boleh bertaubat", yang makruh, "tidak mengapa, tidak berdosa", yang wajib "tak buat tak apa nanti kadalah", yang sunat, "tak payahlah bukan wajib". Kata-kata ini adalah do?a yang menyebabkan seseorang tidak berpeluang untuk sampai ke syurga, apatah lagi memasukinya.

02 Jun 2009

Makanan halal pilihan mukmin

Ahmad Baei Jaafar

Orang Melayu sangat sensitif dengan makanan haram walaupun perkara haram yang lain masih gemar dilakukannya. Mungkin anda pernah makan di restoran atau gerai di medan selera, yang masing-masing duduk di meja pilihan sendiri. Cuba anda pastikan, berapa orang dalam kalangan pelanggan di situ yang bangun dan keluar tanpa membayar.


Lazimnya pelanggan tersebut akan bangun dan pergi ke kaunter pembayaran atau memanggil pelayan untuk mengira kadar yang perlu dibayar. Malah saya pasti, tidak seorang pun yang akan cuba menipu juru jual itu dengan memberi fakta yang kurang tepat. Padahal dalam keadaan pelanggan yang ramai itu, juru jual itu mungkin tidak dapat memastikan kejujuran pelanggan.

Demikian kebanyakan pelanggan yang boleh dikesan dalam sehari. Namun tidak dinafikan ada yang berniat jahat untuk tidak mahu membayarnya. Mereka ini bukan sahaja tidak sensitif dengan makanan haram tetapi sudah biasa dengan amalan itu lantaran tiada iman di dada.

Walau bagaimanapun dalam soal memilih makanan halal, sebahagian kita tidak sensitif dalam memilih kedai makan. Ramai yang secara lebih kurang memilih gerai termasuk gerai yang terdedah di tepi jalan. Ada juga yang mahu ke medan selera yang kelihatan paling ramai pelanggan kerana beranggapan gerai itu lebih sedap atau harganya agak murah.

Selain itu, terdapat satu golongan lagi yang suka memilih restoran yang ekskulusif pernampilannya dan bertanda halal. Golongan ini tidak memilih siapa tuan punya restoran itu asalkan bertanda halal. Malah kadang-kadang lebih memilih restoran yang kelihatan cantik dan bersih walaupun pemiliknya bukan orang Islam.

Sememangnya makanan halal di negara kita ditentukan dengan teliti dengan syarat yang ketat. Halalnya bukan saja di sudut bahannya tetapi juga prosesnya. Kerajaan memberi amanah kepada syarikat Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC) untuk melakukan kerja-kerja itu. Namun supaya peranannya dilihat adil, kelulusan halal turut diberikan kepada pengusaha bukan Islam selagi mereka mengikut peraturan yang ditetapkan.

HDC tidak boleh membuka peluang kepada orang Islam sahaja, apatah lagi kalau orang Islam sendiri tidak dapat memenuhi syarat yang ditetapkan. HDC juga tidak boleh menghalang orang bukan Islam untuk mendapatkan sijil halal jika mereka mampu menyediakan keperluan dan memenuhi syarat yang ditetapkan itu.

Walau bagaimanapun sebagai umat Islam, kita perlu merenung dua persoalan berikut; mengapa pengusaha orang Islam tidak berusaha mendapatkan sijil halal; mengapa pula orang Islam sanggup ke restoran bukan Islam sedangkan restoran orang Islam masih ada meja dan kerusi yang kosong? Kita tidak bercakap soal Melayu tetapi Islam.

Suka dijelaskan di sini, pengusaha Islam yang kebanyakannya orang Melayu hari ini gagal memenuhi syarat kehalalan walapun mereka orang Islam. Dapurnya tidak bersih, peralatan tidak jaga kebersihannya, bahannya kurang bermutu selain kewangan yang tidak mampu disediakan oleh mereka. Mengapa semua itu tidak boleh disediakan?

Orang Islam kebanyakannya mudah perasan bahawa dengan mereka beragama Islam, segala makanan yang disediakan mereka sudah pasti halal. Atas dasar itu mereka tiada tekanan untuk mengambil sijil halal. Pada mereka ada sijil atau tidak sama sahaja, orang tetap akan datang.

Sebenarnya orang Islam di negara ini masih belum sedar dari tidur yang panjang. Mereka masih dibuai mimpi yang indah. Padahal kehidupan mereka tidak mengikut peraturan Islam. Budaya kebersihan, budaya sosial yang sihat, budaya mentaati perintah Allah dan menghormati jiran tidak lagi diamalkan dengan sempurna.

Jika budaya ini tidak ada, bagaimana mereka boleh mendapat sijil halal. Kalau sekadar berlakon seketika untuk mendapatkan sijil, tetapi selepas itu semua peraturan dilanggar, masakan mereka boleh diberi kepercaan untuk mendapat sijil halal. Inilah cabaran yang perlu disedari oleh pengusaha Islam, mereka perlu sedar dan bertindak segera.

Dalam hal ini, sebagai umat Islam kita boleh pergi ke restoran bukan Islam atas dasar halal. Namun pada sudut lain, mereka juga harus sedar bahawa dengan melanggan di restoran tersebut kita telah membantu menyuburkan ekonomi mereka. Mengapa kita tidak berkunjung sahaja ke restoran umat Islam yang masih kelihatan kerusinya kosong? Tidak ada tanda halal?

Walaupun tidak ada sijil halal, tidak semestinya tidak halal. Kita boleh menilai sendiri kehalalan restoran tersebut. Lihatlah dapurnya, peralatannya, pekerjanya, dan bahannya. Kalau semuanya bersih dan meyakinkan, mintalah makanan berdasarkan halal pada pandangan anda sendiri.

Bagaimanapun jika restoran tersebut tidak bersih dan peralatannya tidak meyakinkan, beredarlah dahulu sekali gus sebagai isyarat tentang protesnya. Kita boleh menegurnya secara baik selain tidak melanggan dengannya. Inilah cara yang sewajarnya dilakukan untuk menyedarkan mereka daripada terus tidur.

31 Mei 2009

Selamat Mengundi bagi warga Penanti

Walaupun BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil di Penanti hari ini, pemimpin UMNO perlu memberi perhatian kepada keputusan pengundian itu. Perhatikan berapa ramai orang UMNO, MAC, dan MIC di situ yang masih setia kepada BN. Kalau mereka setia sudah tentu mereka tidak akan keluar mengundi, apatah lagi untuk mengundi calon bebas yang akan merugikan masa mereka.

Namun kalau calon PKR majoritinya lebih daripada sebelumnya, bererti ramai orang BN sokong PR. Mereka tidak beri undi kepada calon bebas. Jika ini terjadi, pemimpin UMNO negeri dan pusat perlu menilai semula pendekatan mereka dalam mempengaruhi pengundi. Ingatlah propaganda UMNO dan BN dalam media sudah tidak boleh diterima oleh rakyat lagi, apatah lagi tektik memburukkan lawan untuk meraih simpati rakyat.

Masa sudah sampai untuk pemimpin UMNO kembali kepada perjuangan asal seperti yang diasaskan oleh Tengku Abdul Rahman dahulu. Walaupun Tengku pada masa itu melarang ceramah politik menggunakan beberapa ayat al-Quran, namun mereka tidak benci parti lawan dan ahlinya.

Dahulu, Ahli Parlimen pemerintah menanti-nanti ucapan pembangkang, Datuk Asri Muda dalam parlimen. Jika hujjahnya munasabah, mereka turut menyokong terutama UMNO. Pernah Tengku bertemu dengan Asri dan berkata, kita dalam dewan kena bergadoh, dan Pas usulkan perkara mengenai Islam kerana kami tidak boleh membawa usul itu bagi meraikan kawan kami.

Jadi, pandangan pembangkang perlu dinilai dengan mata hati yang jujur bukan nafsu kebencian yang berpanjangan kerana yang ruginya rakyat. Insaflah wahai orang politik kerana anda semua adalah amanah Allah di muka bumi ini.

28 Mei 2009

Takut nak buat baik termasuk dalam riak

Mengaku ikhlas belum tentu ikhlas kerana lidah manusia boleh berpura-pura bermain kata-kata. Ikhlas ialah kerja hati yang siapa pun tidak mengetahuinya kecuali ampunya diri, sedangkan dia masih boleh menzahirkan sebaliknya.
Oleh sebab itu, tiada hak bagi seseorang menuduh seseorang yang lain sebagai tidak ikhlas. Adalah satu kesalahan seseorang Muslim menuduh orang Muslim yang lain dengan yang negatif. Hal ini kerana seseorang tidak mampu mengetahui apa yang terkandung dalam hati seseorang. Hanya Allah dan orang yang berkenaan sahaja yang mengetahui niat di hatinya.
Sebenarnya ikhlas ialah rahsia hati seseorang tatkala melaksanakan sesuatu pekerjaan. Ikhlas pada bahasa bererti bersih, maka orang yang ikhlas, hatinya bersih daripada sifat riak. Tindakannya tidak mahu menunjuk-nunjuk kepada orang lain, sebalik dilakukannya hanya kerana perintah Allah.
Bagaimana Untuk Ikhlas
Persoalan sekarang bagaimana hendak menjadikan seseorang itu ikhlas. Bagaimana menjadinya ikhlas dalam mengamalkan agama, ikhlas dalam melakukan ibadah kepada Allah, ikhlas dalam pergaulan dengan manusia, dan ikhlas dalam melaksanakan apa yang diamanahkan kepadanya.
Sebenarnya orang yang ikhlas sama ada berhadapan dengan Allah atau manusia ketika melakukan sesuatu amalan atau kerja, tidak mengharapkan balasan dan sanjungan. Namun dia percaya perbuatannya pasti dinilai oleh Allah sebaiknya. Apa yang penting di sisinya ialah amalannya diterima oleh Allah s.w.t.
Lazimnya orang yang ikhlas takut untuk menyatakan bahawa apa yang dilakukan itu adalah ikhlas. Padanya biarlah pemberian tangan kanannya tidak disedari oleh tangan kiri. Walau bagaimanapun kadang-kadang tindak tanduknya perlu juga diberitahu kepada orang ramai tentang keikhlasan hatinya.
Perhatikan dua contoh berikut; seorang kaya hendak memberi sumbangan kepada jirannya yang miskin, diserahkan kepadanya tatkala orang lain tidak nampak. Dia memberi semata-mata untuk menolongnya kerana seruan Allah.
Dalam kes yang lain, sesebuah syarikat hendak mendermakan kepada sesuatu badan kebajikan, perlu diisytiharkan kepada orang awam. Pemberian itu adalah ikhlas untuk membantu mengurangkan beban badan kebajikan itu. Pada masa yang sama pemberian itu boleh memberi rangsangan kepada orang kaya lain supaya turut berderma.
Pemberian orang kaya dan syarikat itu tidak boleh dituduh sebagai tidak ikhlas atau riak kerana tidak siapa pun yang mengetahui niat hati pihak berkenaan. Tuduhan orang lain dalam hal ini adalah salah dan berdosa kerana dia seolah-olah mendahului Allah dalam menghukum seseorang.
Jadi, serah sahaja urusan menghukum seseorang itu sama ada ikhlas atau tidak kepada Allah. Tetapi alangkah baiknya kalau kita doakan seseorang yang memberi sesuatu sumbangan itu berhati ikhlas. Ingatlah bersangka baik terhadap seseorang itu adalah satu ibadah yang pasti besar pahalanya.
Riak Perlu Dijauhi
Siapakah yang sebenarnya termasuk dalam riak? Riak ialah sifat mazmumah yang amat keji kerana sifat itu termasuk dalam kategori syirik khafi, syirik yang tersembunyi. Riak juga sama seperti sifat ikhlas yang tidak siapa pun boleh mengesannya sama ada riak atau tidak. Menuduh seseorang itu riak adalah dosa kerana hakikat sebenarnya hanya Allah dan diri individu tersebut sahaja yang tahu.
Jadi, elaklah membuat tuduhan terhadap seseorang sebaliknya menilai seseorang itu mengikut kadar yang kita lihat secara zahir. Sebenarnya, orang yang riak dapat dilihat pada tingkah laku, ucapan dan kata-katanya. Jika seseorang itu bertindak atau menyatakan sesuatu melebihi daripada kadar biasa, kemungkinan hatinya sudah riak. Namun, berdasarkan itu pun kita tidak boleh menuduhnya riak.
Walau bagaimanapun bagi seseorang individu yang dapat mengesan dirinya sebagai riak seharusnya berusaha untuk tidak meneruskannya. Sebagai contoh, seseorang yang berjaya melakukan solat tahajjud pada malam hari, maka pada keesokannya dia cuba hendak menceritakan kepada kawan-kawannya apa yang dilakukan pada malam hari. Jika dia sedar ketelanjurannya itu, seharusnya dia bertaubat dan tidak menceritakan semua itu kepada orang lain.
Riak Tanpa Sedar
Seseorang itu juga boleh dikategorikan sebagai riak apabila dia tidak mahu melakukan kebaikan kerana takut dituduh riak. Inilah riak yang sering dilakukan tanpa sedar. Sebagai contoh, seorang bertanya kepada kawannya, “mengapa kamu tidak mahu pakai tudung” atau “bila kamu nak pakai tudung?” dengan beraninya dia berkata, “aku tidak mahu pakai lagi waktu ini kerana takut orang kata aku riak.”
Nauzubillah, ucapannya yang pendek itu sebenar sudah dinilai oleh Allah sebagai riak. Inilah yang sering kita dengar dari lidah umat Islam. Mereka tidak sedar bahawa perbuatan mereka itu adalah dosa, dosa riak, dan dosa syirik secara tidak sedar.
Umat Islam khususnya yang membaca artikel ini seharusnya berubah daripada terus memperoleh dosa secara tidak sedar ini. Ketahuilah dosa riak dalam bahagian ini banyak mengundang kemusnahan kepada amalan individu Muslim.

24 Mei 2009

Aurat lelaki sering diremehkan

Ahmad Baei Jaafar

Aurat lelaki seperti yang dinyatakan sebelum ini agak longgar kerana selain waktu bersendiri dan bersama isteri, aurat lelaki hanya antara pusat dan lutut sahaja. Maknanya kalau seseorang itu hendak melakukan solat, auratnya ialah cukup antara pusat dengan lutut, begitu juga kalau dia berada di khalayak ramai.

Berdasarkan itu, ramailah orang lelaki mengambil mudah dengan menyatakan harus kita berada dalam sesuatu majlis dengan hanya memakai seluar pendek sampai ke paras lutut. Sebab itulah barangkali kita sering melihat orang lelaki suka memakai seluar pendek ketika membasuh kereta di luar rumah.

Benar, jika mengikut hukum asal tidak salah memakai seluar pendek yang sampai ke paras lutut kerana itulah sahaja aurat bagi lelaki. Tetapi jangan lupa bahawa hukum itu perlu juga mengambil kira waktu berjalan dan duduk. Apakah ketika itu aurat lelaki tersebut masih terpelihara?

Bayangkan seorang lelaki yang hanya memakai kain sarung yang menutup pusatnya dan lutut. Solatnya sah kerana aurat bagi lelaki dalam solat ialah antara pusat dengan lutut. Tetapi bagaimana kalau dia rukuk, sujud, dan duduk antara dua sujud? Tidaklah lututnya ternampak? Sahkah solatnya ketika itu? Jawapannya ialah tidak sah.

Bagaimanapun pula kalau dia membasuh kereta dengan pakaian yang sama, sesekali dia akan tunduk juga. Adakah ketika itu tidak terbuka auratnya iaitu lutut? Kalaupun dia memakai seluar pendek yang labuh hingga ke paras lutut, waktu dia mencangkung akan ternampak lututnya. Tidak berdosakah dia ketika itu? Jawabnya tentu berdosa. Ya, kalau dalam solat tidak sah maka pada ketika waktu lain dia berdosa.

Bagi masyarakat kampung pula, mereka suka pakai kain pelakat yang digulung sampai ke paras lutut. Malah kadang-kadang ternampak pusatnya sewaktu terlondeh. Waktu berborak dengan kawan-kawan di serambi pasti tersingkap juga auratnya.

Bagaimana kalau dia melakukan solat dengan kain itu walaupun dilabuhkan di bawa lutut? Waktu rukuk dan sujud setidak-tidaknya akan ternampak pahanya oleh orang yang di belakangnya. Sahkah solatnya?

Begitu juga kalau si ayah memakai kain pelakat di dalam rumah bersama anak-anak, lalu pada waktu duduk terselak bahagian lututnya. Agaknya berdosa atau tidak ketika itu? Jawapannya sudah tentu berdosa kerana aurat ketika bersama mahram ialah antara pusat dengan lutut.

Kalau berdasarkan keterangan di atas adalah haram hukumnya, bagaimana keadaannya anak-anak muda yang suka memakai seluar pendek di dalam rumah, bersukan, main bola dan sebagainya? Seluar pendek yang dipakai mereka adalah di atas lutut, maka dalam keadaan itu dia bukan sahaja mendedahkan lututnya malah mendedahkan pahanya.

Nampaknya lelaki secara berleluasa mendedahkan aurat mereka tatkala bersukan. Apakah atas alasan bersukan aurat boleh didedahkan? Ya, kalau berhadapan dengan Allah sewaktu bersolat pun salah, betapa ketika berhadapan dengan orang ramai. Pada zaman ini, bukan sahaja orang yang dalam stadium yang melihatnya tetapi seluruh dunia melihatnya. Bayangkan berapa besar dosanya ketika itu.

Pakaian sukan tajaan Barat memang begitu. Hal ini kerana dalam teori sains, mereka yang memakai pakaian longgar dan menutup tubuh boleh melambatkan pergerakan. Tetapi teori itu ternyata tidak tepat apabila pelari pecut wanita Islam (dari Bahrain-kalau tak salah penulis) dapat mengalahkan pelari lain yang hanya sekadar memakai cawat dalam sukan bertaraf dunia baru-baru ini.

Selain itu, kalau benarlah teori itu, mengapa perlu pakaian itu diperkenalkan kepada pemain boling. Sukan itu tidak memerlukan pergerakan pantas. Barat menipu kita dan kita hanya menurut sahaja tanpa mahu membantah. Kita akur dengan peraturan itu demi sukan padahal kita belum berani berbincang secara serius untuk mohon pengecualian bagi atlet Muslim.

Bayangkan sudah berapa lama umat Islam melakukan dosa mendedahkan aurat dalam bidang sukan. Jika dalam hal ini kita sudah berdosa dengan Allah, bagaimana usaha kita untuk membentuk perpaduan melalui sukan seperti yang sering diuar-uarkan. Mahukah Allah merestuinya?

Pada pandangan penulis, cara berpakaian dalam sukan itulah yang menjadi sebab mengapa kurang penyertaan orang Islam dalam sukan. Sebenarnya mereka masih berminat untuk bersukan tetapi mereka tiada pilihan untuk bersukan. Akhirnya sukan dikuasai oleh orang bukan Islam.

Dalam hal ini, alangkah baiknya bagi negeri-negeri yang di perintah oleh PR itu menjadi model menganjurkan sukan yang mempunyai konsep pakaian sukan Islam. Jika mereka berjaya, pasti dunia akan melihat dan lambat laun mereka akan mencontohinya.

22 Mei 2009

Zambry MB sah Perak sudah dijangka

Mahkamah Rayuan hari ini mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah. Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Panel tiga hakim itu - yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian semalam - sebulat suara menerima rayuan Zambry. Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.

Tanpa mempertikaikan keputusan itu, saya melihat kekalutan yang berlanjutan itu harus dihentikan segera tanpa sebarang rayuan lagi. Alangkah ruginya masa yang terluang, wang yang terbuang, namun maruah demokrasi negara ini terus tercemar. Jadi, demi rakyat Perak yang dahagakan keadilan dan keselamatan Zambry sebagai Menteri Besar perlu membuat sesuatu.

Di sini suka dicadangkan:
1. Kalau berani bubarkan DUN
2. Kalau tidak, hentikan permusuhan dengan DUN PR
3. Perintah dengan adil kepada semua rakyat Perak tanpa merujuk kepada BN saja
4. Jadikan pemerintah yang takut kepada Allah dan takut melakukan dosa kepada Allah dan rakyat.

Kepada Mohamad Nizar, kukuhkan kedudukan PR dalam kawasan yang sedia ada dan juga kawasan BN secara profesional. Hentikan politik yang merugikan rakyat, sebaliknya gunakan peluang yang ada untuk memuhasabah diri.

Allah sedang menilai kerja orang mukmin, dan Allah juga akan memberi jawapan yang adil apabila hambanya mengikut perintah dan suruhannya.

21 Mei 2009

Aurat lelaki dan perempuan wajib dipelihara

Ahmad Baei Jaafar

Pernah kita dengar ungkapan bahawa suatu yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang tersorok dan selamat. Barang kemas emas atau intan permata tentu tidak akan dibiarkan bersepah-sepah di atas lantai sebaliknya ditempatkan tempat yang khas.

Bagi seorang lelaki yang bergelar suami, barangan yang paling mahal dan berharga ialah isterinya. Selain isterinya mahal kerana membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkannya, isteri juga adalah penyelamat iman dan maruahnya. Jadi, isteri perlu dijaga dengan rapi supaya dia tidak mudah keluar bebas hingga dapat dilihat orang lain begitu sahaja.

Wanita atau isteri pada zaman dahulu jarang keluar rumah, apatah lagi untuk bersiar-siar di kota. Tetapi suasana zaman itu sudah berlalu kini. Sebaliknya kalau wanita dan isteri asyik terperap di rumah sahaja, dikatakan mereka tidak mengikut peredaran zaman.

Sebenarnya Islam tidaklah melarang wanita atau Isteri daripada keluar rumah jika terdapat keperluan yang mendesak ke arah itu. Mereka boleh keluar rumah dengan syarat menutup aurat dan jaga keterampilan agar tidak terdedah kepada fitnah.

Untuk wanita dihadkan kadar aurat yang wajib ditutup pada tempat-tempat tertentu. Berikut disenaraikan kadar aurat seperti yang tetapkan oleh Islam.
1. Sewaktu seorang diri – auratnya ialah bahagian dari pusat hingga ke lutut.
2. Sewaktu bersama perempuan atau mahram – auratnya ialah bahagian di antara pusat dengan lutut.
3. Sewaktu bersama ajnabi – auratnya ialah seluruh tubuhnya.
4. Sewaktu menghadap Allah (solat) – auratnya ialah seluruh tubuh kecuali muka dan pergelangan tangan.
5. Sewaktu berhadapan dengan wanita bukan Islam atau waktu bekerja – auratnya seluruh tubuh kecuali bahagian yang diperlukan dalam suasana kerja.

Perlu dijelaskan di sini, aurat ialah bahagian yang perlu ditutup atau dijaga daripada dilihat atau dicemari oleh orang lain. Berdasarkan definisi itu, aurat ialah bahagian yang berharga bagi seseorang, maka ia perlu dijaga dengan sebaiknya walaupun sekadar dipandang dari jarak jauh.

Menyentuh soal aurat yang di antara pusat dengan lutut, suka dijelaskan di sini bahawa bahagian tersebut perlu diambil kira ketika duduk dan berjalan. Maknanya kalau seseorang wanita itu sekadar pakai tuala mandi dari bahagian pusat sampai lutut sahaja, memang dibenarkan kerana itu had auratnya. Tetapi bagaimana kalau dia berjalan atau duduk di atas kerusi, sudah tentu lutut atau sebahagian pahanya dapat dilihat oleh orang lain. Di sinilah yang perlu diberi perhatian.

Tetapi lazimnya wanita Melayu suka pakai tuala mandi dari paras payu dara hingga ke bahagian paha. Kalau dia ketika itu memakainya di hadapan suami, tidak salah kerana tiada had aurat ketika bersama suami. Tetapi bagaimana kalau dalam rumah itu ada anak, bukankah auratnya ialah di antara pusat dengan lutut. Jadi, elakkan berpakaian seperti itu di hadapan anak-anak apatah lagi di hadapan tetamu.

Bayangkan kalau di dalam rumah sendiri, tidak boleh pakaian seperti itu, bagaimana sikap sebahagian wanita yang suka pakai skirt yang pastinya di atas lutut, dan ada juga yang pakai seluar pendek. Jelas pakaian itu tidak menutup aurat seperti yang dikehendaki Islam.

Kita seharusnya boleh berfikir, kalau sewaktu bersendirian atau bersama wanita Islam atau mahram, berpakaian seperti itu masih termasuk dalam kategori mendedahkan aurat betapa kalau berhadapan dengan orang lain di luar rumah. Inilah yang jarang diberi perhatian oleh wanita pada hari ini.

Selain itu, tudung yang dipakai oleh wanita pada hari, sebahagiannya sudah lebih glamor daripada mentaati perintah Allah. Lihat sahaja, tudungnya tidak menutup bahagian dada dan lehernya. Malah sesetengahnya pakai tudung tetapi tangannya tidak ditutup. Dalam Islam aurat bukan rambut sahaja tetapi seluruh tubuh badan seperti yang dijelaskan di atas.

Walau bagaimanapun usaha mereka hendak pakai tudung itu, amat dihargai. Semoga Allah menilainya mengikut kadar usahanya. Namun pada masa yang sama, wanita tersebut perlu berusaha untuk menutup aurat sepenuhnya.
Selain itu, aurat lelaki ada sedikit perbezaan, terutama di sudut bentuk pakaian. Perkara ini akan dihuraikan nanti sekali gus menampakkan beberapa kesalahan lelaki dalam hal ini.

Senarai aurat bagi lelaki adalah seperti berikut:
1. Sewaktu bersendiri – auratnya ialah bahagian kemaluan qubul dan dubur. Maknanya cukup dengan pakai seluar dalam.
2. Sewaktu sesama lelaki dan muhram – auratnya ialah bahagian di antara pusat dengan lutut.
3. Sewaktu berhadapan dengan ajnabi – auratnya ialah di antara pusat dengan lutut
4. Sewaktu menghadap Allah (solat) – auratnya ialah di antara pusat dengan lutut.

Umumnya aurat lelaki agak longgar daripada wanita. Namun ramai juga lelaki yang tidak memahaminya lalu terjebak dalam pendedahan aurat.