09 Januari 2013

Istimewa Melayu Malaysia Kerana Islam

Ahmad Baei Jaafar
Pelik juga kalau ada orang Melayu yang dilahirkan sebagai Melayu tetapi tidak berasa bangga dengan kemelayuannya. Namun tidaklah sampai tidak mahu mengaku Melayu. Di mana salahnya Melayu? Lainlah kalau Melayu ini asal usulnya penjenayah, pemberontak dan seumpamanya dan kekal sehingga ke hari ini, tak mahu saya mengaku Melayu. Malu saya menjadi Melayu.
Rasanya Melayu tidak begitu, tidak tahulah kalau begitu pada zaman purbanya. Sekarang Melayu sudah tamadun, sudah berada dalam negara merdeka. Jadi, apakah salahnya kalau kita dilahirkan sebagai Melayu. Kalau kita tidak gembira dengan Melayu kita, tentu secara tidak langsung kita telah menyalahkan ibu bapa yang melahirkan kita. Silap-silap pula kita salahkan Allah yang melahirkan kita sebagai orang Melayu.
Sesungguhnya Melayu dan orang Melayu tidak salah apa-apa kerana Melayu hanyalah salah satu bangsa yang diwujudkan Allah bagi tujuan memberi peluang kepada manusia berkenalan antara mereka.
Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Namun, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat : 13)
Allah takdirkan kita lahir sebagai orang Melayu tentu ada hikmah kebaikannya. Kita boleh berkenalan dengan bangsa lain dan berbaik-baik dengan bangsa lain secara harmoni. Malah lebih patut kita berasa bangga kerana dilahirkan di Malaysia yang secara automatiknya orang Melayu adalah orang Islam. Orang Melayu di sini ditakrifkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai orang Islam. Maknanya orang Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan. Jadi, di segi undang-undang orang Melayu mustahil boleh menjadi murtad. Kenapa?
Yalah, bangsa seseorang tidak boleh bertukar sejak daripada lahirnya sehingga ke tarikh matinya. Katalah orang Melayu berkahwin dengan orang India, maka bangsanya tetap Melayu. Begitu juga orang India itu, dia tetapi India walaupun berkahwin dengan orang Cina. Keadaan yang sama akan berlaku kepada bangsa lain seperti Cina atau orang Afrika dll. Mereka tetap dikira bangsa itu walaupun sudah bertahun-tahun tinggal di Malaysia. Jadi, orang Melayu selagi berbangsa Melayu dia tetap dikira orang Islam.
Sebenarnya Rasulullah sendiri bangga yang dirinya orang Quraisy dengan katanya, ana (saya) Quraisy. Baginda juga menyebut tentang kepimpinan kota Makkah khususnya Kaabah mestilah dalam kalangan Quraisy. Namun bukanlah Quraisy segala-galanya. Ada juga keburukan pada orang Quraisy di sudut kepimpinan seperti sabdanya:
عن النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " خِيَارُ النَّاسِ خِيَارُ قُرَيْشٍ , وَشِرَارُ قُرَيْشٍ شِرَارُ النَّاسِ , وَخِيَارُ أَئِمَّةِ قُرَيْشٍ خِيَارُ أَئِمَّةِ النَّاسِ , وَشِرَارُ أَئِمَّتُهُمْ شِرَارُ أَئِمَّةِ النَّاسِ , وَخِيَارُ النَّاسِ تَبَعٌ لِخِيَارِهِمْ , وَشِرَارُ النَّاسِ تَبَعٌ لِشِرَارِهِمْ " .
Maksudnya: Daripada Nabi SAW sabdanya, sebaik-baik manusia ialah sebaik-baik Quraisy, sejahat-jahat Quraisy ialah sejahat-jahat manusia, sebaik-baik kepimpinan Quraisy adalah sebaik-baik kepimpinan manusia, dan sejahat-jahat kepimpinan mereka adalah sejahat-jahat kepimpinan manusia dan sebaik-baik manusia adalah yang mengikut kebaikan mereka dan sebaliknya seburuk-buruk manusia ialah yang mengikut keburukan mereka. (Riwayat al-Tabrani)
Jelasnya, setiap bangsa manusia ada baik dan ada jahatnya. Yang penting pada kita ialah mana yang baik kena ikut dan mana yang jahat perlu dijauhi. Sebab itu dalam hal ini baginda mengingatkan umatnya agar tidak taksub kepada bangsa apatah lagi pemimpin. Taksub Rasulullah sebut sebagai asabiah seperti sabda Rasulullah SAW:
عن واثلة بن الأسقع، سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَمِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُحِبَّ الرَّجُلُ قَوْمَهُ ؟ قَالَ : " لَا ، وَلَكِنْ مِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يَنْصُرَ الرَّجُلُ قَوْمَهُ عَلَى الظُّلْمِ "
Maksudnya, daripada Wasilah bin al-Asqa’, “aku bertanya akan Rasulullah SAW maka aku berkata, wahai Rasulullah adakah sebahagian daripada asabiah itu seseorang lelaki mencintai (menyukai) akan kaumnya (bangsanya)? Jawab Baginda: “tidak, tetapi sebahagian daripada asabiah itu, seseorang itu menolong kaumnya atas kerja-kerja kezaliman.” (Riwayat Ahmad)
Dengan hadis ini kita boleh mengesan siapa yang banyak mengamalkan asabiah. Kita boleh menilai sendiri sejauhmana kita menyokong bangsa kita dalam melakukan kezaliman. Kita boleh menilai sejauhmana pemimpin negara ini yang menyokong bangsanya dalam melakukan kezaliman. Kalau semua itu ada pada diri kita atau pemimpin kita, itulah tandanya kita terlibat dalam asabiah. Maka atas kesedaran itu jauhilah perkara itu.
Melayu Malaysia
Isu Melayu ini perlu dijelaskan di sini berdasarkan Perlembagaan Persekutuan yang mentakrifkan orang Melayu sebagai orang yang lazimnya bercakap dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Untuk lebih jelas kita rujuk Perkara 160. Tafsiran:
"Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan—
(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau
(b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian.
Sebenarnya berdasarkan perkara ini, orang Cina atau India yang memeluk Islam sebelum Merdeka dan dia fasih berbahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu, maka boleh dikira sebagai Melayu. Tetapi jika Islam selepas Merdeka walaupun fasih berbahasa Melayu dan mahu mengamalkan adat Melayu tidak boleh dikategorikan sebagai orang Melayu. Namun kalau dia berkahwin dengan orang Melayu, maka anaknya boleh dikategorikan sebagai orang Melayu menurut perenggan (a).
Berdasarkan perkara ini juga mana-mana orang Indonesia yang menetap di Malaysia selepas Merdeka dan kemudiannya mereka berkahwin dengan pasangan Indonesia juga, maka anak yang dilahirkan itu tidak boleh dikategorikan sebagai Melayu. Walaupun mereka selama ini orang Melayu (Indonesia), tetapi di sudut undang-undang mereka bukan Melayu. Oleh sebab itu mereka tidak layak mendapat hak keistimewaan Melayu di Malaysia.
Berbeza pula kalau mereka itu berkahwin dengan orang Melayu Malaysia, maka anaknya adalah dikira sebagai orang Melayu. Maka atas dasar itu mereka juga boleh mendapat segela keistimewaan orang Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Malangnya orang Melayu sendiri tidak faham kedudukan mereka dan status mereka di negara sendiri. Atas ketifahaman itulah, banyak hak keistimewaan mereka terlepas begitu sahaja. Sebaliknya, orang bukan Melayu termasuk orang Indonesia boleh dengan senang hati mengambil hak kita. Dan kita sendiri tidak mampu menghalangnya kerana kita tidak tahu hak itu. Barangkali nasib ini padan dengan sikap orang Melayu yang tidak mahu faham apatah lagi yang malas.
Selalunya orang Melayu suka bising apabila telah hilang hak mereka, kita akan bising dan riuh sekampung bila didapati rumah banglow di pinggir kota diduduki oleh orang Indonesia, padahal dia selalu nampak pembinaan itu dibuat oleh orang Indonesia. Kita tidak peka lalu membiarkan aktiviti itu. Baru-baru ini kita bising bila mendapati pemilik gerai ikan dan buah di Pasar Chaw Kit itu adalah orang Indonesia dan Bangla.
Yalah, semua itu berlaku kerana kita tidak faham peruntukan perlembagaan itu, tetapi bagaimana dengan pihak berkuasa kerajaan, pemimpin negeri dan pusat, adakah mereka juga tidak tahu dan tak faham. Inilah masalah yang patut kita sedar kalau kita benar-benar mahu membela orang Melayu. Apa ertinya kita mendapat keistimewaan itu sedangkan rakyat yang berbangsa Melayu tidak mendapat keistimewaan itu.
Islam Agama Negara
Selain hak orang Melayu kita juga harus bersyukur kerana agama Islam diletakkan sebagai agama persekutuan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka dengan peruntukan itu bukan sahaja setiap orang Islam boleh mengamalkan ajaran Islam dengan bebas malah segala yang berjalan dalam negara ini seharusnya mengikut kehendak Islam. Namun realitinya, peruntukan perlembagaan itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak berkuasa apatah lagi rakyat jelata.
Cuba kita teliti peruntukan Perlembagaan Persekutuan berikut:
Perkara 3. Agama bagi Persekutuan.
(1) Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.
Apabila perlembagaan menyebut agama bagi Persekutuan bermakna seluruh negara mesti berasaskan Islam. Segala aktiviti di mana-mana bahagian negara mesti berpaksikan Islam. Tetapi persoalannya, apakah peruntukan ini telah dimanfaatkan? Adakah Islam hanya sekadar nama sehingga sesetengah pihak boleh menganggap Islam hanya untuk urusan rasmi negara sahaja?
Saya percaya anggapan mereka itu adalah berdasarkan realiti pada masa itu. Apa tidaknya, apabila hendak mulakan program, baca al-Quran dan baca doa dan penutupnya dengan doa lagi. Tetapi di tengah-tengahnya apatah lagi kemuncaknya banyak acara maksiat. Keadaan yang sama berlaku dalam program radio dan televisyen.
Melihat realiti itu saya tidak katakan mereka tersalahfaham, tetapi kemungkinan besar mereka sengaja hendak menyindir pihak berkuasa kerajaan. Sepatutnya pihak pemerintah peka dengan peruntukan ini dengan meletakkan Islam dalam segala program. Maka mana-mana acara yang berlawanan dengan Islam perlu dihentikan. Maknanya setiap orang Islam sama ada pemerintah atau rakyat perlu amalkan Islam dalam kehidupannya.
Apa buktinya? Bacalah perkara 3(1) sehingga habis, bukankah secara jelas disebut; “tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”. Maknanya apa? Kalau orang bukan Islam dibenarkan mengamalkan agama mereka dengan aman dan damai di negara ini, tentulah orang Islam lebih berhak lagi untuk mengamalkannya. Kitalah yang sepatutnya mengambil peluang mengamalkan Islam di mana-mana tanpa had.
Malangnya, perkara ini kita tak ambil kisah. Kita lihat pada hari ini, orang bukan Islam amat serius mengamalkan ajaran mereka termasuk agama Hindu, setiap malam Jumaat dan Ahad sanggup memenuhi kuil. Sedangkan orang Islam, boleh dikira berapa ramai yang boleh pergi masjid dan surau. Malah pada waktu solat Jumaat pun ada yang sanggup ponting solat. Sedih.
Kita tidak boleh halang orang lain melakukan ibadat mereka kerana Perlembagaan membenarnya. Tetapi kita seharusnya rasa cemburu dengan mereka kalau kita tidak lebih hebat daripada mereka dalam beribadah. Marilah kita bersaing dalam menuju kebenaran Ilahi kerana peluang itu sudah dibuka luas dalam Perkara 11. Kebebasan beragama.
(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.
Jelas peruntukan ini memberi kebebasan kepada semua orang untuk mengamalkan agama yang dianutinya. Maknanya orang Islam boleh amalkan semua ajaran Islam sepenuhnya. Kita boleh solat, puasa, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, kita juga boleh buat yang sunat semahu kita. Pendek kata apa yang ada dalam ajaran Islam boleh diamalkan tanpa ragu. Kerajaan tidak ada hak untuk melarangnya kecuali kalau ajaran itu hendak dikembangkan kepada orang lain. Maka dalam keadaan ini kita tertakluk kepada Fasal (4) iaitu; “Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.
Maknanya kerajaan negeri dan Wilayah Persekutuan boleh mengawal dan menyekat ajaran sesat atau songsang termasuk ajaran agama lain terhadap orang Islam. Atas sebab itulah mengapa semua guru agama atau pendakwah yang penyebar Islam diwajibkan mendapat tauliah. Bayangkan kalau orang Islam pun tidak boleh sewenang-wenangnya menyebarkan Islam kepada orang Islam, tentulah lebih patut orang bukan Islam tidak boleh menyebarkan agama mereka kepada orang Islam.
Sungguhpun begitu, peruntukan ini tidak disambut secara serius oleh beberapa kerajaan negeri, lalu mereka tidak segera mengubal enakmen bagi mengawal dan menyekat ajaran agama lain kepada orang Islam. Kita mengenal pasti hanya negeri Kelantan, Kedah, Melaka dan Selangor telah meluluskan enakmen untuk tujuan itu.
Walau bagaimanapun seperti yang dijelaskan di atas, bagi negeri lain itu masih boleh mengawal dan menyekat agama lain berdasarkan peruntukan fasal (4) itu, cuma kekuatannya belum terjamin. Hal ini kerana kerajaan melalui pihak berkuasa agama boleh bertindak terhadap mereka tetapi tiada bentuk hukuman yang boleh diambil terhadap mereka.
Tetapi, apakah pihak berkuasa negeri telah lakukan sehingga setakat ini. Kita tidak berani bertindak. Kalaupun ada pihak yang bertindak, orang Islam sendiri yang cuba menghalang. Kita sepatutnya malu kepada Allah kerana kelemahan kita bertindak sehingga menyebabkan agama lain sanggup mencabar kewibawaan kita.
Kita mengaku beragama Islam dan berbangga berada dalam negara Islam, tetapi kita tidak banyak melakukan amalan atau ajaran Islam baik dalam diri mahupun negara. Kalau beginilah keadaan kita, pasti Allah tidak mahu memihak kepada kita.
Semarakkan Amalan Islam
Sebenarnya berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Undang-undang Islam negeri-negeri, kita sudah boleh menyemarakan ajaran dan amalan Islam tanpa had. Semua umat Islam boleh melaksanakan semua ajaran Islam tanpa boleh disekat oleh mana-mana pihak apatah lagi orang bukan Islam. Malah kita boleh menyebarkan Islam kepada semua orang termasuk kepada orang Kristian tanpa sebarang sekatan.
Sebagai pemimpin, mereka boleh amalkan ajaran Islam di peringkat kepimpinannya. Setiap program yang dibuat dipastikan menepati ajaran Islam. Mereka amat amanah dan adil kepada rakyat. Dan sebagai rakyat mereka boleh amalkan ajaran Islam tanpa rasa malu kepada pihak lain. Sebagai pelajar pula mereka boleh amalkan ajaran Islam di mana-mana sahaja mereka berada.
Perlu ditegaskan di sini, amalan Islam terdapat dua kategori; fardu ain dan fardu kifayah. Fardu ain yang melibatkan persoalan aqidah, syariah dan tasauf menjadi tanggungjawab setiap orang. Maka ketiga-tiga itu boleh kita laksanakan dalam kehidupan ini tanpa dihalang oleh sesiapa pun. Manakala fardu kifayah yang melibatkan aktiviti umum dan kerja profesional tidak melibatkan semua orang. Maka sesiapa yang berkemampuan melaksanakannya lakukanlah, asalkan perkara itu boleh memberi manfaat kepada orang ramai.
Sehingga ke setakat ini, cuba kita bertanya kepada diri sendiri, sudahkah kita lakukan semua itu? Kalau sudah lakukannya apakah selama ini terdapat halangan? Saya pasti tidak ada pihak yang menghalang kecuali nafsu dan syaitan. Kerajaan tidak mungkin akan bertindak menghalang aktiviti kita kecuali kalau amalan kita itu bercanggah dengan peraturan dan ajaran Islam.
Kalau begitu jangan salahkan orang lain kalau kita belum mampu melakukan segala ajaran atau amalan Islam. Untuk itu, perlu ada satu pihak yang boleh turun padang bagi mengingatkan umat Islam yang masih tidur untuk melaksanakan ajaran Islam. Percayalah kalau semua umat Islam boleh laksanakan Islam dengan serius, orang bukan Islam tentu takut untuk menggugat keimanan umat Islam.
Selain itu kita juga perlu tahu membezakan antara tanggungjawab kita sebagai rakyat dengan tanggungjawab kerajaan dalam mengamalkan Islam. Jadi, mana-mana tanggungjawab kita lakukan sepenuhnya, tetapi mana-mana tanggungjawab kerajaan biar pemimpin yang memikirkannya. Ketahuilah, kita tidak berdosa atas kesalahan pemimpin. Namun sebagai rakyat kita ada saham jika menyokong kepimpinan yang enggan melakukan tanggungjawab tersebut.
Jadi, kalau anda mengaku orang Melayu marilah kita menyemarakkan amalan Islam di negara ini dengan serius. Dengan sebab itu kita boleh berbangga bahawa kita berada dalam negara Islam. Wallahu’aklam.

Tiada ulasan: