Ahmad Baei Jaafar
Dua tiga kali juga saya memerhatikan seorang pegawai
keselamatan di hospital, solat dengan cara duduk sedangkan kaki kanannya
melunjur ke hadapan. Satu hari saya menegurnya, “tuan kenapa dengan kaki tuan?”
jawabnya, saya kemalangan dan dengan sebab itu saya tidak boleh lipat kaki
seperti orang biasa.
Saya terus bertanya, tuan boleh berjalan dengan baik
tetapi mengapa tuan tidak boleh solat berdiri? Jawabnya mudah, “kalau saya berdiri,
sukar pula saya hendak duduk semula. Mungkin alasan itu boleh diterima dan caranya
itu boleh memudahkan urusan solatnya.
Tetapi anda mungkin pernah bertemu dengan orang yang
solat duduk di atas kerusi. Dia bawa kerusi itu dari rumah, malah mampu berjalan
dengan baik. Setelah diletakkan kerusi itu dia duduk dan memulakan takbir.
Sepanjang empat rakaat isyaknya dia solat dalam keadaan duduk. Sahkah solatnya?
Mari kita lihat rukun solat iaitu rukun pertama, berdiri
tegak dengan tidak condong atau miring hinggakan sampai ke tahap rukuk tanpa
keuzuran bagi mereka yang berkuasa berbuat demikian dalam sembahyang fardu.
Berdasarkan rukun itu, perlu kita tanya mereka yang solat
duduk itu, adakah dia boleh berdiri? Dalam kes di atas tentu kita tidak perlu bertanya
lagi kerana memang kita nampak dia boleh berjalan dengan baik. Ertinya dia
boleh berdiri lama. Jadi, bagaimana solat itu boleh terjadi kalau rukun pertama
sudah tidak dipatuhi.
Inilah perkara yang jarang diperhatikan oleh umat Islam.
Kita tidak nafikan amalan dalam Islam tidak membebankan umatnya. Perkara yang
susah akan dimudahkan jika perlu, rukhsah namanya. Tetapi rukhsah itu ada
syarat yang perlu dipatuhi.
Mari kita telitikan cara yang betul solat orang yang
sakit sebegini.
- Untuk
dua kes di atas, mereka hendak berdiri terlebih dahulu. Lakukan rukun
berikutnya dalam keadaan itu sehingga rukuk dan iktidal.
- Untuk
sujud, duduklah di atas kerusi atau melunjur kaki ke hadapan bagi yang
duduk atas lantai. Kemudian tundukkan kepala ke hadapan setakat yang mampu.
Bacalah zikir sujud seperti biasa. Kemudian duduk antara dua sujud dan
lakukan sujud sekali lagi seperti pertama.
- Untuk
rakaat kedua, berdiri lagi sekali bagi yang duduk di atas kerusi, tetapi
yang duduk melunjur bolehlah duduk dalam keadaan itu jika sukar untuk
bangun semula.
- Ulangilah
amalan itu sehingga selesai empat rakaat, iaitu salam.
Merujuk kepada mereka yang duduk melunjur itu, bergantung
kepada kesihatan dan kemampuannya. Jika dia boleh bangun semula tanpa
menyusahkannya dan tidak mengganggu orang yang solat di sebelahnya (solat
jemaah) hendaklah dia bangun berdiri seperti orang lain juga.
Walau bagaimanapun bagi mereka dalam kes di atas, jika untuk duduk
melunjur pun perlukan bantuan orang atau boleh mengganggu jemaah lain bolehlah
dia duduk sepanjang solatnya walaupun dia boleh berjalan dengan baik.
Perlu diingat juga, berdasarkan rukun di atas hukum
berdiri ini ini hanya khusus untuk solat fardu sahaja. Ini bermakna untuk sembahyang
sunat, berdiri tegak tidak diwajibkan sebaliknya hukumnya adalah sunat. Jadi,
jika mampu solat berdiri, lakukan dengan berdiri.
Bagi mereka yang terus duduk, rukuknya hendaklah dengan
menundukkan kepala ke hadapan sedikit dan bacalah zikir rukuk. Cara ini hendak
dibezakan dengan sujud yang tundukannya sampai ke tahap yang paling bawah yang dia
mampu.
Adalah diharapkan umat Islam dalam dalam keuzuran ini
dapat memberi perhatian untuk solat akan datang. Ingatlah kalau solat tidak
sah, bermakna ibadah yang lain boleh jadi tiada nilaiannya di sisi Allah.
Selamat mencuba yang terbaik untuk Allah.
7 ulasan:
alhamdulillah. Terima kasih dengan info ini. Sangat membantu.
Untuk ilmu yang lebih banyak mengenai Fardu Ain, dapatkan majalah fardu ain setiap bulan.
Assalamu'alaikum w.b.t ustaz...terima kasih atas info ini..sangat2 membantu..cuma sy ada 1 lg kemusykilan. Seandainya solat dilakukan secara berjemaah, bagaimana pula kedudukan sy dan kerusi jika hendak mengikut saf? Seandainya kerusi di letakkan sebaris saf maka kedudukan saya kehadapan sedikit dan tidak mengikut saf dan akan terganggu ketika rukuk kerana mungkin akan terkena kepala pada punggung saf depan. Jika kedudukan saya mengikut saf yang berlaku sebaliknya kepada saf belakang yang mungkin terkena kerusi saya. Mohon ustaz dapat membantu..terima kasih
Terima kasih Nawang kerana membaca. Saf dikira pada kedudukan kaki kita. Tetapi kalau solat cara duduk, keadaan itu dimaafkan. Ada dua cara boleh dilakukan:
1. Kedudukan kaki kerusi belakang sama dengan kaki orang lain. maka kita di hadapan. Keadaan ini adalah untuk mereka yang duduk sepanjang masa.
2. Mereka yang boleh berdiri hendaklah sama dengan orang lain. Kedudukan kerusi pula tentulah di belakang saf biasa. Di sini kalau takut mengganggu jemaah lain carilah ruang tepi atau saf belakang.
Ustaz, Bagaimana kalau seseorang tu boleh berdiri dan berjalan, dan dia boleh ruku. Tetapi ada masalah ketika hendak sujud, duduk di antara dua sujud dan ketika buat tahiyat awal dan akhir? Ketika hendak sujud, sujudnya tidak sempurna seperti org yg sihat dan ketika hendak buat tahiyat awal, duduk di antara dua sujud dan tahiyat akhir tidak boleh lipat kaki kiri nya seperti org yg sihat..ini kerana ada masalah di kaki kiri. Ustaz boleh tolong jelaskan. Terima kasih.
Maaf lambat menjawab sebab tak perasan mesej ini. Terima kasih kerana bertanya dan tahniah kerana terus melakukan solat walaupun tidak selesa.
Dalam kes yang dibentangkan, lakukan solat seperti biasa. Tetapi apabila tiba kepada sujud dan duduk antara dus sujud, lakukan sekadar yang boleh sahaja. Malah boleh duduk bersila.
Terima Kasih ustaz kerana menjawab. Boleh tak dia gantikan sujud, duduk di antara dua sujud dan tahiyat kepada duduk di kerusi kerana agak susah utk bersila dilantai?
Adakah sah solatnya walaupun dia lakukan solatnya "seperti biasa" walaupun cara duduk nya dan sujudnya berbeza dan tidak seperti org yg sihat?
Maaf ustaz boleh tolong jelaskan. Terima Kasih.
Catat Ulasan