22 Mei 2009

Zambry MB sah Perak sudah dijangka

Mahkamah Rayuan hari ini mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah. Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Panel tiga hakim itu - yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian semalam - sebulat suara menerima rayuan Zambry. Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.

Tanpa mempertikaikan keputusan itu, saya melihat kekalutan yang berlanjutan itu harus dihentikan segera tanpa sebarang rayuan lagi. Alangkah ruginya masa yang terluang, wang yang terbuang, namun maruah demokrasi negara ini terus tercemar. Jadi, demi rakyat Perak yang dahagakan keadilan dan keselamatan Zambry sebagai Menteri Besar perlu membuat sesuatu.

Di sini suka dicadangkan:
1. Kalau berani bubarkan DUN
2. Kalau tidak, hentikan permusuhan dengan DUN PR
3. Perintah dengan adil kepada semua rakyat Perak tanpa merujuk kepada BN saja
4. Jadikan pemerintah yang takut kepada Allah dan takut melakukan dosa kepada Allah dan rakyat.

Kepada Mohamad Nizar, kukuhkan kedudukan PR dalam kawasan yang sedia ada dan juga kawasan BN secara profesional. Hentikan politik yang merugikan rakyat, sebaliknya gunakan peluang yang ada untuk memuhasabah diri.

Allah sedang menilai kerja orang mukmin, dan Allah juga akan memberi jawapan yang adil apabila hambanya mengikut perintah dan suruhannya.

Tiada ulasan: