31 Julai 2011

Kenapa masih pertikai acara tengok anak bulan?

Ahmad Baei Jaafar
Mungkin anda pernah berkata, kenapa nak bazirkan wang rakyat dengn pergi tengok anak bulan. Tentu banyak belanja; kos kenderaan, minyak dan makanan, padahal keputusannya sudah kita tahu.
Ada juga yang berkata, tengok anak bulan hanya syarat saja, sedangkan hari puasa atau raya sudah ditetapkan, tarikh itu tidak akan diubah kerana jika berlaku perubahan boleh merosakkan perancangan raya pada pihak kerajaan.
Tidak kurang juga yang berkata kenapa tidak ikut kelender sahaja, biasanya tepat. Dengan ini tidak banyak belanja.
Kata-kata ini lahir daripada mereka yang keliru dengan hukum Islam dan keputusan kerajaan. Sesetengah orang menyangka kerajaan ada kuasa sesegalanya. Malah mereka menyangka kerajaan yang buat keputusan dan ulama terpaksa ikut. Pandangan ini sebenarnya satu penghinaan terhadap kerajaan juga satu penghinaan terhadap ulama.
Sebenarnya dalam menentukan hari raya dan puasa telah dipersetujui satu kaedah yang menepati sunnah. Kaedah tersebut berbunyi, penentuan puasa dan raya berdasarkan rukyah dan hisab.
Hujah tersebut bersumberkan hadis Nabi Muhammad S.A.W.
عن أبي هريرة رضي الله عنه : أن النبي (ص) قال: صوموا لرؤيته وأفطروا لرؤيته، فإن غم عليكم فأكملوا عدة شعبان ثلاثين يوماً. رواه البخاري ومسلم.
Daripada Abu Hurairah R.A: Sesungguhnya Nabi S.A.W telah bersabda: “Berpuasalah kamu setelah kamu melihat anak bulan (Ramadan), dan juga berbuka puasalah (beraya) kamu setelah melihat anak bulan (Syawal), sekiranya ia terlindung dari pandangan kamu, maka sempurnakan bilangan hari bagi bulan Syaaban itu sebanyak 30 hari ).” (Riwayat Bukhari da Muslim)
Menurut hadis tersebut Ramadan dan Syawal perlu ditentukan dengan melihat anak bulan. Tetapi apabila tidak kelihatan maka cukupkan Syaaban atau puasa sebanyak 30 hari. Ertinya anak bulan perlu dilihat pada hari 29. Namun untuk merealisasikan ini, kepakaran ilmu falak diperlukan kerana mereka inilah yang menentukan kedudukan anak bulan ternasuk waktu yang sepatutnya dilihat.
Walau bagaimanapun keadaan cuaca dan iklim di negara ini pada waktu ini tidak menentu dan keadaan ini menyukarkan anak bulan dilihat walaupun pada kiraan falak anak bulan boleh kelihatan, maka kaedah di atas ditambah seperti berikut, “jika mengikut perkiraan falak anak bulan boleh kelihatan tetapi secara rukyahnya tidak kelihatan maka pandangan falak diterima. Dan jika mengikut perkiraan falak anak bulan tidak boleh kelihatan, tetapi secara rukyah berjaya melihat anak bulan maka rukyah diambil kira.”
Berdasarkan itu, kalau anak bulan mengikut perkiraan ahli falak boleh nampak, maka esoknya sudah pasti berpuasa atau raya. Namun rombongan melihat anak bulan itu tetap wajib pergi untuk mengesahkan anak bulan boleh kelihatan. Tetapi jika mereka tidak nampak juga, maka perkiraan falak hendaklah dipakai.
Dalam keadaan lain pula kalau pada perkiraan falak anak bulan tidak boleh kelihatan kerana tidak cukup umur sebagai contoh, rombongan melihat anak bulan masih wajib pergi untuk melihat anak bulan pada hari 29. Mereka perlu mengesahkan sama ada nampak atau tidak. Jika dalam keadaan itu mereka boleh nampak anak bulan maka esoknya perlu puasa atau raya. Tetapi jika sebaliknya, tidak nampak anak bulan, maka esok adalah 30 Syaaban atau Ramadan.
Berdasarkan pengalaman dan kepakaran ahli falak sehingga ke hari ini yang mereka tidak pernah gagal dalam kajiannya, terutama dalam penentuan gerhana matahari dan bulan, juga penentuan wakut solat, maka kaedah dalam menentukan puasa dan raya boleh diterima pandangan falak.
Selain itu dengan kaedah ini juga mampu memberi peluang persiapan kepada umat Islam sama ada untuk berpuasa atau raya. Mereka tidak perlu lagi menunggu bila akan diistiharkan puasa atau raya. Sebagai asasnya mereka sudah boleh berpegang kepada pandangan falak. 

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

boleh tunjukan dalil atau hadis sahih ttg hal dibolehkan mengguna kan kaedah selain melihat hilal?kerna yg ttg hilal ada banyak..tetapi tidak ketemuyg kaedah lain.
bagaimana pula cara 4 imam ahli sunni yang muktabar itu.adakah sama?

fikrah islamiah berkata...

Menentukan puasa dan hari raya pada zaman Rasulullah, sahabat dan juga ulama mazhab merujuk kepada rukyah, iaitu melihat anak bulan. Namun pada zaman mutakhir ini sesuai dengan perkembangan teknologi kini kita menerokai satu lagi kaedah iaitu menggunakan kaedah hisab atau falak.
Kita di Malaysia menggunakan dua-dua kaedah berdasarkan hadis ibnu umar:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَكَرَ رَمَضَانَ ، فَقَالَ : " لَا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوُا الْهِلالَ، وَلَا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ ، فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ " .
Maksudnya: BahawaRasulullah SAW menebut tetnang Ramdan, maka sabdanya: jangan kamu berpuasa sehinggalah kamu lihat hilal dan jangan kamu berbuka (raya) sehingga kamu melihatnya (hilal), maka jika dilindungkan daripada kamu maka kiralah.” (Riwayat Sayuti)
Juga hadis Abi Said al-Khudri katanya
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ : " لا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوُا الْهِلالَ ، وَلا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ ، فَإِنْ غُمِّيَ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ " . وَفِي رِوَايَةٍ أُخْرَى : " فَأَتِمُّوا ثَلاثِينَ يَوْمًا. "
Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda pada Ramadan, “jangan kamu berpuasa sehingga kamu melihat hilal, dan jangan berbuka (raya) hingga kamu melihatnya, maka jika dimendungkan cuaca daripda kamu maka kiralah. Dalam riwayat lain sempurnakan 30 hari. (Rabi bin Habib)
Ulama merujuk kepada perkataan فَاقْدُرُوا dan فَأَتِمُّوا sebagai hisab atau falak. Kerja mengira hari adalah kerja falak. Perlu dijelaskan di sini kiraan hari, waktu solat juga gerhana merujuk kepada pergerakan matahari dan inilah kerja falak. Hari ini dengan teknologi ilmu falak mereka dapat menentukan kedudukan anak bulan secara tepat.
Di Malaysia kita mengambil kedua-dua kaedah ini untuk menentukan raya atau puasa. Kita akan melihat anak bulan pada 29. Jika mengikut perkiraan falak anak bulan tidak kelihatan pun kita akan pergi melihat juga. Kalau ditakdirkan nampak puasalah esoknya. Sebaliknya jika falak mengesahkan anak boleh Nampak, walaupun malam itu tidak kelihatan, kita akan menggunakan pandangan falak. Pendekatan ini masih menepati kehendak hadis di atas. Wallahu aklam.