21 April 2013

Kenapa Anda Perlu Kekalkan Pemerintah Sekarang?

Ahmad Baei Jaafar

“Kecil jangan dibesarkan, yang besar jangan dikecilkan” demikian kenyataan yang disuarakan seorang pemimpin parti politik. Amat positif pandangan itu tetapi suara itu akhirnya bagaikan tidak bermakna lagi apabila dalam ucapannya terselit nada mengungkit sumbangan kerajaan kepada rakyat.
“Ingatlah dahulu kita susah sebagai setinggan, berebut untuk mendapat air pada setiap pagi. Kerajaan telah menempatkan kita semua ke sini dengan harga yang terendah,” kata pemimpin tersebut.
Pada rakyat itu bukan sumbangan tetapi tanggungjawab kerajaan untuk memberi keselesaan kepada rakyat. Sememangnya rakyat berhak duduk dengan aman di dalam negara. Rakyat seharusnya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana demikian itu adalah sebahagian daripada Islam.
Cuma persoalannya, tidakkah mengungkit hal ini termasuk dalam membesarkan perkara yang kecil. Yalah soal penempatan kalaupun kerajaan tidak bantu, rakyat boleh usaha sendiri. Maka hal ini bukan besar kerana nilaian besar itu adalah sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh rakyat walaupun dia seorang kaya iaitu keamanan dan keselamatan.
Demikian suasana politik Malaysia pada hari ini, pemimpin sedia turun padang untuk menjelaskan kepada rakyat hasil pemerintahannya selama ini. Barangkali mereka menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar seluruh kepimpinan BN turun padang bertemu rakyat bagi menjelaskan kenapa mereka perlu diberi peluang memerintah negara ini sekali lagi.
Najib dalam seruan itu berharap BN diberi kemenangan dengan majoriti kukuh kerana banyak lagi perancangan untuk membangunkan negara belum selesai. Dengan mandat baru itu nanti banyak lagi projek dapat dilaksanakan.
Saya percaya pengakuan Perdana Menteri di atas adalah ikhlas daripada hatinya. Malah kesungguhan pemimpin BN hendak turun padang dilihat mereka serius dalam usaha menyelesaikan projek yang masih belum terlaksana. Cuma dalam hal ini, tidak dinafikan ada kemungkinan rakyat akan menilainya secara terbalik iaitu; pengakuan bahawa banyak lagi perancangan yang belum dibuat, memberi erti bahawa banyak lagi janji kerajaan yang tidak ditepati. Sekali gus menggambarkan kegagalan kerajaan dalam merealisasikan slogan kerajaan “rakyat didahulukan pencapaian diutamakan”
Di sini saya teringat pada satu kisah yang dipaparkan dalam al-Quran di mana penghuni neraka yang menyedari bahawa neraka itu benar-benar wujud lalu segera membuat rayuan kepada Allah minta dikeluarkan semula ke dunia untuk seketika. Hal ini supaya membolehkan mereka membuat kebajikan sebanyak-banyaknya.
Bayangkan setelah tempoh yang panjang diberikan kepada mereka di dunia tetapi peluang itu diabaikan, lalu setelah dimatikan dan sampai masa untuk diadili, masih bolehkah Allah mahu memberinya peluang kali kedua?
Kalau begitu sikap Allah, bagaimana dengan rakyat terhadap pemerintah negara ini? Tepuk dada tanya iman. Maka terpulanglah kepada rakyat untuk menentukan sama ada hendak diberi kuasa semula atau diberikan kepada pihak yang lain dalam pilihan raya akan datang.

Pilih Pemimpin
Sememangnya sebagai rakyat biasa, kita sukar untuk memilih pemimpin atau wakil rakyat untuk mentadbir negara. Hal ini kerana kebanyakan calon dalam piliharan tidak dikenali secara benar. Kita hanya mampu melihat wajahnya pada poster, tetapi kemampuannya dalam mentadbir belum dikenal pasti. Lainlah kalau kita berpeluang melihat dan mendengar ucapannya dalam sesi kempen, itupun kita hanya sekadar mendengar janji mereka namun belum tahu kemampuan sebenarnya.
Mungkin pemimpin yang sedia ada sudah dikenali kerana selalu kita dengar dan menonton tv. Dengan mengenali mereka tentu kita dapat menilai mereka sama ada mereka boleh terus memimpin atau tidak. Namun tidak dinafikan sesetengah mereka membuatkan kita tidak suka kepada mereka. Mungkin tindakan sesetengah mereka yang membuatkan rakyat menyampah kepada politik negara.
Walau bagaimanapun dalam PRU13 yang akan berlangsung pada 5 Mei 2013 nanti, saya berharap semua rakyat Malaysia keluar untuk mengundi dan memilih pemimpin yang berkualiti dan berwibawa. Pemimpin yang sedemikianlah yang boleh mengurus negara ini dengan sempurna. Ingatlah mengundi dalam konteks ini adalah wajib aradhi.
Sebenarnya dalam pilihan raya rakyat dikehendaki mengundi dua calon untuk dua kategori; Parlimen dan DUN. Kerusi Parlimen untuk membolehkan mereka membentuk kerajaan pesekutuan. Manakala DUN untuk membolehkan mereka membentuk kerajaan negeri. Untuk kedua-dua kategori itu parti yang bertanding perlu mendapat sekurang-kurangnya lebih satu kerusi daripada separuh kerusi Parlimen dan DUN.  Tetapi untuk kedudukan kerajaan yang selesa, parti tersebut perlu menguasai 2/3 daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan.
Berdasarkan itu rakyat bertanggungjawab membentuk kerajaan Malaysia yang selesa agar kedudukannya sukar dicabar oleh pembangkang. Jadi, rakyat perlu mengundi calon yang mewakili parti yang mempunyai wawasan yang jelas iaitu untuk menyelamatkan negara daripada muflis, menyelamatkan negara daripada dicerobohi musuh, mampu membangunkan negara selaras dengan kehendak Islam dan mampu meletakkan Islam di puncak keagungan.
Begitu juga dalam membentuk kerajaan negeri, rakyat perlu memilih calon yang mewakili parti yang mampu menyelamatkan negeri daripada hutang, menyelamatkan negeri daripada miskin, dapat membawa negeri maju dan meyakinkan pelabur. Dan yang paling penting kemajuan kerajaan itu boleh memberi keselesaan kepada rakyat yang berteduh di bawahnya.
Untuk mencapai apa yang dijelaskan di atas rakyat Malaysia mahupun rakyat negeri-negeri dalam Malaysia boleh menentukan siapa dan parti apa yang boleh memerintah Malaysia dan negeri-negeri seluruh Malaysia. Kuasanya pada tangan rakyat iaitu memangkah pada kertas undi. Ingatlah, mengundi dengan niat untuk memilih pemimpin yang baik untuk negara dinilai sebagai ibadah.

Pilih Kerajaan
Rakyat berhak memilih semula parti yang memerintah di peringkat pusat kini jika mereka berpuashati dengan gaya dan cara mereka mentadbir politik negara. Sebaliknya mereka juga boleh memilih untuk mengubah atau menukar parti yang memerintah sekarang kepada parti baru jika selama ini didapati gaya dan cara mengurusnya kurang memerangsangkan atau tadbir urus yang kurang berkualti.
Dalam hal ini rakyat perlu diberi kebebasan mutlak dalam menentukan parti yang akan memerintah Malaysia. Oleh sebab itu, rakyat tidak boleh dimomokkan dengan cerita-cerita karut marut semata-mata untuk menakutkan rakyat. Hal ini kerana rakyat kini sudah cerdik dan bijak dalam menilai pencapaian kerajaan yang ada.
Mungkin pencapaian kerajaan pusat sehingga kini tidak boleh dibandingan dengan mana-mana kerajaan kerana kerajaan pusat  sekarang belum pernah tercabar. Tetapi bagi rakyat kerajaan Selangor tentu mereka boleh membandingkan dengan kejayaan kerajaan dahulu. Boleh juga membandingkan dengan kejayaan kerajaan Perak atau Pahang yang diperintah oleh parti yang berlainan pada hari ini.
Manakala rakyat negeri Pulau Pinang, mereka boleh membuat pilihan bijak dengan mengembalikan pemerintahan kepada parti yang memerintah sekarang  jika mereka mendapati kerajaan ini lebih baik daripada kerajaan sebelumnya. Sebenarnya kerajaan Pulau Pinang telah diperintah oleh tiga ketua menteri yang berbeza perwatakannya iaitu yang mewakili MCA, Parti Gerakan dan DAP. Saya percaya rakyat Pulau Pinang dapat menilai mana yang lebih baik dalam pengurusan kewangan dan lain-lain.
Cuma pada saya, kalau rakyat Pulau Pinang selesa dengan keadaan pemerintah sekarang, sebaiknya semua orang Melayu harus bersatu hati dan tangan dalam memberi undi kepada calon dalam kalangan orang Melayu sama ada daripada PAS dan Parti Keadilan Rakyat. Hal ini kerana dengan meramaikan wakil rakyat orang Islam dalam kerajaan PR boleh mengimbangkan kepimpinan dan pembangunan di negeri tersebut. Dengan cara ini orang Melayu dan Islam akan terbela dengan adil.
Walau bagaimanapun tidaklah salah kalau orang Melayu memberi sokongan kepada wakil daripada UMNO asalkan mereka juga boleh menjadi pembangkang yang berkesan, boleh memberi idea yang baik kepada kerajaan demi menyelamatkan orang Melayu dan Islam. Maknanya mereka akan menyokong keputusan kerajaan dalam usaha membangunkan orang melayu tetapi kalau terdapat yang tidak kena dalam pemerintahan perlu dibetulkan segera, malah jika perancangan itu boleh merugikan orang Melayu perlulah dibantah segera.
Begitu juga dengan negeri Kelantan, kalau rakyat Kelantan masih rasa selesa dengan pembangunan sekarang, eloklah kekalkan pemerintah sebelum ini. Rakyat Kelantan sudah pernah rasai pemerintah lain beberapa tahun dahulu. Tentu mereka dapat menilai kemampuan pemerintah tersebut. Rakyat Kelantan banyak bertebaran di seluruh negara, tentu mereka nampak kebaikan atau keburukan kerajaan Kelantan waktu ini. Tegasnya mereka lebih arif dalam hal ini.
Cuma dalam ruang singkat ini ingin saya ingatkan rakyat Malaysia terutama Kelantan bahawa mereka perlu tahu dan sedar bahawa dalam sesebuah negeri ada hak dan tanggungjawab kerajaan pusat selain kerajaan negeri. Sebenarnya semua jalan raya persekutuan dan Lebuh raya adalah tanggungjawab kerajaan  pusat untuk membinanya. Makanya walaupun kerajaan negeri berlainan parti, Kerajaan pusat mesti buat jalan tersebut apatah lagi setelah kerajaan negeri meminta atau mereka sendiri yang berjanji untuk itu.
Adapun jalan kampung dan dalam Bandar berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri. Namun projek membuat jalan ini mesti dilaksanakan oleh kerajaan negeri bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan. Perlu diingat wang tersebut datangnya daripada peruntukan kerajaan pusat. Jadi, jika peruntukan itu disekat, maka pembangunan kerajaan negeri akan tersekat juga.
Sebenarnya di sudut undang-undang peruntukan kerajaan pusat kepada negeri tidak boleh disekat selagi kerajaan itu masih di dalam Malaysia. Jadi, parti lain yang memerintah bukanlah menjadi sebab wang itu tersekat.
Selain itu semua sekolah kebangsaan termasuk sekolah jenis kebangsaan berada di bawah kuasa kerajaan pusat. Kerajaan negeri tidak dibenarkan masuk campur dalam sekolah tersebut. Manakala sekolah agama diletakkan di bawah tanggungjawab kerajaan negeri. Begitu juga dengan urusan tanah dan air akan diurus tadbir oleh kerajaan negeri.
Bagi rakyat negeri Kedah pula, mereka juga berhadapan dengan dua pilihan yang penting. Rakyat Kedah tentu ada pengalaman diperintah oleh kerajaan pusat, maka mereka kini tahu kemajuan yang telah mereka kecapi. Mereka juga tahu apa yang menguntungkan mereka dan apa pula yang merugikan mereka. Pada masa yang sama, rakyat boleh menilai kerajaan baru yang memerintah selama lima tahun, apakah lebih baik atau bagaimana. Yang penting, apakah kerajaan negeri itu banyak buat hutang atau tolong membayar hutang lapok.
Bagi rakyat negeri Selangor tentu mereka lebih arif tentang siapa yang layak menguasai negeri mereka. Hal ini kerana rakyat Selangor lebih ramai yang intelik, ramai yang berpendidikan. Mereka tahu membezakan kemajuan kerajaan sekarang dengan kerajaan sebelumnya. Rakyat tentu tahu isu yang dimainkan pada hari ini apakah realiti atau sekadar mainan politik untuk pilihan raya.
Sebenarnya sebagai rakyat kita perlukan sebuah negara atau negeri yang aman dan selamat, maju dan damai, membangun dan ceria. Semua itu hanya boleh diperoleh melalui penghayatan Islam baik dalam pemerintahan mahupun rakyat jelata.
Bagi negeri-negeri lain, rakyat negeri tersebut bolehlah membuat sedikit kajian tentang parti yang memerintah apakah mereka telah membuat kejayaan seperti yang saya sebut di atas. Kalau mereka melakukan sesuatu yang memuaskan hati kita, berilah kepercayaan kepada mereka lagi. Tetapi kalau terdapat kekurangan yang perlu dibaikpulih, buatlah sesuatu untuk kebaikan bersama.
Cuma dalam mencari jawapan, bolehlah kita secara profesional menghadiri penjelasan daripada parti dan colon yang bertanding. Penjelasan dan keterangan mereka penting untuk dinilai. Ketika itu kita boleh menilai sama ada mereka ikhlas atau tidak. Kita boleh menilai sama ada mereka mampu atau tidak.

Beberapa panduan untuk tindakan pengundi:
  1. Waktu pilihan raya rakyat boleh memilih dan mengundi pemimpin yang berkelayakan. Kita pada waktu itu bukan lagi menentang pemerintah kerana kerajaan sudah dibubar. Memang dalam Islam menentang sesebuah kerajaan yang sedang memerintah adalah haram.
  2. Pemimpin yang berkelayakan ada empat sifat; berkemampuan (qawi) dan berintegriti (amin), amanah menjaga harta (hafiz) dan berpengetahuan (alim).
  3. Untuk mengundi kita bukan saja perlu lihat berasaskan orang dan sifatnya tetapi juga melihat parti dan pakatan yang telah dipersetujui sebagai dasar.
  4. Apabila negara tidak aman, berlaku kecurian dan seumpamanya, itulah tanda kepimpinan terdapat masalah yang perlu dirawat.
  5. Politik sebahagian daripada Islam dan termasuk dalam persoalan muamalat. Berpolitik dalam sesebuah negara adalah untuk maslahah umum.
  6. Politik yang diperjuangkan itu mestilah tidak bertentangan dengan nas al-Quran dan hadis.
  7. Politik yang dibawa adalah idealism untuk kebaikan dan keamanan negara bukan perkauman yang mengenepikan suatu kaum. Jadi, mengundi adalah untuk menolak kemungkaran.
  8. Bila kita berhadapan dengan parti bukan Islam kita perlu lihat kepada mana yang kurang mudarat, maka kita boleh menyokong parti tersebut.
Kita tidak boleh memilih pemimpin atau wakil rakyat yang bermasalah iaitu:
  1. Minta dikenangkan jasa mereka kerana yang demikian menunjukkan mereka tidak ikhlas.
  2. Pemimpin yang gagal menjalankan tugas semasa diberikan amanah.
  3. Suka membuat andaian salah terhadap lawannya.
“Menpolitikkan Islam berbeza dengan mengislamkan politik. Orang yang bercakap tentang Islam tetapi realitinya tidak begitu sebaliknya pada masa yang sama melakukan yang bercanggah dengan Islam. Berbeza dengan mengIslamkan politik, perjuangan politiknya berlandaskan Islam dan ingin meletakkan Islam di atas segala-galanya.”

Tiada ulasan: