26 Mei 2012

Muzakarah atau bersatu masih isu politik


Ahmad Baei Jaafar

Sudah lama saya tidak ulas isu politik, tetapi waktu keluar semula isu muzakarah, saya rasa gatal tangan untuk menulisnya, namun kerana tidak cukup masa, hajat itu dihentikan dahulu. Walau bagaimanapun apabila membaca pendirian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti yang disiarkan dalam Malaysiakini, datang balik keinginan itu.
Sebelum pun sempat hendak menulis, saya terbaca pula kenyataan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang meminta orang Melayu rasa sensitif terhadap kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang ingin terus berjuang untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri. Wah, ini lebih menarik untuk diulas. 
Sebenarnya isu yang dibawa oleh mufti ini ada kaitan dengan isu muzakarah. Saya percaya niatnya baik demi Melayu dan Islam, tetapi saya tidak pasti berapa ramai orang Melayu yang memahami niat itu, apatah lagi orang-orang politik. Yang saya pasti ada yang marah kepada mufti dan ada yang marah kepada Nik Aziz.
Menyentuh kedua-dua isu ini ingin saya mencelah, Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau tidak akan berganjak dengan keputusannya untuk mengadakan muzakarah dengan UMNO.  
"Saya tak ganggu presiden saya. Yang saya sebut, saya nak muzakarah dengan UMNO kenapa tolak Islam.  Kalau dia (Hadi) tak setuju dengan saya, tak apa... yang penting muzakarah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Kota Jembal, di Kota Bharu baru-baru ini.
Berdasarkan kenyataan itu, kenapa pula presiden PAS nak halang? Yang nak muzakarah ialah Nik Aziz dengan UMNO, yang hendak dibincang ialah kenapa mereka tolak Islam. Kita patut sokong bukan menentang. Percayalah muzakarah tidak akan membawa kesan kepada pembubaran PAS, tak juga menyebabkan orang PAS perlu masuk UMNO, jadi apa yang dirisaukan.
Kalau selama ini orang UMNO tidak ada peluang untuk mendengar ceramah Nik Aziz, berilah peluang kepada mereka untuk mendengar ceramah secara langsung. Biar mereka faham mesej yang hendak disampaikan. Sama ada mereka bersetuju atau tidak pandangan Nik Aziz adalah hak mereka.
Kalau Abdul Hadi dan orang PAS menghalang bererti mereka tidak percaya kemampuan Nik Aziz untuk membetulkan fikiran orang ramai. Pada masa yang sama mereka tidak suka orang selain PAS memahami Islam seperti mereka. Kalau begitu bagaimana Islam boleh cepat berkembang di Malaysia.
Mengenai ulasan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan orang yang seangkatan dengannya, tidak perlu disambut kerana setiap ulasan mereka pasti bernilai politik yang boleh menguntungkan mereka. Jadi, mendiamkan diri tanpa jawab-menjawab akan menyelesaikan perang akhbar.
Mengenai kenyataan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang mahu orang Melayu rasa sensitif terhadap kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh, kita perlu merujuk kepada sejarah. Kenapa? Walaupun Karpal ingin terus berjuang untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri, kita perlu yakin ucapan itu bukan dasar DAP apatah lagi dalam DAP yang lebih berkuasa ialah Setiausaha bukan pengerusi.
Sungguhpun begitu, kalau kenyataan itu memang menjadi dasar DAP, memang kita tidak boleh menghalang kerana Perlembagaan Malaysia tidak memperuntukkan bahawa orang Melayu mesti menjadi Perdana Menteri. Tetapi kita jangan pula lupa, dalam perlembagaan tersebut ada memperuntukkan bahawa mana-mana parti yang mencapai majoriti dalam pilihanraya bolehlah memilih dalam kalangan mereka untuk menjadi perdana menteri. Peruntukan ini jelas dan ini jugalah yang diguna sekarang.
Tahukah anda, sekarang ini orang Melayu jadi perdana menteri kerana UMNO masih majoriti berbanding MCA dan MIC, apatah lagi parti lain dalam BN. Berdasarkan itu sampai bila-bila pun orang Cina atau India tidak boleh jadi PM, kecuali kalau MCA diberi kerusi lebih daripada orang Melayu ataupun satu kerusi UMNO pun tidak menang.
Sehubungan dengan itu saya bersetuju dengan seruan Mufti Perlis agar orang Melayu bersatu padu dan tidak bersifat melampau dalam politik sehingga merugikan bangsa dan agama. 
"Kita tak sebut PAS dan UMNO perlu bersatu tetapi jajaran masing-masing perlu diperbetulkan," katanya seperti yang dipetik dalam Malaysiakini semalam.
Kita perlu faham, orang Melayu sehingga setakat ini masih majoriti dalam semua keadaan. Walau apapun yang terjadi Melayu masih ramai, dan yang pastinya Islam lebih ramai daripada orang Melayu kerana setiap hari ada sahaja orang masuk Islam. Dan saya percaya orang Melayu dan Islam boleh bersatu apabila keadaan politik negara tersepit.
Bagi merealisasikan seruan Mufti itu, orang Melayu tanpa mengira parti apa yang mereka anggotai, harus menyokong perjuang mendaulatkan Islam. Sokongan itu mestilah padu demi mempertahankan perlembagaan. Ketika itu orang Melayu boleh memilih seorang Perdana Menteri yang berkualiti dalam kalangan ahli parti yang menang dalam pilihanraya.
Sebenarnya, berdasarkan perlembagaan dan majoriti orang Melayu itu kita tidak perlu bimbang dengan hasrat pengerusi DAP itu, dan kita juga tidak perlu risau dengan kenyataan Tun Dr semasa menjadi PM dulu bahawa tiada halangan orang bukan Melayu untuk menjadi perdana menteri. Sebaliknya kedua-dua kenyataan itu boleh dijadikan cabaran untuk mempertahan Islam.
Teorinya begini, kalau Pakatan Rakyat menguasai majoriti pada PRU13, PAS tentulah berada pada tempat pertama, PKR berada di tempat kedua dan DAP pada tempat ketiga di segi kedudukan jumlah kerusi keseluruhannya. Dengan kedudukan itu sudah pasti orang Islam akan menjadi PM.
Untuk mencapai teori itu, semua orang Islam perlu memberi sokongan lebih kepada mereka yang memperjuangkan Islam. Saya tidak kata, kita mesti sokong calon PAS tetapi sokonglah mereka yang memperjuangkan Islam. Mereka yang memperjuangkan Islam lebih kuat kuasanya daripada memperjuangkan bangsa Melayu, jadi utamakan Islam daripada Melayu.
Oleh sebab itu orang politik UMNO dan pemimpin UMNO harus menilai semula perjuangan mereka. Tidak perlu tukar perlembagaan tetapi cukup tukar fikiran dan minda ke arah Islam. Itu sahajalah yang boleh menyelamatkan orang Melayu dan Malaysia.
Orang politik bukan sahaja tidak perlu menakutkan orang Islam dengan andaian negatif untuk mencari pengaruh, tetapi yang paling baiknya beri kefahaman kepada orang bukan Islam mengikut leval masing-masing agar mereka layak juga menjadi pemimpin atau perdana menteri suatu hari nanti. Selamat berdakwah.

Tiada ulasan: