21 November 2009

Hormati ulul amri yang mengasihi rakyatnya

Ahmad Baei Jaafar

Siapakah ulul amri? Dalam al-Quran ada di sebut, "Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan juga ulul amri." Jika diambil makna secara mudah, ulul amri adalah pemimpin yang mengetuai sesuatu pemerintahan.

Di negara ini setiap seseorang rakyat ada dua ulul amri; satu di peringkat pemerintah pusat dan yang kedua di peringkat negeri. Ulul amri jika merujuk kepada urusan agama ialah Yang di Pertuan Agung dan Sultan negeri-negeri.

Jadi, umat Islam perlu taat kepada Allah, taat juga kepada Rasulullah s.a.w, dan taat juga kepada Yang di Pertuan Agung dan Sultan. Walau bagaimanapun para ulama menambah sedikit huraian mengenai ketaatan kepada ulul amri ini dengan syarat perintah itu tidak bercanggah dengan hukum asas Islam.

Dr Muhammad Uthman el-Muhammady sewaktu majlis rakaman al-Kulliah terbitan TV3 yang diadakan di Dewan Besar Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini banyak kali menyebut tentang ulul amri ini. Menurutnya untuk menjamin satu akidah di negara ini dipertahankan semua pihak perlu menghormati ulul amri.

Menghormati tentu berbeza dengan mentaati, namun kedua-dua adalah perintah Allah yang wajib. Taat adalah pada melaksanakan perintah ulul amri dan hormat pula pada menjaga tatasusila dalam berhadapan dengan ulul amri.

Dalam ajaran Islam, ketaatan kepada pemimpin akan terbatal kalau perintah itu jelas bercanggah dengan hukum asas. Manakala menghormati pemimpin boleh juga luput jika pemimpin itu tidak mengasih orang bawahnya. Sabda Rasulullah, siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi. Dalam hadis lain baginda bersabda: Bukanlah dalam kalangan umatku mereka yang tidak mengasihi orang bawahnya dan tidak menghormati orang tua dalam kalangan mereka.

Untuk mudah memahami perbincangan ini, kita ambil satu contoh kes, wajib mengambi tauliah untuk mengajar agama. Kewajipan mengambil tauliah adalah penting untuk memastikan guru yang akan mengajar itu tidak mengajar ajaran salah dan sesat. Tetapi bagi guru yang sudah makruf ilmunya seharusnya tidak perlu lagi kepada kewajipan itu sebaliknya mereka boleh dipantau dan dipanggil secara baik jika terdapat percanggahan ilmu ketika dia menyampaikannya.

Dalam kes ini, boleh jadi dengan kewajipan ini boleh membantutkan usaha dakwah kepada masyarakat di negara ini. Kalau begitu kewajipan ini pada sesuatu keadaan bercanggah dengan hukum asas Islam. Jadi, pendakwah yang sudah makruf ilmunya itu boleh tidak melakukan ketaatan kepada ulul amri dalam keadaan ini.

Kemudian jika seseorang pendakwah itu didapati bersalah kerana menyebarkan ajaran salah, maka ulul ambil boleh datang menangkapnya secara terhormat, secara kasih sayang kerana mereka bukan pengganas. Apabila mereka boleh memberi belas kasih kepada pendakwah berkenaan, maka sewajarnya pendakwah itu menghormati ulul amri.

Jelas di sini, ketaatan kepada ulul amri ada batasnya dan menghormati ulul amri juga ada masa dan ketikanya. Oleh sebab itu, pemerintah yang mewakili ulul amri harus menilai perkara ini agar mereka lebih berwibawa dalam membela Islam di negera ini.

Tiada ulasan: