15 Disember 2009

Sultan Selangor tegur siapa? - Satu analisis

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin tegur siapa semasa titah baginda pada hari keputeraannya baru-baru ini? Berdasarkan pembacaan surat khabar arus perdana teguran sultan Selangor itu ditujukan kepada sikap Menteri Besar Selangor dan pemimpin PR yang suka membesarkan isu politik daripada memikirkan pembangunan negeri. Begitu juga seperti yang dipaparkan dalam berita utama televisyen.

Membaca laporan Malaysiakini dan meneliti teks ucapan baginda, didapati terdapat beberapa mesej yang hendak disampaikan oleh baginda. Jelasnya teguran itu tidaklah bermaksud begitu semata-mata. Baginda tegur parti pemerintah, tegur parti pembangkang Selangor dan rakyat keseluruhannya.
Kepada kerajaan Selangor, baginda mengingatkan semua pimpinan tertinggi negeri Selangor agar jangan banyak bercakap sahaja malah melaksanakan perkara-perkara yang berfaedah kepada rakyat di negeri itu.
"Beta percaya rakyat pada masa sekarang ini lebih selesa berbincang dan bercakap mengenai pembangunan dan kesejahteraan daripada bertelagah mengenai soal-soal politik.

"Oleh yang demikian, beta mengingatkan bahawa kerajaan Selangor pada masa kini adalah bertanggungjawab membina dan membuat landasan bagi keharmonian dan kesejahteraan rakyat pada masa akan datang," titahnya.
Sultan Selangor turut menyeru Menteri Besar Selangor dan barisan exconya agar melaksanakan tugas-tugas mentadbir dan membangunkan negeri dengan penuh dedikasi.

Kepada pembangkang baginda mahu mereka hentikan sikap mencari kesalahan dan kelemahan pemberintah.
"Masa untuk mencari kesalahan dan kelemahan telah berlalu dan telah tiba pula masanya untuk kerajaan sekarang melaksanakan segala perancangan dan janji-janji yang dibuat ketika berkempen (dalam pilihan raya umum lepas) dan mengatasi semua masalah yang dihadapi rakyat demi kemajuan dan kemakmuran negeri ini," titah baginda.
Kepada rakyat Selangor baginda mahu mereka rebut peluang yang disediakan kerajaan. Rakyat sepatutnya berkerja dengan sungguh untuk kejayaan sendiri dan kerajaan.

1 ulasan:

fikrah islamiah berkata...

Sebelum teman-teman berbicara biar saya jelaskan kepentingan sultan dan raja di negara ini.
Sultan selalu disebut payung negara, payung bangsa, payung agama. Kewujudan sultan dalam konteks ini amat penting bagi menyelamatkan negara, bangsa dan agama Islam. Walaupun orang kata sultan ini hanya sebagai boneka atau patung tetapi sebenarnya dia mampu menyekat kemaraan orang bukan Islam dari mengkhianati negara, bangsa dan agama tanpa perlu bercakap sesuatu.
Bayangkan kalau sultan bercakap perkara baik, negara akan dihormati, bangsa akan terus berdaulat dan agama Islam akan terus megah tinggi. Sebagai contoh, kerajaan persekutuan walaupun kedudukan pemimpin Islam berkurangan dan lemah, Islam masih tidak boleh digugat, kita masih boleh memimpin, di Perak walaupun pemimpin bukan Islam mengatasi orang Islam (semasa PR), pemimpin Islam masih diberi kehormatan. Walau pun ada pihak hendak gugat kedudukan sultan, tetapi tidak boleh dan gagal.
Tetapi percayalah kalau sultan tidak ada, Agong tak ada dalam perlembagaan, negara ini senang-senang boleh diperintah oleh bukan Islam. Ini realiti yang perlu kita faham. Jadi jangan kita hina sultan walaupun sekadar boneka.
Kita sepatutnya ketika ini berdoa agar sultan di negara dan negeri ini menjadi raja yang beriman dan bertakwa. Percayalah kalau mereka beriman dan bertakwa Islam akan berdaulat dengan cepat dan mudah. Orang politik akan hormat dan akur kepada sultan.